Haji: Doa Dan Air Mata

Sila baca selanjutnya di Haji: Doa dan Air Mata

Ketika balik dari melontar di Mina
Haji ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Makkah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tetentu menurut syarat-syaratnya.

Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim yang mukallaf. Hukumnya wajib sekali seumur hidup apabila memenuhi syarat-syaratnya. Setiap muslim mestilah berazam untuk menunaikan ibadat haji dan sentiasa berusaha untuk melaksanakan perintah Allah tersebut. Haji merupakan rukun Islam yang kelima. (petikan buku Figh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah-Tabung Haji 2018

Menyedari semua itu saya terus berazam untuk menunaikan fardu haji. Sering berdoa agar Allah menjemput saya menjadi tetamu-Nya. Wang bukan ukuran kemampuan kita tetapi jemputan Allah itu amat mustahak untuk dinilai.

Namun, berdasarkan catatan dibawah maka saya dengan jujurnya berkata perjalanan haji saya bukanlah semudah menyimpan wang.

Detik-detik rayuan saya dengan Allah:

12 Mac 2019 merupakan tarikh yang tidak dapat saya lupakan sepanjang hayat apabila doktor mencadangkan saya menghadiri sesi kaunseling untuk memasang tapak bagi proses Dyalisis. Lemah longlai jadinya. Ketika saya memberitahu isteri perkara ini kelihatan wajahnya berubah.

13 Mac 2019 saya hadir sesi kaunseling bersama isteri. Terdapat ramai pesakit dan keluarga mereka ikut serta. Rupanya itulah penamat kehidupan yang selesa kami! Kami diterangkan oleh pasukan Jururawat Hospital Canselor Tuanku Mukhriz ( HCTM/PPUKM ) beberapa kaedah Dyalisis yang boleh dipilih.

  • Pertama ialah pemindahan Buah Pinggang
  • Kedua ialah proses Dyalisis Air menggunakan mesin
  • Ketiga Dyalisis Air menggunakan Air tetapi kaedah manual
  • Keempat ialah Dyalisis Darah di Pusat Dyalisis.
Saya belum membuat pilihan yang mana satu. Namun borang untuk proses scan urat telah saya hantar ke Pusat Endoscopy HCTM/PPUKM . Petugas di situ telah menetapkan pada 9 April untuk membuat scan urat.

Sepanjang tempuh itu saya jadi mamai. Fikiran kusut dan perasaan mudah marah. Tapi saya cuba kawal emosi agar tidak menjadi lebih parah. Saya memujuk hati agar tidak terus gundah gulana. Isteri dan anak menantu memberi semangat.

Allah memberikan kekuatan apabila saya mampu bangun untuk menunaikan solat Tahajut. Allah memberikan masa untuk saya bersolat Duha. Kekuatan inilah yang telah saya usaha sejak menghadapi masalah kesihatan sejak 2000 hingga kini. Malah ia lebih diharapkan akan pulih kerana saya dalam perancangan menunaikan fardu haji.

Perasaan tertekan tidak dapat disembunyikan lagi malah ia lebih hebat jika dibandingkan dengan apa yang aku alami ketika hendak dibedah pada tahun 2015,2016,2017. Lihat tajuk yang berkaitan di Ya Allah Panjangkan Usiaku

Ketika berkunjung ke rumah kakak saya di Kluang pada 23 Mac 2019 dia agak terkejut setelah diberitahu saya akan membuat Dyalisis.


9 April 2019, hujan turun dengan lebat di Bangi. Ia seolah-olah mengiringi perasaan pilu saya pagi itu yang akan menyerahkan tubuh untuk dipasang tapak Dyalesis. Saya dan isteri masuk ke Pusat Endoscopy dengan wajah tidak ceria. Pesakit ramai.

Selang tak lama namuku dipanggil. Saya masuk untuk mengadap petugas di situ. Petugas di situ memulakan scan di tangan kiri kemudian beraleh ke tangan kanan. Entah apa takdir yang Allah turunkan tugas mencari urat kat tangan saya gagal. Saya diberi tarikh baru iaitu 2 Julai 2019.

Tidak semena-mena Allah memberi ilham kepada saya untuk meneruskan proses menunaikan fardu haji! Petang itu juga kami ke sebuah agensi yang menguruskan pakej haji. Setelah mendapat harga pakej dan mengambil borang kami balik.

Satu lagi urusan ialah apabila pegawai sebuah agensi pakej haji sedang menghantar mesej ke Whatsap saya. Entah bagaimana petang itu saya membuat keputusan untuk mendaftar dengan Felda Travel. Haji Mohd Azahari mencadangkan saya daftar segera jika berminat kerana esok, 10 April adalah tarikh tutup.

Pemandangan di Mina
10 April 2019, Balai Felda Jalan Gurney Kuala Lumpur. Saya dan isteri tiba di tingkat 4 untuk bertemu Haji Mohd Azahari. Memang kuasa Allah, tengahari itu dengan sahnya kami telah mendaftar sebagai jemaah haji kerana mengikut peraturan Tabung Haji sesiapa yang mendaftar pada tahun 2014 ke bawah layak menunaikan haji menerusi pakej jika mereka mampu.

Kata saya kepada isteri inilah peluang kita untuk menunaikan fardu haji walaupun terpaksa berkorban wang yang lebih demi sebuah kesempurnaan rukun Islam kelima. Sejak hari ini maka kami akan menunggu proses seterusnya sehingga sampai pada tarikh yang akan diizinkan Allah menjadi tetamunya pada musim haji 1440. Pesan saya kepada isteri tercinta Selamah Binti Nekman, jangan anggap memilih pakej haji swasta ini untuk keselesaan tetapi anggaplah satu usaha pengorbanan kita terdapat Allah.


23 April 2019, saya menghadiri diri untuk temujanji dengan doktor pakar Nefro (Buah Pinggang). Hari ini isteriku ikut serta ke dalam bilik doktor. Inilah kali pertama saya ditemani isteri hingga ke bilik doktor. Dia nak dengar sendiri apa yang doktor cakap.

Sesi bersama doktor berjalan dengan mesra. Di dalam bilik ada dua orang doktor wanita. Doktor yang merawat saya menerangkan perkembangan Buah Pinggangku. Katanya saya sudah boleh membuat tinjauan di sekitar Bangi mana-mana Pusat Homodialysis yang boleh saya pilih.

Saya memberitahu kepada doktor yang saya dapat tawaran pergi menunaikan haji. Doktor membuat keputusan jangan pergi kerana dia kuatir berlaku kesan sampingan ketika berada di Mekah. Berbagai hujah dikeluarkan sehingga doktor berkata apakah kalau saya pergi untuk membunuh diri? Saya diam tanpa membantah.

Saya dan isteri hanya mendengar pendapatnya. Malah aku yakin dia jujur sebagai seorang doktor muslim.


6 Mei 2019, hari ini adalah hari pertama Ramadan 1440. Sempena bulan Ramadan ini saya mengambil keputusan untuk memperbanyak doa kepada Allah. Selain berpuasa di waktu siang pada sebelah malam saya tunaikan solat sunat Terawikh. Saya bertenaga seperti biasa. Alhamdulillah sehingga 15 Ramadan saya masih bertenaga untuk berpuasa.




2 Jun 2019 Saya membuat keputusan untuk tidak pergi membuat scan urat di Pusat Endoscopy HCTM/PPUKM. Bukan degil dan bukan melanggar arahan doktor, tetapi saya mendapat gerak hati tangguhkan dulu membuat scan urat. Dalam erti kata lain saya akur dengan arahan doktor untuk membuat Dyalisis tapi nak tangguh seketika supaya hasrat untuk menunaikan rukun Islam ke-5 terlaksana.

Pada saya jika Dyalisis diteruskan maka harapan untuk ke Tanah Suci akan musnah. Saya merasakan bahawa gerak hati ini adalah datang dari Allah yang mengarahkan saya tangguhkan seketika.

Sekitar jam 10.30 pagi dalam perjalanan untuk menghadiri majlis jamuan hari raya Aidilfitri di bekas pejabat isteri, saya menerima panggilan dari Felda Travel. Pegawai yang membuat panggil memberitahu bahawa nama saya dan isteri boleh ikut serta pakej mereka dengan syarat bersetuju membayar wang tambahan dan akan pergi dengan penerbangan komersial, bukan penerbangan haji.

Saya membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut dan pegawai berkenaan memberitahu jika bersetuju penerbangan kami adalah pada 2 Ogos 2019 manakala balik ialah pada 2 September 2019. Kata pegawai itu, nama saya dan isteri akan dihantar ke Tabung Haji.

5 Julai 2019 Saya menerima panggilan telefon daripada menantu, Ridzuan. Berita gembira saya dan isteri dapat menunaikan fardu haji. Kemudian selepas solat Jumaat saya menerima pesanan dari Whatsap. Kami diminta hadir kursus perdana anjuran Agensi Felda Travel di Hotel Tenera Bandar Baru Bangi, Selangor.

6 Julai 2019- Ya hari ini saya dan isteri menjadi salah seorang peserta kursus haji. Menariknya ketika majlis bermula saya mendapat tahu mantan Naib Canselor UKM, Yg Berhagia Tan Sri Sharifah Hapsah ikut serta dalam kursus haji ini.

8 Julai 2019 Kami ke pejabat Tabung Haji Bandar Baru Bangi untuk mengambil surat tawaran. Lebih dua jam di situ.

Disebelah petang kami ke sebuah klinik untuk membuat ujian kesihatan. Masalah timbul apabila doktor yang membuat rawatan minta kami ke sebuah makmal di Kajang untuk ujian darah. Setelah sampai di sana kami diberitahu semple darah akan diberi keputusan pada hari Khamis 12 Julai. Kami buntu sebab borang tawaran wajib dihantar selewat-lewatnya hari Jumaat 12 Julai. Pastinya kami buntu.

Malam itu menantu saya Ridzuan datang ke rumah dan membuat cadangan supaya menukar klinik. Saya bersetuju.

9 Julai 2019 Kami ke sebuah klinik dan rawatan serta rundingan perubatan dan saya selesai sebelum jam satu petang. Manakala isteri saya siap sekitar jam 4.40 petang. Selamat, syukur ujian kesihatan diluluskan.

10 Julai 2019 Kami ke pejabat Tabung Haji Kuala Lumpur. Oleh kerana parkir penuh saya mencari di kawasan lain. Ketika memandu Cik Syira dari Felda Trevel menelefon mengenai proses membayar Dam untuk Haji Tamattuk. Waktu itu kami berada di kawasan berhampiran Balai Felda Kuala Lumpur. Saya mengambil keputusan untuk pergi ke pejabat Felda bagi urusan tersebut. Selesai.

Kemudian kami mengambil Grab untuk ke TH. Menariknya pemandu Grab pernah menunaikan haji pada tahun 1992 ketika itu berusia 34 tahun. Beliau banyak memberi tip-tip mengerjakan haji. Alhamdulillah.

Sekitar jam 5 petang kami mengambil teksi balik ke parkir Bangunan Felda untuk mengambil kereta yang diletakkan di sana.

24 Julai 2019 Saya dan isteri (kami) berangkat ke Kompleks Tabung Haji KLIA di Movenpick yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Kalau dulu saya melihat bakal haji berangkat ke Tanah Suci (Mekah dan Madinah) hari ini saya sendiri dilayan seperti VIP dengan kawalan polis trafik dari Kompleks Tabung Haji ke Lapangan Terbang. Cukup indah ini peristiwa itu.

Ketika pesawat KT63 meninggalkan Lapangan Terbang KLIA tergenang air mata sambil berdoa "Ya Allah selamatkanlah penerbangan ini, selamatkanlah segala urusan ibadat haji di Mekah. KT63 membelah pekat malam dengan meninggalkan kami sebuah keluarga yang kecil hanya tiga puteri dan dua menantu tanpa adik dan kakak atau abang melambai pemergian kami dari tanahair.

Malam itu adalah penerbangan kelima paling lama saya ke Tanah Suci setelah pernah menunaikan umrah pada 2016 dan 2018. Penerbangan ini penuh dengan impian dan harapan agar perjalanan haji saya berjalan lancar.

25 Julai 2019 KT63 mendarat di Lapangan Terbang Jeddah dengan ucapan pada bunner "Selamat Datang Tetamu Allah". Ya, saya mengerti kami adalah tetamu Allah. Kehadiran ke Mekah untuk menunai haji berbeza dari membuat umrah. Kami disambut oleh petugas Tabung Haji (TH) dan petugas Muasasah. Setibanya kami di hotel di Mekah, orang baru selesai menunai solat Subuh.

Saya menekup muka sambil,berbisik kepada isteri, sampai juga kita ke Mekah untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji 1440.

Saya amat yakin semua ini adalah perancangan Allah. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Saya sihat sepanjang berada di Mekah sehinggalah selesai kerja-kerja haji mulai 8 hingga 12 Zuhijjah.

Jika telah dijalankan proses Dyalisis sudah pasti saya tak akan dapat sampai ke Bumi Agong ini.

Kalau tidak kepada Allah kepada siapa lagi kita hendak meminta pertolongan. Wang bukan penentu sebuah kejayaan menjadi tetamu Allah.

Sila baca selanjutnya di Haji: Doa dan Air Mata

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah