Hari ini UKM berusia 46 tahun
“Kamu ditempatkan di Fakulti Sains kat Jalan Pantai Baru
Kuala Lumpur” kata kerani yang mendaftarkan nama saya di Pejabat Pendaftar UKM
Bangi.Seingat saya nama kerani tu abang Misro.
5 November 1979 saya masuk bilik makmal yang tertera namanya
Bilik Gelap. Khalil Alwi (Haji) menyambut saya. Beliau seorang Pembantu Makmal
di situ tetapi tugasnya mengambil gambar.
Maka jadilah saya seorang kakitangan UKM seperti orang lain
yang masuk kerja keluar kerja di kampus sementara di Jalan Universiti Petaling
Jaya. Pejabat pentadbiran kami di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur. Ketika itu
kampus tetap UKM telah ada di Bangi. April 1982 kakitangan makmal UKM mula
berpindah ke Bangi.
Ketika itu Bandar Baru Bangi belum membangun seperti
sekarang. Pengangkutan utama ialah bas Sum untuk ke UKM manakala bas Foh Hup
jika hendak ke Kuala Lumpur. Kalau cerita pasal sesak dalam bas usah cakaplah.
Naik bas ikut tingkat adalah perkara lumrah.
Saya bertuah kerana waktu itu dapat berkawan dengan staff
senior UKM yang memilik nombor pekerja angka dua dan tiga. Abang Dali, Abang
Alias, Wak Repin, Md Zain, Mimi Nora, Md Noor Hassan, Seberi, Baba, Minhat
adalah diantara nama-nama orang lama UKM. Sebagai budak baru, saya banyak
bercampur dengan mereka.
Saya diantara staff yang melihat susah payah membangunnya
UKM. Kalau nak cerita soal peralatan fotografi ketika itu tidaklah secanggih
sekarang. Tapi dari situlah kami menghasilkan gambar-gambar hasil penyelidikan
pensyarah dan pelajar. Ramai diantaranya kini menjadi saintis, Profesor,
tokoh-tokoh terkenal di negara kita.
Pernah sekali tu Dato' Sri
Liow Tiong Lai menyapa saya dalam satu majlis di UKM “ehhh U
masih kerja ?.....Ini kawan lama masa saya buat tesis dulu” sambil memandang
wajah Naib Canselor ketika itu. Beliau adalah alumni UKM yang pernah
menggunakan idea saya untuk merakam gambar spesimennya.
“Nak tahu apa
kerja saya masa kat UKM dulu tanya Raai ni....” kata Ketua Pengarah FRIM dalam
satu majlis di UKM.
Itu adalah antara
imbasan kenangan dengan alumni UKM yang telah menjadi orang hebat. Saya melihat
pembangunan UKM didepan mata. Banyak kisah pahit manis. Banyak kisah suka duka
yang saya lihat menerusi mata dan kamera. Ada kisah yang boleh diceritakan ada
kisah yang harus dirahsiakan.
Ada individu
meluahkan rasa hati apabila gagal dalam temuduga. Ada kisah susah payah membuat
kajian dimakmal. Ada kisah diusik makhluk halus dan sebagainya.
Kisah menarik
bila hari gaji. Sistem menggunakan cek. Pergi mengambil cek di Jalan Pantai Baru
kena tukar di Bank Bumiputra Universiti Malaya. Gaji ketika tu kecil lagi tapi
nak dapat wang separuh hari kena beratur.
Pada tahun 1982
pembangunan UKM belum lengkap. Jalan masuk dari pintu utama hanya tamat di
Fakulti Sains. Bangunan Dewan Anwar Mahmud dan Fakulti Ekonomi masih dalam
pembinaan.
Saya berkhidmat
di Fakulti Sains hingga 2007. Julai 2007 saya berhijrah ke Penerbit UKM. 2013
saya ditempatkan di Pusat Komunikasi Korporat.
Kisah jodoh. Oleh
kerana UKM masih baru dan belum wujud banyak pejabat kerajaan dan swasta ketika itu maka skop jodoh
banyak berlengkar dalam UKM. Mejoriti UKM mendapat jodoh dari kalangan
staffnya.
Catatan ini saya
buat sempena 46 tahun UKM. Saya cuma ada setahun lebih lagi untuk bersara. Saya
tidak akan tamat cacatan ini setakat ini. Insyaallah ia akan diteruskan selepas
bersara kelak.
Ulasan