Galeri

26 Julai 2018

Tsunami di Aceh: Jiwa yang hilang dan semangat yang ada
















Tanggal 26 Disember 2004 saya berada di Segamat Johor. Ketika itu ibu mertua saya sedang nazak dan kembali ke Rahmatolah sekitar jam 3.00 petang. 

Pada sebelah malam jenazah ibu mertua saya dibawa balik ke Muar untuk dikebumikan. Pada 27 Disember 2004 ketika saya sedang menguruskan pengkebumian ibu mertua, terdengar sepupu isteri menceritakan tentang korban ombak besar di Aceh begitu ramai.

Pada sebelah petang saya keluar ke bandar Muar mencari akhbar hari itu. Akhbar yang masih ada ialah surat khabar berbahasa Cina dan Inggeris. Baru saya tahu duduk perkara. Aceh landa Tsunami. Namun hanya berita tetapi tidak gambar yang ditunjukkan. Sejak hari itu saya dan semua orang mengikuti dari semasa ke semasa berita-berita dari saluran TV dan akhbar tempatan. Dunia bersedih.  

Selang beberapa minggu selepas itu saya diminta membantu oleh sebuah agensi kerajaan Malaysia untuk mengajar ilmu fotografi kerana mereka hendak menghantar anggotanya ke Aceh dalam misi membantu. Kemudian saya memperolehi salinan gambar-gambar dari mereka yang menceritakan keadaan sebenar apa yang terjadi di Aceh. 

Pada 5 Julai 2018 saya menerima pesanan dari Whatsap Tuan Haji Razak Hussin yang memohon sumbangan kepada Rumah Anak-Anak Yatim di Banda Aceh. Saya membalas pesanan itu dengan mengatakan ingin ikut serta rombongan beliau pada 20 Julai 2018 dengan perbelanjaan sendiri. 

Tanggal 20 Julai 2018 saya menjejakkan kami di bumi Aceh selepas 13 tahun 7 bulan peristiwa Tsunami pada tahun 2004. Ketika kapal terbang mendarat di bumi Aceh, ia bukan lagi sebuah tempat yang menyeramkan kerana di sinilah suatu masa dulu terdapat ratusan ribu manusia terkorban.  Buktinya terdapat tanah perkuburan besar di Aceh menjadi tanda betapa hebatnya malapetaka Tsunami. Namun saya cuba menggambarkan bunyi deruan ombak Tsunami, bunyi jerit meminta tolong oleh mangsa. 

Ustaz Abdullah yang membawa kami menerangkan dengan penuh semangat bagaimana kejadian ombak besar telah mengorbankan ramai keluarga beliau. Namun, dengan penuh keyakinan beliau membaca doa buat arwah-arwah yang terkorban ketika kami singgah di pusara besar itu. Tidak nampak kesayuan pada wajahnya yang mana saya membuat anggapan ustaz Abdullah menerima ujian ini dengan penuh keredaan.

Ustaz Abdullah membaca doa untuk roh-roh yang disemadikan di Perkuburan Massal di Jalan Bandara International Sultan Iskandar Muda. Perkuburan ini telah menempatkan seramai 46,718 mangsa yang terkorban. Mangsa-mangsa ini ada juga terdapat dari Maldives yang dihanyutkan oleh tsunami. Cuma di sini saya agak kesal kerana ada sekumpulan yang datang dengan bas tidak membaca doa ketika singgah ke perkuburan tersebut. Justeru, saya memohon sangat jika singgah ke sini bacalah doa untuk mangsa-mangsa yang dikebumikan di sini. 

Insyaallah saya akan catat kesan tsunami ini di sini dari sudut yang lain misalnya bagaimana ustaz Abdullah mengendalikan anak-anak yatim selepas peristiwa ini. Paling tepat kata ustaz Abdullah "Agar anak-anak yatim tidak diambil untuk dipisahkan akidahnya!"

Kepada yang telah terkorban kita memohon agar Allah mengampunkan dosa mereka dan dijauhi dari seksaan kubur dan api neraka. Kepada yang ditinggalkan didoakan agar terus tabh dengan dengan ujian besar oleh Allah. Kepada kita yang melihat dan mendengar kisah-kisah ini agar menjadi penduan dan iktibar supaya Allah mengukuhkan iman dan jauhi mara bahaya. Allah menguji kita kerana Dia menyayangi kita. Innalillahhiwainnailaihirojiun, Al Fatihah.

Abd Raai bin Osman P.J.K
Banda Aceh 20 hingga 22 Julai 2018



_______________________________________________________________________________

Tajuk-tajuk yang berkaitan

Rakan-rakan ustaz Abdullah yang menjadi penyumbang
kepada Rumah Anak-Anak Yatim Sri Alain  Banda Aceh sejak 2005






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Wujudkan Tabung Keluarga

Anda sering menghadapi masalah kewangan? Banyak hutang? Penyelesaiannya kita boleh lakukan dengan berbagai cara. Pinjam dengan koperasi, pin...