06 Disember 2019

Arahan Doktor Pada 6 Disember 2019

6 Disember 2019 saya isteri dan puteri bongsu keuar seawal jam 6.30 pagi ke Hospital  Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM)/PPUKM. Saya ada temujanji klinik hati. Kami keluar awal sebab merancang selepas siap temujanji dengan doktor akan bergerak ke Utara nak balik ziarah saudara mara dan kawan-kawan di sana.

 Saya lega sebab nombor giliran saya naik cepat. Doktor terus bersuara dalam keadaan serius, "Encik U ada pernah jumpa doktor Nefro?". Saya jawab ringkas; "Ada...." Doktor menyambung lagi bahawa Buah Pinggang saya semakin lemah. Cretianen 1,000 lebih ulas doktor.


Doktor terus menghubungi klinik pakar Nefro. Doktor di sana meminta saya naik ke wad 6F. Nanti saya buat surat lampiran kata doktor tersebut.

Saya naik ke tingkat 6 HCTM dan bertemu Nurse. Mereka mengambil darah saya dan minta datang semula selepas solat Jumaat. Seperti yang diminta selepas solat Jumaat di surau HCTM saya kembali ke wad 6F bertemu doktor dan memberitahu keputusan ujian darah telah diperolehi.

Diringkaskan cerita selepas solat Asar sekitar jam 5 petang saya menjalani proses IJC dengan memasukkan tiub menerusi dada kanan. Lama jugalah proses ini dilakukan oleh doktor pakar.

Jam 7.30 malam saya dibawa ke bilik Homodyalisis HCTM. Jam 8 malam proses cuci darah berlaku untuk selama 2 jam. Bermulalah kehidupan baharu saya sebagai pesakit Buah Pinggang. Anda kena baca kronori perjalanan hidup saya setelah mendapati Buah Pinggang saya rosak.

Sila baca di tajuk Haji: Doa dan Air Mata dan satu lagi tajuk Ketika Saya Sakit . Di sana saya catatkan kisah penyakit yang dilalui sejak tahun 2014.

Jika anda telah membaca semua itu maka saya ingin mengharapkan agar anda tidak menyamakan masalah saya dengan sesiapa. Jika anda membaca kejayaan saya menunaikan haji jangan jadikan kes saya untuk membuat rayuan dan menjadikan kes saya sebagai rujukan. Usah pula memberitahu Tabung Haji ada orang berjaya pergi menunaikan haji walaupun pesakit Buah Pinggang.

Saya menunaikan haji sebelum membuat proses Dyalisis. Saya ke Tanah Suci ketika saya belum membuat Pestula. Saya masih menganggap kehadiran di Tanah Suci betul-betul kerana jemputan Allah.

6, 8 dan 10 Disember 2019 adalah tarikh dimana setelah genap tiga bulan pulang dari menunaikan haji. Tarikh ini juga mengambil kira tarikh wukuf pada 9 Ogos 2019 genap empat bulan. Saya akur dengan kehendak takdir dan saya juga telah berjanji kepada Allah setiap kali berdoa kepada-Nya.

Walaupun hakikatnya ketika menunaikan segala rukun umrah dan haji tenaga saya berkurangan namun dengan doa dan izin Allah telah menolong saya.

Saya meneruskan Dyalisis di sebuah pusat Homodyalisis Bandar Baru Bangi setiap Isnin, Rabu dan Jumaat. Jadual kehidupan saya kini perlu berada di Pusat Dyalisis setiap hari tersebut jam 6.30 hingga 11.00 pagi. Saya redho sebab telah bersedia sejak tahun 2014.

Walaupun anda yang mengenali saya secara dekat tidak tahu derita ini. tambahan ketika masih bekerjaya dulu. Malah dua bulan selepas saya menjalani pembedahan besar Buah Pinggang dengan 6 jam dibius, saya telah menerima tugasan ke Kemboja. Saya juga menerima tugasan ke Jakarta empat bulan selepas itu. 

Malah ketika saya dibedah pada tahun 2016, sehari selepas itu telah dianugerahkan Anugerah Bitara oleh Universiti Kebangsaan Malaysia bagi ketogeri individu. Banyak anugerah saya cipta dalam derita tak semua orang tahu. Di pejabat rakan-rakan tidak pernah melihat kemurungan saya. Malah, rakan sepejabat adalah orang-orang yang membantu mengubat kemurungan saya.

Kepada isteri, anak-anak dan menantu mereka adalah rakan yang cukup membantu menguatkan semangat saya. Saya mampu melawan semua ini sebab saya telah melalui segala kesusahan sejak berusia 11 tahun. Saya juga pernah menjaga seorang ibu yang mengidap penyakit Leukimia. Malah isteri saya juga mengidap penyakit yang harus saya rahsiakan.

Inshallah saya akan teruskan semua proses Dyalisis ini yang telah dinotakan oleh doktor bagi tempuh seumur hidup. Ada seorang rakan Facebook pernah menulis kepada saya "Adakah proses Dyalisis tak jadi buat selepas balik dari menunai haji? Mana tahu doa tuan di Arafah telah dimakbulkan?"

Bagi saya ketika diarah membuat cuci darah tidak timbul sangkaan buruk terhadap Allah. Kalau saya kena cuci darah bukan bermakna doa-doa di Arafah, depan Baitullah dan di mana saja tidak makbul. Saya beranggapan Allah tetap akan memberikan yang terbaik walaupun kini terpaksa melawan derita batin, sakit tangan dan anggota lain. Alhamdulillah segala derita ini saya lalui kerana saya percaya setiap penyakit ada ubatnya.

Saya ada menulis di FB pada 7 Januari 2020 yang berbunyi "Jika kita telah didapati ada tanda-tanda awal penyakit seperti Darah Tinggi, Kencing Manis Jantung dan sebagainya maka harus bersedia dalam jangkamasa 4 hingga 10 tahun kemungkinan terjadi lebih serius.
Buat pemeriksaan ikut arahan doktor. Belajar menghadapi kenyataan. Ubah gaya hidup. Kuatkan semangat dengan bersedia menempuh situasi lebih serius.
Kebiasaannya penyakit fizikal tidak seteruk mana tapi kawalan emosi harus kuat.
Ingat! Ujian kesakitan tidak sama dengan orang lain. Allah tak uji jika kita tak mampu. Namun Allah tetap menguji untuk menguatkan daya tahan kita. Mungkin ujian di dunia lebih teruk tetapi di akhirat kita mendapat keringanan kerana redho dengan ujian Allah.
Selalulah anggap ujian itu anugerah Allah yang orang lain tidak dapat. Orang yang tak sakit tak pernah mengerti makna penyakit itu penghapus dosa tetapi sebelum jatuh sakit belajarlah bertaubat untuk menghapus dosa.
Kita telah bersedia?"


Biar saya meneruskan proses merawat penyakit saya. Inshaallah jika saya ada masa, saya akan terus menulis bagi memberi panduan agar orang lain sihat. Sayangi Buah Pinggang Kita. Ketika meneruskan kehidupan ini yang saya tak pasti sampai bila? pastinya jika ada catatan pun hanyalah pengalaman boleh dikongsi bersama.
Terima kasih kepada keluarga (isteri,anak-anak dan menantu) yang banyak menyokong saya. Terima kasih kepada yang menziarahi saya. Malah ada Hero Yang Tidak Saya Dendang sering menziarahi saya sejak tahun 2015 hingga kini. Ada sahabat yang lebih dari saudara kandung mendekati saya sejak lama.  
Rakan-rakan FB yang mendoakan buat saya, Like status saya. Anda yang sudi membaca setiap catatan saya. 

Saya sering berpegang pada prinsip "Doktor dan petugas perubatan hanya hamba Allah yang jujur merawat saya. Yang akan menyembuhkan saya dan semua orang hanyalah Allah".

28 Disember 2019

Sebenarnya malam tadi dah stabil. Selepas doktor berusaha tebuk leher kanan saya gagal saya dah mula cemas. Masalahnya apa dia sembang saya faham kecuali istilah perubatan. Tak apa doktor buat? Mereka berusaha yang sebelah kiri. Ayat paling Win doktor kata ok saya cucuk ubat tahan sakit ye....lepas itu gilu je masuk tiub 16cm. Takpalah tiub ke Buah Pinggang lagi panjang 36cm. Syusssss masuk. Syittt terasalah pedih. Selesai setelah sejam saya bangun macam orang mamai. Alaaah prosesnya macam jumpa doktor gigi je. Malam buat Dialisis. Suuup dapat buat 2 jam 20 minit saya pening. Misi call doktor kemudian dia stop cuci darah. Sepanjang malam tadi saya tidur lena teringat macam-macam. Pesan saya jagalah Buah Pinggang. Jangan banyak makan makanan proses. Jangan banyak minum manis. *Gambar sekadar hiasan

27 November 2019

Saya Manusia Yang Lemah


Acik Mah banyak membantu kerjaya saya
Subuh 26 November 2019 saya telah menulis di halaman Facebook " Saya akan meninggalkan dunia fotografi" Bergegar wall FB dengan reaksi rakan-rakan termasuk mereka yang tidak pernah saya kenali di alam nyata.

Amy Anissah adalah orang pertama memberikan reaksi terkejut. Saya tak tahu apakah waktu beliau sedang berada di corong radio atau tidak kerana Amy adalah DJ radio yang pernah menjadi pelajar saya suatu masa dulu.

Saya menangis sebenarnya selepas itu tanpa diketahui oleh sesiapa. Saya pegang telefon pintar dengan lenangan air mata sambil berbisik, "sudah sampai masanya aku pergi dari dunia fotografi yang telah banyak meninggalkan rezeki".

Saya ingin menghabiskan sisa-sisa usia dengan isteri tercinta

Fotografi juga telah mengkayakan saya sehingga telah berjaya membawa saya dan keluarga menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebanyak tiga kali. Fotografi pernah membawa saya menjelajah ke beberapa tempat di dunia ini secara percuma.

Buku teman saya
Bukan kerana saya telah menunaikan haji membuatkan tindakan ini. Bukan. Malah saya masih berkata bidang fotografi yang saya ceburi tidak mengadunkan unsur-unsur haram. Malahan jika dilihat ustaz Azhar Idrus sendiri meminati fotografi.

Fotografi saya pelajari sejak tahun 1977. Hujung tahun 1977 saya tamat belajar. Saya memulakan kerjaya dalam bidang fotografi adalah pada 5 November 1979. Mengejutkan apabila saya membuat keputusan meninggalkan fotografi adalah pada 26 November. 

Tarikh-tarikh ini terjadi setahun selepas balik dari menunaikan umrah. Manakala itu ia akan genap tiga bulan balik dari menunaikan haji. Percayalah keputusan ini telah saya pertimbangkan sejak setahun lalu selepas bersara dari UKM. Lebih mendalam ketika saya berada di Tanah Suci. Hasrat meninggalkan dunia fotografi semakin hebat.

Kesihatan saya semakin menurun. Lihatlah catatan saya mengenai haji untuk mengetahui tahap kesihatan sayang. Sila klik Haji Doa dan Air Mata

Selain itu mata saya semakin kurang jelas kini. Mata yang banyak menghasilkan gambar-gambar selama ini tinggal sebelah sahaja yang boleh digunakan. Saya menangis tak siapa tahu setiap kali mengenangkan nasib mata saya. Saya hanya mampu melihat menggunakan sebelah kanan. Saya mengidap masalah mata bocor yang istilah sebagai PCB. Saya redho.

Izinkan saya berehat dengan menumpukan masa  bersara dengan aktiviti keagamaan. Saya akan teruskan aktiviti ziarah keluarga selaku terdaya. Terlalu sukar saya mengalami semua ini namun Allah telah menentukan keselesaan hidup saya telah sampai hadnya.

Izinkan saya memenuhi hasrat arwah ayah untuk melihat menjadi 'orang pondok'. Malah tidak mustahil jika saya ke arah itu. 

Walau bagaimana pun saya harap kepada sesiapa yang telah belajar ilmu foto dengan saya akan terus mengamalkan secara halal.


Mereka tetap dalam kenangan saya.



05 November 2019

Kisah Jiran Dan Anak Kecil

Kisah tadika swasta berjiran dengan seseorang. Kanak-kanak tadika ni sering jadi mangsa misalnya disiram air ketika berada dipinggir pagar.

Jiran ni marah katanya bising. Biasalah antara aktiviti mereka bersolat, berdoa, berselawat dan sebagainya. Berbagai provokasi dibuat seolah-olah nak suruh tutup tadika ini.

 Suatu masa jiran ini telah meninggal dunia. Ketika diberitahu oleh guru mereka, anak-anak ini spontan terdiam. Mereka membaca Al Fatihah untuk arwah.

 Beruntung arwah kerana kematian dihidangkan dengan doa oleh anak-anak kecil masih bersih walaupun semasa hidupnya anak-anak ini dianggap mengganggu hidupnya.

 Innalillahiwainnailaihirojiun. Al Fatihah.


01 November 2019

Selamatkah Bidang Kerjaya Kita?

Ada masa kerjaya kita nampak hebat.
Oleh: Haji Abd Raai bin Osman.

Ketika beberapa orang rakan saya kena 'buang kerja' terasa sedih juga mengenangkan nasib mereka. Ketika saya diberitahu tempat kerja anak saya akan ditutup terasa gelap juga mata mengenangkan masa depannya. Cuma selepas itu saya gembira kerana anak saya ditawarkan bekerja di pejabat induknya.

Fenomena menutup beberapa agensi dan jabatan membuatkan saya terfikir data yang dikeluarkan mengatakan menjelang 2022, dianggarkan 133 juta jenis pekerjaan di dunia akan berubah menjadi pekerjaan baharu manakala 75 juta lagi akan pupus akibat perkembangan teknologi. 

Hal ini tidak menghairankan kerana sejak saya bekerja 40 dulu, banyak jawatan-jawatan telah dijumudkan atau hapus. Malah dikalangan perancang kerjaya telah memikirkan nama-nama baharu kepada beberapa kerjaya dengan mengharapkan berlaku pekerja yang multitalskin. 

Pengarah Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA) Wan Zulkfli Wan Setapa berkata, dapatan itu menunjukkan 10 pekerjaan terbaharu bakal mengambil alih pasaran kerja dunia menggantikan 10 lagi pekerjaan semasa atau bakal pupus.
“Pekerjaan baharu ini merujuk kepada kerja sedia ada dan akan menjadi pekerjaan kritikal atau penting pada masa hadapan manakala pekerjaan pupus merujuk kepada kerja semasa tetapi permintaan atau kepentingan semakin berkurangan.




“Kebanyakan pekerjaan bakal pupus membabitkan kerja rutin seperti perkeranian, pentadbiran serta pekerja pemasangan dan kilang merangkumi kerani kemasukan data, setiausaha eksekutif, akauntan dan juruaudit.
“Pekerjaan yang bakal mengambil alih pasaran pula adalah jenis kerja berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI), digital, robotik dan teknologi baharu.
“Kesan dan trend ini akan dilalui semua rantaian pasaran kerja dunia bukan hanya di Malaysia saja,” katanya. (Rujukan:Metro)
Buat masa ini hasil pemerhatian saya, banyak syarkat gergasi mengubah haluan. Antaranya tutup kedai, kurangkan pekerja. Justeru itu kita dapat melihat beberapa gedung perniagaan yang hanya membuat kaunter pembayaran dari empat menjadi dua sahaja.
Begitu juga ada jawatan yang tidak diganti dengan orang baru. Jabatan hanya mengekalkan jumlah kakitangannya walaupun amat perit untuk ditanggung. Namun dengan cara begini kos pembayaran gaji akan dapat dikurangkan dengan banyak juga.

Apa tindakan kita sebagai pekerja:

Sebagai pekerja kita tidak mampu berbuat apa-apa kecuali redho dengan apa yang berlaku! Kita tidak mungkin boleh protes bila berlaku. 
Antara perkara-perkara yang boleh kita bersedia ialah;
  1. Tingkatkan pendidikan peribadi kita. Belajarlah setinggi mana yang mampu.
  2. Mantapkan kemahiran diri. Ambil kursus-kursus tambahan dalam bidang kerjaya atau yang ada kaitan.
  3. Bina personaliti yang hebat. Bangunkan krisma yang ada dalam diri sendiri.
  4. Bersedia untuk mampu bekerja dalam beberapa bidang walaupun kita tak minat.
  5. Bersedia hidup berjimat dengan menabung, mana tau kalau kena 'buang kerja' ada modal untuk berniaga kecil-kecilan atau bertani.
  6. Kena bersedia jika berlaku 'turun pangkat'
Merancang pengajian anak-anak:


Merancang pengajian anak-anak juga penting. Misalnya banyak program pengajian di IPT telah ditutup. Tidak semua pengajian yang releven lagi untuk masa depan. Misalnya dalam bidang IT, suatu masa dulu terkenal kini tidak berlaku permintaan yang tinggi lagi. Ada bidang yang hapus setelah muncul teknologi terkini.
Misalnya di plaza tol, oleh kerana sistem kad Touch n Go telah ada maka Jurutol telah tiada. Belum lagi isu menamatkan pungutan toll, ia sudah pasti akan mengurangkan tenaga kerja. Malah jika majlis perbandaran menggunakan mesin pembersih, sudah pasti jawatan tukang sapu akan hapus.
Saya sering mencadangkan kepada rakan-rakan semasa bekerja dulu untuk meningkatkan kemahiran, ilmu dan sebagainya. Misalnya 40 tahun dulu proses fotografi secara menual, proses dan cetak gambar. Namun di akhir-akhir perkhidmatan teknologi fotografi telah berubah begitu hebat.
Lebih menakjubkan ada pengajian yang tidak memerlukan bilik kuliah. Teknologi alam maya mampu memberi kuliah kepada para pelajar. Kita sudah bersedia?

15 September 2019

Haji: Doa Dan Air Mata

Sila baca selanjutnya di Haji: Doa dan Air Mata

Ketika balik dari melontar di Mina
Haji ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Makkah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tetentu menurut syarat-syaratnya.

Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim yang mukallaf. Hukumnya wajib sekali seumur hidup apabila memenuhi syarat-syaratnya. Setiap muslim mestilah berazam untuk menunaikan ibadat haji dan sentiasa berusaha untuk melaksanakan perintah Allah tersebut. Haji merupakan rukun Islam yang kelima. (petikan buku Figh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah-Tabung Haji 2018

Menyedari semua itu saya terus berazam untuk menunaikan fardu haji. Sering berdoa agar Allah menjemput saya menjadi tetamu-Nya. Wang bukan ukuran kemampuan kita tetapi jemputan Allah itu amat mustahak untuk dinilai.

Namun, berdasarkan catatan dibawah maka saya dengan jujurnya berkata perjalanan haji saya bukanlah semudah menyimpan wang.

Detik-detik rayuan saya dengan Allah:

12 Mac 2019 merupakan tarikh yang tidak dapat saya lupakan sepanjang hayat apabila doktor mencadangkan saya menghadiri sesi kaunseling untuk memasang tapak bagi proses Dyalisis. Lemah longlai jadinya. Ketika saya memberitahu isteri perkara ini kelihatan wajahnya berubah.

13 Mac 2019 saya hadir sesi kaunseling bersama isteri. Terdapat ramai pesakit dan keluarga mereka ikut serta. Rupanya itulah penamat kehidupan yang selesa kami! Kami diterangkan oleh pasukan Jururawat Hospital Canselor Tuanku Mukhriz ( HCTM/PPUKM ) beberapa kaedah Dyalisis yang boleh dipilih.

  • Pertama ialah pemindahan Buah Pinggang
  • Kedua ialah proses Dyalisis Air menggunakan mesin
  • Ketiga Dyalisis Air menggunakan Air tetapi kaedah manual
  • Keempat ialah Dyalisis Darah di Pusat Dyalisis.
Saya belum membuat pilihan yang mana satu. Namun borang untuk proses scan urat telah saya hantar ke Pusat Endoscopy HCTM/PPUKM . Petugas di situ telah menetapkan pada 9 April untuk membuat scan urat.

Sepanjang tempuh itu saya jadi mamai. Fikiran kusut dan perasaan mudah marah. Tapi saya cuba kawal emosi agar tidak menjadi lebih parah. Saya memujuk hati agar tidak terus gundah gulana. Isteri dan anak menantu memberi semangat.

Allah memberikan kekuatan apabila saya mampu bangun untuk menunaikan solat Tahajut. Allah memberikan masa untuk saya bersolat Duha. Kekuatan inilah yang telah saya usaha sejak menghadapi masalah kesihatan sejak 2000 hingga kini. Malah ia lebih diharapkan akan pulih kerana saya dalam perancangan menunaikan fardu haji.

Perasaan tertekan tidak dapat disembunyikan lagi malah ia lebih hebat jika dibandingkan dengan apa yang aku alami ketika hendak dibedah pada tahun 2015,2016,2017. Lihat tajuk yang berkaitan di Ya Allah Panjangkan Usiaku

Ketika berkunjung ke rumah kakak saya di Kluang pada 23 Mac 2019 dia agak terkejut setelah diberitahu saya akan membuat Dyalisis.


9 April 2019, hujan turun dengan lebat di Bangi. Ia seolah-olah mengiringi perasaan pilu saya pagi itu yang akan menyerahkan tubuh untuk dipasang tapak Dyalesis. Saya dan isteri masuk ke Pusat Endoscopy dengan wajah tidak ceria. Pesakit ramai.

Selang tak lama namuku dipanggil. Saya masuk untuk mengadap petugas di situ. Petugas di situ memulakan scan di tangan kiri kemudian beraleh ke tangan kanan. Entah apa takdir yang Allah turunkan tugas mencari urat kat tangan saya gagal. Saya diberi tarikh baru iaitu 2 Julai 2019.

Tidak semena-mena Allah memberi ilham kepada saya untuk meneruskan proses menunaikan fardu haji! Petang itu juga kami ke sebuah agensi yang menguruskan pakej haji. Setelah mendapat harga pakej dan mengambil borang kami balik.

Satu lagi urusan ialah apabila pegawai sebuah agensi pakej haji sedang menghantar mesej ke Whatsap saya. Entah bagaimana petang itu saya membuat keputusan untuk mendaftar dengan Felda Travel. Haji Mohd Azahari mencadangkan saya daftar segera jika berminat kerana esok, 10 April adalah tarikh tutup.

Pemandangan di Mina
10 April 2019, Balai Felda Jalan Gurney Kuala Lumpur. Saya dan isteri tiba di tingkat 4 untuk bertemu Haji Mohd Azahari. Memang kuasa Allah, tengahari itu dengan sahnya kami telah mendaftar sebagai jemaah haji kerana mengikut peraturan Tabung Haji sesiapa yang mendaftar pada tahun 2014 ke bawah layak menunaikan haji menerusi pakej jika mereka mampu.

Kata saya kepada isteri inilah peluang kita untuk menunaikan fardu haji walaupun terpaksa berkorban wang yang lebih demi sebuah kesempurnaan rukun Islam kelima. Sejak hari ini maka kami akan menunggu proses seterusnya sehingga sampai pada tarikh yang akan diizinkan Allah menjadi tetamunya pada musim haji 1440. Pesan saya kepada isteri tercinta Selamah Binti Nekman, jangan anggap memilih pakej haji swasta ini untuk keselesaan tetapi anggaplah satu usaha pengorbanan kita terdapat Allah.


23 April 2019, saya menghadiri diri untuk temujanji dengan doktor pakar Nefro (Buah Pinggang). Hari ini isteriku ikut serta ke dalam bilik doktor. Inilah kali pertama saya ditemani isteri hingga ke bilik doktor. Dia nak dengar sendiri apa yang doktor cakap.

Sesi bersama doktor berjalan dengan mesra. Di dalam bilik ada dua orang doktor wanita. Doktor yang merawat saya menerangkan perkembangan Buah Pinggangku. Katanya saya sudah boleh membuat tinjauan di sekitar Bangi mana-mana Pusat Homodialysis yang boleh saya pilih.

Saya memberitahu kepada doktor yang saya dapat tawaran pergi menunaikan haji. Doktor membuat keputusan jangan pergi kerana dia kuatir berlaku kesan sampingan ketika berada di Mekah. Berbagai hujah dikeluarkan sehingga doktor berkata apakah kalau saya pergi untuk membunuh diri? Saya diam tanpa membantah.

Saya dan isteri hanya mendengar pendapatnya. Malah aku yakin dia jujur sebagai seorang doktor muslim.


6 Mei 2019, hari ini adalah hari pertama Ramadan 1440. Sempena bulan Ramadan ini saya mengambil keputusan untuk memperbanyak doa kepada Allah. Selain berpuasa di waktu siang pada sebelah malam saya tunaikan solat sunat Terawikh. Saya bertenaga seperti biasa. Alhamdulillah sehingga 15 Ramadan saya masih bertenaga untuk berpuasa.




2 Jun 2019 Saya membuat keputusan untuk tidak pergi membuat scan urat di Pusat Endoscopy HCTM/PPUKM. Bukan degil dan bukan melanggar arahan doktor, tetapi saya mendapat gerak hati tangguhkan dulu membuat scan urat. Dalam erti kata lain saya akur dengan arahan doktor untuk membuat Dyalisis tapi nak tangguh seketika supaya hasrat untuk menunaikan rukun Islam ke-5 terlaksana.

Pada saya jika Dyalisis diteruskan maka harapan untuk ke Tanah Suci akan musnah. Saya merasakan bahawa gerak hati ini adalah datang dari Allah yang mengarahkan saya tangguhkan seketika.

Sekitar jam 10.30 pagi dalam perjalanan untuk menghadiri majlis jamuan hari raya Aidilfitri di bekas pejabat isteri, saya menerima panggilan dari Felda Travel. Pegawai yang membuat panggil memberitahu bahawa nama saya dan isteri boleh ikut serta pakej mereka dengan syarat bersetuju membayar wang tambahan dan akan pergi dengan penerbangan komersial, bukan penerbangan haji.

Saya membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut dan pegawai berkenaan memberitahu jika bersetuju penerbangan kami adalah pada 2 Ogos 2019 manakala balik ialah pada 2 September 2019. Kata pegawai itu, nama saya dan isteri akan dihantar ke Tabung Haji.

5 Julai 2019 Saya menerima panggilan telefon daripada menantu, Ridzuan. Berita gembira saya dan isteri dapat menunaikan fardu haji. Kemudian selepas solat Jumaat saya menerima pesanan dari Whatsap. Kami diminta hadir kursus perdana anjuran Agensi Felda Travel di Hotel Tenera Bandar Baru Bangi, Selangor.

6 Julai 2019- Ya hari ini saya dan isteri menjadi salah seorang peserta kursus haji. Menariknya ketika majlis bermula saya mendapat tahu mantan Naib Canselor UKM, Yg Berhagia Tan Sri Sharifah Hapsah ikut serta dalam kursus haji ini.

8 Julai 2019 Kami ke pejabat Tabung Haji Bandar Baru Bangi untuk mengambil surat tawaran. Lebih dua jam di situ.

Disebelah petang kami ke sebuah klinik untuk membuat ujian kesihatan. Masalah timbul apabila doktor yang membuat rawatan minta kami ke sebuah makmal di Kajang untuk ujian darah. Setelah sampai di sana kami diberitahu semple darah akan diberi keputusan pada hari Khamis 12 Julai. Kami buntu sebab borang tawaran wajib dihantar selewat-lewatnya hari Jumaat 12 Julai. Pastinya kami buntu.

Malam itu menantu saya Ridzuan datang ke rumah dan membuat cadangan supaya menukar klinik. Saya bersetuju.

9 Julai 2019 Kami ke sebuah klinik dan rawatan serta rundingan perubatan dan saya selesai sebelum jam satu petang. Manakala isteri saya siap sekitar jam 4.40 petang. Selamat, syukur ujian kesihatan diluluskan.

10 Julai 2019 Kami ke pejabat Tabung Haji Kuala Lumpur. Oleh kerana parkir penuh saya mencari di kawasan lain. Ketika memandu Cik Syira dari Felda Trevel menelefon mengenai proses membayar Dam untuk Haji Tamattuk. Waktu itu kami berada di kawasan berhampiran Balai Felda Kuala Lumpur. Saya mengambil keputusan untuk pergi ke pejabat Felda bagi urusan tersebut. Selesai.

Kemudian kami mengambil Grab untuk ke TH. Menariknya pemandu Grab pernah menunaikan haji pada tahun 1992 ketika itu berusia 34 tahun. Beliau banyak memberi tip-tip mengerjakan haji. Alhamdulillah.

Sekitar jam 5 petang kami mengambil teksi balik ke parkir Bangunan Felda untuk mengambil kereta yang diletakkan di sana.

24 Julai 2019 Saya dan isteri (kami) berangkat ke Kompleks Tabung Haji KLIA di Movenpick yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Kalau dulu saya melihat bakal haji berangkat ke Tanah Suci (Mekah dan Madinah) hari ini saya sendiri dilayan seperti VIP dengan kawalan polis trafik dari Kompleks Tabung Haji ke Lapangan Terbang. Cukup indah ini peristiwa itu.

Ketika pesawat KT63 meninggalkan Lapangan Terbang KLIA tergenang air mata sambil berdoa "Ya Allah selamatkanlah penerbangan ini, selamatkanlah segala urusan ibadat haji di Mekah. KT63 membelah pekat malam dengan meninggalkan kami sebuah keluarga yang kecil hanya tiga puteri dan dua menantu tanpa adik dan kakak atau abang melambai pemergian kami dari tanahair.

Malam itu adalah penerbangan kelima paling lama saya ke Tanah Suci setelah pernah menunaikan umrah pada 2016 dan 2018. Penerbangan ini penuh dengan impian dan harapan agar perjalanan haji saya berjalan lancar.

25 Julai 2019 KT63 mendarat di Lapangan Terbang Jeddah dengan ucapan pada bunner "Selamat Datang Tetamu Allah". Ya, saya mengerti kami adalah tetamu Allah. Kehadiran ke Mekah untuk menunai haji berbeza dari membuat umrah. Kami disambut oleh petugas Tabung Haji (TH) dan petugas Muasasah. Setibanya kami di hotel di Mekah, orang baru selesai menunai solat Subuh.

Saya menekup muka sambil,berbisik kepada isteri, sampai juga kita ke Mekah untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji 1440.

Saya amat yakin semua ini adalah perancangan Allah. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Saya sihat sepanjang berada di Mekah sehinggalah selesai kerja-kerja haji mulai 8 hingga 12 Zuhijjah.

Jika telah dijalankan proses Dyalisis sudah pasti saya tak akan dapat sampai ke Bumi Agong ini.

Kalau tidak kepada Allah kepada siapa lagi kita hendak meminta pertolongan. Wang bukan penentu sebuah kejayaan menjadi tetamu Allah.

Sila baca selanjutnya di Haji: Doa dan Air Mata

14 Julai 2019

Ke Tanah Suci Pada 24 Julai Hingga 8 September 2019

Ketika anda sedang membaca tulisan ini saya sedang sibuk membuat persiapan untuk berangkat ke Tanah Suci pada 25 Julai 2019 | 6.15 petang | Dijangka kembali ðŸ›¬ ke tanahair pada 7 September 2019🙂
Justeru, kami berdua ingin memohon ampun maaf kepada saudara mara, sahabat handai, rakan dan kenalan.
Halalkan makan dan minum. Seandainya kami ada berhutang sila hubungi kami atau waris (Nur Atiqah dan adik-adiknya). Begitu juga jika ada yang menanggung hutang dengan kami boleh kita berurusan agar tidak menanggung dosa di kemudian hari kelak.
Insha Allah saya akan mencatatkan perjalanan setelah selesai balik dari Tanah Suci. Untuk setekat ini izinkan saya membuat persiapan sebelum tarikh keberangkatan.

Catatan saya lebih berpegang pada kata-kata bijak pandai, menunai fardu haji bukan kerana banyak wang tetapi kerana atas jemputan Allah. Tunggu catatan itu selepas saya selamat kembali ke tanah air. Banyak air mata saya dan isteri tertumpah ketika menanti panggilan agong!
Doakan kami selamat pergi dan selamat kembali.

Lihat catatan di sini;  Haji: Doa Dan Air Mata

15 Jun 2019

Jelajah Masjid Dengan Fotografi { Edisi yang sering dikemaskini}

Alhamdulillah saya telah memulakan projek persendirian meneroka masjid-masjid di seluruh Malaysia. Projek ini sempena hampir setahun saya bersara.
Masjid adalah tempat beribadat umat Islam. Masjid juga menjadi tempat apa juga kegiatan agama dan kemasyarakatan. Jika di Tanah Suci Mekah dan Madinah ada masjid yang agong iaitu Masjidilharam, Masjid Nabawi, Masjid Qubah. Manakala Masjid Baitumaqdis adalah salah satu masjid yang agong.


Tajuk ini telah saya bangun sebuah halaman khas. Sila lawat: jelajahraai.blogspot.com

27 Mac 2019

Terima Kasih Jururawat

1969: Hospital Sungai Petani, Kedah:

Anak Pak Cik, Mak Cik, kena tahan di wad. itu sahaja yang saya masih ingat apabila doktor di hospital itu selesai memeriksa saya. Badannya panas teruk.

Seingat saya selepas itu saya dimandikan oleh Nurse dengan ketulan air batu, sejuk amat sangat tetapi amat selesa kerana badan saya ketika itu panas. Selepas lapan hari saya keluar namun masih tidak selesa kerana mengidap demam panas yang melampau. Selang tidak berapa lama ayah yang disayangi kembali ke Rahmatollah.

Hospital Bersalin Kuala Lumpur 1991:

"Encik Raai Osman...." laung seorang Nurse dari pintu klinik pemeriksaan ibu mengandung. "Isteri Encik tumpah darah. bawa dia ke wad kecemasan saya ikut sama".

"Maaf, kandungan isteri Encik tak dapat diselamatkan...".

19 November 1991

Hujan diluar cukup lebat, kilat sabung menyabung. Emak makin lemah. Atas pesan doktor aku mengajak Nasir jiranku memandu untuk membawa emak ke HKL. Kata Nasir, hujan lebat KL "jem". Nasir petang itu menjadi pemandu kecemasanku. Entah mengapa di pertengahan jalan, aku minta Nasir bawa emak ke Hospital Kajang.

Kebetulan di hospital Kajang doktor India juga dengan dibantu Jururawat melayu. Emak koma, emak nazak,emak berperang dengan ajalnya. Jururawat meminta aku mengambil air dan basahkan bibir emak. Kalimah Syahdah sejak dari dalam kereta tak putus-putus aku bisikkan ke telinga emak

Doktor mengambil Defibrillatoralat  (terima kasih Emma Azimah yang memberitahu nama alat ini). Terangkat dada emak. "Ahhhh....Allah huakbarr". Selalu adegan itu aku tonton di TV. Kini berlaku di depan mata. Doktor mengelengkan kepala. Jururawat tenang."Dia sudah meninggal..."

Allah maha kaya. Rahmatnya tetap diturunkan untukku. Aku tidak menangis sepanjang hari pengkebumian emak. Benar seperti kataku pada emak "saya akan merawat emak sehingga akhir hayat, kerana saya tidak mahu menyesal di hari kematian mak akibat gagal berusaha merawat emak. Janji Allah kalau mak mati saya tidak akan mengalirkan air mata.

Namun hati mana boleh bertahan, badan mana boleh bertahan. Aku hampir pengsan selepas Imam habis membaca Talkin. Ketika Imam bangun, rakan-rakan bangun. Tinggal aku di hujung kepala emak (pusara) sambil membaca Fatihah dan doa.

Ketika bangun, aku hampir pengsan. Kerana menurut kitab-kitab yang pernah dibaca oleh Ustaz-ustaz dan buku-buku yang pernah aku baca, dua malaikat telah datang memberi salam pada si mati.

Aku menjadi insaf, jasad dan roh emak telah aku serahkan kepada Allah. Dia hanya meminjamkan seorang Ibu buatku untuk melahirkan anak seperti aku. Aku hanya mampu berdoa selagi umur  masih ada.

Jika istilah Anak Yatim Piatu adalah untuk anda, anda bertuah kerana istilah itu akan menguatkan semangat anda. Kerana saya pernah menjadi Anak Yatim sejak berusia 11 tahun (1969). Jika telah datang di hadapan anda seorang Anak Yatim Piatu, anda bertuah kerana ia memberi peluang untuk anda bersedekah dengan pahala yang amat tinggi.

Al-Fatihah  untuk ibu saya, Puteh benti Mat di pusara Kampung Dato Abu Bakar Baginda.

Wad 5D HCTM 2015, 2016, 2017

12.30 tengahari: Pakcik....giliran pakcik dah sampai untuk pergi ke bilik bedah pakai baju ni terbalikkan ke tali ke belakang ye.

2.00 pagi: Pakcik, pakcik, saya nak cucuk tangan ambil darah ye....minta maaf ye.

9.00 pagi: Pakcik saya nak cabut saluran urin ye.....

8.30 malam sekejap lagi kami nak masukkan saluran urin ye.


Ya.....Jururawat anda banyak budi kepada pakcik. Jasamu Allah sahaja yang membalasnya. Tapi ketika mati, mungkin anda tak sempat menziarahi pesakit anda. Tetapi jasamu semua orang tahu. Terima kasih.

22 Mac 2019

Persatuan Pesara UKM

Semalam saya dan isteri hadir ke mesyuarat Agong Persatuan Pesara UKM Ke-8 buat kali pertama. Mesyuarat telah diadakan di Bilik Senat UKM, bilik yang mempunyai taraf yang tinggi bagi sesebuah universiti. Setelah bersara sebenarnya sukar untuk hadir ke bilik ini kerana ia hanya tempat mesyuarat-mesyuarat tertentu sahaja dapat dibuatkan kat sini.

Kebanyakkan yang hadir terdiri dari kalangan pesara UKM yang telah lama meninggalkan kerjaya kerana bersara wajib. Syukur, kami masih diberi tenaga untuk menunaikan tangungjawab sebagai ahli serta jawatankuasa. Mesyuarat berjalan dalam suasana santai dengan dimulakan dengan majlis perasmian oleh YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Naib Canselor UKM. 

Naib Canselor melahirkan rasa bertuah kerana berada di dalam kalangan orang-orang yang hebat sebelum ini. Beliau juga menzahirkan rasa terima kasih kerana pesara UKM masih menunjukkan cinta mereka kepada UKM. Beliau secara bergurau, mungkin ada dari kalangan pesara sebaya ayahandanya. 

Naib Canselor juga sempat menerangkan kedudukan kewangan universiti dewasa ini dan membuat syor agar ada kalangan pesara dapat menyertai program wakaf di UKM seperti menaja bilik kuliah dan boleh dinamakan dengan nama-nama pesara.

Mesyuarat berlangsung kemudian dengan santai yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Anwar Ali. Tan Sri ni adalah mantan Naib Canselor, oleh itu mesyuarat berjalan dengan tenang. Jarang saya lihat mesyuarat berjalan dengan tenang. Maklumlah kami ni orang-orang pencen apa nak dikecoh-kecohkan? 😔

Apa topik yang kami bincang? Tak ada isu besar. Kalau ada pun isu perubatan maklumlah kehidupan kami ni tak dapat nak lari dari kisah keluar masuk hospital 😢

Kisah-kisah orang pencen, kisah bagaimana mengambil berat hal ehwal ahli yang sakit atau meninggal dunia....Oleh itu, inilah peranan persatuan pesara. Terutamanya bagi kalangan pesara yang masih sihat.

Penubuhan persatuan ini bukan untuk mencari keuntungan tapi untuk memastikan kebajikan pesara akan terpelihara disamping itu dapat menjalankan aktiviti mengeratkan silatulrahim.

Kepada tuan/puan yang berminat untuk menjadi ahli sila lawat laman web ini www.ukm.my/pesara 

16 Januari 2019

Itulah Kali Terakhir

Menjadi rutin saya apabila bangun pagi sebelum Subuh akan membuka telefon untuk melihat pesanan pada Whatsap, Facebook dan SMS. Saya berbuat demikian kerana sudah menjadi budaya sejak masih bekerja kerana nak baca jika ada pesanan segera. Setelah bersara ialah kerana nak lihat kalau ada berita penting maklumlah ada anak yang tidak tinggal bersama setelah mereka berkahwin.
Lagi pula, saya pernah terjadi ada pesanan tentang kematian rakan yang lewat diketahui.

Pagi tadi benar-benar mengejutkan saya apabila membaca mesej daripada Ikhwan Hashim, rakan setugas dulu. Haji Ramli Adnan telah kembali ke Rahmatollah malam tadi. Saya terkejut. Saya jadi tidak percaya. Tapi janji Allah saya tetap percaya bahawa kematian akan 
berlaku pada bila-bila masa dan di mana saja. Saya membuka FB. Be
nar. Ramli telah tiada.

Apa sakitnya, fikir saya. Saya menduga mungkin berlaku komplikasi kerana setahu saya Haji Ramli ada mengidap Diabetes dan Darah Tinggi. Mungkin. Tapi saya masih belum pulih dari terkejut kerana hari Isnin lepas arwah ada menghantar mesej bertanyakan berkaitan persaraan.

Saya membuat panggilan ke nombor telefon atas nama arwah. Puteri keduanya menjawab. "Ya Cik, ..... jenazah ayah akan dibawa ke Masjid Bangi Lama untuk diuruskan jam 10 pagi nanti".

Saya memberitahu isteri berita kematian Ramli. Ya dia telah dijemput Allah kembali ke pangkuan-Nya. Kali terakhir saya bertemu secara zahir ketika makan tengahari di Restoran Mustar Itik Salai Sungai Merab. Ramli kelihatan sihat. Ramli meninggal dunia setelah selesai bermain badminton malam tadi. Allah yang menentukan.

Saya banyak kenangan dengan arwah. Tahun lepas (2017) kami setiap hari Sabtu menghadiri kursus haji di Masjid Hasanah Bandar Baru Bangi. Musim haji 1439 bersamaan 2018 Ramli dijemput Allah menjadi tetamu-Nya.

Saya banyak berkongsi pengalaman ketika berada di dua Tanah Suci, Madinah dan Mekah kerana saya pernah menunaikan umrah pada tahun 2016.

Selepas pulang dari menunaikan fardu haji, Haji Ramli banyak berkongsi pengalamannya kepada saya. Maklumlah pengalaman haji dan umrah ada beza.

Ketika masih berkhidmat, Haji Ramli banyak kali keluar outstation dengan saya. Pasangan arwah yang kerap bersama adalah saudara Daud. Arwah begitu rapat dengan saudara Daud, hinggakan apabila Sdra Daud akan bersara Haji Ramli memberitahu saya dia juga nak bersara kerana tak ada kawan lagi.

Haji Ramli ni pendiam orangnya. Tapi kerap melepas senyuman jika ada topik lucu. Mungkin tugasannya kena teliti menjaga Audio di studio UKM. Jika ada program besar atau kecil yang melibat MCP, Haji Ramli adalah tenaga yang menjaga audio bersama Haji Sulimi.

"Saya ni kelulusan tak tinggi Raai. Dapat naik jadi Penolong Jurutera ni pun rezeki...." kata Haji Ramli kepada saya.

Walaupun begitu kemahiran beliau amat tinggi walaupun hanya bekerja di belakang tabir. Semua rakan tahu hal ini.

Masih saya ingat, 16 April 2018 hari terakhir saya sebagai staff UKM. Saya mengisi hari terakhir itu di bilik Haji Ramli kat bangunan Penerbit. Ramli antara staff PKK yang tidak ke Langkawi untuk sanggar kerja. Kami berbual panjang seharian itu. Arwah ni kalau kena gaya dan topik mampu diajak bersembang. Cuma tak suka berseloroh yang pelik-pelik. Itu yang membuat saya hormat beliau.

Maaf untuk saya luahkan kehilangan Haji Ramli amat menyentuh hati saya kerana kami sering berbincang masalah kesihatan yang hampir sama. Arwah begitu menjaga bab makanan. Bayangkan sebelum dapat perkara menunai haji, arwah membuat persediaan dengan bersenam di stadium Bandar Baru Bangi. Pemeriksaan kesihatan tidak pernah diabaikan. Malahan ketika penapisan kesihatan sebelum haji beliau agak keciwa kerana banyak kali tekanan darahnya naik. Atas kehendak Allah dapat juga beliau menunaikan haji.

Saya tetap akan kenang sehingga akhir hayat persahabatan dengan Allahyarham Ramli. Dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali. Kita telah menunaikan tanggungjawab sebagai sahabat pagi tadi. Ramli telah sampai ke alam baharunya. Semoga kita yang masih diberi usia bersedia dan insaf kehendak Allah. Kita kehilangan sahabat. Keluarga kehilangan saudara. UKM kehilangan staff yang berkemahiran.

Kepada keluarga yang ditinggalkan kita doakan mereka redo dengan ketentuan Ilahi. Marilah kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dikalangan para solihin. Innalillahiwainnailaihirojiuun. AL FATIHAH.

Haji Ramli paling kanan.

Haji Ramli dua dari kanan

Perjalanan terakhir seorang sahabat.





Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...