02 Disember 2010

Lata Jarum, Hulu Dong

Homestay yang selesa lagi murah

Hulu Dong mula dikenali ramai sekitar tahun 1993 apabila kisah pembunuhan paling tragis yang dilakukan oleh Mona Fandi. Kebanyakkan orang kampung di sini sudah mula melupai peristiwa itu kerana ia mengambarkan sejarah hitam negara. Rata-rata penduduk di sini kalau tidak ditanya, mereka langsung tidak akan bercerita kisah itu. Tambahan kisah itu bukan dilakukan oleh anak kampung mereka. Malahan dua kali saya ke sini hanya sempat melihat semak samun sekitar tempat kejadian di mana rumah tempat pembunuhan itu dilakukan sudah tiada lagi.

Homestay

Hulu Dong boleh dibangunkan untuk industri pelancongan di peringkat antarabangsa. Cuma usaha lebih teratur perlu dilakukan demi keselesaan pelancong dan pengunjung. Bagi pengunjung tempatan Hulu Dong sudah cukup selesa kerana di sini ada chalet-chalet yang mampu memberi kemudahan bermalam untuk mereka.

Kenderaan pengunjung tempatan dihujung minggu

Saya ke Lata Jarum di Hulu Dong, Raub, Pahang untuk kali kedua selepas tahun 2009. Kalau tahun 2009 saya menyertai  XPDC Sainstifik, kali ini datang ke sini untuk membuat rakaman foto bagi tinjauan komuniti masyarakat setempat untuk memajukan Lata Jarum dalam kalendar  Eco Pelancongan UKM.
Kemudahan Chalet

Kegiatan berkumpulan oleh penyelidik dari UKM


Pengunjung yang inginkan suasana  kampung, Hulu Dong adalah tempatnya. Banyak Homestay di sini. Malahan begitu murah dan berpatutan.

Menurut Pengawas  Hutan di Lata Jarum, En Mohd Shukri, di Daerah Raub terdapat banyak lata yang mempunyai cirri-ciri air terjun dan aktiviti lasak. Lata tersebut ialah, Lata Jarum,Lata Lembik Ulu Sungai, Lata Berembun Sg. Chalit, Jeriau Bukit Fraser. Semua tempat-tempat tersebut dikunjungi orang ramai. Cuma Lata Jarum sahaja yang dikunjungi oleh semua golongan masyarakat.
Air yang jernih dan bersih sesuai untuk bermandi manda
Manakala Bukit Fraser bagi pelancong yang golongan menengah keatas majoritinya Lata Berembun dari golongan peminat 4X4 

Di Lata Jarum terdapat kemudahan awam yang mencukupi seperti bilik air dan surau yang telah didirikan oleh Jabatan Hutan Daerah Raub telah memikat hati pengunjung dari Raub sendiri dan daerah-daerah lain.

Bunga Patma atau Rafflesia merupakan tarikan yang terdapat di sini. Prof Dr Jumaat Adam kini menjadikan Lata Jarum sebagai tempat kajian bunga tersebut. Manakala sebelum ini Allahyarham Prof. Dr. Kamarudin Salleh pernah membuat kajian disini. Namun menurut rekod Jabatan Hutan Pahang, Raub , ketika Allahyarham datang membuat kajian tanpa melalui jabatan hutan. Walaupun begitu, hasil kajian tersebut telah membawa kepada publisiti kepada Lata Jarum.


Masyarakat di sekitar Hulu Dong menyambut baik usaha membangunkan Lata Jarum, namun harapan mereka agar ciri-ciri keaslian biarlah dikekalkan. Mereka masih mahu nilai-nilai kampung tidak diragut oleh kemasukkan pengunjung luar.

Beberapa perkara yang harus diusahakan jika mahu Lata Jarum dikekalkan dengan keasliannya ialah dari aspek pembuangan sampah ke dalam sungai harus dielakkan. Kerana tabiat ini lama kelamaan akan mengikis keindahan sungai itu sendiri.

Hulu Dong dan sekitarnya mampu memberikan keselesaan kepada pengunjung kerana ia terletak di jalan utama ke Kelantan. Justeru membangun chalet-chalet yang selesa akan memberikan faedah kepada pengunjung dan pengusaha industri itu sendiri.

Lagi artikel yang berkaitan:  

Chalet Haji Mustaffa
Luahan perasan saintis   
Sungai kering di hulu   
Lata Jarum 
Abang Ismail 
Jafry dan lukisannya 
Hidup tanpa menggunakan wang


02 November 2010

Mencari ketenangan di Tasik Kenyir

Ketika musim tengkujuh
di Pantai Timur air akan memenuhi Tasik Kenyir
 
Bila menyebut Tasik Kenyir ramai yang pernah sampai ke sana. Tambahan bagi mereka yang suka dengan aktiviti memancing. Saya pertama kali ke sana pada 24 hingga 27 Oktober lalu bersama-sama warga UKM yang menyertai Bengkel Penerbitan Vedio.
Peminta fotografi boleh membuat outing di Tasik Kenyir
Rumah Persekutuan
Tasik Kenyir yang terletak di hulu Sungai Kenyir, Terengganu merupakan tasik terbesar yang pernah dibina oleh manusia untuk menjana kuasa elektrik di Asia Tenggara. Tasik ini seluas 2,600 km persegi dan mengandungi 340 pulau kecil.

Dasar Tasik Kenyir yang kering di kawasan Sungai Sauk
Semenjak kewujudan empangan di sini, kawasan sekitarnya terutama Kuala Berang telah mula dikenali oleh orang ramai baik dari dalam mahupun luar negeri. Tasik ini merupakan tempat pelancongan popular di Terengganu semenjak kewujudannya. Ia siap dibina pada 1988.

Sisa balak akan tengelam ketika air tinggi
Tasik Kenyir telah menenggelamkan tujuh buah kampung, dua tanah perkuburan Islam dan dua buah sekolah rakyat serta hutan. Banyak haiwan liar telah diselamatkan semasa pembinaan empangan ini. Seekor anak gajah telah mati ketika  proses pembinaannya dan rangka lengkapnya terdapat di Muzium Zoologi, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Bangi. Pembinaan empangan ini telah mewujudkan pulangan ekonomi kepada penduduknya yang majoritinya adalah petani. Secara tidak langsung, penduduk di sini dapat menaikkan taraf sosial masing-masing. Kedatangan pelancong ke sini yang terkenal dengan jagung manisnyaKuala Berang di mata pihak luar yang sebelum ini dikenali sebagai 'bandar mati'. telah menaikkan nama bandar (Beberapa fakta dari sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Tasik_Kenyir).

Persekitaran yang damai

Ribuan pelancongan pernah berkunjung ke tasik ini dengan tujuan melihat bermalam dan aktiviti lain seperti memancing dan bekursus.

Saya dan rakan-rakan telah menginap di Rumah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri yang terletak di Pulau Sah Kecil dengan jarak pelayaran bot lebih kurang dua puluh minit.

Pembinaan rumah berkonsepkan tradisi kampung orang melayu Rumah Persekutuan ini mampu memberikan ketenangan bagi mereka yang sentiasa dihambat dengan kesibukan bekerja. Dengan sewa dari RM60  hingga  RM150 semalam kita hanya perlu membawa bahan makan mentah untuk dimasak bersama ahli keluarga. Kelengkapan yang memuaskan seperti keperluan tempat tidur yang selesa, keperluan dapur seperti pinggan mangkuk sudah mampu bagi kita merehatkan ketegangan.

Anda yang ingin menganjurkan kursus boleh berbuat demikian kerana keperluan bilik kursus amat selesa termasuk bilik makan dan tempat penyediaan makanan.

Sebenarnya banyak aktiviti boleh dilakukan ketika berada di Tasik Kenyir, misalnya melihat ikan Kelah, berkayak, melihat Taman Herba.

Lihat album Tasik Kenyir


30 Oktober 2010

Jangan menconteng arang............

Kesempatan melawat Kilang Arang di Kuala Sepetang telah memberikan satu gambaran hebat tentang orang Melayu.

Kilang ini yang terletak berhampiran Pekan Kuala Sepetang telah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan sejak tahun 1800an lagi. Hasil kayu bakau yang terdapat begitu banyak di Kuala Sepetang telah menjadikan perusahaan kayu arang antara sumber ekonomi penduduk tempatan selain menjadi nelayan.

Terdapat pekerja di kilang ini telah bekerja sudah lebih dua puluh tahun. Ini tempat mereka mencari rezeki untuk keluarga.

Eco Pendidikan yang terdapat berhampiran kilang arang di sini milik Jabatan Hutan Perak menjadi tempat pelancong memperolehi info mengenai proses kayu arang.

Menurut Pengawas Hutan, En Nadrudin Shamsudin, kayu arang hanya terkenal di negara kita sebagai alat pembakar sahaja. Di Jepun kayu arang dijadikan berbagai kegunaan dalam berbagai industri. Antaranya dijadikan alat untuk menyah bau.

Ketika melawat kilang tersebut, saya dan rakan-rakan dapat melihat bagaimana proses membuat kayu arang. Namun apa yang menjadi tandatanya kenapa cici-ciri keselamatan langsung diabaikan terutamanya para pekerja yang tidak dibekalkan penutup hidung. Lebih mendukacitakan ialah ada pekerja yang membawa anak kecil ke kilang tersebut tanpa memikirkan risiko yang akan dihadapi oleh anak tersebut.

Lihat lebih banyak gambar di sini











15 Oktober 2010

Kepuasan seorang Karyawan Foto


Sila lihat koleksi saya



Menghasilkan foto yang terbaik seharusnya perlu memiliki pengetahuan, pengalaman, ketabahan dan bantuan peralatan.

Saya gemar dengan kerektor haiwan. Justeru apabila ada peluang ke zoo maka saya akan mengambil masa yang lama di sana. Mujur keluarga juga berminat dengan dunia saya maka ketika membawa mereka ke sana kesabaran harus dibawa bersama.

Ingat melawat ke zoo bukannya murah. Zoo Negara Ulu Klang anda harus membayar RM20 untuk dewasa. Andainya anda membawa 30 orang maka akan diberikan potongan harga sebanyak RM2 sahaja. Zoo Taiping RM12. Baru-baru ini saya berkesempatan membawa 30 orang peserta bengkel fotografi UKM maka pihak zoo tersebut telah memberikan potongan sebanyak 50%.

Saya pernah berada di Taman Burung KL selama emapt jam bersama anak, maka kosnya RM15 seorang akan menjadi RM30 jika berdua. Itu tidak termasuk kos minuman dan makanan.

Oleh itu apabila anda ingin ke zoo maka pulangan modal harus difikirkan. Keluar dari zoo harus membawa pulang gambar-gambar yang boleh membawa kepuasan yang tinggi. Kalau tidak anda akan keciwa.

Foto oleh: Hazrul halim

Kepuasan akan datang dengan menghasilkan cara kerja yang ikhlas.



20 September 2010

Hari Raya dan Kamera

Kamera merupakan satu peralatan yang tidak mungkin dilupakan apabila menyambut hari raya. Hampir semua orang memiliki kamera dewasa ini. Era digital lebih memudahkan semua orang untuk merakam gambar tanpa perlu menyediakan filem dan mampu merakam sebanyak mana yang kita mahu.

Ramai dikalangan peminat fotografi kini memiliki kamera DSLR. Namun ada sesetengah orang kamera DSLR tidak mampu dimiliki dengan alasan ianya mahal, susah dibawa, susah hendak dikendalikan.
Gambar dengan kamera telefon bimbit

Saya ada waktunya langsung tidak membawa kamera SLR jika pulang berhari raya dengan alasan mahu rehat dari tugasan kerana membawa DSLR dalam sebuah beg secara psikologinya seolah-olah saya sedang bertugas walaupun bercuti. Namun lebih jauh lagi saya ingin meringan bebanan ketika pulang berhari raya dan faktor keselamatan kamera itu sendiri.

Naluri seorang karyawan fotografi tetap ada. Saya tidak mahu melepaskan peluang dengan peristiwa yang berlaku semasa musim perayaan. Justeru  lazimnya saya akan membawa sebuah kamera kompak yang ringan, kecil namun kualiti penghasilan gambar tidak kurang nilainya.

Nikon Coolpix 10 megapixels dengan kemampuan ISO 3200, Penasonic Lumix (kegunaan anak-anak dan sebuah telefon bimbit berkamera 3.2 MP untuk mengirim gambar ke Facebook adalah teman saya serta anak-anak sepanjang musim raya. Tidak termasuk kamera pada telefon isteri dan anak-anak.

Walaupun tidak semua fungsi DSLR ada pada kamera-kamera ini namun saya mampu menghasilkan gambar keluarga dan beberapa simple angle. Saya tidak merasakan satu bebanan seperti sedang bertugas. Saya akan membawa sebuah mini monopod yang boleh diubah suai dan saya mampu juga menghasilkan gambar-gambar low Shutter Speed.

Pokok pangkalnya kita tahu cara merakam gambar, maka gambar akan terhasil seperti yang dikehendaki.Bagi anda yang ingin mempelajari cara merakam gambar yang bermutu walaupun menggunakan kamera  kompak boleh berbuat demikian dengan mengikuti bengkel-bengkel anjuran jurufoto yang mahir terutama jika mereka membuat bengkel bagaimana menghasilkan gambar yang bermutu. Teknik-teknik komposisi yang betul akan diajar oleh mereka yang berpengalaman.

Warga UKM dan masyarakat sekitar Bangi boleh mengikuti bengkel mingguan setiap hari Sabtu yang dianjurkan oleh Persatuan Jurufoto UKM dengan kerjasama Penerbit UKM.




Peluang untuk merakam saat-saat indah bersama keluarga jangan dilepaskan

18 September 2010

Hari Raya Aidilfitri dan Ziarah Syawal

Di rumah rakan Facebook Cikgu Aziz di Pagoh. Ikhsan-Aziz Salleh
8 September 2010 bersamaan 29 Ramadan saya sempat berbual dan bersalam dengan Haji Zainal Osman pemilik Putera Foto yang terletak di PUSANIKA UKM. Perbualan singkat di CIMB UNIKEB cukup meninggalkan kesan kepada saya apabila pada 14 September Haji Zainal beritakan kembali ke Rahmatollah. Berita ini saya terima daripada Saliman Leman menerusi SMS. Oleh kerana saya sedang sibuk menyiapkan barang-barang ke dalam kereta untuk ke Segamat dari Muar maka SMS itu tidak saya baca.

Sdra Zulkifli Ibrahim seorang Pegawai Penerbitan di UKM Press menelefon saya untuk meminta kepastian. Namun setelah saya menelefon ke nombor telefon bimbit Hj. Zainal baru kepastian diperolehi. Adik ipar arwah Hj Zainal yang menjawab panggilan saya.

Sebenarnya hati saya sering berdetik sebelum pulang ke Muar pada 9 September siapa pula orang yang kenali akan kembali dijemput Ilahi. Namun saya sering memujuk hati agar tidak terus melayan perasaan itu. Maklumlah sejak awal puasa saya sering dikejutkan dengan SMS daripada rakan-rakan mengenai kematian orang-orang yang kenali.

9 Sept :  Perjalanan balik Muar selesa sekali kerana tiada kesesakan yang melampau bilamana saya dapat memandu dengan selesa dan sampai di Muar tanpa sebarang masalah.

13 Sept : Berita mengenai pembunuhan jutawan kosmetik mengambil alih semua program TV. Siaran berita oleh semua stesen TV telah menjadi tumpuan ramai terutamanya orang - orang dewasa. Berita kejadian ini begitu menyayat hati walaupun jutawan itu bukan keluarga kita. Malahan berita kematian di jalan raya telah tidak menarik perhatian lagi. Namun kemalangan satu keluarga di Behrang amat menyayat hati.

Selepas pulang ke Muar dari Kluang saya dan keluarga singgah sebentar di Nasuha Herba dan terus menziarahi ayah saudara isteri di pekan Rawang, Muar. Perubahan ketara pada Syawal  kali ini apabila saya mendapati beliau mengalami masalah pembuangan air kecil dan telah menggunakan karung untuk menyelesaikan masalah tersebut. Esuknya (14 Sept ) saya dan isteri membawa Kak Long (kakak sulong isteri) menziarahi Pak Long mereka.

Pak Long nampak masih menggunakan semangat yang ada untuk menempuh penyakit yang sedang dialaminya. Pak Long meluahkan perasaan keciwa apabila tidak ramai suadara mara yang datang menziarahinya. Itulah keluhan seorang warga emas di saat-saat orang lain sedang bergembiran berhari raya.

14 Sept : Saya menjadi tetamu Cikgu Aziz Salleh di Kampung Raja, Pagoh. Cikgu Aziz rakan Facebook yang pernah saya jumpa di padang kriket Bayuemas Klang tahun lepas. Saya sekeluarga dilayan seperti rakan-rakan yang sudah lama kenal. Terima kasih cikgu Aziz dan isteri yang telah membekalkan buah belimbing dan pisang emas.

Pukul 7 malam saya dan keluarga meneruskan perjalanan ke Segamat untuk bermalam di rumah adik ipar yang tinggal di Taman Pelangi. Selepas bersolat Maghrib di Masjid Lenga perjalanan diteruskan dengan melalui Jalan Bukit Kepong Labis. Perjalanan malam itu agak sunyi namun saya bertekad untuk meneruskan perjalanan. Syukur Alhamdulillah pukul 8.30 malam kami selamat tiba di Segamat.

15 Sept : Saya membawa kereta untuk dibaiki kerana ada masalah Drivesharp. Pukul 6 petang saya bertolak pulang ke Bangi dalam hujan lebat. Sepanjang perjalanan hujan turun.

Setiap tahun itulah rutin saya dan keluarga menyambut aidilfitri. Setiap tahun saya mengutip pengalaman umpamanya, kisah kakak yang tabah melayan anaknya yang sakit.

Banyak kisah yang saya kutip untuk dijadikan panduan dalam kehidupan masa depan. Pesan saya kalau setahun sekali kita dapat bertemu saudara mara jumpalah dan dengarlah kisah mereka di tanggung sekian lama.




Kenangan Hari Raya Aidilfitri 1431/2010


15 September 2010

Haji Zainal Osman-Alumni Fotografi IKBN yang berjaya

Zainal Osman yang telah kembali ke Rahmatollah pada 14 Sept 2010 merupakan alumni Intitut Kemahiran Belia Peretak yang berjaya.

Beliau merupakan seorang usahawan studio foto sejak awal tahun 90an. Permis niaga beliau terletak di PUSANIKA UKM.

Saya mengenali beliau ketika mula-mula membuka kedai foto di situ.Diawal pembabitan Allahyarham ketika senifoto masih menggunakan filem telah membawa kepada pembukaan makmal pemerosesan filem dan mencetak gambar.

Malahan perkembangan peniagaannya membolehkan beliau mendapat tender merakam gambar majlis konvokesyen di beberapa institut pengajian tinggi antara yang paling berjaya ialah di majlis Konvokesyen UKM lebih sepuluh tahun.

Perkembangan senifoto digital telah mencabar beliau namun atas bantuan anaknya dan rakan-rakan Allahyarham telah menyahut cabaran dengan membuka makmal mencetak foto digital.

Putera Foto Studio telah berkembang dengan jayanya walaupun menempuh cabaran yang berbagai. Namun saya melihat Zainal tidak patah semangat.

Semalam Haji Zainal telah kembali bertemu Allah. Saya menerima berita tersebut daripada Sdra Zulkifli Ibrahim untuk membuat pengesahan.

Apabila saya membuat panggilan ke telefon bimbitnya adik iparnya memberitahu Haji Zainal telah tiada......

Saya memandu kereta dari Muar ke Segamat dalam keadaan sayu kerana masih bercuti di Johor.

Walaupun saya tidak dapat balik ke Bangi untuk menziarahi arwah, namun pertemuan terakhir di CIMB UNIKEB saya sempat berjabat salam pada Rabu 8 Sept.

Apa yang membuatkan saya tidak dapat lupa ialah perbualan dengan arwah yang bertanya saya pergi ziarah atau tidak semasa hari En Mohamad Mokhta Mustafa meninggal dunia. Apabila saya menajawab pergi, arwah Haji Zainal memberitahu beliau ketika itu demam dan sehingga hari saya bertemunya. Mungkin demam yang Hj Zainal alami merupakan tanda beliau akan pergi buat selama-lamanya..Al Fatihah.

Segamat,15 Sept/6 Syawal

07 September 2010

Ramadhan yang akan meninggalkan kita

Setiap tahun bulan Ramadhan akan tiba selagi dunia belum kiamat dan kita belum menemui ajal. Pengisian dalam bulan ini tidak perlu diceritakan dengan panjang lebar kerana semua orang tahu ia perlu berpuasa dan melakukan amal kebajikan lain samada wajib atau sunat.

Namun setiap orang pasti mempunyai kenangan sendiri yang disimpan sebagai kenangan peribadi, keluarga mahupun masyarakat. Jikalau zaman dahulu ibu bapa kita menyimpan kenangan itu dalam bentuk lisan sahaja. Ia akan diulang-ulang bercerita kepada anak atau cucu. Justeru, kenangan seseorang amat berharga untuk dikisahkan.

Kini dengan wujudnya media berbagai kaedah boleh disampaikan samada dalam bentuk buku, akhbar. Lebih istimewa lagi apabila wujud media terkini seperti Web, Blog,Facebook, Twitter dan lain-lain lagi maka penyampaian akan lebih sempurna disimpan. Kalau tiga puluh tahun dulu ramai antara kita menyimpan kisah-kisah kenangan di dalam diari atau buku catatan lain, kini ianya lebih luas.

Saya bertemu kembali guru disiplin ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sik pada tahun 1971 hingga 1975 hanya menerusi laman blog Dari Sik ke Bangi . Ketika beliau menelefon saya, Cikgu Abdullah begitu ceria. Saya langsung tidak menyangka beliau masih mampu dan lebih mudah dikatakan beliau tidak buta komputer dan ICT walaupun sudah bersara. Tepat kata bijak pandai kalau guru, mereka akan terus belajar sampai bila-bila. Lebih menarik Cikgu Lah mempunyai Facebook.

Bulan Ramadhan tahun ini telah mengusik perasaan saya kerana ramai orang yang rapat dan kenali meninggal dunia. Dr Rohani Ahmad yang banyak memberikan maklumat tentang parasit ketika saya mengalami masalah mata. Dr Ayub, Paling menyayukan ketika catatan ini ditulis saya dan warga UKM kehilangan seorang lagi pegawai ia itu En Mohamad Mustafa Mokhtar yang meninggal dunia akibat sakit jantung.

Ketentuan Allah tiada siapa yang boleh duga dan elak. Namun kita di beritakan dengan berbagai-bagai kejadian menyayat hati seperti pembunuhan dan terbunuh di jalan raya.

Saya juga ingin berkongsi saat-saat kegembiraan di hujung Ramadhan ini kerana sahabat lama ketika di Sekolah Menengah Sik dulu dapat bertemu kembali. Walaupun kami pernah bertemu lebih sepuluh tahun dulu, namun kini dengan izin Allah Razak Hashim dapat saya jumpa semula melalui laman sosial Facebook.

Inilah bulan Ramadhan yang meninggalkan kenangan kepada kita. Sebab itu apabila disebut bulan puasa semua orang akan mencerita berbagai kisah suka duka.

Sebelum habis waktu bekerja semalam, seorang rakan yang akan pulang ke Kedah untuk menyambut hari raya bersama keluarga datang bersalaman dengan saya. Sebelum beredar, saya sempai memesan kepada beliau "tabahkan hati menyambut Aidil Fitri ini tanpa kehadiran seorang ibu". Saya sempat melihat matanya berkilau menahan hiba.

03 September 2010

Pulau Sangga, Kuala Sepetang

Pulau Sangga, Kuala Sepetang jarak pelayaran dengan bot lebih kurang 30 minit. Semasa hari pertama berbincang dengan Along seorang pengendali bot di Kuala Sepetang memberitahu pulau ini didiami oleh penduduk yang terdiri daripada bangsa Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu. Along tidak yakin samada mereka boleh atau tidak menerima kunjungan peserta bengkel fotografi UKM pada 11-13 Oktober kelak. 
Aktiviti keagamaan di Pulau Sangga


Murid dalam kelas ini hanya lima orang.
Namun ketika tiba di Pulau Sangga kami berpeluang naik ke pulau tersebut yang mempunyai penduduk sekitar 50 keluarga. Saya dan rombongan yang diketuai Hj Ismail Ibrahim dan saudara Kamarul Ariffin seorang Juruvedio. Kamarul boleh berhasa Manderin mampu membuat komunikasi dengan mereka dan memberikan kesan positif kehadiran kami di pulau tersebut.

Di Pulau Sangga kami berpeluang bertemu Guru Besar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina PDay Chee. Murid seramai 29 orang sedang menonton TV Pendidikan semetera guru-guru sedang bermesyuarat dengan Guru Besarnya. Guru Bahasa Melayu seorang berbangsa Cina. Mereka tinggal di sini dan setiap hujung minggu akan pulang bertemu keluarga.


Sekolah mereka diletakkan dalam ketogeri pedalaman namun semangat guru-guru tidak luntur untuk mendidik anak bangsanya. Menurut guru besarnya, ramai anak-anak murid di sini tidak meneruskan pelajaran keperingkat lebih tinggi kerana mereka lebih selesa mencari rezeki menjadi nelayan.

Kuala Sepetang (Port Weld)

Sebut Port Weld ia umpama sebuah pelabuhan terkenal di luar negara. Apabila menyebut Kuala Sepetang ia lebih melambangkan ciri-ciri tempatan. Tambahan ketika saya memberitahu rakan-rakan hendak bertugas di Kuala Sepetang pada 1 September lalu, semua orang akan berkata jangan lupa makan Mi Udang.

Tugu peringatan keretapi pertama di Tanah Melayu bermula tahun 1885
Kuala Sepetang merupakan nama asal bagi Port Weld. Kuala Sepetang adalah nama rasmi yang telah diisytiharkan oleh Kerajaan Negeri Perak. Kuala Sepetang terletak di kuala sungai yang menghadap Selat Melaka di sebelah barat iaitu di negeri Perak dalam daerah Taiping.

Tempat yang berhampiran dengannya ialah Matang, Au Long, Kamunting dan Taiping. Kawasan ini merupakan kawasan paya bakau yang sangat luas. Hutan paya bakau ini diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Matang.

Sepetang merujuk kepada keindahan sinaran merah matahari di ufuk barat. Sinar merah suria di titik horizon Selat Melaka boleh menimbulkan nostalgia kepada sesiapa sahaja yang pernah menikmatinya.

Kuala Sepetang kemudian ditukar nama kepada Port Weld. Menjadi kelaziman pegawai British untuk menamakan sesuatu tempat, bangunan dan jalan raya mengunakan nama sahabat-sahabat mereka dari British. Nama 'Weld' diambil daripada nama Sir Frederick Weld yang telah tiba di Taiping pada tahun 1881 dan meningkatkan kemudahan infrastruktur Taiping sebagai ibu negeri Perak. Ini termasuklah jalan raya, kegiatan industri, perlombongan, bangunan pentadbiran, sekolah dan sebagainya. Nama beliau turut diabadikan pada Jalan Weld Road (Jalan Raja Chulan) di Kuala Lumpur. Upper Weld Road di Singapura dan Weld Quay di Pulau Pinang. Beliau dilahirkan di Bridport, Dorset, England pada 9 Mei 1823 dan meninggal dunia di Chideock, New Zealand pada 20 Julai, 1891.(Wikipedia)



Lokasi Kuala Sepetang menarik kerana kampung nelayannya. terdapat dua bangsa utama yang menghuni di sini iaitu Melayu dan Cina. Malahan apabila ke sana saya mendapati aktiviti penangkapan ikan dan mecari kerang dan hasil laut lain menjadi penyumbang utama kepada negara kita.


Kuala Sepetang menjadi tumpuan utama pelancong kerana ia berhampiran Bandar Taiping (12 km saja). Malahan ia menjadi penyumbang kepada aktiviti pelancongan kerana ada hubung kait dengan sejarah Taiping.

24 Ogos 2010

Program Mobaliti Pelajar UKM 2010

Ketika Program Mobaliti Pelajar UKM yang bermula pada 27 Jun lalu saya hanya dijadualkan untuk membuat rakaman foto di sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur, Muzium Orang Asli di Gombak dan Pulau Carey, Klang sahaja. Namun di saat-saat penjadualan semula, rakan saya Ikhwan tidak dapat menyertai kerjalapangan ke Langkawi kerana adiknya akan melangsungkan perkahwinan. Beliau perlu mengambil alih tugas ayahnya ketika hari kenduri kerana kesihatan kurang memuaskan.

Di Telaga Tujuh Langkawi

Justeru, pada 4hb hingga 9hb Julai saya ke Langkawi  bagi membuat rakaman foto selama enam hari. Ke Langkawi tidak menjadi masalah kerana saya berasal dari Kedah. Apabila kena bertugas ke sana ia unpama balik kampung kerana penduduk Langkawi bertutur dengan menggunakan loghat utara.

Berkumpul di KLIA bersama-sama pelajar sejumlah 80% dari luar negara sudah pasti menjadi tumpuan orang. Farhana Shukur yang menjadi kordinator program ini memerlukan bantuan saya, Shahrul dan Wafiy. Mana tidaknya beliau perlu memegang lebih dua puluh paspot pelajar tersebut. Staff syarikat penerbangan MAS memberikan kerjasama yang baik maka semuanya berjalan lancar. Ketika tiba di Langkawi kerja menjadi lebih mudah apabila beberapa orang pegawai dari LESTARI UKM telah menunggu ketibaan kami seramai empat puluh tiga orang.

Penerangan oleh pegawai Masjid Putrajaya
Program Mobaliti Pelajar UKM 2010 merupakan program kedua yang bermula buat kali pertama pada tahun 2009. UKM mengumpulkan hampir 80 orang pelajar antarabangsa dan UKM.

Program kali ini tidak berbeza dengan program kali pertama tahun lepas. Pelajar dibawa melawat tempat-tempat seperti Telaga Tujuh, Puncak Mat Cincang dengan menaiki kereta kebel dan merentasi hutannya. Manakala Pantai Pasir Tengkorak tidak diterokai seperti tahun lepas kerana air laut sedang pasang. Menariknya pelajar-pelajar dibawa mandi di air terjun Temurun.

Keistimewaan program kali ini ialah dengan menempatkan semua pelajar di Homestay Kampung Sungai Itau. Dengan menempatkan pelajar-pelajar selama dua malam mereka dapat memahami budaya orang-orang di Langkawi. Terdapat beberapa pelajar yang mempu membantu keluarga angkat memasak dan sebagainya.

Bersama keluarga angkat di Langkawi
Disebuah rumah keluarga angkat mereka telah dihidangkan dengan permaianan gendang silat. Saya sempat menikmati beberapa lagu dari paluan gendang tersebut dalam irama melayu dan hindustan.

Pelajar dan keluarga angkat juga telah mengadakan permaian trasional dan program memperkenalkan makanan tradisional melayu iaitu Ketupat pulut daun palas dan Buah Melaka.

Apa yang menarik pada pengamatan saya ialah mengenai layanan keluarga angkat kepada pelajar-pelajar yang menyertai program ini ialah kesungguhan mereka melayan anak-anak angkat walaupun tidak semua boleh berkomunikasi dalam bahawa Inggeris. Namun urusetia menempatkan dalam satu keluarga dengan pelajar tempatan agar masalah perbualan tidak menjadi seperti orang bisu yang hanya menggunakan bahasa isyarat.

Paling menarik ada satu kumpulan pelajar yang ditempatkan di sebuah rumah milik chef di salah satu hotel terkenal di Langkawi. Pelajar-pelajar ini menikmati makanan ala hotel.

Di Taman Negara Pahang (Foto: Ismail Ibrahim)
Langkawi merupakan pulau lagenda yang mempunyai 99 pulau yang boleh dilawati. Justeru dengan membawa pelajar-pelajar melawat sambil mengadakan kuliah outdoor merupakan langkah terbaik bagi pelajar-pelajar dari luar Malaysia. Mereka dapat mengenali Langkawi Geopark yang berusai lebih 100 ribu tahun. Mereka pelajar-pelajar aliran sains dan tidak didedahkan dengan lagenda Mahsuri. Namun terdapat keluarga angkat yang membawa melawat Makam Mahsuri, Beras Terbakar.

Ketika program ini berlangsung terdapat beberapa pelajar yang ingin mengenali Islam. Oleh kerana terdapat seorang pelajar UKM dari Fakulti Pengajian Islam maka beliau telah menerangkan bagaimana orang-orang muslim mengamalkan cara-cara hidup sebagai muslim.

Saya berkesempatan mengikuti program ke Tasik Chini. Walaupun cuma dua hari satu malam di sana, urusetia berjaya memberikan pelajar-pelajar penerangan yang berfaedah bagaimana Malaysia mengguruskan hutan dan kandungan flora dan faunanya.

Prof Dato Dr Mushrifah dan pegawai-pegawainya telah membawa pelajar cara-cara membenihkan pokok Teratai, memberikan penerangan bagaimana pemuliharaan hutan dan sebagainya yang berkaitan dengan forest di Malaysia.

Pelajar-pelajar yang datang dari negara yang tidak terdapat forest melahirkan rasa kagum dan mengambil peluang untuk mempelajari dari kemahiran tenaga pakar UKM.

Budaya Sabah diperkenalkan (Foto oleh Ikhwan Hashim)
Program Mobaliti Pelajar UKM telah tamat. Semua peserta dan urusetia membawa balik kenangan dan ilmu. Namun, saya tidak dapat membuat catatan begi kunjungan mereka ke Taman Negara dan Sabah. Walau apapun pada hemat saya, pelajar telah memperolehi pengalaman yang padat di samping ada yang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu, Sabah dan Puncak Terisik Taman Negara.

Adalah diharapkan dengan pulangnya mereka ke negara masing-masing akan membawa satu pengalaman yang boleh memberikan faedah kepada Malaysia dan UKM. Paling tidak, apa yang saya lihat ramai dikalangan pelajar ini masih berhubungan menerusia Facebook. Tidak mustahil apabila mereka telah tamat pengajian dan memiliki kerjaya, mereka akan datang kembali ke Malaysia.

 Tahniah buat UKM.


Mendaki Gunung Kinabalu (Foto oleh Ikhwan)
Pelajar-pelajar diperkenalkan dengan kain pelikat dan batik

08 Julai 2010

Keluhan seorang pengembara di bumi sendiri

















Malam pertama saya di Hotel Geopark Langkawi yang terletak bersebelahan komplek  "Cable Car"  pada 4 Julai lalu telah dapat menyertai perjumpaan dengan urusetia Program Mobality Pelajar UKM. Ketika sesi memilih lokasi untuk singgah makan tengahari Prof Madya Dr Chek Aziz telah memberi pendapat agar tidak singgah di Pulau Mempelam kerana tandasnya tidak sempurna.

Keesukan hari kami telah mendaki Telaga Tujuh untuk melihat air terjun di situ. Setelah hampir dua jam di sana, kami turun. Ketika turun saya singgah sebentar di tandas. Aduh.... azabnya tuhan sahaja yang tahu kerana tandas yang tidak sempurna. Ketiadaan air menyebabkan tandas tersebut cukup kotor.

Inikah wajah Langkawi yang kita harapkan, sedangkan lokasi Telaga Tujuh menjadi tumpuan pelancong kerana letaknya berhampiran kereta kebel.

Satu lagi tempat yang perlu diadakan tandas awam ialah di jeti untuk melawat Pulau Dayang Bunting.Pada hemat saya kemudahan tandas awam amat perlu diambil perhatian. Biarpun pelancong perlu membayar 50 sen seperti di Pulau Dayang Bunting, namun keselesaan amat diperlukan.

Saya sudah banyak kali ke Langkawi. Namun kemudahan tandas akan menjamin keselesaan pelancong. Saya mengharapkan keadaan ini akan lebih baik di masa akan datang.

- Salam hormat dari Langkawi , 8 Julai 2010.

25 Jun 2010

Akmal terkorban demi adik dan Faris

22 Jun 2010: 



















Lihatlah saat-saat pilu seorang nenek kehilangan cucu.


 Saya menerima pesanan ringkas dari Wan memberitahu anak Azman dan seorang budak lain terjatuh ke Sungai Langat pada pukul 7 malam 21 Jun Isnin. Dua budak lelaki ini belum ditemui kata Wan. Lemah longlai tubuh saya apabila menerima berita itu. 

Selasa 22 Jun saya berada di tebing Sungai Langat yang terletak berhampiran Taman Desa Sentosa. Pasukan Bomba dan Penyelamat telah berada di tempat kejadian sejak malam kejadian lagi.Wakil rakyat DUN Dengkil tiba tidak lama kemudian. Seperti biasa sebagai Jurufoto saya tidak melepaskan kejadian ini berlalu tanpa dirakam oleh kamera. Saya menghubungi Saudara Hayat  Suet dari Utusan Melayu untuk memberikan skop kepada beliau. Tidak lama selepas itu beberapa orang wakil media seperti Berita Harian, Sinar Harian, Nanyang Siang Pau dan TV3 telah tiba.















Hanya yang tinggal tubuh yang sudah bernyawa 

 Saudara Hayat  Jurufoto Utusan tiba ketika mangsa pertama temui sejauh 2 km dari tempat kejadian. Iaitu berhampiran Sekolah Menengah Teknik Sepang dekat Kampung Jenderam Hilir.

Ayah mangsa jiran saya, Azman berlari-lari memberitahu kepada pegawai Bomba dan Penyelamat ditempat kejadian. Waktu itu jam di tangan saya tepat pukul 10.20 pagi. Ini bermakna selepas 15 jam baru mangsa ditemui. 

Azman ditenangkan oleh keluarganya. Dengan bantuan kenderaan pacuan empat roda Azman ke tempat mangsa ditemui. Sebelum itu ibu mangsa sempat bertanyakan khabar anaknya "macam mana anak kita bang?".















Ayah mana yang tidak pilu apabila anak kesayangan terkorban.

 Selang 15 minit mangsa Mohd. Faris Ridzuan Azman, 11 tahun, sampai dengan diusung oleh pasukan penyelamat dan ayahnya Azman. Suasana pilu menyelubungi tempat kejadian. Mangsa telah dibawa oleh orang ramai ke dewan Taman Desa Sentosa dan diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Serdang. Suasana pilu menyelubungi dewan tersebut apabila nenek, datuk mangsa datang untuk melihat keadaan mangsa.

Lebih memilukan apabila ibu mangsa yang belum dijumpai iaitu Muhammad Akmal jatuh pengsan setelah mengetahui mangsa yang ditemui bukan anaknya.

25 Jun 2010: 

Sehingga catatan ini ditulis mangsa yang seorang lagi iaitu Muhammad Akmal bin Muhammad Arshad belum lagi ditemui. Pihak penyelamat mengharapkan mangsa dapat ditemui semalam atau hari ini. Manakala langit di sekitar Bangi mendung. Rumah keluarga mangsa masih ramai sanak saudaranya berkampung menunggu perkhabaran dari sungai.















(Kiri) Adun Dengkil YB Dato' Haji Marsum Bin Paing bersama Azman (berbaju biru)



Ketika saya pulang ke rumah untuk ke masjid bersolat Jumaat, tiga orang rakan sekolah mangsa berada di rumah saya kerana mereka hendak menziarahi keluarga mangsa.

Kejadian kali ini bukanlah yang pertama. Ia adalah kejadian kedua selepas berlaku pada tahun 2005 yang telah meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun. Lebih mengerunkan ia berlaku di tempat sama. Mangsa ditemui setelah 16 hari hilang. Menurut ayah mangsa berbagai usaha telah dilakukan dalam usaha mencari anaknya. Sepatah kata beliau biarlah mangsa ditemui segera kerana jikalau memakan masa yang lama akan menyebabkan berbagai perkara tidak baik seperti perkara syirik dan kurafat dilakukan.

Penduduk Taman Desa Sentosa melahirkan rasa kesal mereka dengan kerja-kerja mengorek pasir yang dilakukan di sungai tersebut. Tahun 2005 mangsa lemas dan terkorban ketika kerja-kerja mengorek pasir dilakukan. Sepatutnya pihak berkenaan meletakan tanda amaran, pengawal untuk memastikan tidak ada orang masuk ke kawasan tersebut.

Kerja-kerja mengorek pasir telah mengakibatkan sungai menjadi dalam. Menurut pegawai penyelamat, anggotanya telah mengukur kedalaman sungai di tempat kejadian ialah hampir 3 meter.

Kanak-kanak mungkin sukar dihalang menghampiri sungai, namun dengan adanya pengawal keselamatan sudah tentu kanak-kanak boleh halang menghampiri tempat merbahaya itu.

Namun menurut Ustaz Fauzi Pengerusi Penduduk Taman Desa Sentosa, walau apa pun alasan, kerja-kerja mengorek pasir tidak harus dilakukan berhampiran kawasan perumahan. Kesannya pada taman amat merbahaya.

Saya dan penduduk tidak mahu lagi kejadian seperti ini berlaku lagi. Saya juga menyeru penduduk-penduduk yang membaca catatan ini agar mengawasi anak-anak dan cucu-cucu anda dari mendekati sungai puaka ini agar tidak berlaku insiden ketiga kerana kita kuatir inseden ketiga akan lebih parah. 

Kalau menurut kisah yang diceritakan oleh saksi, Akmal sempat menyelamatkan adiknya. Selepas menyelamatkan adiknya Akmal terjun menyelamatkan rakannya Mohd Faris. Namun takdir menentukan adiknya selamat dan Akmal hilang ke dalam sungai sehingga hari ini.

Akmal remaja yang pendiam, baik. Berusia 16 tahun bersekolah satu kelas dengan anak saya di Sekolah Menengah Presint 14 (1). Saya tidak pernah mendengar kisah nakal/jahat Akmal ketika di sekolah. Malahan di taman ketika dia bermain bersama-sama kawan Akmal merupakan remaja lebih lebih senior jika dibandingkan dengan remaja atau kanak-kanak lagi.

Saya pernah memarahi kumpulan remaja inim ketika mendapati mereka agak over bermain mercun atau bunga api ketika menjelang hari raya. Namun Akmal dan rakan-rakannya tidak pernah berdendam dengan saya. Malahan di hari raya mereka menziarahi rumah saya. Itulah remaja bernama Akmal yang saya kenal.

Namun Akmal masih belum dapat ditemui setelah menyelamatkan adiknya dari lemas. Selepas menyelamatkan adiknya dia cuba menyelamatkan rakan adiknya Mohd Faris, akhirnya dia juga turut lemas.

Saya tidak mahu Sungai Langat berhampiran Teman Desa Sentosa menjadi sungai dalam kisah filem melayu berjudul Patung Cendana yang akan meragut nyawa tanpa belas kasihan.

Tempat kejadian




Antara wang dan nyawa orang awam!

Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...