Ulasan Buku Travelog Haji Antara Doa & Air Mata, Dua Tanah Suci yang dirindui ( Utusan Malaysia 20 Ogos 2021)




ENCIK mana boleh pergi buat haji. Nak bunuh diri ke di sana? Nanti jatuh sakit di sana macam mana nak tunai haji. Nak tunai haji sambil naik bas safari ke?".

Kata-kata doktor pada 23 April 2019 berhubung penyakit buah pinggang seorang jurufoto, Abd. Raai Osman, seharusnya melemahkan semangatnya menunaikan ibadah haji. Namun sebaliknya bagi Abd. Raai.
Setelah berfikir masak masak dan yakin mempunyai kekuatan, beliau dan isteri, Selamah Nekman membulatkan tekad tetap menunaikan rukun Islam kelima itu.
Pengalaman mengerjakan haji selama 47 hari, tiga tahun lalu sebagai pesakit buah pinggang menjadi tunjang cerita dalam buku travelog bertajuk Antara Doa & Air Mata Dua Tanah Suci Yang Dirindui.
Pengolahan buku tersebut seolah-olah pembaca menyelami sanubari Abd. Raai yang cekal menjalani ibadat itu, walaupun perlu berbelanja lebih demi menyempurnakan niat kepada amal.
Meskipun banyak catatan pengalaman haji dibukukan, namun pengalaman melakukannya secara baik oleh pesakit didiagnos menjalani rawatan dialisis seakan satu anugerah berharga sebagai tetamu Allah di Tanah Suci Mekah dan Madinah.

Naskhah itu turut menyelitkan kisah pandemik Covid-19 yang melanda dunia, hingga menyebabkan kegiatan sosio-ekonomi termasuk ibadah haji berubah secara total.
Jika sebelum ini umat Islam saban tahun menunaikan ibadah haji, namun tahun lepas dan tahun ini jumlah jemaah haji dihadkan menyebabkan jemaah haji negara tidak dapat menunaikan ibadah tersebut.
Lebih mengharukan apabila pada 2019, semasa Abd. Raai mengerjakan haji, ia adalah tahun terakhir Tabung Haji menghantar jemaah dari negara ini dek pandemik.
Buku setebal 127 muka surat ini pada asalnya adalah nukilan beliau di Facebook, sebelum ditambah baik dan disunting menjadi buku yang boleh dijadikan panduan untuk bakal haji dan umat Islam yang ingin mengerjakan umrah.
Naskhah ini sesuai dibaca oleh semua golongan usia, terutama bagi bakal Haji dalam mengubat hati dan rasa rindu untuk ke tanah haram.
>> Halaman: 127 muka surat
>> Terbitan: Syahida Hassan Enterprise
>> Pengulas: Abdul Razak Idris

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Empat Jam Dalam Bilik Bedah

Boria dan Dikir Barat