01 Disember 2018

Setelah Anda Bersara

Oleh: Haji Abd. Raai bin Osman PJK:

Seseorang yang pernah menjawat jawatan JUSA bersalam dengan saya dan saya mengucapkan selamat bersara. Beliau bertanya macam mana suasana bersara? Saya senyum. Senyuman saya itu membuatkan beliau berkata "seronokkan tak payah fikir apa-apa, boleh lama kat masjid atau surau...", saya ketawa kecil dan mengakui kata-kata tokoh yang baru bersara seminggu.

Saya pernah menemui orang yang lebih veteran telah bersara sejak 10, 16 tahun lalu. Mereka bahagia. Ada pula yang saya temui yang baru bersara 2 atau tiga tahun mereka seperti kurang selesa. Itu semua rezeki masing-masing yang sukar kita ramalkan.

Paling bahagia ada yang setahun lepas bersara meninggal dunia. Ada rakan saya dalam tempuh belum setahun bersara dapat panggilan menunaikan haji. Lebih menarik ada rakan yang bersara sudah menunaikan haji, melancong ke negara orang, menunaikan umrah dalam dua kali ke Tanah Suci. Rezeki pada seseorang siapa yang tahu kecuali Allah dan dirinya sendiri.

Bersara pada kontek ini tak kira dari sektor kerajaan atau swasta. Saya pernah mendengar kata-kata orang bekerja makan gaji kalau bersara tidak semestinya kita akan berada dalam lingkungan menjadi orang kaya! Kecuali jika sebelum bersara kita telah membina perniagaan menerusi isteri atau anak-anak yang tidak ada kepentingan dalam mana-mana sektor kerajaan.

Seorang rakan Facebook mengusik saya, jarang ada orang mencadangkan masuk politik selepas bersara kerana kononnya gelanggang politik mampu menjadi kaya. Betul ke?

Selepas bersara, ramai yang jumpa saya bertanya, "abang buat projek apa?" saya kata "rehat...". Mereka kata rugi, saya banyak pengalaman kenapa tak berniaga. Saya senyum bangga kerana dianggap banyak pengalaman. Tapi mereka tidak tahu bahawa pengalaman saya hanya sesuai digunakan ketika muda. Saya akui bersara dalam bidang fotografi adalah muktamat. Kalau saya memegang kamera itu hanya hobi.

Menyesal bersara? Buat apa nak menyesal kerana saya bekerja sehingga genap usia 60 tahun. Saya puas bekerja sejak usia 21 tahun. Lepas SPM saya mengganggur sekejap dengan menoreh getah dan menjadi pembantu kedai getah. Itu pengalaman paling berharga buat saya. Saya faham nilai wang. Selepas saya tamat kursus fotografi saya bertugas di UKM sehingga bersara.

Berhati-hati dengan wang.
Pesara sering kena tipu jika tidak berwaspada.
Elakkan berhutang setelah bersara.
Jangan lupa bayar zakat setelah dapat wang pampasan.
Sebelum bersara saya aktif. Bidang saya menarik. Boleh bekerja dan mengajar. Saya timba banyak pengalaman.

Ramai sekarang menjadi trend ialah bersara awal. Maksudnya jika mereka memilih untuk bersara pada usia 60 tahun mereka mengambil keputusan bersara awal pada usia 56 atau 58 tahun. Jika dalam perkhidmatan kerajaan setelah bekerja selama 30 tahun dan lebih mereka telah memperolehi wang pencen 60 % dari gaji terakhir. Banyak.....Sebenarnya tidak banyak.



Baiklah, saya ingin tumpukan kepada kegiatan anda sebelum pencen.
  1. Bersedia dengan kesihatan anda. Buat pemeriksaan kesihatan. Pastikan anda sihat. Jika tidak sihat dengan penyakit yang kritikal sila buat rawatan susulan dengan hospital pakar.
  2. Jaga rekod perkhidmatan. Jika rekod tidak baik maka  ia akan merugikan diri sendiri jika dibuang kerja. Jangan marahkan pegawai atasan jika anda kerap ambil cuti sakit tanpa sebab. Lagi teruk jika anda kaki ponteng.
  3. Kemaskini KWSP, Cukai Pendapatan. Pastikan semua rekod tiada masalah. Jika layak membayar cukai sila bayar.
  4. Jika ada hutang rumah dan kereta maka pastikan hutang dibayar dengan berekod.
  5. JANGAN membuat hutang baru jika tempuh kerja anda hanya tinggal lima tahun lagi nak bersara. Kecuali anda memiliki harta pesaka yang jelas anda miliki. Walaupun ada insuran yang akan melindungi hutang rumah atau kereta, tetapi bayangkan jika semasa pencen anda membayar hutang untuk tempuh lima tahun.
  6. Jika tiada lagi peluang naik pangkat untuk tempuh dua atau tiga tahun sebelum bersara usah risau. Bekerjalah dengan pangkat yang ada, bekerjalah dengan gaji yang ada. Mungkin anda tidak akan bertahan dengan kenaikan pangkat ketika berusia veteran sedang setelah naik pangkat anda kena bekerja dengan keras.
  7. Jika masih ada anak bersekolah rendah atau menengah ketika lima tahun lagi nak pencen sila buat perancangan kewangan yang betul.
  8. Adalah lebih baik 10 atau 20 tahun sebelum bersara ambil insuran yang boleh memberi pulangan kewangan ketika tamat polisi. Katakan polisi menawarkan RM20 ribu setelah ditolak wang proses anda akan dapat sekitar RM18 ribu. Jumlah itu sudah tentu cukup untuk membantu sesak anda.
  9. Ketika masih bekerja dalam tempuh 20 tahun lagi nak bersara anda boleh masuk koperasi. Jika koperasi tempat kerja anda kukuh ia sudah kira baik.
  10. Jika dalam sektor kerajaan bersedia untuk memenuhkan cuti terkumpul pencen. Ia melegakan anda ketika bersara.
  11. Bersedia dengan kepakaran atau kemahiran anda. Ia mampu membantu ketika masa terluang selepas bersara. Misalnya kemahiran menaip, komputer seperti mahir Photoshop, menjahit, menulis, bertukang, kemahiran baiki barang letrik dan kenderaan dan lain-lain.
  12. Amalkan membayar zakat pendapat atau zakat harta. Jika anda layak membayar maka ia akan menjadi saham akhirat.
  13. Kalau anda orang Islam, kebolehan dalam menguruskan jenazah, jadi Bilal dan Imam sila kemaskini sebelum bersara.
  14. Setiap bulan, beli buku-buku agama, buku motivasi yang mana akan membantu kita setelah pencen. Paling terbaik koleksi Quran dan Tafsir. Buku-buku mahal dan boleh ditolak cukai pendapatan. Semasa ada wang belilah.
  15. Jika anda ada tanah, perniagaan atas usaha keluarga maka bantulah mereka.
  16. Bersedialah menunggu tarikh pencen kerana tarikh itu akan membuatkan anda gembira atau sebaliknya
Kata Dale Carnegie dalam bukunya, How to Stop Worring and Start Living; Kira-kira 90 peratus daripada perkara-perkara yang berlaku dalam hidup ini adalah sempurna, hanya 10 peratus sahaja yang salah. Sekiranya kita inginkan kebahagian, berikan tumpuan sepenuhnya kepada 90 peratus perkara yang sempurna itu, dan abaikan 10 peratus perkara yang lain. Sebaliknya, sekiranyanya kita mahu berasa bimbang, mengusutkan fikiran, serta mahu mendapat penyakit ulser perut, berilah tumpuan kepada 10 peratus perkara yang salah itu dan abaikan 90 peratus perkara yang sempurna (diterjemahkan oleh; Fakharoll Rodziee Don)

Saya telah bersara. Anda telah bersara dan anda-anda yang lain akan bersara. Indahkah alam persaraan? Ada orang kata ya. Ada orang kata tak pasti.

Ada kawan saya selepas bersara berkata, selepas pencen anaknya kena berhenti kerja. Ada kawan saya selepas pencen merancang nak pakai kereta Mercerdes. Ada kawan saya selepas pencen buka kedai dan ada kereta mewah. Ada kawan saya selepas 6 tahun pencen berkerja semula dan dia kata seronok. Saya tak pasti dia seronok atau tidak. 

Sesetengah orang gembira selepas pencen dapat duduk masjid dan surau jadi ajk tempat ibadat. Mencuci masjid dan surau sambil mengajar kanak-kanak mengaji Al Quran. Ada yang jadi Imam, Bilal, tetapi bila ahli kariah tak ramai datang berjemaah dia jadi tekanan. Bila kanak-kanak kotorkan surau dia jadi resah. 

Di mana kita? Azizi Ali dalam bukunya Pesara Jutawan, 90 peratus kemungkinan bahawa anda tidak mempunyai wang cukup untuk persaraan. Penilaian saya ada pesara tidak bahagia dengan alam persaraannya. Ada pesara yang mendapat berbagai penyakit setelah bersara. Saya pernah bertemu seorang yang bersara dari perniagaan (kecil) yang duduk di masjid dan telah tiada sumber pendapatan.

Ramai yang kembali bekerja setelah lapan bulan bersara. Kenapa? Mungkin dia sunyi tinggal dengan isteri yang juga sudah bersara atau sebelum ini tidak berkerja. Apabila dia sunyi dia keluar minum-minum di luar sedangkan isterinya melayan sunyi keseorangan di rumah. Lebih malang ada yang bercerai selepas bersara. Malang juga ada yang berkawin lagi seorang selepas bersara dan terpaksa berhempas pulas bekerja kerana isteri masih muda dan dapat anak seorang selepas berkahwin.

Saya tidaklah lama bersara tetapi sindrom sunyi sudah ada. Mujur saya mengekalkan dan melayan sunyi itu bersama isteri saya dengan aktiviti keluarga setelah bersara.

Berikut saya senaraikan apa yang harus di lakukan selepas bersara:

  1. Setelah dapat duit pampasan sila bayar zakat wang simpanan.
  2. Simpan wang itu dalam tabung yang diyakini dan bekukan di situ untuk jangka masa tertentu.
  3. Jika pampasan anda lumayan melanconglah tetapi harus berjimat
  4. Bertekad dengan azam yang kuat untuk menunaikan haji jika belum pergi.
  5. Tunaikan umrah kerana jika wang kita digunakan ke jalan Allah pasti ada berkatnya. Jika mampu pergi sekeluarga.
  6. Fikirkan untuk bersedekah. Wang kita tidak banyak, tetapi dengan bersedekah pastinya Allah akan membalas kembali. Cuma berhat-hati jangan kena tipu.
  7. Anda beruntung jika tinggal di kawasan perumahan atau kampung yang ramai orang pencen kerana sifat berlumba tiada lagi kerana semuanya telah menjadi wargamas. 
  8. Buat hibah dan wasiat segala harta yang ada biarpun sebuah motosikal yang telah tiada nilai.
  9. Jangan berhutang. Jika ada hutang langsaikan. Jangan ada lagi hutang kad kredit. Jika nak berbelanja dengan wang plastik gunakan kad debit.
  10. Kurang kos telefon, letrik, air, TV berbayar. 
  11. Banyakkan membaca dengan menggantikan menonton siaran TV.
  12. Perbanyakkan senaman. Misalnya berjalan-jalan untuk tempuh satu jam kerana setelah pencen kita sudah kurang berjalan.
  13. Usah mengingati sejarah perjawatan kita. Jangan ingat pangkat kita lagi kccuali jika ada gelaran dari istana.
  14. Menulis buku, blog atau laman web.
  15. Membaca Al Quran bukan asyik belajar sedang membaca tidak, bagaimana nak lancar.
  16. Beritahu anak menantu anda perlukan masa bersendirian bukannya 24 jam menjaga cucu. Sesekali boleh sekadar untuk berhibur.
  17. Pesan kat anak-anak bahawa anda telah bersara bukan ada gaji lagi. Ubah anggapan orang bersara adalah orang kaya baru. 
  18. Gunakan wang secara berhemah kerana ketika kita sakit tak mungkin ada orang mampu membantu.
  19. Jika anda ada penyakit yang berat, lapangkan dada. Redho dengan pemberian Allah. Anggaplah penyakit anugerah Allah yang telah menentukan anda bukan lama lagi nak hidup. Pilih aktiviti hidup yang tidak menyusahkan orang lain. Usah melancong ke luar negara, jika terjadi sesuatu kos pengurusan mahal.
  20. Ingat semua orang telah bersara dan akan bersara. Usah dikenang jasa kita kepada tempat kerja kerana ia akan menyesakkan dada jika orang tidak menghargainya.
  21. Ubah gaya hidup. Ingat tidak elok mengharap mati. Tidak baik meminta mati. Tapi bersedia dengan hari kematian.
Catatan saya sekadar analisa awal. Mungkin tulisan ini akan disunting dari semasa ke semasa. Namun anda mungkin boleh menambah pada ruangan komen untuk berkongsi bersama. Bersedialah untuk bersara. Tapi jangan sedih di malam anda menyambut tarikh lahir ke-60. Ingat Rasulullah wafat ketika berusia 63. Jika kita melebihi usia itu kita adalah Da'i untuk mengubah masyarakat setempat kerana setelah kita meninggal jiranlah insan awal yang akan menziarahi jenazah kita, jiranlah yang akan membaca Al Quran sebelum keranda dibawa ke kubur.

Bersara seronok, bersara amat indah namun jika tidak kena dengan gaya kita akan menjadi manusia yang murung dan anak cucu akan bersedih sebelum kita dijemput Ilahi. Jika kita sunyi, rumah anak-anak yatim boleh dilawati kerana kehadiran seorang Atuk akan menceriakan hidup mereka.....

Kepada pesara dan bakal pesara
cuba baca buku ini.

2 ulasan:

mazni berkata...

Assalamualaikum.Saya aksm bersara awal diusia 52 tahun inshaAllah. Perancangan dibuat seawal 6 tahun lalu dengan mengatur gaya hidup elak pembaziran. Banyakkan bantu keluarga yg perlu. Bersara awal pada saya satu peluang untuk betulkan orientasi kompas hidup, bertenang dalam menghayati tujuan kita dihidupkan.

Unknown berkata...

bersaralah di kampung. Itu yang paling indah.

Galeri

EBook Haji Percuma

Harapan saya untuk menunaikan haji amatlah tipis. Malah saya telah berkata kepada isteri, jika gagal saya wajib buat Haji Badal. Pada Ap...