Lokasi Rehat Tasik Beris Terbiar

Artikel berkaitan: Tasik Beris | Puncak Beris yang damai | Bengkel Fotografi di Tasik Beris, Sik, Kedah
_____________________________________________________________

Pada 1hb September 2018 saya kembali berhenti menghirup udara segar di Tasik Beris ketika pergi ke Belantek, Sik Kedah untuk menghadiri majlis kenduri di rumah Anuar. Tasik Beris tidak seperti yang saya lihat seperti tahun 2013 dimana kali terakhir mengunjunginya. Waktu itu saya ke sana kerana mengendalikan satu kursus fotografi.




Tasik Beris yang terletak sejauh 24 km dari Pekan Sik, 51km dari Pekan Gurun, 72km dari Bandar Alor Star terletak di pedalaman Kedah dengan kehijauan bukit bukau dan keheningan yang semulajadi. Ia dibina pada tahun 2000 dengan menenggelamkan Kampung Sungai Batang dimana terdapat lima kampung kecil di dalamnya iaitu Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar. Disamping sebahagian kampung Batu Seketol juga tenggelam manakala sebuah lagi Kampung Terenas juga tenggelam.

Sewaktu Kampung Sungai Batang dan Kampung Batu Seketol masih wujud, kegiatan harian penduduknya ialah sebagai petani seperti menjadi pesawah, penoreh getah juga dusun buah buahan serta mencari hasil hutan .
Terdapat dua batang sungai yang bersambung di Kampung Kuala dan sungai ini akan bersambung ke Sungai Muda. Sungai yang dimaksudkan ialah Sungai Kuala dan Sungai Batang. Air yang datang dari hulu Sungai Batang begitu banyak yang memberikan potensi untuk diwujudkan Tasik Beris.


Tasik Beris mempunyai keluasan tadahan air 116 km persegi ini siap sepenuhnya pada tahun 2004. Mempunyai ketinggian air paras maksimum 86.4 meter paras biasa 84.0 meter berfungsi untuk bekalan air sekitar Kedah dan Pulau Pinang dan kawalan banjir. Tasik Beris ini telah terkenal sebagai pusat pelancongan di Daerah Sik. Terdapat sebuah ladang anggor yang menjadi tumpuan setiap musim cuti hujung minggu atau cuti sekolah.
Ketika Tasik Beris dalam proses pembinaan lebih seribu kubur telah dipindahkan pada tahun 2002. Kampung yang terlibat ialah Kampung Batu Seketol, Kampung Sungai Batang (Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar), Kampung Ternas dan Kampung Telaga Batu. Penduduk-penduduk kampung tersebut sekarang ditempatkan di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) kira-kira 10 kilometer dari Pekan Sik dan 5 kilometer dari Pekan Jeniang


Penduduk-penduduk kampung menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Sungai Batang untuk mendapatkan pendidikan awal. Tapak sekolah asal telah ditenggelami air empangan Beris. Sekolah tersebut telah ditukarkan nama kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya terletak berhampiran dengan penempatan penduduk-penduduk kampung di Bandar Baru Beris Jaya – Sumber Wikipedia.

Tasik Beris menjadi kenangan kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi penduduk di Kampung Sungai Batang sebelum dipindahkan ke Bandar Baru Beris Jaya. Saya antara individu yang tidak akan lupa segala kenangan ketika membesar di sana. Namun setelah saya memulakan kehidupan baharu di Bangi Tasik Beris menggamit agar saya kembali mengimbau kenangan di sini.

Justeru pada tahun 2008 saya kembali melihat wajah sebenar Tasik Beris. Walaupun saya telah sampai ke beberapa tasik di Malaysia seperti Tasik Kenyir, Tasik Banding, Tasik Cini, Tasik Muda namun Tasik Beris mengimbau suka duka saya sepanjang berada dan membesar di sini.

Sebuah kampung yang ditenggelamkan bermula selepas tahun 2000 akan memberi kesan yang mendalam. Saya pernah balik ke sana pada tahun 2002 untuk urusan mengecam pusara ayahanda. Pusara ayah saya digali semula bersama-sama ribuan pusara lain. Terdapat dua tanah perkuburan yang terlibat iaitu di Kampung Besar dan di Kampung Paya. Manakala ada juga perkuburan lain yang agak lama dan dipercayai kubur bangsa Siam. Saya tidak tahu ia digali atau tidak.



Beberapa kisah kedengaran ketika proses menggali kubur ini namun ia tertutup dari perbincangan umum kerana Majlis Agama Islam mewartakan kawasan perkuburan tidak boleh dimasuki oleh penduduk kecuali waris dan pekerja yang diamanahkan. Ia dilakukan agar aib arwah-arwah yang digali semula tidak menjadi bahan bualan mahupun fitnah.

Saya sendiri hanya datang untuk mengecam batu nesan kemudian balik semula ke Bangi tanpa perlu melihat proses penggalian itu. Syukur kerana saya tak perlu untuk melihat sifat wajah arwah ayah yang telah dikebumikan pada tahun1969.

Kini setelah 18 tahun Tasik Beris dibina dan dibangunkan Empangan Beris ia telah dapat menyalurkan air untuk negeri Kedah dan Pulau Pinang. Disamping itu Kedah mempunyai tiga lagi empangan yang telah dibina lebih awal iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahneng.

Sesiapa saja yang melintasi jalan Sik ke Nami akan dapat melihat keindahan Tasik Beris. Malah masih ada penduduk asal Sungai Batang yang saban hari akan pergi menoreh atau berkebun di Kawasan pinggir Tasik Beris.

Sebelum ini terkenal dengan ladang anggur Tasik Beris namun kini telah tutup. Mungkin masalah perniagaan merosot. Ada beberapa chaket juga telah ditutup. Walaupun begitu masih ada beberapa resort dan chalet lain berfungsi tapi Tasik Beris seperti tiada lagi pengunjung ke sini.

Bagi pengemar aktiviti air seperti memancing, mereka masih ke sini tetapi kunjungan oleh pelancong tempatan dari luar Sik telah berkurangan. Banyak tempat seperti tidak terurus lagi.

Saya fikir Majlis Daerah Sik perlu mengorak langkah proaktif untuk mempopularkan kembali Tasik Beris. Usaha harus diadakan agar orang ramai boleh mengambil bahagian di hujung minggu bagi menjalankan aktiviti keluarga. Saya lihat ada kawasan tertentu yang mampu menggamit kunjungan pelancong kerana keadaan sekitar Tasik Beris masih nyaman dengan udara segar.


Bangunan ini telah menjadi 'gajah putih'. Terbiar.

Taman permainan kanak-kanak yang rosak. Lot kedai sudah tutup.

Terdapat dawai mata punai yang diletakkan agar orang tidak masuk

Pemandangan yang kurang selesa dilihat.

Taman permainan kanak-kanak yang rosak.

Pemandangan kurang cantik

Masih jelas kelihatan jalan ke rumah saya

Aktiviti air masih wujud.

Bukit di pinggir tasik yang hijau.











Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah