Selepas Lima Tahun Kita Bersara

| Kesihatan Dan Wang Selepas Bersara| Setelah Anda Bersara|


Ketika sampai tarikh bersara kita akan melahirkan rasa syukur tidak terhingga. Tidak kisah kita bersara sebagai penjawat awam atau swasta. Malah ada juga usahawan akan mengambil keputusan bersara apabila tiba masanya.

Dalam artikel ini saya ingin menyentuh bersara sebagai penjawat awam dan swasta. Dengan kata lain anda bersara sebagai kakitangan yang makan gaji.

Persaraan yang kita ketahui pada masa kini tidak wujud sehingga lebih kurang 200 tahun dahulu. Sebelum Zaman Perindustrian bermula di Eropah dalam tahun 1700an. -@Azizi Ali, Buku Pesara Jutawan.

Di Malaysia kini menjadi trend apabila ada kakitangan awam yang bersara awal sebelum sampai tarikh bersara wajib (option). Ada kakitangan yang bersara ketika usia 55 tahun, 58 tahun. Malah ada yang lebih awal. Lebih-lebih lagi jika kakitangan awam telah mencapai tempuh perkhidmatan selama 30 tahun. 

Mereka akan memperolehi jumlah pencen bulan sebanyak 60% dari gaji terakhir. Disamping itu mereka akan mendapat wang pampasan mengikut jumlah perkhidmatan dan gaji akhir. Jika kakitangan awam tidak mencapai masa perkhidmatan beliau kena tunggu usia 55 tahun baru wang persaraan bulanan dibayar.

Bagi kakitangan swasta mereka akan bersara tetapi tiada wang pencen bulanan. Namun mereka akan mendapat wang dari simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Jumlahnya mengikut berapa lama mereka mencarum atau mengikut pengeluaran yang dikeluarkan pada masa-masa tertentu. Kakitangan swasta ada yang bersara secara sukarela dan akan dibayar wang pampasan. Jumlah mengikut kiraan syarikat mereka bekerja.

Untuk memudahkan ahli KWSP membuat persediaan bagi menghadapi persaraan yang lebih selesa, KWSP membenarkan pengeluaran penuh atau sebahagian dari simpanan untuk memenuhi keperluan tertentu berhubung kait dengan persaraan selari dengan polisi KWSP sedia ada.(laman web KWSP https://www.kwsp.gov.my/ms/member/withdrawals).

Jumlah terkumpul mengikut gaji seseorang ia berdasarkan caruman 11% oleh pekerja, majikan 12% bagi pekerja bergaji RM5000 ke bawah dan 13% pekerja yang bergaji RM5000 ke bawah.

Baik, selepas bersara kebanyakan kita akan bebas dari rutin kerja, undang-undang tempat kerja. Malah sudah tidak risau bila mendengar perkataan SPRM. Kerana semasa bekerja sudah tentu risiko penyelewengan boleh berlaku. Tahniah kepada anda yang bersara dengan meninggalkan kerjaya tanpa membuat apa-apa kesalahan. Tapi mengikut rekod jika kes terdapat juga individu yang akan didakwa dengan kes-kes lama. 

Dalam artikel ini saya tidak mahu menyentuh semasa berkhidmat. Jika kita bersih maka Allah akan memberi rahmat yang tidak terhingga kepada kita hasil rezeki yang halal. Jika ada kesalahan kecil-kecil misalnya kita melayan pelanggan tidak adil atau mencuri masa yang tidak sepatutnya buatlah solat taubat bagi yang muslim.

Apa yang sepatutnya kita lakukan selepas melepasi tarikh bersara? Sebenarnya tidaklah banyak kecuali bagi mereka yang bercita-cita besar untuk kaya. Namun perjuangan untuk kaya tidak lagi boleh direalisikan lagi setelah berusia 60an. Sebab usia 60an bagi seorang muslim ialah masa untuk bersedia bertemu Allah. Ingat Rasulullah SAW wafat ketika berusia 63 tahun.

Sebab itu saya gunakan tajuk artikal ini selepas lima tahun bersara di mana sudah pasti usia 65 yang melebihi usia kewafatan Rasulullah SAW. Amat malang jika jika diusia 65 ke atas kita masih bangun pagi sebelum Subuh dan mengejar masa jam 8 atau 9 pagi untuk bekerja. Lebih malang jika di usia ini kita berjaga malam untuk bekerja mencari sesuap nasi.

Bagaimana anda mengurus wang bulanan bersara, wang pampasan dan KWSP itu mengikut kaedah anda sendiri. Pendapatan anda bukan banyak lagi jika di kira dari jumlah  60% dari gaji akhir. Jika dulu gaji akhir RM6000 kini hanya tinggal RM3,600 sahaja.

Anda mungkin bernasib baik jika hutang rumah, kenderaan telah tiada. Sesetengah orang bernasib baik jika beringat beli rumah untuk buat sewa, ada tanah untuk pertanian. Anda yang beringat mungkin semasa bekerja membenarkan isteri berniaga dan selepas bersara anda membantu isteri. 

Ingat kesihatan bagaimana mana? Jika sebelum bersara sudah makan ubat deabetes, darah tinggi, jantung maka penyakit itu akan diwarisi sehingga bersara. Malah akan lebih kronik jika tidak dikawal dengan betul. Tidak semua orang boleh elak penyakit  kecuali anda yang bernasib baik diusia 60an masih sihat namun selepas usia 70an kita tidak tahu bagaimana lagi.



Kewangan:

Saya khususkan topik dengan menyentuh soal kewangan. Kerana ianya adalah perkara yang akan dinilai samada anda jadi senang atau miskin selepas bersara. 

Statistik menyatakan bahawa 85$ hinggn 90% orang pencen menjadi miskin selepas 2 hingga 3 tahun bersara.(Wan Roslan Wan Salleh-Buku Kuasai Tabiat Orang Kaya).

Ke mana wang mereka pergi? Kita tidak pasti kerana ianya menjadi rahsia peribadi. Tidak semua orang akan menceritakan rahsia itu. Antara yang boleh terjadi ialah:

1. Hidup di luar kemampuan.

2. Tidak menyimpan atau melabur di tempat yang sah. Misalnya terpengaruh skim cepat kaya dan seumpamanya.

3. Berniaga dengan rakan kongsi yang menipu atau tidak pandai mengurus wang.

4. Melancong secara keterlaluan. Walaupun melancong atau bermusafir itu digalakkan dalam Islam tapi harus berpada-pada.

5. Terlalu mengikut kehendak pasangan hidup dan anak-anak serta cucu-cucu. Misalnya tanggungjawab membeli kenderaan terletak pada ibu ayah tetapi atuk atau nenek yang menanggungnya.

6. Membesarkan rumah secara keterlaluan sedang rumah yang ada sudah cukup besarnya. Begitu juga ada yang membeli rumah baharu sedangkan rumah lama masih cantik. Kecuali jika wang digunakan untuk membaiki rumah.

7. Terpaksa membayar hutang yang dibuat dengan orang lain semasa masih bekerja dalu. Sepatutnya hutang itu dibayar semasa masih bergaji penuh.

8. Kawin lagi (poligami). Kecuali berkahwin kerana isteri awal telah meninggal. Isteri baharu boleh mengisi kesepian setelah anak-anak berumahtangga.

9. Mengidap penyakit kronik seperti jantung, barah, buah pinggang yang memerlukan wang untuk keperluan ubat dan alat sokongan kesihatan. Bagi pesara kerajaan memang ada bantaun skim perubatan namun peralatan seperti kerusi roda, katil pesakit, tongkat, alat untuk digunakan di tandas semua ini perlu disediakan oleh kita.

Bagaimana untuk menjaga wang kita? Ianya memang sukar. Ini pengalaman penulis sendiri yang bersara sebagai pesara bukan taraf pegawai. Hasil ajaran dalam agama Islam maka penulis ingin berkongsi apa yang boleh diikuti.

1. Dapat sahaja wang pampasan atau KWSP bayar zakat mengikut kaulnya. Rujuk dengan pusat zakat jika kita kurang arif.

2. Lazimkan membuat wakaf. Misalnya buat wakaf di masjid-masjid yang sedang dibina. Di Selangor wakaflah di Perbadanan Wakaf Selangor.

3. Amalkan bersedekah di masa-masa yang mustajab. Misalnya sedekah Subuh, sedekah hari Jumaat, sedekah di bulan Ramadan. Banyak lagi misalnya di rumah orang-orang tua, sekolah tahfiz, rumah anak-anak yatim. Bersedekahlah kepada keluarga terdekat kita yang miskin.

4. Pergi tunaikan umrah dengan mengikut kemampuan. Ada orang mampu setahun sekali.

5. Berusaha untuk menunaikan fardu haji. Jika telah mendaftar selepas lima tahun maka kita layak merayu. Kita boleh pergi dengan pakej dengan syarikat yang mendapat lesen haji daripada Tabung Haji. Gunakan wang pampasan atau KWSP. Usah risau walaupun anda keluar dalam jumlah yang banyak Allah akan menggantikan di kemudian hari.

Kegiatan Orong Bersara:

1. Selepas bersara rancang aktiviti yang berfaedah. Selain menunai solat secara berjemaah di masjid atau surau, jadilah orang yang aktif dalam persatuan, kelab dan sebagainya. Gunakan pengalaman kita semasa bekerja dulu sebagai batu loncatan untuk aktif.

2. Tidak perlu berniaga secara besar-besaran jika perlu membuka gerai menjual nasi lemak di pagi hari itu adalah lebih baik.

3. Begitu juga jika perlu menjaga cucu jagalah dalam konsep hanya membantu tanpa membebankan masa tua kita.

4. Gunakan masa bersara untuk mengikuti pegajian kitab agama dan Quran. Lazimkan membaca Quran setiap hari. Membaca buku-buku juga membantu melambat penuan selain besenaman. 

5. Jika masih sihat lakukan hubungan silatulrahim dengan keluarga yang sudah lama terpisah. Insya-Allah adalah jalan masuk Syurga.

Sebenarnya apa yang kita lakukan selepas bersara seperti kita semasa kanak-kanak dulu, kita bangun dan berlari tanpa bantuan orang lain. Kita lakukan secara semulajadi dengan panduan Allah menerusi otak kita.

Masa kita di alam ini selepas usia 60an sebenarnya panjang. Ada yang masih hidup pada usia 70an, 80an dan 90an. Namun bersedialah kita kerana kita mungkin dijemput oleh Allah pada bila-bila masa selepas usia 60an. Penulis ada ramai kawan-kawan meninggal dunia selepas usia 60 tahun. Perbanyakkan amal ibadat. Kurangkan cintai dunia. Bersedia dengan bekalan akhirat.

Kita mungkin mengharapkan meninggal dunia di Mekah atau Madinah. Namun seandainya itu tidak kesampaian maka masa yang masih ada selepas balik dari Tanah Suci gunalah untuk menyampaikan dakwah dengan cara kita sendiri. Paling tidak untuk anak-anak dan menantu serta isteri. Lebih menarik jika kita boleh mengajar di masjid atau surau dengan tauliah yang diberikan oleh Jabatan Agama Islam.

Pengalaman Penulis:

Penulis bersara dari perkhidamatan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Jurufoto namun tidak mengamalkan lagi bidang itu setelah Covid-19 melanda dunia. Kerana keterbatasan pergerakan, penulis meneruskan menulis di web, blog dan menulis buku.

Sejak tahun 2020 penulis dengan kerja keras telah menulis dua buah buku ia itu Travelo Haji Antara Doa dan Air Mata diterbitkan pada 2021 cetakan kedua 2022. Sebuah lagi ialah Memoir Aku Seorang Jurufoto diterbitkan pada tahun 2023.

Kini penulis meneruskan rutin mingguan tiga kali seminggu membuat rawatan Dialisis. Keterbatasan pergerakan membuat penulis menumpukan hanya aktiviti di rumah sahaja. Alhamdulillah.



Sila tempah buku saya di https://bukuraai.blogspot.com/




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Empat Jam Dalam Bilik Bedah

Boria dan Dikir Barat