28 Disember 2009

Sekali lagi! Bila lagi agaknya?


Kemalangan bas express yang melibat 10 orang terkorban di Ipoh mengejutkan Polis, Bomba, RELA, petugas hospital, wartawan. Sebenarnya lebih mengejutkan lagi ialah keluarga mangsa yang terlibat. Bagaimana dengan pemandu bas express?

Kemalangan melibatkan nyawa seramai 10 orang bukan boleh dibuat main-main. Seorang pemandu yang hanya melanggar seekor ayam atau kucing boleh trauma seminggu. Inikan pula 10 orang.

Sesiapa sahaja yang pernah bertemu bas perjalanan jauh di lebuhraya mungkin sering bertemu dengan pamandunya yang memandu laju. Maaf kepada yang tidak memandu begitu.

Saya pernah memberi laluan kepada sebuah bas yang dipandu laju di belakang kereta saya. Saya pernah melihat sebuah bas membunyikan hon kepada sebuah kenderaan dilebuhraya sedangkan kereta tersebut memandu di lorong tengah.

Saya pernah menaiki bas dari Guar Chempedak, Kedah pada suatu malam. Selepas bas tersebut mengambil penumpang di Sungai Petani, Kedah bas tersebut hanya berhenti rehat di R&R Tapah, Ipoh. Bayangkan waktu itu saya baru tersedar tidur sejak bas meninggalkan pekan Sungai Petani.

Jikalau hendak diriwayatkan kisah bas express memang banyak. Malahan anak saudara saya pernah menegur seorang pemandu bas yang memandu dalam keadaan mengantuk. Senario ini memang menggusarkan ibu bapa yang menghantar anak-anak balik ke asrama atau ke mana-mana pusat pengajian.

Memandu sudah tentu banyak risiko. Seorang atau ramai. Inikan pula membawa penumpang lebih 20 orang.

Saya pernah diberitahu, bas-bas express mempunyai kuasa turbo. Sebab itu kebanyakkan bas-bas tersebut mampu dipandu laju. Namun harus kita ingat kuasa turbo itu hanya untuk memudahkan mereka mendaki bukit.

Pernah seorang rakan memberitahu, beliau memandu bas seorang diri dari Johor Bahru ke Pulau Pinang membawa pelancong dari China. Saya bertanya rakan tersebut tak mengantuk? Kata rakan saya mengantuk memang mengantuk tetapi kena usaha juga kerana syarikat ingin untung tanpa menyediakan pemandu gantian.

Kita faham kalau berlaku kemalangan antara sebab ialah kecuaian. Tidak dapat lari juga untuk dikaitkan dengan takdir. Namun saya fikir kenapa kita yang beragama Islam menggunakan kaedah agama yang ada?

Andai perjalanan pukul 9 malam, pemandu bas mungkin boleh memulakan perjalanan dengan solat hajat dua rakaat, berdoa dan sebagainya demi memohon perlindungan Allah!

Mungkin ada orang berkata "ah kalau nak maut, maut juga". Itu betul, bukankah itu keadah kita. Mana tau kalau berlaku kemalangan pun, tidak lah melibatkan seramai 10 orang. Sebab ada kes-kes yang melibatkan bayangan "hantu" (dakwaan sesetengah pemandu). Namun dakwaan itu tidak laku di mahkamah. Justeru berusahalah dengan memohon pertolongan Allah. Kalau tidak, mana mungkin kita diajar dengan doa memulakan perjalanan?

Kita tidak mahu kejadian "sekali lagi" berlaku melibat kemalangan. Paling menyedihkan ada pula dailog "bila lagi agaknya?" kemalangan ngeri berlaku.

Pada hemat saya bukan sahaja keluarga terlibat yang akan menitiskan air mata melihat keluarga mereka menjadi mangsa. Pada hal pegawai polis dan anggota penyelamat lain juga melihat kejadian itu terlebih dulu menitis air mata namun mereka tetap menjalankan tugas demi kerjaya.

Penumpang harus peka dengan sikap pemandu bas. Mereka boleh menegur. Penumpang membayar harga perjalanan untuk selesa dan selamat sampai ke destinasi. Kepada anda yang akan menggunakan perkhidmatan bas samada perlu atau terpaksa maka ingatlah pesan saya kita ada hak untuk menegur pemadu bas kerana dia dibayar gaji untuk kita.

Mungkin penumpang boleh menggunakan khidmat polis peronda untuk menelefon dan memberitahu kepada mereka andainya pemandu itu degil. Semua ini sekadar berusaha sahaja.

21 Disember 2009

Bos.........


 
Masih lagi berterusan: Gambar dirakam di Hentian Seremban ketika
saya dan rakan-rakan setugas dalam perjalanan ke Tasik Chini
pada 18 Julai 2010.


Ketika ke Klang dua minggu lepas menggunakan lebuhraya Shah Alam Klang, saya telah disapa oleh seorang lelaki sambil memperkenalkan sebuah telefon bimbit. Bentuk dan jenamanya menarik. Saya menggelengkan kepala tanda tidak mahu.


Minggu lepas dan semalam ketika ke Rawang untuk urusan majlis kenduri di rumah anak saudara yang mengahwinkan anaknya, saya disapa lagi oleh sekumpulan lelaki yang menjual telefon bimbit, jam tangan dan cermin mata. Kejadian ini berlaku di kawasan R&R Rawang.

Saya lihat mereka dalam kumpulan yang ramai duduk di tembok dan di tempat duduk yang terdapat di R&R itu. Cara mereka berniaga hanya menegur orang yang lalu lalang sambil menunjukkan telefon bimbit yang hendak dijual.

Atas rasa ingin tahu, ssaya melayan salah seorang lelaki tersebut. Berikut antara dailog yang bualkan dengan lelaki tersebut untuk renungan bersama.

- Telefon ini dapat dari mana?

+Labuan Bos.

-Bukan curi?

+Mana boleh curi Bos, saya tau kerja itu salah.

-Kat Labuan murah sebab tu kami bawa ke sini.

+Plus tak kacau?

-Kacau juga. Tapi itu kerja dia orang. Kita buat kerja ini bukan salah.

+Macam mana barang dibawa ke sini?

-Orang Labuan hantar.

+Kalau beli nanti rosak bagaimana nak baiki telefon ini?

-Hantar ke kedailah (mereka tidak bertanggungjawab servis lepas jualan).

+Ada yang pernah kena tangkap oleh Plus?

-Ada...

+Telefon ini original?

-Original. Murah. Saya tengok kat kedai lebih mahal.

+Cermin mata original?

-Cermin mata bukan original!

+Ada untung berniaga macam ni?

-Cari makan, adalah kadang-kadang sehari untuk satu telefon ni.
Saya telah perhatikan perniagaan begini sudah lama dijalankan di mana-mana hentian rehat Plus dan lain-lain lebuhraya. Mereka lihat sidikit mengganggu orang ramai yang berhenti untuk berehat di situ. Pada hemat saya adalah lebih baik pihak berwajib di leburaya mengambil inisiatif dengan membenarkan mereka berniaga di gerai-gerai dengan sewa yang murah. Itu pun kalau barangan yang dijual itu terjamin mutu dan tarafnya samaada seludup atau tidak.

Walaupun mereka tidak mengugut orang ramai, namun cara mereka sedikit sebanyak mengganggu "kocek" orang ramai yang berhenti rehat sedar untuk melepas letih memandu.

Setakat ini orang ramai hanya bertindak dengan menggelengkan kepala tanda tidak mahu membeli. Apa yang terjadi kepada orang yang pernah memberli dan barang itu rosak. Walaupun harganya murah tetapi masih dalam kiraan ratus ringgit.

19 Disember 2009

Di mana Nana

Dia sepatutnya menghadiri kuliah seorang Profesor pada pukul 11 pagi. Namun beliau datang berjumpa saya terlebih dahulu. Saya pasti perbualan saya tidak patut diketahui oleh orang lain maka saya membawa dia ke bilik seminar yang berdindingkan cermin.

Nana (bukan nama sebenar) tidak hadir kuliah seni foto saya selama 10 kali dari 14 kali. Mengikut peraturan dia wajib saya halang daripada mengambil peperiksaan. Namun sikapnya yang masih menghormati saya dan datang mencurahkan masalah maka saya harus memberikan dia pertimbangan yang adil. Perbualan dimulakan dengan tenang. Namun lama kelamaan saya lihat air jenih bergenang di kelopak matanya. Matanya semakin bersinar kerana air itu.

Nana menghadapi satu masalah yang besar. Saya agak hilang pertimbangan apabila dia memberitahu sesuatu yang sukar saya dengar. Saya mendengar pengakuan itu seolah dari seorang adik atau anak perempuan! Namun saya harus melayannya secara professional kerana saya staff universiti dan dia adalah pelajar (pelanggan).

"Saya protes ayah dan emak kerana kes pak cik saya yang dikenakan hukuman penjara 20 tahun kerana mengedar dadah".

'Saya sayangkan pak cik kerana dia amat baik dengan saya. Namun ayah tidak memperdulikan pak cik sepanjang perbicaraan berlangsung".

"Saya keciwa Encik. Kalau pak cik bersalah pun janganlah ayah buat begitu".

"Saya tidak hadir kuliah setiap Sabtu kerana pergi penjara berjumpa pak cik. Saya tak boleh belajar selepas pak cik dipenjarakan. Pak cik banyak membantu saya sepanjang saya bersekolah dan masuk U".

"Saya merajuk dan sudah lama tak balik rumah. Saya protes dan saya pergi kelab malam. Saya dah di....... oleh beberapa orang lelaki Encik. Saya diperlakukan begitu semasa saya mabuk!"

Saya tergamam. Fikir saya, masakan Nana nak berbohong bila menyentuh kehormatannya. Nana mungkin telah berfikir masak-masak ketika hendak menceritakan masalah itu dihadapan seorang lelaki seperti saya yang seusia ayahnya?

Nana berkata dia nak gantung kursus saya pada semester depan. Malahan kursus lain di universiti. Namun saya menasihatinya agar jangan berbuat demikian demi masa depan.

Namun pada awal semester kedua Nana tidak hadir sepanjang pengajian. Rakan karibnya memberitahu, kursus lain juga dia tidak hadir. Pada fikiran saya Nana sudah berpatah arang. Kesian Nana yang menjadi mangsa keadaan. Nana rosak kerana kasih sayang. Namun perasaan Nana tidak difahami oleh keluarganya.

Di mana Nana, mungkinkah dia masih berulang ke penjara bertemu pak ciknya untuk tempuh 20 tahun? Atau di mana Nana?





18 Disember 2009

Hidayah yang syahdu

1 Muharram 1431
Kali terakhir saya dipertemukan dengan Ariff ialah semasa dia datang untuk menjemput ke majlis perkahiwinannya dengan seorang gadis dari Kelantan. Ariff memberitahu saya neneknya berpesan agar menjaga bakal isterinya baik-baik.

Saya teringat Ariff sempena Maal Hijrah 1431. Kisah beliau sudah lama ingin dicatatkan dimana-mana terutama setelah terbinanya blog ini.Namun ketika itu keadaan Ariff belum stabil maka saya biarkan sahaja.

Kenapa Ariff yang harus saya catatkan kisahnya?

Kisahnya bermula kira-kira lima tahun lalu ketika cuti pertengahan semester. Dia pelajar saya untuk kursus seni foto. Kekeliruan timbul apabila saya membuat semakan daftar nama pelajar ketika musim peperiksaan.Nama di dalam slip peperiksaan lain dan nama dalam daftar kehadiran tidak sama.

Akhirnya semasa semester kedua dibuka semula, Ariff memberitahu saya nama sebenarnya seperti di dalam slip peperiksaan. Manakala dalam daftar kehadiran adalah nama Islamnya.

Saya harus merahsiakan negari asal Ariff dan agama asalnya. Namun saya ingin membawa beberapa kisah syahdu yang berlaku sebelum dan selepas beliau memeluk Islam.

Ariff memeluk Islam di masjid universiti yang diuruskan oleh Ustaz Sobri. Sebelum Ariff memeluk islam, berbagai dugaan cuba menghalangnya. Namun pada satu hari selepas Maqrib beliau bertemu Ustaz Sobri. Akhirnya Ariff  selamat diislamkan.

"Saya merasai amat berlainan sekali setelah selesai diislamkan. Perasaan itu belum pernah dirasainya sebelum ini", terang Ariff.

Suatu hari beliau baru pulang dari masjid menunaikan solat Zohur, ibu Ariff telah menelefonnya bertanyakan sudah bersolat ke belum. Ariff menjawab sudah. Dalam contact ini ibunya bertanyakan solat dalam agama asal, namun Ariff menjawab dalam contact solat Zohur!

Ketika pulang ke kampung dengan kapalterbang dan tiba di sana beliau telah dibawa oleh ayahnya makan tengahari di kedai yang menyediakan makanan tidak halal. Ariff memberi alasan masih kenyang kerana makan di dalam kapalterbang sebelum itu. Sebenarnya menurut Ariff ayahnya ingin menguji taraf keislamannya. Kerana menurut Ariff , ayahnya sudah tahu dia telah memeluk Islam.

Begitu juga semasa keluarganya ke tempat ibadah. Ilham tiba-tiba datang dan Ariff memberitahu dia hendak menunaikan hajat di bilik air. Setelah keluarganya selesai menunaikan upacara agama mereka Ariff keluar dari bilik air.

Airff pernah menceritakan suatu hari di bulan Ramadan, neneknya bertanya "kamu tidak berbuka puasa?". Ariff pun pergi menjamah sedikit makanan untuk berbuka puasa.

"Sekejap sahaja kamu berbuka puasa?" tanya neneknya.
"Ya, kami makan bukan banyak sekadar memisahkan antara buka dari puasa sahaja", jawab Ariff.

Rupa-rupanya keluarga Ariff telah mengetahui dia telah memeluk Islam. Kata Ariff kita perlu menggunakan cara yang berhemah untuk memberitahu keluarga.

Saya banyak membantu beliau dalam mengekalkan semangatnya sepanjang beliau berada di universiti. Baliau sering bertemu saya sambil-sambil minum kami berbincang tentang Islam. Ariff mempunyai pengetahuan yang tinggi mengenai Islam. Malahan beliau pernah memohon untuk belajar di Madinah, namun gagal.

Sepanjang saya mengenali Ariff  saya perhatikan dia banyak dinaungi oleh cahaya Ilahi. Kerana banyak peristiwa yang diceritakan kepada saya dia banyak diuji untuk kembali kepada agama asal. Namun tetaplah janji Allah jika kita menjaga agamanya, Allah pasti menjaga kita.

Kita yang menerima Islam sejak lahir bagaimana?



13 Disember 2009

Boria dan Dikir Barat





























Boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang. Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala di Parsi.

Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu sketsa dan nyanyian. Nyanyian boria diketuai oleh seorang tukang karang (biasanya akan memegang tongkat penunjuk ketika menyanyi). Rangkap karangan boria yang hujung sukukatanya sama setiap rangkap kisahnya berkaitan dengan sketsa yang dipersembahkan.

Sailor yang terdiri lebih dari enam orang di belakang tukang karang akan menyanyi dengan mengulangi rangkap pertama nyanyian tukang karang tadi. Alat-alat muzik boria telah berubah mengikut peredaran masa. Namun begitu penggunaan alat-alat muzik seperti violin, marwas, gendang panjang, akordian, harmonika adalah digalakkan. (wikipedia).















Dikir Barat merupakan satu persembahan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara.

Tukang karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Dikir dikenali dengan pelbagai nama seperti dikir maulud, dikir Pahang, dikir Rebana dan dikir berarak. Dikir-dikir ini dilagukan dengan iringan pukulan rebana atau kompang.

Sejenis nyayian yang terkenal dinegeri Kelantan. Nyanyiannya diringan dengan pukulan rebana. Merupakan kebudayaan yang agak baru dipopularkan. Dinyanyikan secara beramai-ramai dalam bentuk pantun. Seorang ketua yang dikenali sebagai tukang dikir atau tukang karut akan memulai nyanyian yang akan diulang oleh pengiring secara beramai-ramai. (wikipedia).

Dua persembahan diatas telah menjadi persembahan utama di Festival Kebudayaan IPTA 2009 (FEStKUM) yang berlangsung di DCTAR UKM mulai 9 hingga 12 Disember 2009.

Walaupun dua persembahan itu mewakili dua negeri di Malaysia, Pulau Pinang dengan Boria, manakala Dikir Barat datang dari Kelantan namun, ramai siswa/i yang terpesona dengan persembahan tersebut.

Malahan apa yang saya lihat dua persembahan ini boleh dipersembahkan dengan penuh semangat oleh wakil-wakil IPTA masing-masing. Saya fikir sudah tentu tidak semua ahli Boria mahupun Dikir Barat datang dari pelajar yang bukan orang Pulau Pinang bagi Boria, Kelantan bagi Dikir Barat. Pada hemat saya sudah tentu mereka yang pernah mengikuti persembahan kedua-dua persembahan itu akan terhibur. Cuma pada pemerhatian saya sudah tentu orang yang bukan rakyat Kelantan sudah pasti tidak akan faham apa yang didendangkan oleh pendikir. Walau apapun bagi saya yang faham bahasa Kelantan menonton Dikir Barat cukup menghiburkan.

Boria menggunakan bahasa buku oleh Tukang Karangnya. Mudah untuk memahami bait-bait lagunya. Namun yang menariknya sketsa diawal persembahan menggunakan logat utama. Pada saya ini satu kemestian. Sketsa dalam boria satu indentinya kerana ia memberikan gambaran pada lagu Boria yang akan dipesembahkan kelak.

Kalau ada pun usaha untuk memahami bahasa dalam Dikir Barat agak sukar kerana ia menggunakan bahasa Kelantan, namun pada hemat saya ianya tidak usah diubah menggunakan bahasa lain. Ini kerana menggunakan bahasa Kelantan lebih menghiburkan. Kerana ada waktunya ia melucukan.

Sepanjang saya menonton Dikir Barat watak Tukang Karut dan ahli-ahlinya memainkan peranan penting. Contoh, penampilan watak gemuk, gigi rongak lebih menarik untuk menentukan mutu persembahannya!

Saya suka Boria dan Bikir Barat kerana saya memahami apa yang ungkapkan. Bahasa dalam sketsanya adalah bahasa utara slang Pulau Pinang. Dalam Dikir Barat ia menggunakan bahasa Kelantan yang cukup indah. Saya memahaminya kerana saya lama bercampur dengan masyarakat daerah Sik, Kedah yang bercakap menggunakan loghat melayu Kelantan.

Siapa kata anak-anak muda kita tidak menyukai budaya tempatan. Sepanjang hari saya membuat liputan fotografi di FEStKUM, saya melihat DECTAR telah dikuasai oleh anak-anak muda dari siswa/i IPTA. Melihat dalam kelompok mereka ramai anak-anak muda Kelantan, maka saya membuat andaian Dikir Barat tidak akan berkubur.


11 Disember 2009

Permainan Warisan

















Laga Ayam memerlukan tenaga untuk menumbangkan lawan dengan hanya sebelah kaki.

Anda pernah dengar permainan seperti Galah Panjang, Laga Ayam (bukan melagakan ayam jantan tau...), Rebut Negeri, Ketinting, Leret Rim Basikal, Ketuk Keli/Konda Kondi, Tating Lawi, Selambut, Lompat Untai Gelang Getah dan banyak lagi.

Demikianlah antara senarai permainan yang telah dipersembahkan di Temasya Sukan Warisan sempena Festival kebudayaan IPTA. Semalam selama lebih kurang empat jam pelajar-pelajar IPTA telah menyertai sukan-sukan tersebut. 

Saya telah ditanya oleh salah seorang pelajar yang mengambil bahagian permainan Ketuk Keli/Konda Kondi, "permainan abad keberapa ?". Jawab saya mudah sahaja "setahu saya pada tahun 1960an saya dah pernah main Konda Kondi!". Pelajar tersebut ketawa.














Permainan Ketinting juga memerlukan tenaga untuk membuat imbangan badan.

"Wau lama tu, saya rasa nak bagi emak saya main ", balas pelajar itu. Jawab saya kemudaian "emak kamu belum tentu tahu main permainan ini".

Tahniah kepada Jabatan Warisan Negara yang telah berusaha membawa permainan rakyat ini kepada golongan muda, lebih-lebih lagi kepada pelajar IPTA yang bakal menjadi pemimpin di masa depan. Saya juga mencadangkan kepada pelajar-pelajar tersebut agar permainan warisan diketengahkan dikalangan pelajar sekolah apabila mereka menjadi guru sekolah atau pemimpin masyarakat kelak.

Memang pelik jikalau ada kanak-kanak atau muda mudi bermain permainan seperti itu dikhalayak ramai. Katakan bermain tarik upeh. Namun permainan itu boleh diadakan dalam sukan rakyat, sukaneka sekolah atau tadika. Kita banyak mengeluarkan modal untuk membuat sukaneka seperti membeli belon, kerusi, bola pingpong dan sebagainya namun andai kata permainan tarik upeh dianjurkan sudah tentu ada pihak yang akan menjadikan upeh sebagai bahan jualan!

En Me'at Ibrahim dari Pertubuhan Masyarakat harmoni Malaysia yang mengendalikan Kelab Sukan Tradisional Harmoni (KSTH) memberitahu saya, usaha telah dan sedang dilakukan untuk menyelaraskan nama, jangkamasa, pembahagian markah.

"Contohnya ada permainan yang datang dari dua negari yang berlainan nama dan cara permainan. Jadi kami akan menyelaraskan semua itu agar tidak berlaku percanggahan", terang En Meat.

"Sukan ini merupakan alternatif kepada masyarkat. Tidak semua orang bersukan dengan suka popular, jadi kami boleh menguruskan sukan ini dengan menjadi perunding. Malahan kami juga mengendalikan kejohanan diperingkat zon utara, selatan, tengah Malaysia.", sambung En Meat lagi.

** Untuk menganjurkan permainan warisan anda boleh menghubungi kelab terbut di nombor telefon: 03-40326649 atau 012 2153347.

Permainan Galah Panjang memerlukan tenaga dan fikiran untuk menjatuh pihak lawan.

06 Disember 2009

Tak kenal maka tak cinta




















Sejak 3 Disember saya berulang alik dari Bangi ke Pandamaran,Klang kerana bertugas membuat liputan Kejohanan Kriket Undangan Vesiti Asia.

Memandu ke Klang dari Bangi sejauh 120 km pergi dan balik bukanlah satu perkara yang menarik tambahan saya perlu membayar tol RM 18.60 pergi balik. Namun inilah hakikat tanggungjawab maka semua itu saya abaikan. Tambahan hujan turun seawal pukul 4 pagi membuatkan perjalanan ke Klang menghadapi sedikit kesulitan kerana jalan licin.

Kriket. Satu sukan baru bagi saya untuk dirakamkan. Saya buta dari segi permainannya. Undang-undang atau peraturannya saya masih kabur. Justeru diawal tugasan membuatkan saya 'boring' kerana permainan hampir sama sepanjang 5 atau 6 jam berlangsung!

Namun satu suntikan baru telah diperolehi apabila seorang pemandu UKM menerangkan kepada saya serba sedikit perjalanan kejohanan itu. Akhirnya pada 4 Disember saya diberikan sedikit ilmu oleh Mohd Asraf, Penolong Pengurus pasukan UKM. Akhirnya pada pagi 5 Disember Mohd Asraf telah memberikan 'kuliah kriket' kepada saya, Daud dan Kamrul (krew vedio Penerbit UKM).

Inilah yang dinamakan orang, "Tak kenal maka tak cinta'. Akhirnya saya mulai faham peraturan dan bagaimana permainan kriket berlangsung. Tidak hairanlah satu-satu permaian boleh berlangsung dari pukul 10 pagi dan tamat pukul 6 petang. Harus diberitahu, bukan tidak ada rehat. Malahan pada 6 Disember, permaian antara UKM dan Bengladesh yang bermula pukul 12.15 tengahari dengan 29 Over telah berhenti rehat untuk solat Jumaat.


Bukanlah satu perkara yang mudah untuk menewaskan seorang lawan dalam sukan kriket..

26 November 2009

Dua minggu


Seminggu hanya ada tujuh hari dan enam malam. Itulah yang saya ingin beritahu mengenai seminggu yang saya lalui mulai 16-22 November dan 23-29. Rupa-rupanya sudah dua mingu saya meninggalkan pejabat secara rasmi.

16-21 Nov saya berada di Lata Jarom, 21 hingga 29 Nov saya berada di rumah sahaja. Jemu? saya tidak merasa jemu kerana selama seminggu telah berkesempatan mengemaskinikan blog, facebook, photoblog.

Cuma saya merasakan dan membayangkan saya seperti seorang orang pencen. Kerana tinggal di rumah tanpa urusan kerja di pejabat maka saya seperti orang pencen yang hanya menjadikan rumah sebagai perhentian dalam kehidupan ini.

Namun selama beberapa hari saya mengambil peluang bercuti ini bersama tiga puteri yang sedang bercuti. seorang orang bercuti akhir semester, seorang bercuti untuk mendapat tempat menjalankan latihan industerinya, manakala seorang sedang bercuti akhir semester sekolah dan menunggu keputusan PMRnya. Kesempatan ini dilakukan sebaik mungkin walaupun mereka sudah remaja, namun pengalaman bersama mereka ketika bayi dulu cukup menggamit nostalgia.

Saya memperolehi banyak faedah kerana peluang begini mungkin datang sekali setahun. Justeru saya mengambil peluang menjemput isteri ditempat kerjanya di kampus UKM Kuala Lumpur. Paling tidak saya dapat melihat KL setiap kali ke sana.

Melihat KL umpama melihat dunia. Kerana KL menjadi lokasi pelancong luar negara datang melancong. Terutamanya saya sengaja memandu kereta di jalan Sultan Ismail dan ke Bukit Bintang. KL banyak perubahan sejak saya mengenainya 33 tahun lalu.

Ada waktunya saya menjadi kekok memandu di beberapa lokasi di KL kerana sesetengahnya saya hampir 10 tahun tidak memandu di situ. Ada lokasinya sudah hampir 10 tahun saya tidak melihatnya. Kerana faktor masa dan kesibukan maka tidak semua di lokasi itu saya sempat pergi.

Seminggu di rumah menyaksikan saya mengurangkan stress. Saya tidak menjawab panggilan telefon pejabat. Malahan saya juga tidak menjawab telefon bimbit kerana urusan pejabat. Rupa-rupanya semua rakan-rakan pejabat memahami orang sedang bercuti tidak boleh diganggu. Malahan saya tidak menerima respon dalam Facebook. mungkin mereka juga bercuti, atau mereka kuatir saya akan bertanya "tak kerja ke asyik main FB". Saya tidak bimbang kerana di cacatan dinding ada tertulis "sedang bercuti".

Seminggu saya tidak bertemankan kamera kerana Dia direhat setelah bekerja keras di EXPDC Lata Jarom. Namun ada waktunya saya rindu dengan bunyi "Klik" kamera. Insyaalah minggu depan setelah cuti Hari Raya Aidil Adha tamat kamera akan bertugas semula.

Sempena Hari Raya Aidil Adha 1430/2009 saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Maaf Zahir dan Batin. Semoga pengorbanan yang kita lakukan akan diberkati Allah.

23 November 2009

Bertugas di Hutan Lata Jarom, Hulu Dong, Raub, Pahang pada 16-21hb November






Selama enam hari di Lata Jarom, saya meninggalkan
pakaian rasmi pejabat demi mencari sudut yang menarik untuk direkodkan.


Mulai 16 hingga 21hb November 2009 saya telah menyertai Ekspedisi Saintifik Lata Jarom, Raub Pahang (ESLJ).

Tugas terbaru saya kali agak mencabar kerana saya menjalankan ESLJ dalam keadaan hujan. Mengikut ramalan cuaca, hujan akan turun mulai malam Isnin (16 November) hingga hari Khamis 19 November ini. Ia menjadi kenyataan selama tiga hari kami terpaksa berdepan dengan hujan disusuli air sungai yang berarus kuat.

Selama 6 hari di sana saya telah dapat merakamkan gambar bersama-sama peserta ESLJ. Justeru, dibawah ini saya akan turunkan beberapa catatan untuk direnung bersama.


Lihat catatan yang berkaitan di Daud M. Zakaria

22 November 2009

Wang tabung

Seorang rakan saya telah minum di sebuah restoran. Kebiasaan restoran terdapat tabung derma kebajikan untuk mana-mana pertubuhan.

Apa yang menjadi persoalan ialah apabila rakan saya menceritakan bahawa ketika hendak membayar setelah selesai menjamu selera, pekedai itu telah membuka tabung tersebut untuk memperolehi wang kecil.

Timbul tandatanya kenapa harus dibuka tabung tersebut kalau hendak mendapatkan wang siling. Disini sudah tentu timbul jawapan bahawa apabila setiap pelanggan membayar dan memiliki wang lebih katakan lima puluh sen dan memasukkan ke dalam tabung tersebut. hasilnya katakan pelanggan mengeluarkan RM10 dan wang lebihan lima puluh sen sudah tentu pemilik restoran itu memperolehi laba.

Atau, pemilik restoran itu telah memecah amanah hasil kutipan dari tabun tersebut yang boleh dibuka pada bila-bila masa.

19 November 2009

Kami tidak membela lembu dan kambing

"Kenapa orang kat sini tak bela lembu dan kambing Kak", tanya Asri pelajar sarjana Sains Sosial kepada seorang wanita Orang Asli di Kampung Sungai Yol, Hulu Dong.

"Kami tak bela lembu dan kambing sebab tak mau dia makan apa yang ada kat tanah kebun orang lain", jawab wanita itu.

Itulah jawapan yang diberikan oleh wanita Orang Asli yang kami temui. Nilai murni yang tidak mahu mencari gaduh dengan masyarakat lain harus di puji.

Bagi saya, mereka suka hidup dalam suasana harmoni. Malahan semasa kehadiran kami dari ahli ESLJ dapat melihat keharmonian itu. Mereka berkumpul satu keluarga, terdapat anak saudara, abang, adik. Jelas terpancar, suasana harmoni ada di sebuah kampung Orang Asli.

 

Abang Ismail


Ismail Mohamad sedang menikmati keindahan Sungai Dong


Abang Ismail (empat dari kiri) bersama peserta
yang mendaki Lata Tinggi


Abang Ismail menjadi pemandu denai yang cekap semasa ESLJ yang berlangsung selama enam hari mulai 16-21 Nove 2009 lalu.

Bekas anggota komando tentera yang telah bersara lebih 20 tahun lalu. Kerjaya hariannya mencari gaharu untuk dijual dengan harga sekilo RM16 ribu.

"Saya hanya pernah dapat menjual gaharu dengan harga RM 800 dalam satu masa", kata Abang Mail (Pak Mail sebutan pelajar untuk beliau). "Bukan senang nak dapat satu kilo", sambung beliau lagi.

Sepanjang enam hari Abang Mail telah menjadi pemandu untuk peserta ekspedisi memanjat bukit dan denai. Paling menarik satu kumpulan telah dibawa oleg Abang Mail untuk tidur satu malam di Lata Tinggi yang jauh perjalanannya kira-kira 2 jam pendakian. Lata Tinggi memiliki khazanah alam dan misteri alam yang sukar dirungkaikan.

Jefry dan lukisannya








Sedang mencari subjek untuk dirakam ketika berhenti di rumah Tok Batin Kampung Sungai Yol, mata saya terpandang satu keping gambar potret seorang gadis terpampang di tingkap.

Saya terus memanggil penghuni rumah itu. Selang beberapa minit muncul seorang pemuda Orang Asli di muka pintu. Namanya Jefry mempunyai bakat yang amat tinggi untuk melukis potret. Bersekolah hingga tingkatan 5 dapat gred B mata pelajaran Lukisan. Jefry boleh diketengah dengan bakat yang ada. Pernah memenangi pertandingan melukis potret pemimpin negara di sekolahnya.

Jefry mempunyai cita-cita yang tinggi hasil pemerhatian saya. Rumahnya dihiasi dengan gambar-gambar potret artis dalam dan luar negara. Bilik tidurnya dihias dengan piala yang pernah diperolehinya.

Saya dan pelajar UKM yang menyertai ESLJ telah ditunjukkan hasil karya Jefry. Bakatnya sungguh bermutu. Banyak gambar-gambar yang mempunyai nilai seni yang bermutu. Pada hemat saya kalau dibawa dan dilatih oleh guru yang baik dia akan menjadi anak Orang Asli yang berjaya.

Ketika saya membaca facebook Saudara Daud, Pegawai Penerbit Rancangan di Penerbit UKM yang sama-sama ke Kampung Yol menulis "Bila tengok anak-anak orang asli masa kat xpdc tu, rasa macam hiba je...maklumlah mereka bukan macam anak-anak di luar, maksudnya anak-anak yang serba ada...kesian sangat. Sapa agaknya yang mampu mengubah hidup mereka..".

Semasa diberi peluang oleh pelajar-pelajar yang menjadi urusetia ESLJ untuk membentangkan hasil penemuan sepanjang EXPDC, saya merakamkan satu idea, "Kita, pegawai dan kakitangan kerajaan diberikan amanah untuk mengubah mereka. Maka tugas yang dipikul harus dilaksana"

En Sukri seorang Pengawas Hutan Jabatan Hutan Pahang, yang telah saya kenali sejak tahun 2008 melontarkan idea yang sama. Kata beliau Orang Asli ramai yang memberikan pendapat bahawa mereka juga ingin berubah.

Saya simpati dengan Jefry yang sedang mencari masa depan. Beliau boleh dibawa untuk berubah, sebab hasil pengamatan saya selama hampir 30 minit di bilik tidurnya dia seorang yang kreatif. Mungkin badan-badan belia boleh ke sana dan menjadikan anak muda ini ikon perubahan.

Hidup tanpa mengguna wang

Wang amat diperlukan dalam hidup ini. Namun sepanjang ESLJ, saya tidak perlukan wang. Apa tidaknya sepanjang enam hari saya dan peserta lain telah dibekalkan dengan makanan oleh pihak urusetia.

Saya hanya mengeluarkan wang sebanyak RM4.20 untuk membeli makanan ringan yang akan diberikan kepada anak Orang Asli di Hulu Dong.

Cuma pada hari terakhir saya perlu membayar wang sewa chalet Haji Mustafa.

Ekoran kes ini maka saya beranggapan sara hidup di pendalaman amat murah dan akan memberikan kesenangan kepada masyarakat di sana.

18 November 2009

Sungai kering di hulu.







Melihat ciptaan Allah memang mengagumkan. Ketika mengakhiri misi masuk hutan menerusi Denai Bukit saya amat teruja melihat sungai yang kering. Terdapat susunan batu-batu besar seperti di sungai. Namun sungai itu tidak terdapat air.

Sungai seperti ini hanya akan terdapat air ketika hujan lebat. Menurut Renger Jabatan Hutan sungai tersebut akan mewujudkan kepala air dan amat merbahaya kepada pengunjung sungai. Mereka boleh dibawa arus sungai yang hasil pembentukan kepala air.

17 November 2009

Luahan perasaan seorang saintis


Anak Orang Asli ini akan menggunakan sumber rimba
untuk meneruskan kehidupannya setelah dewasa kelak.


Anak pokok Tualang ini mengambil masa
puluhan tahun untuk membesar.



Pokok Tualang yang menjadi tempat
lebah membuat sarang.Manakala
Madu Lebah Tualang cukup terkenal.


Prof. Dato" Dr. Laily membawa balik ke makmal
ranting pokok yang telah ditebang oleh orang lain

Saya menyertai kumpulan Prof Dato' Dr. Wahid Shamsudin dan Prof Dato' Dr. Laily bin Din di hari kedua Ekspedisi Lata Jarom (ESLJ) untuk ke Denai Air. Kami dipandu oleh tiga orang Renger Jabatan Hutan.

Prof Wahid menyusuri denai itu untuk mencari spesis Leiken. Memang banyak terdapat di pokok-pokok dan batu-batu di Sungai Jarom.

Apa yang menarik ialah apabila Prof Laily menyebut "kalau nak mencabut pokok Tongkat Ali dan dijual kenapa tidak ditanam?. Kalau cabut ia akan merosakkan hidupan itu. Lama kelamaan ia akan pupus".

Natijahnya sepanjang ESLJ memberi kesan kepada saya setiap kali ingin merakam gambar, pastinya saya akan berhati-hati kalau-kalau terpijak anak pokok Meranti atau apa sahaja pokok yang akan bernilai ribuan ringgit seratus tahun akan datang!

16 November 2009

Chalet Haji Mustaffa - Chemerkau Chekas Chalet





























Selama lima malam saya, Daud dan Ramli telah menyewa Chalet Haji Mustaffa -Chemerkau Chekas Chalet. Chaletnya cantik rumahnya sederhana luas mempunyai dua katil dan cukup untuk kami melepaskan letih selama lima malam.

Haji Mustaffa seorang pesara TNB mengusahakan chalet tersebut lebih 10 tahun lalu. Landskapnya menarik dan amat bersesuai dengan suasana perkampungan di Hulu Dong yang terletak di Kampung Peruas, 14KM dari Kuala Dong, kira-kira 3KM dari tempat perkelahan Lata Jarom.

Kami menempah Chalet Haji Mustaffa - Chemerkau Chekas Chalet ini kerana ingin menggunakan kemudahan letrik sepanjang lima hari untuk mengecas batteri.

Saya lihat Chalet Haji Mustaffa - Chemerkau Chekas Chalet mampu menjadi lokasi percutian keluarga kerana dipinggir chalet itu terdapat sungai yang mengalirkan air yang bersih.

Menurut anak Hj Mustaffa, Cik Murni air sungai digunakan untuk keperluan chalet dan air dari Jabatan Bekalan Air akan disambung sekiranya air sungai keroh dimusim hujan.

Murni memberitahu sekiranya ramai penyewa dimusim cuti sekolah atau hujung minggu, kemudahan makanan akan disediakan. Penyewa juga boleh menggunakan dapur yang disediakan kepada mereka.

Untuk rekod, Murni bertindak sebagai Pengurus Chalet Hj Mustaffa merupakan seorang graduan bidang perniagaan dari sebuah politeknik. Gadis ini saya lihat matang dan mampu membangunkan lagi chalet tersebut biarpun jauh di pedalaman Raub.

Anda yang berminat untuk bercuti dalam suasana perkampungan bersama deruan air sungai sila hubungi 09-3659615 atau 0123137624.


09 November 2009

Kasihan penumpang komuter



Seawal pukul 6.30 pagi tadi saya telah sampai di hentian komuter UKM bersama isteri. Isteri saya merupakan penumpang tetap sejak lapan bulan lalu setelah bertukar tempat ke Kuala Lumpur. Saya perlu menaiki komuter kerana hendak ke hentian Madvaley KL untuk satu tugasan di sebuah hotel di situ. Kalau ke KL saya lebih selesa menaiki komuter atau LRT sahaja. Jimat, dan tidak tertekan dengan kesesakan jalan raya.

Train yang sepatutnya datang pukul 6.35 pagi dari Seremban telah lewat lebih 10 minit. Saya tidak tertekan sangat kerana majlis yang akan buat liputan akan bermula pukul 9 pagi. Penumpang semakin ramai. Train datang kira-kira pukul 6.45 pagi.

Di hotel saya membaca satu rencana yang ditulis di Utusan Malaysia. Elok rasanya saya petik 100% rencana tersebut untuk dibaca oleh anda yang "tak suka beli Utusan"

Khidmat KTM Komuter semakin baik atau bertambah buruk?

(petikan Utusan Malaysia 9 Nov 2009)

SEMALAM, ketika tercari-cari mengenai isu apa yang ingin ditulis, penulis terselak satu blog luahan rasa seorang pengguna KTM Komuter.
Beliau 'tidak bahagia' dengan perkhidmatan yang berusia 14 tahun itu. Setelah membaca luahannya, penulis mahu membicarakan isu ini. Walaupun beberapa rakan meminta supaya disentuh isu bai'ah, tetapi penulis beritahu: ''Ana dah muak dengan politik''. Kata mereka lagi, ini bukan politik tetapi ada kaitan dengan agama.

Penulis menjawab, ''Kalau soal agama, ana tidak ada tauliah nak ulas''. Tetapi penulis maklumkan kepada rakan-rakan itu bahawa dalam politik, kadangkala agama ditolak ketepi asalkan niat mereka tercapai. Kata orang, politik menghalalkan cara. Ada perbuatan atau percakapan yang dilarang tetapi bagi sesetengah orang politik, ia dibolehkan.

Begitu juga sebaliknya. Ada perkara betul dianggap tidak betul dan yang tidak betul, dianggap betul. Penulis beritahu lagi, kerana politik ada di kalangan orang parti 'sakit', bukannya 'sakit tubuh badan' tetapi sakit fikiran dan jiwa mereka.

Ada yang boleh dianggap 'sasau', 'gila', 'sewel', 'nyanyuk', 'merapu' dan macam-macam lagi. Maka daripada melayan 'penyakit' seperti ini, lebih baik penulis membangkitkan isu rakyat yang memerlukan perhatian orang politik yang tidak 'sakit' ini serta keazaman politik kerajaan. Dan ini juga bukan kali pertama penulis menyelak isu ini. Maaflah rakan-rakan di KTM Komuter kerana membangkitkan lagi cerita lama ini.

Secara kebetulan pula, jadual perkhidmatan KTM Komuter berubah lagi. Tidak pasti perubahan kali ke berapa. Tetapi yang pasti antara tujuannya adalah untuk memastikan ketepatan waktu ketibaan tren. Selama ini jadual ketibaan tren tidak memuaskan.

Menurut penulis blog berkenaan, apabila tren tiba di stesen, polis bantuan meniup wisel sana sini memberitahu penumpang supaya beri laluan dahulu. Malahan katanya, ada pegawai KTM yang meluru datang dan menjerit mengarahkan penumpang himpit ke tengah. ''Menjerit bagaikan penumpang yang berpeluh menunggu tren tiba tidak beretika dalam mencari kedudukan selesa dalam tren,'' kata penulis itu.

Beliau membangkitkan pelbagai masalah lagi termasuk tren yang tiba-tiba berhenti di atas landasan di antara stesen dan pendingin hawa yang tidak berfungsi. Kesimpulannya beliau menyifatkan khidmat komuter adalah uzur. Dan baginya menaiki komuter ke tempat kerja tidak seindah dulu. Baginya lebih baik kembali menggunakan kereta.

Berbalik kepada penjadualan semula mulai 1 November lalu, pengumuman yang dikeluarkan ialah KTM Komuter akan berlepas dengan kekerapan 15 minit pada waktu puncak bagi sektor berkepadatan tinggi iaitu Sungai Buloh - Kajang dan Shah Alam - KL Sentral. Manakala para penumpang Rawang, Seremban, Sentul dan Pelabuhan Klang masih boleh menikmati perjalanan dengan KTM komuter pada kekerapan 30 minit. Di luar waktu puncak pula kekerapan ialah 30 minit bagi semua sektor.

Waktu puncak yang dimaksudkan ialah antara 6.30 hingga 9.30 pagi (waktu orang ramai pergi kerja) dan 4.45 petang hingga 8.30 malam atau 9 malam (waktu pulang kerja).

Seingat penulis, pada 17 Mei 2008, penjadualan semula dilakukan dalam usaha menangani masalah kesesakan dan kelewatan tren. Mengikut jadual baru itu (2008), kekerapan tren bagi setiap 20 minit sepanjang hari dan bukan lagi 15 minit pada waktu puncak sementara kekerapan 20 minit pada waktu luar puncak. Hasrat KTM ialah dengan penjadualan semula itu ia mampu meningkatkan ketepatan waktu ketibaan tren daripada 70 peratus kepada 90 peratus.

Berbanding dengan 2008, adakah penjadualan semula 1 November 2009 sebagai pembaharuan atau satu langkah berundur ke belakang? Masa menunggu dari 15 minit kepada 20 minit dan kini 30 minit. Adakah ini pembaharuan? KTM akan memberi jawapan bahawa langkah itu bagi mengelakkan jadual ketibaan tren terjejas.

Tetapi apakah kesannya kepada penumpang? KTM harus ingat bahawa komuter bergerak di kawasan Lembah Klang - bermula di Rawang hingga Seremban dan Pelabuhan Klang - Sentul. Ia bukan perkhidmatan di kampung atau pinggir bandar antara Rawang - Ipoh atau Seremban - Gemas. Ia juga bukan perkhidmatan Ipoh - Bukit Mertajam atau Bukit Mertajam - Sungai Petani.

Di Lembah Klang, ketika ini sudah tidak ada lagi istilah waktu puncak. Warga Lembah Klang 'hidup' 24 jam. Lihatlah jalan raya utama di sekitar Kuala Lumpur dan pinggirnya. Kesesakan bukan lagi ketika orang pergi kerja atau sebaliknya. Kesesakan berlaku sepanjang masa, tidak terbatas pada waktu tertentu. Begitu juga dengan pengguna komuter.

Akibat penjadualan semula ini, tren mungkin datang tepat pada waktunya tetapi jumlah penumpang yang 'terkandas' di stesen meningkat. Bayangkan jika terlepas tren pukul 3 petang, bermakna anda perlu menunggu setengah jam lagi. Jika tren yang datang itu bagaikan sardin dalam tin dan anda tidak sanggup masuk berasak-asak di dalam koc, maka masa menunggu meningkat kepada satu jam. Itu tidak termasuk jika tren dibatalkan atau mengalami kelewatan.

Apa yang dapat diperhatikan, apabila kekerapan dikurangkan selepas waktu puncak, tren dibatalkan, maka jumlah penumpang bagi setiap perjalanan meningkat sehingga 'perut' komuter bagaikan tin sardin.

Maka tidak hairanlah sekiranya seorang pembaca baru-baru ini dalam Forum Utusan Malaysia memberitahu, beliau hanya sekali dua mendapat tempat duduk dalam perjalanan dari stesen Bangi ke KL Sentral. Itu kira nasib baik terpaksa bergayut dalam jarak yang boleh dianggap dekat sedangkan ada yang berdiri dari Seremban ke Kuala Lumpur. Jangan haraplah pelajar-pelajar atau kakitangan awam yang menggunakan perkhidmatan itu membaca buku, majalah atau surat khabar sementara tiba ke destinasi. Begitulah khidmat KTM Komuter kita.

Kadangkala timbul rasa cemburu apabila melihat ERL begitu pantas melintasi laluan berhampiran stesen Salak Selatan atau Bandar Tasek Selatan. Di dalam 'perut' ERL, tidak ada manusia yang berdiri. Mereka begitu selesa. Apakah dalam sistem pengangkutan awam juga wujud antara dua darjat - si miskin hanya layak menggunakan beca dan si kaya mengguna kereta?

Kerajaan perlu membantu KTM untuk memenuhi kehendak pengguna pengangkutan awam ini. Sudah lama kita mendengar rungutan KTM bahawa mereka kekurangan set tren. Ini punca kelemahan perkhidmatan ini. Khabarnya 2013 baru selesai. Tetapi untuk jangka pendek, apakah jalan penyelesaiannya?

Siapa prihatin masalah ini? Berapa ramai wakil rakyat yang peka?

Baru-baru ini, seorang wakil rakyat membangkitkan isu Syarikat Prasarana Sdn. Bhd. yang mengambil alih Rapid KL dan Rapid Penang. Kerajaan dikatakan mahu 'menyelamatkan' syarikat yang dikatakan rugi.

Tetapi sebenarnya, ia bukan untuk menyelamatkan syarikat sebaliknya bagi memastikan operasi pengangkutan awam berjalan lancar. Memang syarikat bas Rapid tidak akan mencatatkan keuntungan. Apa tidaknya tambang RM2 boleh pergi ke mana sahaja sehari semalam. Begitu murahnya hati kerajaan ketika itu. Tetapi kini keadaan sudah berubah. Tiada lagi tambang RM2 sehari semalam.

Jika kerajaan boleh membantu Rapid KL dan Rapid Penang, kenapa tidak dalam isu KTM Komuter ini? Janganlah membiarkan pengguna komuter melepaskan geram terhadap kerajaan dalam pilihan raya umum.

Ya...mereka mungkin 'cari makan' di Lembah Klang, bukannya pengundi. Tetapi mereka boleh menterjemahkan kegelisahan saban hari untuk ke tempat kerja melalui ibu bapa, saudara mara atau sahabat handai di kampung tidak kira di Permatang Pauh, Bukit Gantang, Kuala Terengganu atau di mana sahaja!


Itu rencana yang ditulis oleh wartawan Utusan.....Ini saya nak sambung balik kisah saya yang terjadi pukul 4 petang tadi.

4.18 petang saya tiba di hentian Madvaly. Saya melihat skerin jadual komuter menunjukan train ke Seremban akan tiba pukul 4.33 petang. Saya yakin dengan jadual itu. Namun tepat pukul 4.30 petang, petugas KTM mengumumkan train ke Seremban berlaku kelewatan. Train berada di hentian Segambut.

4.36 petang pengumuman diberikan lagi, train berlaku kelewatan dan berada di hentian Putra.

Akhirnya pukul 4.55 petang saya melihat train komuter ke Seremban telah tiba. Sebelum itu train ke Kajang telah datang terlebih dahulu.

Masalah bagi saya ialah pukul 5 petang ada satu perjumpaan dengan Ketua Pusat Kebudayaan UKM.

Selepas itu komuter meneruskan perjalanannya tanpa menghadapi sebarang masalah. Akhirnya saya tiba di hentian UKM tepat pukul 5.26 petang. Apa sudah jadi? Ini bermakna saya sudah menggunakan (membazir ?) masa 1 jam!

Sebenarnya saya setiap hari merasai masalah penumpang komuter kerana isteri saya menggunakan komuter. Malahan hampir setiap hari dia menceritakan masalah yang timbul.

Ada sekali tu anak saya yang pulang dari kolej menelefon train rosak di Serdang (dekat UPM). Kira-kira satu jam setengah saya menunggu dia di hentian UKM.

Seperti rencana Utusan diatas, saya fikir sesuatu perlu dilakukan untuk keselesaan semuan penumpang. Ingat penumpang komuter bukan orang-orang yang pergi makan angin atau membeli belah di KL. Mereka adalah penjawat awam, kakitangan swasta yang menjana pendapatan negara, memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Jumlah mereka bukan sedikit. Mereka perlu diberikan suntikan semangat dengan menyediakan perkhidmatan yang pantas lagi selesa.

Andai kata kelewatan sering berlaku sudah pasti perkhidmatan yang diberikan oleh mereka akan merosot. Namun saya faham KTM telah melakukan sebaik mungkin. Contoh petang tadi KTM telah menyediakan koc-koc tambahan. Bukan koc biasa tetapi gerabak keretapi biasa yang digunakan untuk perjalanan jauh. Perkhidmatan tersebut ialah untuk ke Kajang.

Usaha KTM melancarkan komuter ke Ipoh satu usaha murni untuk melancarkan lagi industri pelancongan. Namun stesen-stesen sedia ada harus diberikan perhatian. Bayangkanlah antara laluan penting dari KL ke Seremban, komuter melalui Bandar Tasik Selatan, satu laluan penting pertukaran ke LRT dan Train Laju ke KLIA. Bayang kalau krew kapal terbang yang terlewat ke KLIA? Serdang merupakan perhentian yang terkenal bagi pelajar UPM. Kajang juga mempunyai penumpang yang ramai. Hentian UKM juga terkenal untuk pelajar UKM.

Saya percaya KTM juga tidak mahu mengambil resiko mengenai keselamatan penumpangnya. Peningkatan penumpang menyebabkan komuter tidak boleh dipandu laju. Contoh petang tadi, saya agak cemas apabila komuter melalui laluan Serdang ke Kajang dengan laju. Apa akan jadi kalau terjadi kemalangan?

Komuter laluan lain juga KTM perlu fikirkan. Contoh ke Klang. Laluan tersebut saya fikir ada juga masalahnya.

Mahu tidak mahu saya hanya ingin mencadangkan "Kasihan penumpang komuter" perlu diutamakan kerana bukan pergi ke mana-mana distinasi bukan untuk makan angin, tetapi keluar mencari makan....

06 November 2009

Harga barang di Taman Negara Pahang


Kasut yang paling sesuai untuk bekerja di sungai
Minggu lepas (30hb Oktober-1 November 2009) saya bersama sembilan lagi peserta ke Taman Negara Pahang untuk satu tugasan merakam gambar. Taman Negara Pahang merupakan satu lokasi pelancongan yang menarik bagi anda yang sukakan alam sekitar yang hijau, damai dan sunyi.


Tanggapan awal hasil pengalaman Kamarul dan Ismail bahawa mungkin kurang terdapat kedai di sana maka saya dan beberapa orang rakan telah menyediakan beberapa bungkus biskut kerana kuatir tentang harga barang yang mungkin mahal.

Namun andaian itu salah apabila tiba di sana terdapat kedai-kedai yang menyediakan perkhidmatan seperti kedai runcit dan cenderamata.

Oleh kerana tugasan kami akan mengharungi sungai maka saya mencadangkan kepada rakan-rakan menggunakan kasut plastik yang murah. Harga kasut tersebut saya pernah beli hanya dalam lingkungan RM 5 sahaja.


Ketua saya Prof Dr. Kamarudin pada malam kedua telah membeli sepasang kasut dengan harga RM12. Selepas itu rakan-rakan saya yang lain terpengaruh untuk membeli kasut itu, cuma mereka bernasib baik dapat membeli dengan harga cuma RM8.50.

Saya mula terfikir bagaimana dengan jarak kedai tidak sampai 100 meter boleh menjual kasut pada harga yang berbeza.

Malam terakhir Prof Kamarudin membeli sekeping logo Taman Negara dengan harga RM10. Oleh kerana saya berminat dengan logo itu maka saya membelinya dengan harga cuma RM8! Saya bertanya pekedai kenapanya berbeza, beliau menjawab logo yang dibeli oleh Bos saya berlainan jenis. Namun apabila saya membuat perbandingan, logo tersebut 100% serupa dengan logo yang dibeli oleh Prof Kamarudin.

Keesokan harinya saya dibisikkan oleh Prof Kamarudin "Raai kat kedai bawah tu logo yang kita beli cuma RM5". Saya dan rakan-rakan lain terkejut kerana 50% lebih murah daripada harga yang dibeli oleh Bos kami. Akhirnya rakan saya Hj Ismail membeli 6 keping dengan harga cuma RM30 sahaja.

Pada hemat saya, harga barang yang tinggi di tempat pelancongan yang jauh dari pusat bandar adalah munasabah kerana ianya bergantung dari segi logistik. Namun harga barang yang berbeza diantara sebuah kedai di lokasi sama tidak harus berlaku.

Contoh harga air mineral di Pulau Dayang Bunting, Langkawi RM2 boleh diterima kerana menurut penjaga kedainya beliau perlu membayar sewa sampan RM200 sehari bagi membawa keperluan kedainya.

Seharusnya peniaga-peniaga perlu mengubah cara meletakkan harga demi memurnikan hubungan mereka dengan pelancong. Jangan jadikan satu kenangan pahit itu dibawa balik oleh pelancong untuk tatapan orang lain.

Pihak berwajib seharusnya memantau harga barang agar kejadian seperti yang kami alami tidak berulang lagi.

05 November 2009

Mandi sungai


Aktiviti fotografi di Sungai Tahan


Mandi sambil merakam gambar
Foto oleh: Ismail


Sungai menjadi nadi utama masyarakat kita. Sejarah telah membuktikan sungai adalah jalan utama zaman berzaman. Malahan zaman ini masih terdapat di beberapa tempat sungai dijadikan berbagai keperluan.

Justeru bagi sesiapa sahaja yang pernah menjadikan sungai sebagai tempat untuk mandi dan "sebagainya" maka apabila bertemu dengan sungai mereka akan menjadi bahagia.

Di Sungai Tahan Taman Negara saya menikmati air air sungai yang jernih dan bersih. Saya dan beberapa rakan-rakan termasuk Prof Kamarudin mengambil kesempatan berendam seketika di beberapa lokasi. Antaranya di Lubok Ikan Kelah.

Sekali lagi saya ingin mengambil peluang untuk meratu kepada masyarakat cintailah sungai kita dan jagalah sungai kita agar generasi akan datang tidak kenal sungai!

04 November 2009

Pemalu tetapi jujur


Dari Kiri: Kamarul Bahrin, Tok Batin Buman dan saya.



Beras untuk dijadikan makanan utama
amat diperlukan oleh Orang Asli di Taman Negara.

Orang Asli Suku Batek yang tinggal di pingir Sungai Tembeling Taman Negara bersifat pemalu. Riak wajah mereka sudah mencermin apa yang dimaksudkan itu. Namun oleh kerana kampung mereka sering dikunjugi oleh pelancong samada dari dalam mahupun luar negara sifat pemalu mereka tidaklah ketara sangat. Malah setiap kali kehadiran pelancongan mereka akan menyambut dengan mesra namun sifat malu dan rendah diri mereka tetap terpancar di wajah mereka.

Orang Asli Suku Batek dikatakan berasal dari Afrika. Hasil perubahan muka bumi ratusan jutaan tahun dulu mereka terpisah dari tempat asal. Antara negara yang terdapat suku kaum ini ialah di Malaysia, Filipina dan Myanmar. Mereka masih mengamalkan cara hidup berpindah randah dan beberapa kepercayaan lain.

Beras, garam, api dan tembakau merupakan keperluan yang amat diharabkan oleh mereka untuk meneruskan kehidupan.

Beras untuk makanan harian. Garam untuk digunakan bagi menghalau haiwan melata seperti ular, kala jengking lipan dan sebagainya. Api untuk keselamatan keluarga mereka ketika ditinggalkan untuk pergi memburu. Tembakau digunakan untuk dijadikan rokok atau ditaburkan di sekeliling rumah agar haiwan tidak mengganggu keluarga mereka.

Orang Asli di Taman Negara merupakan sebahagian khazanah rimba yang dipelihara. Mereka bebas melakukan aktiviti harian. Rimba adalah "pasaraya" mereka yang mempu memberikan semua keperluan hidup. Namun keperluan lain tidak ditolak oleh mereka. Mereka tidak bercawat seperti yang pernah digambarkan. Mereka berseluar seperti orang lain. Kain batik menjadi pakaian rasmi kaum wanita mereka. Walaupun hanya berkemban namun itu adalah lambang Orang Asli di sini boleh menerima perubahan. Saya melihat di ampaian terdapat beberapa aksosori wanita ada di situ.

Hasil dari eco pelancongan, mereka memperolehi faedah. Walaupun wang bukanlah keperluan harian seperti orang di kampung atau bandar seperti kita namun mereka mendapat faedah apabila setiap kali pelancong datang melawat, sumbangan akan diberikan hasil dari bayaran perkhidmatan yang dibuat kepada agensi pelancongan.

Prof Dr Kamarudin M Said bos saya mengungkap satu dailog "mereka pemalu tetapi jujur". Ungkapan ini dibuat kerana apabila Prof Kamarudin ingin memberikan sedikit sumbangan Tok Batin yang bernama Buman berkata " tadi saya dah dapat dari Tarmizi (pemandu pelancong) ". Tok Batin tidak mahu menerima sumbangan dari Prof Kamarudin. Namun setelah diterangkan barulah beliau menerima sumbangan tersebut.

Inilah nilai-nilai murni yang tersemat di hati mereka. Biarpun mereka mundur, namun terdapat hati yang masih tersemai kejujuran.

Meneroka keindahan alam semulajadi




Jeti Kuala Tahan


Ke Taman Negara dengan sampan panjang.


Sungai Tembeling masih belum tercemar

30 Oktober 2009 pukul 7.19 pagi, saya bersama sembilan lagi peserta telah memulakan perjalanan dengan bas UKM menuju ke Kuala Tembeling, Pahang untuk melakukan Ekspedisi Fotografi Taman Negara 2009 (selepas ini EFTN2009). Selepas tiga jam tiga puluh minit bas tiba di Jeti Kuala Tembeling. Oleh kerana kami belum bersarapan maka kesempatan yang masih ada maka semua peserta telah mengisi perut di salah sebuah gerai di situ.

Menyusuri Sungai Tembeling dengan sampan panjang yang boleh mengisi 12 orang penumpang memberi satu pengalaman baru kepada saya dan rakan-rakan lain.

Di dalam kumpulan seramai sepuluh orang itu, saya, Prof Dr Kamarudin, Hazrul, Ismail, Sulimi sahaja yang betul-betul "karyawan foto". Selebihnya Daud dan Kamarul Bahrin Juruvedio. Manakala Salleh, Kamarul Arifin, Rosli merupakan pegawai Pusat Penerbitan yang menunjukan minat yang tinggi dalam bidang seni foto. Saya sempat bergurau dengan Salleh, Kamarul Arifin dan Rosli bahawa mereka dibawa hanya untuk membawa tripod, bag dan bekalan makanan sahaja. Namun minat yang ditunjukan amat tinggi dan mengembirakan rakan-rakan lain. Malahan hasil gambar yang dirakam tidak mengeciwakan.

Kami menyusuri Sungai Tembeling dengan mengambil masa 2 jam 30 minit dalam cuaca panas dan menarik serta amat sesuai untuk merakam gambar.

Sungai Tembeling bermula dari pinggiran gunung di kawasan sempadan Trengganu Selatan dan Negeri Pahang. Sungai ini mengalir ke arah barat di bahagian Pahang Utara dan kemudian menurun ke arah selatan selepas kawasan Tahan. Di Kuala Tembeling, Sungai Tembeling bertemu dengan Sungai Jelai yang mengalir dari arah barat. Cantuman dua sun gai ini meriapak permulaan Sungai Pahang yang berkuala di Pekan, Pahang. Panjang Sungai Tembeling ialah kira-kira 110 km, dan lebarnya berbeza-beza dari hulu ke hilir dengan purata 80 + 30 meter. Dari kawasan Taman Negara, terdapat anak-anak Sungai yang menagalir masuk ke Sungai Tembeling, iaitu Sungai-sungai Tahan, Trengganu, Kenyam dan Sat. Sungai Sat ialah sempadan Taman Negara di sebelah timur dan Sungai Tembeling di bahagian selatannya.

Dalam sejarah negeri Pahang, banyak babak-babak peristiwa penting berlaku di Sungai Tembeling, sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka yang diperintah oleh Sultan Mansur Shah (1459-1477) hinggalah kepada peristiwa-peristiwa perjuangan Mat Kilau, Tok Bahaman dan Tok Gajah menentang penjajahan Inggeris.*rujukan: Ahmad Badri Mohamad Akademika No.26 Januari 1985.

Di pinggir Sungai Tembeling kami tidak menemui banyak perkara yang menarik kerana pemandangannya tidak sehebat di bahagian hulunya. Namun kerana dibeberapa bahagian hubungan talian telefon bimbit tiada, maka saya beranggapan kawasan tersebut tidak mempunyai penduduk. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa orang wanita Orang Asli bersama anak-anak sedang mandi dan membasuh pakaian. Pada anggapan saya kemungkinan terdapat perkampungan Orang Asli di situ.

Tujuan utama EFTN2009 diadakan oleh Pusat Penerbitan UKM dengan diketuai Prof. Dr. Kamarudin M.Said yang juga Ketua Pusat Penerbitan ialah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin koleksi gambar dan vedioa tentang flora dan fauna di sekitar Taman Negara, terutamanya di Kuala Tahan.

Taman Negara Malaysia dibuka pada 1938/1939 sebagai Taman Negara King George V. Ia kemudian dinamakan sebagai Taman Negara selepas kemerdekaan. Keluasan kawasan Taman Negara ialah 4,343 km².

Taman Negara terletak di antara sempadan 3 negeri iaitu Pahang, Terengganu, dan Kelantan, yang mana masing-masing memiliki kawasan milik sendiri. Enakmen Taman Negara (Pahang) No.2 pada 1939 dibuat untuk Pahang, Enakmen Taman Negara (Kelantan) No.14 pada 1938 untuk Kelantan, dan Enakmen Taman Negara (Terengganu) No.6 pada 1939 untuk Pahang. Semua enakmen memiliki persamaan kandungan.

Taman Negara Pahang merupakan yang terbesar dengan keluasan 2,477 km², diikuti oleh Taman Negara Kelantan seluas 1,043 km², dan Taman Negara Terengganu seluas 853 km². *rujukan:
Wikipedia

Justeru, Taman Negara sering dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Banyak daya tarikan di sini. Bagi anda yang suka memancing boleh menjalan aktiviti itu dengan meminta kebenaran dari PERHILITAN.

Pengangkutan utama di sini ialah sampan yang akan membawa pengunjung menyusuri sungai untuk melihat kesan-kesan yang terdapat di Taman Negara. Antara tempat yang boleh dikunjungi ialah kampung Orang Asli, Titian Kenopy, Lata Berkoh, Lubok Ikan Kelah,Laluan malam, Menara Tinjau Hidupan Liar.

Selama tiga hari bersama rakan-rakan lain saya beranggapan dengan mengunjungi Taman Negara nostalgia lama bermain sungai hampir 40 tahun lalu datang kemabali. Apa tidaknya setiap kali kami mengadakan sesi fotografi di sungai saya sudah pasti akan berendam di air.

Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...