Ujian Saya

 24 Feb Sabtu jam 1.30 Jabatan Kecemasan HCTM: Acik Mah dibawa masuk ke Zon Kritikal. Saya hanya tunggu di luar untuk urusan dokumentasi. Qila Ra'ai mencari parkir di kawasan HCTM. Saya biarkan dia tidur di dalam kereta tapi dengan pesan jangan hidupkan enjin dan buka sedikit tingkat serta kunci pintu kereta. 




Saya berada di kerusi menunggu dengan menahan mengantuk kerana siang tadi membuat dialisis. Tapi mata tidak boleh tidur kerana keadaan tidak selesa. Sambil-sambil itu saya melayan seorang lelaki cina yang menunggu ayahnya masuk zon merah kerana masalah paru-paru.




Fikiran menerawang kepada Acik Mah yang tadi mendapat arahan Poliklinik UKM Bangi agar dibawa ke mana-mana hospital. Tekanan darahnya normal tapi nadinya 133/minit. 


Saya tidak mahu ganggu kerja pasukan perubatan kerana fahaman saya jika terlalu kritikal sudah pasti mereka akan panggil waris. Sebagai suami pada hemat saya elok isteri saya berehat dan tenangkan fikiran.


Jam 5 pagi saya minta izin masuk untuk tengok keadaan isteri. Mukanya pucat tapi tekanan darahnya 180. Nadinya sudah rendah. Saya keluar sekejap dan masuk semula kali ini tekanan darah sudah normal. 


Saya ambil keputusan balik ke rumah untuk rehat bersama Qilah. Sampai di rumah azan Subuh sudah dialunkan oleh Bilal surau taman saya. Selepas solat Subuh saya mandi dan pasang alat bantuan pernafasan yang wajib digunakan semasa tidur.


Saya tidur selama 3 minit dengan nyenyak. Jam 9.30 saya bangun dan kami bergerak ke HCTM. 


Dalam perjalanan saya minta Qilah menelefon (menggunakan Bluetooth, sebab dia memandu. Saya dengar perbualan itu) kak Long di Muar untuk memaklumkan keadaan adiknya. Itulah satu-satu kakak pengganti ibu bagi Acik Mah. Beliau terkejut. Sudah pasti dia tahu jika anak saya buat panggilan maka saya dan adiknya tidak sihat. 


Pada masa yang sama saya menghantar masej kepada group anak-anak untuk memaklumkan kedaan ibu mereka. Seorang di Petaling Jaya dan seorang di Kemaman, Terenggu.


Sesampai di HCTM isteri saya berada di Wad Pengasingan. Hampir malam beliau dibawa ke Bilik Pengasingan Wad 6H. 


Dalam perjalanan balik, Qilah menghubungi mak longnya untuk memaklumkan kedaan ibunya. Kak Long bersyukur adiknya kembali normal. 


Bagi saya walaupun isteri ada suami yang mampu berdoa tapi hubungan adik beradik jangan diketepikan jika berlaku kecemasan. Restu mereka juga mustahak kerana hubungan darah.


Alhamdulillah walaupun semalaman tidak tidur dan lesu sebab dialisis tapi Allah memberi kekuatan dengan bantuan anak-anak tersayang. 


Kehidupan ini Allah uji kita dengan apa jua masalah tapi yakinlah Dia juga yang membantu kita!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah