04 Disember 2016

Anugerah Bitara: Satu Anugerah Tertinggi Kepada Saya

Saya memulakan catatan ini dengan bacaan Al-Fatihah buat arwah ibu yang telah lama kembali menemui Ilahi. Al Fatihah....

2hb Disember 2016 saya telah menerima satu anugerah yang paling tinggi buat saya. Anugerah Bitara UKM telah diberikan atas penglibatan saya sebagai Jurufoto, Tenaga Pengajar Sambilan sejak 1997. Diikhtiraf oleh pihak luar sebagai penceramah, juri pertandingan fotografi dan banyak lagi.

Di hari anugerah saya mewakilkan isteri, Selamah bt Nekman  kerana ketika itu saya berada di Wad 5D Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (PPUKM).kerana menjalani pembedahan pada 1 Disember.

Isteri mewakili saya menerima anugerah ini.
Memamglah jika saya sihat pastinya akan hadir ke majlis tersebut. Saya memantau majlis itu jauh menerusi Whatsap dan Facebook.

Dengan rasa rendah diri sebenarnya anugerah ini bukan untuk saya seorang walaupun dalam sijil nama saya tertera dengan hebat. Mulanya saya tidak mengisi borang pencalonan. Tetapi Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, YBhg. Prof Datin Dr. Norizan Abdul Razak meminta mencalonkan nama dan disokong penuh oleh beliau.

Saya telah 37 tahun berkhidmat di UKM. Mengenali Pengarah PKK pun hanya sejak 2013. Ini bermakna beliau nampak apa yang saya buat di UKM dengan izin Allah!

UKM rumah kedua saya. Kelibat saya sentiasa kelihatan di kampus. Malahan saya mempunyai ramai kenalan di UKM. Saya resah jika tidak berada dalam kampus dalam jangka masa yang lama.

Berada di UKM ramai idola yang boleh kita pilih. Dari kalangan Profesor hinggalah ke staff bawahan. Walaupun mereka bukan yang diagongkan tetapi dari sifat yang saya lihat ada ciri-ciri peribadi yang hebat!

Ada juga tukang kebun yang saya kenal tidak pernah merungut dengan kerjayanya. Ada pensyarah yang pencen tanpa gelaran Profesor tetapi jiwanya hebat dalam berkerjaya.

Saya banyak membaca buku motivasi terkenal. Antaranya U Can Win. Sampai hancur buku itu saya baca. Ada hadis Rasullah yang mampu menghebatkan diri kita...carilah. Ada ayat Al Quran yang mampu membantu kitika lemah dan malas.

Malah peranan Facebook dan Blog mampu menjadikan kita kehadapan. Kita tulis kat situ kejayaan hari ini dan baca ketika malas maka semangat kita memuncak. Cubalah.

Saya pernah dibayar hanya RM20 sejam oleh UKM menjadi tenaga pengajar Ko Korikulum. Walaupun ada yang memperkecilkannya tetapi syukur kerana dengan kerjaya itu saya memperolehi peluang di Malaysia Press Institut, di Dewan Bandaraya, Agensi Penguatkuasaan Maritem, Institut Alam Sekitar, Kor Risik Angkatan Tentera, Kor Risik Tentera Laut dan banyak lagi.

Sabtu bagi saya tiada rehat. Saya bersama-sama pelajar. Malah ada waktu saya menjadi ayah, bapa saudara kepada mereka yang mempunyai masalah kecil dan besar.

Pernah saya menyelami perasaan seorang pelajar berbangsa Cina yang kematian ibu pada masa yang sama beliau perlu mengambil peperiksaan kursus seni foto.


Pernah seorang pelajar perempuan menangis di depan saya kerana menghadapi masalah keluarga di mana bapa saudaranya dipenjarakan kerana mengedar dadah. Lebih menyayat hati kehormatannya punah oleh perbuatannya kerana keciwa pada ibu ayah yang tidak ambil pusing keatas bapa saudaranya. Atas kasihan dia meninggalkan kuliah saya setiap Sabtu untuk menziarah bapa saudaranya di Sungai Buloh.( Lihat di sini)

Cacatan ini pendek. Kisah saya bersama minat dan kerjaya saya amat panjang. Syukur saya membantu UKM menjana pendapatan menerusi kursus fotografi penyiasatan anjuran UKM Holding.

Ayuh teman dan rakan, tuan dan puan bangunlah bersama UKM yang kita cintai. Buatlah tanggung jawab tanpa balasan. Biar Allah yang membalas.

Saya akan pergi setelah pencen pada April 2018. Tuan puan yang tinggal akan meneruskan usaha orang-orang yang telah pencen.

Ada rahmatnya saya masuk hospital maka dapatlah isteri mewakili saya menerima hadiah ini. Biarlah dia sedikit ceria setelah gunda memikirkan saya yang dilambong gelombang besar di kepulauan,  Pulau Langkawi, di Laut sekitar Semporna Sabah. Dia tentu risau ketika ke Kemboja menerusi penerbangan yang sama dengan laluan MH 370....

Itulah resam budaya kerja kita, ada waktunya orang tidur saya masih bersama kamera. Ketika saya menerima anugerah ini terasa sangat bahang banjir di Johor 2006. Bencana banjir di Kelantan....Peristiwa Tsunami Aceh walapun saya tidak ke sana tetapi membantu mengajar fotografi kepada anggota risik cukup memberi kesan.

Tulisan ini sekadar meninggalkan rasa kesyukuran bukan kebanggaan. Semuanya dengan izin Allah. Anda juga mampu menjadi lebih hebat dari saya

Berusaha dan berdoalah....itulah tawakal kepada Allah.






______________________________________________________________________________

*Terima kasih:
Naib Canselor UKM. TNC-TNC UKM. Pro Naib Canselor. Pendaftar UKM. Sekuruh pegawai dan staff PKK,Pusat Kevudayaan, Pusat Citra, Prof Dr Kamarudin Said, Prof Madya Dr Ariff PermataPINTAR. En Fadzil Ikhwan. Ismail Ibrahim. Khalil Alwi (pesara UKM). Dr. Mohamad Omar (mabtan boss). Selamah Nekman. Anda yang memang terlibat dalam pembentukkan keperibadian saya tetapi tidak disebutkan di sini.

4 Disember 2016 Jam 9.15 pagi.
Wad 5D Katil 23 Hospital Canselor Tuanku Mukhariz (PPUKM)

23 November 2016

Kami akan pergi jua

Semalam saya melangkah masuk bilik Bankuasi untuk menghadiri kursus pasca perkhidmatan. Wau...ramai saya melihat rakan-rakan bakal pesara mendaftar diri untuk kursus ini. Masing-masing ada yang terkejut..."eh kau dah nak pencen?". "bila nak pencen ni?" "saya option". Itulah antara dialog yang memecah bilik Bankuasi UKM.

Anak-anak muda UKM mungkin tidak ramai yang mengenali kami. Kalau kenal pun mungkin antaranya adalah kerana rakan sepejabat yang kerap mereka panggil abang walhalnya kami sebaya ayah mereka. Atau memanggil kakak walhal usia kami sama dengan ibu atau mak saudara mereka.


Malah dalam 'posting Facebook' saya ada seorang VIP yang berkata "wau ramainya nak pencen?".

Hakikatnya kami akan pencen. Ada yang setahun lagi, ada yang dua bulan lagi. Kami akan pergi meninggalkan bumi UKM yang tercinta. Kami mungkin tidak banyak berjasa kepada anda. Namun ada antara kami adalah penyiram pokok bunga. Ada antara kami juga merupakan penyedia tabung uji untuk persediaan makmal bagi praktikal pelajar.

Inilah kami. Kami menyertai UKM ketika anda belum lahir. Ketika anda baru masuk sekolah rendah. Waktu itu anda mungkin belum ada PhD. Namun ada yang tidak pernah tahu itulah kami yang menaikkan nama UKM ketika itu terdapat ramai anak-anak tempatan ke luar negara untuk menyambung pengajian peringkat pasca siswazah.

Hari ini kami datang belum bertongkat. Hari ini kami masih belum berkerusi roda. Tetapi tahukah anda ketika kami meniti perjalanan ini pernah dibedah. Pernah di 'koyak dada', pernah ditebuk Buah Pinggang. Pendek kata mengidap penyakit kemudian kami bangun semula.

Tulisan ini bukan menagih air mata. Tetapi tulisan ini ingin mengajak anak-anak muda ingat masa depan. Jaga kesihatan. Jaga hilai tawa. Jaga simpanan jangan memboros. Kerana ketika kami pergi anda akan dewasa bersama UKM yang akan menyambut 50 tahun.

Kursus kali kedua pada 5 April 2017


01 September 2016

Jadilah pesakit yang beriman

Saya telah menulis agak panjang mengenai tahap kesihatan di Ya Allah Panjangkan Usiaku. Kali ini saya ingin menulis bagaimana saya menempuh hari-hari sebagai pesakit yang ada kalanya tahap semangat menurun pada paras yang rendah. Hal ini adalah biasa bagi seorang yang mengidap sebarang penyakit. Tambahan jika pesakit itu masih boleh berbual dan memikirkan masa depannya.

Ketika kita sakit ramai orang akan datang ziarah. Mereka mencari pahala dan memberi pahala kepada kita. 


Jam 12.30 tengahari, 18 Jun 2015 | 1 Ramadan 1436H saya dibawa
ke bilik bedah. Keluar semula jam 6.30 petang.


Jam 10 pagi tanggal 13 Julai 2016 | 8 Syawal 1437H
Saat saya dibawa ke bilik bedah hanya Allah sahaja
yang tahu perasaan isteri dan anak-anak melihatnya. 
Keluar semula jam 1 petang.


Hukum melawat orang sakit adalah fardu kifayah menurut jumhur pendapat ulama. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra maksudnya :




“Ada lima Hak seorang Islam keatas orang Islam yang lain : menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya, dan mendo’akannya apabila dia. (Rujukan: Sila klik)


Namun tidak dinafikan ramai keluarga dan kawan tidak sempat untuk menziarahi kita kerana faktor jauh dan sibuk dengan keluarga. Harus diingat tidak semua keluarga dan kawan akan menziarahi kita sepanjang masa kerana mereka mempunyai tanggungjawab sendiri dalam hidup ini. Maka kita kena redho dalam perkara ini.

(Kehadiran keluarga dan rakan-rakan tidak dapat dinafikan telah mampu memberi semangat kepada saya ).


Khalil, sahabat lama saya


Kehadiran Ahli Senat UKM (Prof Ir Dr Othman Karim )
dan Pegawai Hal Ehwal Islam HCTM.


Rakan-rakan sepejabat saya.


Kehadiran Naib Canselor UKM, YBhg Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali
telah memberi kekuatan yang amat besar kepada saya


Oleh itu selagi kita dalam keadaan sedar maka kita harus berlapang dada dengan semua keadaan ini. Usah diikut perasaan hati dengan keadaan ini kerana ia adalah cubaan Allah untuk kita. Lagipun tidak semua keadaan pesakit boleh dizaiarahi misalnya pesakit yang mengidap sakit berjangkit. Ada pula pesakit yang perlu direhatkan maka doktor melarang untuk diziarahi.

Pengalaman saya berada di katil Wad 5D Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM)-PPUKM pada 17 hingga 22 Jun 2015, pada 11 hingga 14 Julai 2016, pada 17 hingga 23 Julai 2016 dan 23 Ogos 2016 memberi pengalaman yang amat berharga. Jangka masa yang lama membuatkan Jururawat sudah mengenali saya. Tambahan saya staff UKM maka layanan memuaskan hati  walaupun tidaklah sebagai VIP. 

Layanan sebenarnya bukan seratus paratus kerana saya staff UKM tetapi kerana mungkin saya tak banyak buat kerenah walaupun pada 18 Jun 2016 selepas dibedah saya berada pada tahap separuh sedar. Saya dimasukkan ke wad separa kritikal pada malam 19 Jun. Saya beri bantuan saluran Oksigen setelah pembedahan selama 6 jam pada 18 Jun. Menahan kesakitan adalah perkara penting dalam mengendalikan perasaan.

Bebalik kepada saudara mara dan kawan yang menziarahi saya pasti mempunyai berbagai kerenah. Kerenah ini bukan apa, mereka mahu kita kembali pulih seperti sedia kala. 

  • Kenapa tak berubat cara kampung?
  • Tangguhlah dulu bedah ikhtiarlah cara batin.....
  • Kalau bedah nanti tisu badan akan rosak.
  • Amalkan makan makanan ini.......(dicadangkan berbagai makanan tambahan).
    Gambar CT Scan (berwarna putih sebelah kanan) yang menunjukkan kedudukan Batu Karang
    sebesar 7 cm

Itulah antara yang membuatkan saya jadi keliru. Sedangkan doktor pakar memberi amaran dengan lembut; "Jangan makan sebarang ubat selain ubat hospital dan jangan makan sebarang herba....".

Dua minggu sebelum dibedah pada 18 Julai 2016, puteri sulong membawa saya bertemu dengan seorang pengamal perubatan altinatif. Caranya bagus juga. Memberi semangat bahawa Batu Karang saya tidak besar. Beliau memberi ubat untuk rawatan. Selepas makan ubat tersebut urin saya kelihatan bersih. Tapi ketika pembedahan dibuat pada 18 Jun 2016, Batu Karang agak besar hingga hampir penuh botol urin yang sering diberikan kepada pesakit untuk membuat ujian air kencing. 

Batu Karang yang dikeluarkan pada 18 Jun 2015.



(Dua gambar diatas adalah jenis Batu Karang yang dikeluarkan dari Buah Pinggang saya. Gambar atas adalah Batu Karang yang baru dikeluarkan berwarna kemerahan kesan darah. Batu ini teradapat bau air kencing. Manakala gambar dibawah Batu Karang yang telah berusia setahun selepas dibedah. Masih terdapat bau air kencing. Lima biji Batu Karang tersusun dibawah adalah batu yang keluar dari saluran kencing seminggu selepas saya dibedah. Oleh itu kepada anda yang takut dibedah maka lihatlah jenis Batu Karang ini. Jika tidak dibuang kesannya akan mencepatkan kerosakkan Buah Pinggang. Nasihat saya berubatlah cara yang betul sebelum menyesal!! ) Sila baca rencana mengenai jenis-jenis Batu Karang.

Selepas pembedahan kali pertama saya kembali berjumpa doktor pakar di klinik Surgery HCTM. Batu Karang saya masih terdapat dua biji dalam Buah Pinggang sebelah kiri. Pada bulan April doktor memberi tarikh baru untuk dibedah iaitu pada 13 Julai 2016. Saya yang minta tarikh itu. Kerana bulan Mei dan Jun saya akan menunaikan umrah. 

Kedudukan Batu Karang yang berbaki selepas pembedahan
18 Jun 2015


Sepanjang tempuh menunggu tarikh 11 Julai 2016 untuk masuk wad, hati saya tenang. Saya banyak menunaikan solat taubat, hajat, tahajut dan duha. Kebetulan ketika itu saya sedang bersiap untuk menunaikan umarah.

Ketika menunaikan umrah hati saya tenang. Dalam Raudah di Masjidil Nabawi dan depan Kaabah saya memohon kepada Allah agar pembedahan saya selamat. Ketenangan berada pada tahap yang baik ketika itu. Balik ke tanahair saya sambung lagi melakukan kyiamulai. Kebetulan ketika balik ke tanahair bulan Ramadan masih muda. Saya ambil kesempatan itu untuk meminta Allah selamatkan saya.

Umur kita hak Allah. Oleh segala penyakit yang datang itu pun adalah hak Allah. Kita usah kesal. Kita usah berputus asa dengan ketentuan-Nya. Tulisan saya di sini dan di Ya Allah Panjangkan Usiaku juga sebagai panduan untuk kita  merenung kembali hak-hak Allah. Kita ditakdirkan mendapat apa jua penyakit adalah ditentukan oleh Allah. Berat atau ringan itu hak Allah juga. Oleh itu pesan saya jika hendak berubat pastikan perubatan yang tidak mengelincirkan iman. Kita orang Islam maka buatlah mengikut lunas-lunas Islam.

Penyakit datang dengan ubatnya. Maka berubat juga kena berhati-hati. Ada orang ketika sakit lupa Allah. Sedangkan Allah yang menurunkan penyakit itu kepada kita. Kita mungkin melakukan kesilapan terhadap tubuh badan kita maka kembali bertaubat kepada Allah. Kita makan dengan makanan yang merosakkan badan. Maka kita dah memusnahkan tubuh badan yang diamanahkan. Oleh itu berubat dan bertaubatlah.

Gunakanlah kaedah perubatan yang tidak memusanahkan iman. Gunakan doa-doa yang mustajab disamping memakan ubat yang bersesuaian. Lakukan solat untuk kembali ke jalan Ilahi. Allah dengar rintihan kita. Solat Tahajut membuatkan diri kita lebih dekat dengan Allah. Solat Duha memanjangkan rezeki kita. Minta rezeki dimurahkan maka pastinya umur kita akan panjang. 

Bersedekahlah dengan kadar yang termampu. Kerana sedekah mampu mengubati banyak penyakit termasuk penyakit jiwa. Bila jiwa tenang, fizikal akan sihat. Bayarlah zakat untuk menyucikan harta. Bila harta dah suci maka kita makan rezeki yang halal. Setelah makan makanan yang halal Insyaallah penyakit akan pulih. Orang yang membayar zakat dan bersedekah orang itu akan sering mendapat doa daripada orang lain. Terutama orang miskin. Doa orang miskin memujarabkan kepada pemberinya.

Itulah perkara-perkara yang saya lakukan. Saya pasrah kepada Allah. Saya elak bertemu bomoh (amalan syirik) yang akan menyesatkan. Bedah batin? Ingat kalau ada bedah batin Rasullullah lebih awal dibedah oleh Jibrail. Tetapi Baginda dibedah didepan kawan-kawannya. Jibrail membedah dan membersihkan hati Rasullullah dengan Air Zam-Zam. 

Tapi kena ingat berubat dengan doktor juga harus berimankan bahawa Allah yang akan menyembuhkan bukan doktor. Doktor hanya pelakukan yang diberikan ilmu oleh Allah. Oleh itu doa lebih diutamakan bersama berubat dengan doktor. Maka itulah yang dikatakan Tawakal.

Kedudukan Batu Karang saya yang discan pada 19 Julai 2016.
Telah kecil.

Saiz Batu Karang dirakam oleh CT Scan pada
27 Septembe 2016. Berbaki satu sahaja lagi.




Ini nota  bertarikh yang saya hantar kepada seorang sahabat seorang ustaz bertarikh 24/06/2015 9.26 PAGI

" Assalamualaikum ustaz. Disaat saya diuji banyak perkara yg tercetus dlm minda ini. Rasanya perkara yg saya kisahkan tak molek d tulis dlm FB amat kuatir dikatakan riak. Takut siapa yg tak takut. Malahan saya bersedia jika itu yg Allah tentukan. Namun saya yakin mati pasti. Dan ketentuan itu Allah saja tahu. Saya berlapang dada apabila mengenangkan hubungan silatulrahim saya amatkan antara keluarga dan sahabat. Saya hubungi persatuan anak yatim dimana sumbangan dibuat setiap bulan. Minta mereka doakan saya. Saya yakin dengan doa fakir miskin yg menerima sebahagian zakat saya yg dibuat melalui potongan gaji. Malahan saya telah membuat wasiat harta yg ditinggalkan diinfaqkan beberapa peratus kpd anak-anak yatim, surau taman saya. Kekuatan kefahaman saya pada quran dan hadis maka lakukan. Syukur ustaz, saya dapat masuk bilik bedah utk 6 jam dgn wuduk. Saya tidak diberikan mimpi neraka ketika dibius. Saya tidak diberi mimpi syurga ketika itu kerana saya beriman kedua-dua tetap ada. Ustaz, saya berikan pengalaman ini mungkin dapat ditazkirahkan di mana jua ustaz diberi peluang. Memang hebat ujian Allah. Cukup hebat kuasa Allah. Maha Pengasih Dia kepada kita. Saya antara hambaNya telah menemuinya. Selamat berpuasa."




Ini nota-nota bertarikh 20/07/2016 6.05 pagi yang saya hantar kepada seorang pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM yang memberi semangat ketika saya menderita di katil hospital:


"Assalamualaikum Dr. Malam ini saya tidur dengan nyenyak dan aman sekali. Terima kasih dengan prihatin peribadi Dr dan doa buat saya. Dr adalah antara ribuan org termasuk isteri dan anak2 yg berdoa buat saya. Ini rahmat Allah berikan kpd saya. Saya telah membulatkan tekad bahawa dlm beriman Allah sentiasa bersama kita dlm apa jua keadaan. Sebab itu ketika sihat telah mendirikan solat sebaik mungkin. Kerap melakukan tahajut dan dhuha. Kekuatan ini dtg lebih kuat ketika hendak ke tanah suci dan ketika berada di sana. Syukur ketika balik ke sini Ramadan masih muda tahun ini. Ini isi hati saya sebagai pesakit utk Dr kongsikan dlm dakwah di masa depan. Saya izinkan. Iman kita akan turun atau tidak pastinya ketika diuji dengan sakit.


Tetapi saya diberitahu ketika sakitlah kita sedang diampun dan ditawarkan syurga.


Mana mungkin seorang isteri yg akan sanggup setiap minit berada disebelah kita kerana dia juga ada tanggungjawab sendiri kpd dirinya. Jadi semasa kekosongan itulah Allah tetap mendengar rintihan kitakan....Walaupun dlm solat dan doa telah saya mohon tetapi saya tak malu ketika berbaring diwaktu pesakit lain sedap tidur menahan sakit saya merintih dengan Allah. Keajaban berlaku pedih saya di kawasan surgery hilang dan terasa dingin. Inilah nikmat yg telah saya perolehi itu. Saya belum pasti akan diberi lagi jika lupa kpd-Nya dan tidak memohon. Rasanya inilah yg kerap diperolehi oleh ulamak kita. Kisah tuan guru Nik Aziz bertahajut ketika sakit saya ambil ikhtibar. Malah seorang bekas bilal di kampung saya juga yg solat berbaring hingga kini ambil tauladan.


Maaf dengan catatan yg panjang. Itulah hakikat kita yg kena dikongsi bersama.
Assalam dan salam Subuh dari katil 21 wad 5D"



Insyaallah catatan ini dan catatan di Ya Allah Panjangkan Usiaku belum tamat. Saya akan menulis demi meluahkan apa yang berada dalam fikiran saya. Saya akan menulis selagi ada kudrat demi menyelamat iman saya dan sesiapa saja. Namun jika tulisan di Ya Allah Panjangkan Usiaku tidak bersambung maka itu tandanya saya sedang tenat atau telah kembali ke Rahmatollah. Maka jika itu terjadi ampunkan dosa saya. Halalkan makan minum saya selama kita bersama. Mati itu pasti maka kita wajib beriman kepada-Nya. Wallahuwaklam. Amin

Abd. Raai Osman, Desa Sentosa, Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Selangor.
raaios@yahoo.com 

25 Mei 2016

Catatan Umrah

Insyaallah saya dan keluarga akan mengadakan ibadah Umrah serta ziarah ke Madinah mulai 29 Mei hingga 9 Jun 2016. Saya akan membuat catatan sepanjang Umrah tersebut di laman berikut (sila klik >Umrah dan Ziarah saya bersama keluarga ). Anda boleh mengikuti siri ini secara lengkap selepas saya balik ke tanahair.

Semoga Umrah saya dan keluarga berjalan dengan sempurna dan diterima Allah Subhanahuwataala.

18 Mei 2016

Hari ini UKM berusia 46 tahun

“Kamu ditempatkan di Fakulti Sains kat Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur” kata kerani yang mendaftarkan nama saya di Pejabat Pendaftar UKM Bangi.Seingat saya nama kerani tu abang Misro.

5 November 1979 saya masuk bilik makmal yang tertera namanya Bilik Gelap. Khalil Alwi (Haji) menyambut saya. Beliau seorang Pembantu Makmal di situ tetapi tugasnya mengambil gambar.
Maka jadilah saya seorang kakitangan UKM seperti orang lain yang masuk kerja keluar kerja di kampus sementara di Jalan Universiti Petaling Jaya. Pejabat pentadbiran kami di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur. Ketika itu kampus tetap UKM telah ada di Bangi. April 1982 kakitangan makmal UKM mula berpindah ke Bangi.

Ketika itu Bandar Baru Bangi belum membangun seperti sekarang. Pengangkutan utama ialah bas Sum untuk ke UKM manakala bas Foh Hup jika hendak ke Kuala Lumpur. Kalau cerita pasal sesak dalam bas usah cakaplah. Naik bas ikut tingkat adalah perkara lumrah.


Saya bertuah kerana waktu itu dapat berkawan dengan staff senior UKM yang memilik nombor pekerja angka dua dan tiga. Abang Dali, Abang Alias, Wak Repin, Md Zain, Mimi Nora, Md Noor Hassan, Seberi, Baba, Minhat adalah diantara nama-nama orang lama UKM. Sebagai budak baru, saya banyak bercampur dengan mereka.

Saya diantara staff yang melihat susah payah membangunnya UKM. Kalau nak cerita soal peralatan fotografi ketika itu tidaklah secanggih sekarang. Tapi dari situlah kami menghasilkan gambar-gambar hasil penyelidikan pensyarah dan pelajar. Ramai diantaranya kini menjadi saintis, Profesor, tokoh-tokoh terkenal di negara kita.

Pernah sekali tu Dato' Sri Liow Tiong Lai menyapa saya dalam satu majlis di UKM “ehhh U masih kerja ?.....Ini kawan lama masa saya buat tesis dulu” sambil memandang wajah Naib Canselor ketika itu. Beliau adalah alumni UKM yang pernah menggunakan idea saya untuk merakam gambar spesimennya.

“Nak tahu apa kerja saya masa kat UKM dulu tanya Raai ni....” kata Ketua Pengarah FRIM dalam satu majlis di UKM.

Itu adalah antara imbasan kenangan dengan alumni UKM yang telah menjadi orang hebat. Saya melihat pembangunan UKM didepan mata. Banyak kisah pahit manis. Banyak kisah suka duka yang saya lihat menerusi mata dan kamera. Ada kisah yang boleh diceritakan ada kisah yang harus dirahsiakan.

Ada individu meluahkan rasa hati apabila gagal dalam temuduga. Ada kisah susah payah membuat kajian dimakmal. Ada kisah diusik makhluk halus dan sebagainya.
Kisah menarik bila hari gaji. Sistem menggunakan cek. Pergi mengambil cek di Jalan Pantai Baru kena tukar di Bank Bumiputra Universiti Malaya. Gaji ketika tu kecil lagi tapi nak dapat wang separuh hari kena beratur.

Pada tahun 1982 pembangunan UKM belum lengkap. Jalan masuk dari pintu utama hanya tamat di Fakulti Sains. Bangunan Dewan Anwar Mahmud dan Fakulti Ekonomi masih dalam pembinaan.

Saya berkhidmat di Fakulti Sains hingga 2007. Julai 2007 saya berhijrah ke Penerbit UKM. 2013 saya ditempatkan di Pusat Komunikasi Korporat.

Kisah jodoh. Oleh kerana UKM masih baru dan belum wujud banyak pejabat  kerajaan dan swasta ketika itu maka skop jodoh banyak berlengkar dalam UKM. Mejoriti UKM mendapat jodoh dari kalangan staffnya.

Catatan ini saya buat sempena 46 tahun UKM. Saya cuma ada setahun lebih lagi untuk bersara. Saya tidak akan tamat cacatan ini setakat ini. Insyaallah ia akan diteruskan selepas bersara kelak.




03 Mei 2016

Rencana yang tersiar di Mingguan Malaysia 2 Mei 2016


Jurufoto adalah muzium bergerak

Saya baru berbual-bual dengan mantan wartawan sebauh akhbar perdana yang  kini bekerja di Universiti Perguruan  Sultan Idris (UPSI). Setelah saya memperkenalkan diri sebagai Jurufoto, beliau langsung berkata “tahu  tak, Jurufoto ni umpama muzium bergerak?”. Oleh kerana istilah itu  saya dengar untuk pertama kali, lantas saya hanya menggelengkan kepala.

“Jurufoto ni hendaklah menyimpan dengan sempurna segala bahan gambar yang pernah dirakam”, sambung rakan  itu dalam slang Kelantannya. Saya menganggukkan kepala tanda setuju seratus peratus.

“Jangan dibuang, jangan di5Skan bahan itu. Bahan ini akan menjadi sejarah suatu masa nanti”, tekan beliau.
Topik ini ada kesinambungan dengan perbualan saya dengan seorang rakan Jurufoto sebuah akhbar perdana sebelum ini. Beliau juga kesal apabila banyak hasil karyanya tidak disimpan. Bila ada peluang untuk menulis atau mengajar dalam bidang fotografi, bahan berasaskan foto tiada.

Gambar tahun 1980

Gambar tahun 1980
Sebagai orang lama dalam bidang fotografi sebenarnya perbincangan ini jarang terjadi dikalangan Jurufoto. Ramai hanya berbincang topik kamera yang baru dibeli, alat tambahan dan harga gambar untuk pelanggan. Kita jarang membicara bahan kerana ada masanya kita hanya membuang sahaja atas dasar bimbang hakcipta dicuri, disabotaj atau atas dasar kepentingan pelanggan kuatir menjadi bahan fitnah terutamanya yang melibatkan individu ternama.

Dasar 5S bagus. Cuma pada hemat saya, membuang tanpa melihat kepentingan bahan itu amat menyedihkan. Kerana ada ketikanya bahan lama akan digunakan semula disuatu masa nanti.

Sepanjang saya terlibat mengajar dan menulis dalam bidang fotografi, bahan-bahan gambar lama amat diperlukan. Gambar-gambar hitam putih, negatif dan slide dari media filem masih saya simpan hingga ke hari ini. Begitu juga jika anda kamera lama ia boleh dijadikan bahan pameran dan pengajaran pada masa hadapan. Banyangkan kamera digital pertama saya masih boleh ditunjukkan ketika memberi kuliah.

Usaha Jabatan Penerangan Malaysia harus disanjung kerana kaedah penyimpanann gambar begitu kemas dan teratur. Banyak bahan-bahan sejarah tersimpan di sana. Adalah menjadi harapan saya akan ada organisasi lain boleh belajar dan mencontohi kaedah penyimpanan di sana.

Kampus utama UKM ketika dalam pembinaan disekitar tahun 1970an

06 Februari 2016

Dunia Alam Maya: Media Sosial, Blog dan Laman Web

Sebelum wujud Facebook (FB) saya sudah memiliki laman blog (Blogspot). Laman web pertama saya menggunakan tapak Tripod.com. Kemudian saya memiliki akaun laman web di tapak web UKM, tempat saya bekerja sejak 1979. Apa kepuasan yang saya perolehi?


Saya bukan manusia istimewa. Tapi saya mampu mengumpul rakan FB seramai 4141 orang sehingga rencana ini ditulis (6 Febrauari 2016). Manakala halaman FB bernama Raaiman Photo Active mampu menaikkan like  seramai 2155. 

Saya mampu menaikkan capaian blogspot kepada 67720 pada 6 Februari 2016. Saya juga mampu memiliki laman web senifoto yang dicapai oleh lebih 10 ribu pelawat. 

Kenapa kegilaan ini boleh terjadi. Ia tidak lebih dari satu kepuasan menyebarkan maklumat kepada pelawat. Saya bangun dengan sendiri tanpa sijil dan diploma mahupun ijazah dalam bidang ini. Saya memperolehi ilmu dan pengetahuan dengan mencari sendiri. Ramai rakan membantu. Namun kemahiran ini datang dengan sendiri dan kuasa Allah. Pernah capaian di halaman FB pada gambar yang dimuatkan sebanyak hampir 46 ribu 6 Februari 2016. Lihat laman berkenaan sila klik

Petuanya saya ingin memberi maklumat dan menyebarkan pengalaman dan ilmu yang saya ada. Disamping itu saya ingin menyampaikan dakwah secara tidak langsung. Misalnya dalam tulisan mengenai solat tentera, saya ingin menyatakan solat bukan perkara main-main bagi orang Islam. Dalam apa juga keadaan ia adalah wajib.

Begitu juga dalam Ya Allah Panjangkan Usiaku saya menulis beberapa hari selepas keluar dari hospital kerana pembedahan. Saya ingin menjelaskan dalam mengalami azab kesakitan jangan lupa Allah. Jangan pergi berubat tanpa bersandarkan kepada Allah.

Saya sedar, saya dilahirkan sebagai Jurufoto, Penulis. Oleh itu berdakwah dalam bidang ini satu cara yang mudah dan selesa. Saya tidak perlu menjadi ustaz. Sebab jika itu matlamat saya sudah tentu saya digelar USTAZ FB. Namun dengan sepotong ayat saya berharap pembaca akan memahami bahawa mereka ada tanggungjawab sebagai orang Islam yang beriman. Saya bersyukur puteri sulung mampu menjadi penyunting blog dan laman web saya. 

Kepada anda yang berminat menggunakan media sosial sebagai wadah menyampaikan maklumat ada beberapa perkara harus difahami agar orang tidak bosan dengan kita dan melarikan diri.

  1. Letakkan matlamat untuk apa laman kita diwujudkan
  2. Gunakan nama yang betul agar mudah dikenali oleh rakan. Dengan cara begini mungkin boleh menyambung silaturrahim selepas tamat pengajian atau bersara
  3. Letakkan gambar yang sesuai dengan diri kita. Jika tidak ingin gambar sendiri, boleh gunakan gambar kita bersama suami atau isteri. Tidak manis menggunakan gambar kucing atau basikal. Kalau tak mahu dikenali jangan wujudkan akaun blog atau FB!
  4. Jangan mengirimkan gambar dalam perkara yang sama bersiri nanti rakan bosan. Misalnya gambar pergi seminar, gunakan kaedah album. Jika ingin menambah tambah dalam album yang sama.
  5. Pastikan gambar tidak kabur. Kalau kabur elok tak payah masukkan. Walaupun anda bukan seorang jurufoto tetapi itu umpama menulis dengan tangan secara comot....
  6. Elakkan meletakkan gambar yang menampakkan belakang manusia atau susuk tubuh yang 'sexy' sebab mana tau selepasa tersiar gambar itu anda meninggal dunia. Pastinya ia memberi kesan ketika di alam barzah!
  7. JANGAN salin gambar orang lain tanpa memberi kredit kepada tuan punya gambar. Jika minat dengan gambar itu gunakan fungsi kongsi (share).
  8. JANGAN menumpang FB orang lain untuk mengiklan perniagaan anda. Nanti kita akan hilang rakan FB. Mentang-mentang rakan itu ramai pengikut kita kongsi dengan dia.
  9. Bijak dalam pendirian. Jika tak minat dengan apa-apa topik (misalnya politik atau sebagainya) baca saja tanpa komen dan like.
  10. Anda boleh pilih rakan yang diminati tanpa paksaan...itu hak anda.
  11. Jika menwujudkan halaman FB, sudah pasti rakan yang like pasti akan menerima hebahan setiap kali anda membuat posting, justeru jangan masukkan lebih tiga kali sehari status anda. Ia tidak seperti FB peribadi ia hanya wujud di halaman utama. Seperti pesanan Dr Irfan dalam satu ceramahnya jangan kerap promosi perniagaan anda tetapi gunakan kaedah mengajar baru orang minat nak ikuti halaman kita. Misalnya hendak menjual tudung terangkan cara memakai tudung bukan hebahan menjual tudung. Orang yang like halaman kita ada hak untuk mengundurkan diri.
  12. Jika anda hendak berniaga dalam laman sosial daftarlah dengan Suruhanjaya Komunikasi.
  13. JIKA anda ingin berjaya dalam laman sosial apa salah guna sedikit wang untuk iklan dan promosi.
  14. Jadikan laman web atau laman sosial bukan medan membuat fitnah dan berkelahi. Sebab hidup kita tak siapa yang tahu sampai bila akan kembali ke rahmatollah. Jika itu yang kita lakukan meraunglah kita di alam barzah.

    Selamat maju jaya.
Lihat topik yang berkaitan: Sila klik

01 Januari 2016

2015 Telah Pergi

Mahu tak mahu 2015 telah meninggalkan kita! Mahu tak mahu 1436 Hijjah telah meninggalkan kita. Ketika saya menulis catatan ini 2016 telah datang. Ramai yang melambaikan tangan kepada perginya 2015. Tapi ramai tidak melambaikan tangan ketika 1436 pergi buat selama-lamanya.

Ketika 1436 meninggalkan kita berapa ramai diantara kita sedih kerana meninggalkan solat, meninggalkan puasa, tidak menutup aurat? Kita tidak sedar usia kita kian berkurangan. Umur meningkat tetapi hakikatnya usia kita untuk hidup tinggal tak banyak mana lagi. Dunia kata pergi, kubur kata mari. Itulah hakikatnya.

Mahu tak mahu 2015 telah pergi. Mahu tak mahu saya juga mempunyai beberapa peristiwa yang harus direkodkan demi peringatan peribadi bahawa Allah itu sentiasa bersama kita. Kalau peristiwa hitam itulah peringatan daripada Allah. Jika peristiwa manis ia satu anugerah dan wajib melafaz syukur.

  • 17 April-Saya menyambut hari lahir ke-57. Syukur Allah telah memanjangkan usia.
  • 17 Jun - Daftar masuk wad 5D Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (PPUKM)
  • 18 Jun- (1Ramadan 1436) Saya melalui satu pembedahan yang dianggap lama. Enam jam tanpa sedar. Keluarga di luar bilik bedah menjadi cemas. Sila klik untuk kisah lanjut. 
  • 22 Jun- Saya  dibenarkan pulang dari hospital. Lebih dua minggu tidak dapat berpuasa Ramadan
  • 14 Julai-Ketika umat Islam sedang menyempurnakan ibadah puasa dan menanti datangnya Syawal, saya menjalani satu lagi pembedahan kecil.
Allah menguji lagi. Ketika saya sedang sibuk dengan tugas di majlis konvokesyen UKM berita diterima bahawa adik ipar isteri sedang sakit tenat di Segamat.

  • 27 Ogos - Saya berpeluang ke Kemboja kerana tugas.
  • 18 Noverber- Saya ke Jakarta misi negara.
  • 5 Disember- Allah mengurniakan seorang menantu lelaki.
  • 5 Disember- Jam 11.50 malam dapat berita adik ipar isteri meninggal dunia setelah terlantar sakit barah paru-paru.
  • 6 Disember- Mahu tak mahu di hari pengkebumian adik ipar isteri kami langsungkan juga majlis walimatulurus puteri kedua saya.
Kehidupan harus diteruskan yang pergi tetap pergi. Kita yang hidup mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai hamba Allah. 2016 hanyalah angka.Usia semakin tua itu peringatan Allah untuk kita bersedia bagi meninggalkan dunia ini.

2016 dan 1437 harus kita tebah walaupun dengan penuh cabaran. Segala masalah itu adalah ujian Allah ke arah kehidupan yang lebih mantap di dunia dan akhirat.


Takdir Allah

  Jika anda membaca status saya tentang hubungan anak, isteri, suadara mara bukan bermaksud saya ada masalah dengan mereka. Mereka tiada mas...