Selamatkan Harimau Belang

Sekitar jam 5 pagi di tahun 1973 bunyi tembakan senapang bergema di kampung saya. Oleh kerana kampung terletak berhampiran banjaran Titiwangsa maka anggapan tembakan dari senjata askar atau komunis adalah satu andaian pantas bagi seorang pemuda kampung.

Tak lama selepas itu berita mengenai seekor Pak Belang telah tumpas di tangan seorang penembak penduduk kampung saya. Dia menjadi hero kerana berjaya menumpaskan seekor harimau belang.
Kemunculan seekor harimau belang membaham mangsanya seekor kerbau jantan menjadi viral sebelum itu. Mengikut tabiatnya harimau akan kembali menjamu selera selepas menumbangkan mangsanya. Yalah seekor kerbau bukannya kecil. Tambahan untuk menjamu selera bagi hanya seekor harimau.
Selepas tumbang macam pesta sebab penduduk berduyun-duyun pergi melihat Pak Belang yang sudah tidak bernyawa. Malah ada yang bawa balik dagingnya untuk dimakan sebagai ubat lelah dan ubat-ubat lain. Ada yang membawa balik gigi taring dan berbagai lagi.
Lebai-lebai dan haji yang merupakan golongan menoriti di kampung itu gagal melarang. Tok Imam terpaksa menyelongkar kitab yang dipelajari di pondok untuk menerangkan bahawa daging harimau adalah haram.
Saya tidak berani menyertai pesta itu kerana kuatir pada 'hantu harimau' dan juga kuatir pada pasangannya yang mungkin datang menuntut bela!
Lantaran itu selepas saya aktif merakam gambar maka subjek harimau belang menjadi kegemaran saya. Saya simpati pada haiwan bernama harimau belang disamping gemar pada warna belangnya.
Saya juga amat pasti Pak Belang juga berselera tengok saya ketika melawat beliau di zoo.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah