Kemurungan Seorang Pesakit
Kes pertama: Saya diberitahu ada pesakit tiba-tiba mengamuk nak bunuh diri. Setelah dipujuk pesakit dirujuk ke Psikiatri. Puncanya pesakit tersebut tertekan kerana melihat sebutharga rawatannya yang amat tinggi.
Kes kedua: Ada pesakit Buah Pinggang yang menderita jiwa dan bertanya apakah dia boleh sembuh dengan proses Dyalisis setiap tiga kali seminggu.
Kes ketiga: Ada pesakit hilang ingatan kerana anaknya meninggal kerana penyakit barah.
Kisah-kisah diatas saya petik dari peristiwa yang sebenar tapi perlu merahsiakan nama hospital dan nama pesakit. Kebanyakkannya mereka saya kenal rapat.
Kemurungan atau tekanan perasaan seorang pesakit fizikal banyak terjadi dewasa ini. Ada yang mengeluarkan kata-kata "kenapa Allah beri penyakit ini kepada saya?". Atau ada yang berkata "Kenapa penyakit ini dihidap oleh anak saya, bukan saya".
Kemurungan adalah gangguan perasaan seseorang yang menyebabkan
seseorang itu merasa sedih yang berpanjangan, keletihan dan ketiadaan
tenaga, cepat marah serta hilang minat dalam aktiviti harian. Ia berlarutan
sekurang-kurangnya dalam masa 2 minggu. Penyakit ini boleh dihidapi
oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan
boleh berlangsung sehingga berbulan-bulan atau ber tahun-tahun. (rujukan di sila klik)
Dalam catatan ini saya ingin menumpukan kisah bagi seseorang pesakit. Antaranya ialah pesakit Buah Pinggang, Barah, Jantung, Kencing Manis dan penyakit-penyakit kronik lain.
Ada kes yang saya dengar dalam satu program Radio Sinar FM, pesakit mengaku dia mengalami masalah kemurungan yang serius. Pesakit ini bukan sebarangan kerana dia mempunyai ilmu agama Islam yang tinggi. Ibadat tidak tinggal tetapi jiwanya kacau dan menuju ke arah membunuh diri!
Pengalaman saya apabila doktor di sebuah klinik memberitahu ujian darah saya menunjukkan kelemahan Buah Pinggang pada tahun 2014 jiwa saya jadi kacau. Setelah dirujuk dengan pakar Nefrologi saya disahkan mempunyai masalah Batu Karang di dalam Buah Pinggang. Tahun 2015 saya dibedah dan Batu Karang sebesar 2.5 cm telah dikeluarkan dengan satu pembedahan besar selama 6 jam. Boleh baca kisah ini di Ketika Saya Sakit
Sejak tahun 2015 saya menerima rawatan yang berjadual di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM?PPUKM). Beberapa siri pembedahan terus dilakukan oleh doktor HCTM pada tahun 2016 sehingga 2017. Pada tahun 2018 tahap kerosakan Buah Pinggang semakin serius. Pada April 2019 saya telah dinasihatkan oleh doktor pakar HCTM untuk menghadiri sesi taklimat rawatan Buah Pinggang iaitu Dyalisis.
Rezeki saya dengan usaha dan doa kepada Allah pada 24 Julai 2019 saya berangkat ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan haji pada musim Haji 1440H. Kisah ini boleh diikuti di Haji: Doa dan Air Mata
Pada 6 Disember 2019 bermula kisah saya sebagai Pesakit Buah Pinggang apabila doktor meminta saya menurunkan tandatangan untuk membuat tiub pada dada. Pada jam 8.00 malam saya melalui proses Dyalisis untuk kali pertama selama dua jam. Kisah ini boleh dibaca di Arahan Doktor Pada 6 Disember 2019
Perasaan saya tidak terganggu ke? Masakan tidak sebagai manusia yang lemah jiwa tetap terganggu. Semua keistimewaan hidup hilang. Saya tidak boleh menjalani kehidupan bebas seperti sebelum ini. Ia bukan sahaja pada diri saya tetapi isteri dan anak-anak juga terkesan.
Ketika di wad dan pusat Dyalisis jiwa terganggu dengan keadaan pesakit lain. Mereka yang lebih lemah memberi kesan kepada saya. Saya mula terfikir, mungkinkah suatu masa saya terjadi seperti mereka.
Saya rasa pada catatan ini tidak molek untuk menceritakan keresahan saya kepada pembaca. Saya nak bawa bagaimana saya mengubah kebimbangan kepada keyakinan sejak tahun 2014 hingga sekarang.
Sebagai orang Islam saya bersyukur kerana kita ada Allah. Saya yakin setiap penyakit adalah anugerah Allah. Saya anggap bertuah kerana telah tahu apakah penyakit yang akan membawa saya balik ke Alam Akhrat. Saya yakin penyakit yang datang adalah ujian Allah kerana Dia sayangkan kita. Kita kena yakin setiap Rasul dan Nabi mengidap penyakit tertentu sebagai ujian kepada mereka.
Dalam buku How to Stop Worrying anda Star Living; penulisnya Dale Carnegie menulis beberapa langkah menghilangkan kebimbangan:
1. Minda kita dapat hindari perasaan bimbang sekiranya kita sentiasa sibuk. Menyibukkan diri adalah terapi terbaik yang pernah dicipta bagi menyembuhkan penyakit wibber gibbers.
2. Jangan membiarkan hal yang remeh-temeh merosakkan kebahagian kita.
3. Gunakan hukum purata bagi menghilangkan kebimbangan kita. Tanya kepada diri sendiri,"Apakah kejadian yang jarang-jarang berlaku itu boleh terjadi?"
4. Pasrah pada kententuan takdir. Sekiranya kita tahu musibah yang melanda kita itu tidak boleh diubah atau ditukar kerana ia di luar kemampuan kita, katakanlah kepada diri sendiri, "Apabila sudah ditakdirkan begitu. Begitulah jadinya.
5.Tentukan Stop-loss pada kebimbangan kita. Bagi setiap masalah yang menimpa, kita perlu menentukan sendiri setakat mana had maksimum kebimbangan yang dapat kita terima. Sekiranya ia melebihi had itu, lupakan sahaja masalah itu.
6. Usah memikirkan perkara yang sudah lepas. Biarkan ia berlalu pergi.
Dalam hubungan masalah saya, saya ambil pendekatan 1, 2,4 dan 6. Jangan merisaukan jiwa dengan mengenangkan bahawa kalau saya menjaga kesihatan sejak muda pasti Buah Pinggang tidak rosak. Pasrah pada takdir juga satu kekuatan iman yang mampu melatihkan diri kita redho dengan pemberian Allah. Jangan anggap penyakit ini hukuman Allah tapi anugerah yang amat mahal buat kita!
Terdapat banyak rujukan dalam Al Quran dan Hadis yang mampu memberikan ketenangan. Islam mengajar kita bersabar, redho dengan segala ujian. Menerusi catatan Ustaz Hanafi, beliau menekan cara menghadapi penyakitnya (barah). Antaranya ialah kuatkan beribadah, ganti solat fardu yang ditinggalkan.
Dalam bukau The Power of Sedekah tulisan Ustaz Ku Muhamad Asmadi, beliau menulis Sedekah menghindarkan musibah dan menjauhkan kematian yang buruk.@
Dr Zaharuddin Abdul Rahman dalam bukunya Sedekah Luar Biasa-Keajaiban Amalan Penarik Rezeki menghuraikan peranan sedekah sebagai Penawar kepada kebanyakan penyakit rohani atau hati.@
@ kedua-dua buku boleh dibeli dipasaran
Saya senaraikan antara amalan yang mampu dilakukan bagi orang yang belum ditimpa sebarang penyakit (masih sihat).
1. Jangan tinggal amalan wajib. Solat, Puasa, Zakat Fitrah dan Haji (jika mampu). Semua ibadat ini jika masih sihat kita abaikan maka ketika sakit amat berat hendak dilakukan. Bayangkan ketika sakit baru nak solat sedangkan mahu berdiri pun tidak mampu. Mengambil wuduk pun sakit. Puasa wajib juga begitu. Mana mungkin setelah sakit baru nak memulakannya amat berat rasanya. Malah orang yang sakit ada yang tidak diwajibkan berpuasa. Fardu Haji; ada beberapa penyakit yang tidak akan dibenarkan menunaikan fardu haji terutamanya pesakit Buah Pinggang.
Alangkah ruginya jika sudah sakit baru nak memulakan ibadat ini. Namun jika hendak dilakukan setelah bertaubat lakukanlah dengan cara yang termampu kerana Allah itu Maha Pengasih.
2. Perbanyakkan ibadat sunat semasa masih sihat, banyak amalan sunat yang boleh dilakukan antaranya ialah solat Sunat Rawatib.
Solat Sunat Rawatib ialah solat sunat yang mengiringi solat-solat fardu lima waktu. Solat ini amat digalakkan oleh Islam dan selalu diamalkan dan dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Solat Sunat Rawatib berfungsi sebagai pelengkap ataupun tambahan untuk menampung supaya apa-apa kekurangan ataupun cela yang berlaku semasa mengerjakan solat-solat fardu.
Solat sunat rawatib umpama dinding yang melengkapi rumah yang telah dibina tiangnya. Solat sunat rawatib lebih afdal dilaksanakan dirumah. Hadis riwayat imam al bukhari dalam sahihnya kitab al jumu’ah no.1180 yang bermaksud “ aku telah menghafal (menjaga) dari nabi saw tentang sepuluh rakaat ( iaitu solah sunat) iaitu 2 rakaat sebelum solat zuhur dan 2 rakaat sesudahnya, 2 rakaat setelah solat maghrib dirumahnya, 2 rakaat setelah solat isyak dirumahnya dan 2 rakaat sebelum solat subuh”.-Wikipedia
Solat Taubat, Hajat, Tahajut dan Witir mampu memberi kekuatan jiwa ketika sihat mahupun setelah berpenyakit.
Ada satu anugerah besar bagi hamba Allah yang hadir di Mahsyar waktu itu iaitu hadiah Qiamulai, yang pernah diamalkan ketika hidup di dunia. Manusia yang sentiasa melaksanakan Qiamulai akan mendapat keringanan dari Allah ta'ala selama dia berdiri dalam panasnya Mahsyar. Keringanan itu sesuai dengan lamanya berdiri ketika melaksanakan Qiamulai.
RUMUSAN: Lakukanlah ketika kita masih sihat. Ketika sakit InshaAllah ada keringanan pada jiwa-
PETIKAN BUKU MISTERI SOLAT TAHAJJUT MENEMBUS ARASY oleh Djamaluddin Ahmad Al-Bun
Sudah pasti kepada anda yang masih sihat menjaga kesihatan agar tidak menghadapi kemurungan yang serius.
Kepada yang masih sihat ada beberapa panduan jika mengetahui keluarga, sahabat atau kawan sakit:
- Ziarahlah pesakit ini walaupun hanya lima minit.
- Cari waktu yang sesuai untuk ziarah. Misalnya waktu yang telah ditetapkan oleh pihak hospital.
- Jika pesakit itu tidak sedar, tanya waktu yang sesuai untuk ziarah. Ada masanya waktu-waktu tertentu keluarga menguruskan pesakit untuk membersih tubuh ibu atau ayahnya.
- Bawa makanan yang sesuai. Misalnya jika ia pesakit barah usus jangan bawa makanan yang keras.
- Bersederhana dalam perbualan jika di wad kerana ia akan mengganggu pesakit lain.
- Elak bergambar jika pesakit tak suka.
- Jangan mencadangkan perubatan lain yang tidak munasabah. Misalnya jika sah pesakit rosak Buah Pinggang jangan cadangkan ubat-ubatan yang tidak dibenarkan oleh doktor.
- Berdoa kepada pesakit agar ia kembali sembuh atau doa agar keluarga pesakit tabah dengan ujian ini.
- Jangan menggunakan ayat nasihat yang menyinggung perasaan seperti "Sakit ini menghapus dosa" nanti pesakit terasa bahawa dia sakit kerana banyak dosa.
- Kalau nampak keluarga kita sakit agak kritikal, belajarlah tatacara menguruskan jenazah. Misalnya kedudukan jenazah. Kat mana nak letak kepala atau kaki nak mengikut arah Qiblat. Belajar cara mandi jenazah. Belajar solat jenazah setidak-tidak kita jadi makmum ketika solat itu. Paling afdal menjadi Imam.
- Sediakan tilam dan penutup jenazah yang sesuai.
Saya menulis berdasarkan pengalaman melihat orang yang sakit dan mengalami sendiri. Ingatlah tak semua orang mahu sakit. Namun penyakit itu tidak mungkin dapat dielak jika ia sudah ketentuan Allah. Mengalami sakit antara saya dan orang lain tidaklah sama. Melarikan diri dari penyakit juga ada waktunya kita gagal. Seperti mati, tidak semua orang hidup akan dapat lari kematian.
KEADAAN YANG DISUKAI PADA ORANG YANG MENJELANG AJAL:
"Ketahuilah, sesungguhnya yang disukai dari orang yang sedang menjelang ajal ialah ketenteraman dan ketenangan. Dari lidahnya terucap dua kalimat syahadat, dan hatinya adalah ia punya bersangka baik kepada Allah Ta'ala. " PETIKAN Di Balik Tabir Kematian-IMAM AL-GHAZALI.
Kita sebagai pengidap apa-apa penyakit akan menemui ajal pada bila-bila masa yang Allah tentukan. Meminta mati hukumnya haram. Membunuh diri berdosa besar. Jangan kita kata kenapa penyakit ini datang pada kita. Tetapi bersyukurlah dengan kehadiran penyakit ini kita sudah tahu akan ada penghujung kehidupan. Cuma jangan meramal bila akan mati.
"Soal roh itu hak Allah", sabda Rasulullah S.A.W. Kata Ustaz Badli Shah jika sakit minta pada Allah kesembuhannya dan berubat mengikut kaedah yang betul. Tidak mustahil ada penyakit yang akan sembuh.
Malah jika tak sembuh, ketika mati kelak penyakit akan sembuh juga setelah kita dikuburkan kerana kita tak bawa penyakit itu ke Alam Barzah. Apa yang kita bawa ialah amalan di dunia. Kebaikan yang kita buat kepada Allah dan makhluk-Nya akan dinilai di sana.
Ayuh mulai hari ini perbanyakkan ibadat, mengingati Allah. Jangan keciwa jika doa kita belum makbul mana tahu di akhirat kelak apa yang kita minta tercapai di sana. Kita orang Islam mengesakan Allah adalah keutamaan semua. Ingat nyawa kita hak Allah. Tubuh kita hak Allah.
Perbanyakkan membaca Al Quran selagi mata masih terang. Jika sebaliknya baca saja ayat-ayat yang kita telah hafal. Keindahan dunia telah Allah ambil sedikit demi sedikit. Bacalah buku-buku tentang akhirat kerana di sana kita akan kekal buat selama-lamanya. InshaAllah ujian hebat yang kita lalui akan menempatkan kita di satu tempat yang indah di alam akhirat.
Haji Abd Raai bin Osman
Tanggal 23 Jamadilawal 1441.
Jam 1.17 pagi Desa Sentosa, BBaru Bangi, Selangor.
Ulasan