Covid-19: Jangan Lupakan Allah
Tiga tahun dulu saya rancang beberapa aktiviti untuk mengisi masa ketika bersara. Sebab lapan jam sehari saya akan dapat percuma selepas bersara dan kehidupan tiada ketua yang memerhati atau memberi arahan.
Sesuatu di luar dugaan PKP diadakan oleh kerajaan. Rupa-rupanya PKP dan berbagai lagi istilah lebih hebat kongkongannya. Kebebasan terhad, malah kreativiti terbantut. Inovasi gagal dilaksanakan.
Bagi saya yang tinggal dengan isteri dan seorang anak perlu memikirkan emosi antara satu dengan lain. Hubungan sesama suami dan isteri tiada masalah kerana usia kami masih boleh membantu mencari titik persamaan.
Manakala hubungan dengan anak yang remaja agak berbeza kerana faktor usia dan protokol. Misalnya bab bergurau tetap ada adap antara ayah dan anak, anak dan ibu. Saya lihat faktor terbatas komunikasi membuat anak remaja jadi resah kerana halangan bekerja di pejabat. Jika ke pejabat dia ada rakan sebaya.
Setahun setengah sudah berlalu dan saya fikir keadaan PKP tak mungkin banyak berubah. Kita sukar meramal. Bagi orang yang tinggal di rumah kampung mungkin sukar memahami jiwa orang yang tinggal di bandar. Bagi orang yang tinggal di rumah besar sukar merasai emosi orang yang tinggal di rumah pangsa. Bagi orang yang tak pernah memancing sudah pasti tidak faham jiwa pemancing. Paling tidak semasa PKP ini baru isteri faham kenapa suaminya suka minum di kedai mamak. Ada network.
Kes pesakit Covid setiap hari macam main tarik tali. Hari ini turun, esok naik. Kes kematian sebelum ini kita mendengar di kejauhan kini ada yang sudah berlaku di taman perumahan kita.
Petugas khariat kematian setempat sudah memikul tanggungjawab yang berat. Belum lagi jika kita ambil kita petugas di hospital dan keselamatan.
Izinkan saya memberi candangan. Marilah kita mengikut SOP. Pihak kerajaan juga jangan hanya melaksanakan itu ini tapi kena tegas bukan kepada kumpulan tertentu sahaja. Kumpulan kayangan atau daratan sama sahaja jika melanggar sila ambil tindakan.
Kita sebagai rakyat sama-samalah membantu. Selain menunaikan ibadat yang menjadi tanggungjawab kita seperti solat lima waktu, bayar zakat marilah kita lakukan apa saja ibadat sunat.
Jangan mengharapkan kerajaan atau NGO melaksanakan secara besar-besaran. Kita boleh lakukan dalam kelompok kecil di dalam rumah. Baca yasin, baca Quran, solat berjemaah.
Ada orang viralkan negara jiran berjaya lakukan apa yang saya sebut kenapa kita tak lakukan? Takkan nak tunggu kerajaan umumkan baru kita nak lakukan. Kita boleh lakukan secara online dengan saudara mara, jiran tetangga.
Bangunlah sahabat di awal atau akhir malam untuk bertahajud. Berwirid. Baca Quran. Kita jangan mengharapkan alim ulama atau tok-tok guru kita. Kita bangun dan lakukan bersama walaupun hanya berjemaah dengan isteri atau anak-anak.
Kita pernah mendengar kisah-kisah zaman Jepun, zaman komunis apabila seluruh kampung berlindung di rumah tok guru dan musuh tidak mengganggu. Apa sebab? Ia mungkin amalan tok guru waktu itu di bantu oleh Allah sehinggakan mampu melindungi anak-anak khariah kampungnya.
Kita berusaha dengan mengikut SOP, terima Vaksin dan ingat doa kepada Allah adalah segala-galanya. Ingat kita dipanjangkan umur sekarang ini kemungkinan besar Allah memakbulkan doa panjang umur kita! Kita belum terputus makanan sekarang ini pun mungkin Allah makbulkan doa kita yang meminta rezeki. Walaupun rezeki itu datang dari Food Bank Masjid dan surau. Janji rezeki yang halal tak kisahlah kerana bendera putih atau tidak.
Maaf pendapat saya mungkin sama taraf dengan pendapat Hang Nadim dimurka oleh sultan. Ampunkan hamba.
Ulasan