30 Disember 2018

Tan Sri Noor Azlan Ghazali yang saya kenal

YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali. Semua warga UKM pasti kenal beliau kerana Tan Sri adalah Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia sejak 1 Januari 2013 hingga 31 Disember 2018.

Saya mengenali YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali   kerana beliau adalah bos besar UKM ketika saya masih bertugas di UKM. Sebagai Jurufoto, saya salah seorang yang kerap mengikut pergerakan beliau boleh dikatakan ke seluruh pelusuk UKM, Malaysia malahan hingga ke luar negara.

Seorang yang suka membawa perubahan. Mengajak warga UKM berfikir di luar kotak. Bila bercakap soal ekonomi itulah kesukaan beliau kerana Tan Sri Noor Azlan  adalah pakar ekonomi.

Saya masih ingat, pada awal perkhidmatannya sebagai Naib Canselor (NC) Tan Sri Noor Azlan  membuat kejutan dengan memanggil semua Jurufoto dan karyawan foto UKM ke satu pertemuannya dengan beliau di Bilik Mesyuarat Naib Canselor. Pada saya "apa hal seorang yang agak tinggi jawatan dalam UKM nak berjumpa dengan kami yang hanya memiliki gred sokongan 19, 22,27 ni...?".

Tan Sri Noor Azlan  tak kisah. Beliau menyampaikan hasratnya untuk melihat gaya fotografi di UKM berubah! "Wauu.....minat sungguh NC dengan fotografi....." bisik hati saya. Ketika itu saya tak kenal lagi beliau secara dekat dan beliau juga tak kenal siapa kami. Kehendak Tan Sri Noor Azlan  kami tunaikan. Rombakan pada gaya fotografi UKM telah berubah.

Tan Sri Noor Azlan  menyampaikan kisah bertemu dengan Jurufoto-Jurufoto UKM kepada semua pegawai pengurusan UKM. Ketika perubahan merakam gambar dibuat semua orang faham dan akur. Gelombang fotografi di UKM berubah dengan kencang. Memang berubah 360 darjah.

Perubahan demi perubahan Tan Sri Noor Azlan  lakukan. Semua warga UKM tahu. Paling menarik dan berkesan di jiwa warga UKM terutamanya siswa dan siswi ialah konsep Payung Merah. Setiap kali ada perhimpunan pelajar baharu, Tan Sri Noor Azlan  akan membuka payung merah di Dewan  Canselor Tun Abdul Razak walaupun tiada hujan.

Konsep payung merah ialah pelajar UKM mesti mempunyai kelainan dan kebolehan luar biasa setelah bergraduat. Mereka bukan saja mampu menjadi pelajar yang hebat dalam bidang yang pelajari tetapi memiliki nilai tambah yang lain dan juga hebat.

Saya banyak mengikuti perjalanan tugas beliau sepanjang menjadi NC. Saya akui beliau mempunyai cara kerja yang berbeza. Soal diikuti atau tidak itu bukan hak saya, namun sepanjang menjadi NC saya perhatikan UKM telah melonjak menjadi universiti yang terkemuka di Malaysia dan dunia.

Pada tahun 2015 saya membuat liputan berita di Jakarta, Indonesia mengenai MOU dengan 14 buah universiti di sana dengan sebuah institut penyelidikan Indonesia. MOU ini menunjukkan bahawa UKM dikenali di luar negara terutama di nusantara kita.

Ketika di Pangkor Dailog 2017 saya melihat sendiri peranan yang dimainkan oleh Tan Sri Noor Azlan. Di majlis ini Tan Sri telah di anugerahkan Anugerah Ikon Perak Amanjaya.

Di banyak majlis beliau bercerita misi Payung Merahnya. Malahan ketika berada di Pnom Peng, Kemboja beliau berbincang bagaimana melaksanakan usaha memperhebatkan UKM.

Sebagai orang kuat UKM sudah tentu usaha menaikkan nama UKM dengan berbagai usaha perlu dilakukan. Saya antara orang yang sering mendengar usaha Tan Sri Noor Azlan. 

16 April 2018 adalah hari terakhir saya bertemu Tan Sri di pejabatnya di tingkat 6 Bangunan Canselori. Masa diberikan untuk bersembang dengan saya agak lama. Kami berbual sekitar perkhidmatan saya. Rasanya saya antara orang bertuah dapat mengucapkan selamat tinggal kepada seorang Naib Canselor. 

31 Disember 2018 Tan Sri Noor Azlan akan meninggalkan ruang pejabat itu. Pastinya kali ini saya tidak mampu mengucapkan selamat tinggal di majlis perpisahannya seperti Naib Canselor sebelum ini, namun saya percaya jasa dan perkhidmatan terbaiknya akan dikenang dalam sejarah UKM. 

Walaupun beliau bukan bersara dari UKM dan Tan Sri akan kembali sebagai Profesor di pusat pengajiannya iaitu GSB. Saya percaya Tan Sri akan terus menyumbang buah fikirannya kepada UKM dan negara.

Payung Merah mungkin tidak akan berkembang lagi di dalam majlis minggu mesra pelajar baru tetapi saya yakin UKM akan terus gah untuk memperkasakan bahasa melayu. UKM harus terus dikekalkan sebagai universiti yang memperkasakan budaya melayu. Angin perubahan biar sehebat mana pun bagi saya warga UKM tak kira dari peringkat mana pun wajib terus mendokong konsep kebangsaannya. Lebih menarik UKM lebih dikenali dalam pengajian kemelayuan dan keislamannya tanpa mengabaikan sains dan teknologi.

Seperti tokoh-tokoh lain di UKM, hubungan kerja akan menjadi hubungan persahabatan. Saya tetap akan kenang segala buah fikiran Tan Sri selama lima tahun menjadi Naib Canselor. Kebanyakkan idea Tan Sri menjadi sumber inspirasi kejayaan saya selama di UKM.

Saya masih ingat pesanan Tan Sri, jangan lupa UKM. Sebab itu walaupun sudah bersara UKM tetap di hati saya.

Saat paling indah apabila Tan Sri membawa saya mengadap
YANG TERAMAT MULIA DATO’ SERI DIRAJA TAN SRI TUNKU PUTERI INTAN SAFINAZ BINTI TUANKU ABDUL HALIM MU’ADZAM SHAH


Lihat juga:

Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dari kaca mata seorang Jurufoto




04 Disember 2018

Dari Catatan Saya Kepada Dr. HM Tuah.



Saya pernah menulis emel kepada Pakar Motivasi dan penulis buku Dr HM Tuah  Al-Haj pada tahun 2016. Beliau telah memuatkan tulisan saya ini ke dalam Facebooknya. Terima kasih Dr HM Tuah.

Sila tekan pada gambar untuk imej lebih besar.



01 Disember 2018

Setelah Anda Bersara

Oleh: Haji Abd. Raai bin Osman PJK:

KWSP Anda | Kenali Scammer | Kesihatan Dan Wang Setelah Bersara | Selepas Lima Tahun Kita Bersara |

Seorang yang pernah menjawat jawatan JUSA bersalam dengan saya dan saya mengucapkan selamat bersara. Beliau bertanya macam mana suasana selepas bersara? Saya senyum. Senyuman saya itu membuatkan beliau berkata "seronokkan tak payah fikir apa-apa, boleh lama kat masjid atau surau...", saya ketawa kecil dan mengakui kata-kata tokoh yang baru bersara seminggu.

Saya pernah menemui orang yang lebih veteran telah bersara sejak 10, 16 tahun lalu. Mereka bahagia. Ada pula yang saya temui yang baru bersara 2 atau tiga tahun mereka seperti kurang selesa. Itu semua rezeki masing-masing yang sukar kita ramalkan.

Paling bahagia ada yang setahun lepas bersara meninggal dunia. Ada rakan saya dalam tempuh belum setahun bersara dapat panggilan menunaikan haji. Lebih menarik ada rakan yang bersara sudah menunaikan haji, melancong ke negara orang, menunaikan umrah dalam dua kali ke Tanah Suci. Rezeki pada seseorang siapa yang tahu kecuali Allah dan dirinya sendiri.

Bersara pada kontek ini tak kira dari sektor kerajaan atau swasta. Saya pernah mendengar kata-kata orang bekerja makan gaji kalau bersara tidak semestinya kita akan berada dalam lingkungan menjadi orang kaya! Kecuali jika sebelum bersara kita telah membina perniagaan menerusi isteri atau anak-anak yang tidak ada kepentingan dalam mana-mana sektor kerajaan.


Seorang rakan Facebook mengusik saya, jarang ada orang mencadangkan masuk politik selepas bersara kerana kononnya gelanggang politik mampu menjadi kaya. Betul ke?

Selepas bersara, ramai yang jumpa saya bertanya, "abang buat projek apa?" saya kata "rehat...". Mereka kata rugi, saya banyak pengalaman kenapa tak berniaga. Saya senyum bangga kerana dianggap banyak pengalaman. Tapi mereka tidak tahu bahawa pengalaman saya hanya sesuai digunakan ketika muda. Saya akui bersara dalam bidang fotografi adalah muktamat. Kalau saya memegang kamera itu hanya hobi.

Menyesal bersara? Buat apa nak menyesal kerana saya bekerja sehingga genap usia 60 tahun. Saya puas bekerja sejak usia 21 tahun. Lepas SPM saya menganggur sekejap dengan menoreh getah dan menjadi pembantu kedai getah. Itu pengalaman paling berharga buat saya. Saya faham nilai wang. Selepas saya tamat kursus fotografi saya bertugas di UKM sehingga bersara.

Berhati-hati dengan wang.
Pesara sering kena tipu jika tidak berwaspada.
Elakkan berhutang setelah bersara.
Jangan lupa bayar zakat setelah dapat wang pampasan.
Sebelum bersara saya aktif. Bidang saya menarik. Boleh bekerja dan mengajar. Saya timba banyak pengalaman.

Ramai sekarang menjadi trend ialah bersara awal. Maksudnya jika mereka memilih untuk bersara pada usia 60 tahun mereka mengambil keputusan bersara awal pada usia 56 atau 58 tahun. Jika dalam perkhidmatan kerajaan setelah bekerja selama 30 tahun dan lebih mereka telah memperolehi wang pencen 60 % dari gaji terakhir. Banyak.....Sebenarnya tidak banyak.




Baiklah, saya ingin tumpukan kepada kegiatan anda sebelum pencen.
  1. Bersedia dengan kesihatan anda. Buat pemeriksaan kesihatan. Pastikan anda sihat. Jika tidak sihat dengan penyakit yang kronik sila buat rawatan susulan dengan hospital pakar.
  2. Jaga rekod perkhidmatan. Jika rekod tidak baik maka  ia akan merugikan diri sendiri jika dibuang kerja. Jangan marahkan pegawai atasan jika anda kerap ambil cuti sakit tanpa sebab. Lagi teruk jika anda kaki ponteng.
  3. Kemaskini KWSP, Cukai Pendapatan. Pastikan semua rekod tiada masalah. Jika layak membayar cukai sila bayar.
  4. Jika ada hutang rumah dan kereta maka pastikan hutang dibayar dengan berekod.
  5. JANGAN membuat hutang baru jika tempuh kerja anda hanya tinggal lima tahun lagi nak bersara. Kecuali anda memiliki harta pesaka yang jelas anda miliki. Walaupun ada insuran yang akan melindungi hutang rumah atau kereta, tetapi bayangkan jika semasa pencen anda membayar hutang untuk tempuh lima tahun.
  6. Jika tiada lagi peluang naik pangkat untuk tempuh dua atau tiga tahun sebelum bersara usah risau. Bekerjalah dengan pangkat yang ada, bekerjalah dengan gaji yang ada. Mungkin anda tidak akan bertahan dengan kenaikan pangkat ketika berusia veteran sedang setelah naik pangkat anda kena bekerja dengan keras.
  7. Jika masih ada anak bersekolah rendah atau menengah ketika lima tahun lagi nak pencen sila buat perancangan kewangan yang betul.
  8. Adalah lebih baik 10 atau 20 tahun sebelum bersara ambil insuran yang boleh memberi pulangan kewangan ketika tamat polisi. Katakan polisi menawarkan RM20 ribu setelah ditolak wang proses anda akan dapat sekitar RM18 ribu. Jumlah itu sudah tentu cukup untuk membantu sesak anda.
  9. Ketika masih bekerja dalam tempuh 20 tahun lagi nak bersara anda boleh masuk koperasi. Jika koperasi tempat kerja anda kukuh ia sudah kira baik.
  10. Jika dalam sektor kerajaan bersedia untuk memenuhkan cuti terkumpul pencen. Ia melegakan anda ketika bersara.
  11. Bersedia dengan kepakaran atau kemahiran anda. Ia mampu membantu ketika masa terluang selepas bersara. Misalnya kemahiran menaip, komputer seperti mahir Photoshop, menjahit, menulis, bertukang, kemahiran baiki barang letrik dan kenderaan dan lain-lain.
  12. Amalkan membayar zakat pendapat atau zakat harta. Jika anda layak membayar maka ia akan menjadi saham akhirat.
  13. Kalau anda orang Islam, kebolehan dalam menguruskan jenazah, jadi Bilal dan Imam satu kelebihan.
  14. Setiap bulan, beli buku-buku agama, buku motivasi yang mana akan membantu kita setelah pencen. Paling terbaik koleksi Quran dan Tafsir. Buku-buku mahal dan boleh ditolak cukai pendapatan. Semasa ada wang belilah.
  15. Jika anda ada tanah, perniagaan atas usaha keluarga maka bantulah mereka.
  16. Bersedialah menunggu tarikh pencen kerana tarikh itu akan membuatkan anda gembira atau sebaliknya

Kata Dale Carnegie dalam bukunya, How to Stop Worring and Start Living; Kira-kira 90 peratus daripada perkara-perkara yang berlaku dalam hidup ini adalah sempurna, hanya 10 peratus sahaja yang salah. Sekiranya kita inginkan kebahagian, berikan tumpuan sepenuhnya kepada 90 peratus perkara yang sempurna itu, dan abaikan 10 peratus perkara yang lain. Sebaliknya, sekiranyanya kita mahu berasa bimbang, mengusutkan fikiran, serta mahu mendapat penyakit ulser perut, berilah tumpuan kepada 10 peratus perkara yang salah itu dan abaikan 90 peratus perkara yang sempurna (diterjemahkan oleh; Fakharoll Rodziee Don)

Saya telah bersara. Anda telah bersara dan anda yang lain akan bersara. Indahkah alam persaraan? Ada orang kata ya. Ada orang kata tak pasti.

Ada kawan saya selepas bersara berkata, selepas pencen anaknya kena berhenti kerja. Ada kawan saya selepas pencen merancang nak pakai kereta Mercerdes. Ada kawan saya selepas pencen buka kedai dan ada kereta mewah. Ada kawan saya selepas 6 tahun pencen berkerja semula dan dia kata seronok. Saya tak pasti dia seronok atau tidak. 

Sesetengah orang gembira selepas pencen dapat duduk masjid dan surau jadi ajk tempat ibadat. Mencuci masjid dan surau sambil mengajar kanak-kanak mengaji Al Quran. Ada yang jadi Imam, Bilal, tetapi bila ahli kariah tak ramai datang berjemaah dia jadi tekanan. Bila kanak-kanak kotorkan surau dia jadi resah. 

Di mana kita? Azizi Ali dalam bukunya Pesara Jutawan, 90 peratus kemungkinan bahawa anda tidak mempunyai wang cukup untuk persaraan. Penilaian saya ada pesara tidak bahagia dengan alam persaraannya. Ada pesara yang mendapat berbagai penyakit setelah bersara. Saya pernah bertemu seorang yang bersara dari perniagaan (kecil) yang duduk di masjid dan telah tiada sumber pendapatan.

Ramai yang kembali bekerja setelah lapan bulan bersara. Kenapa? Mungkin dia sunyi tinggal dengan isteri yang juga sudah bersara atau sebelum ini tidak berkerja. Apabila dia sunyi dia keluar minum-minum di luar sedangkan isterinya melayan sunyi keseorangan di rumah. Lebih malang ada yang bercerai selepas bersara. Malang juga ada yang berkawin lagi seorang selepas bersara dan terpaksa berhempas pulas bekerja kerana isteri masih muda dan dapat anak seorang selepas berkahwin.

Saya baru saja bersara tetapi sindrom sunyi sudah ada. Mujur saya mengekalkan dan melayan sunyi itu bersama isteri saya dengan aktiviti keluarga setelah bersara.

Berikut saya senaraikan apa yang harus di lakukan selepas bersara:

  1. Setelah dapat wang pampasan/KWSP sila bayar zakat wang simpanan.
  2. Simpan wang itu dalam tabung yang diyakini dan bekukan di situ untuk jangka masa tertentu.
  3. Jika pampasan anda lumayan melanconglah tetapi harus berjimat
  4. Bertekad dengan azam yang kuat untuk menunaikan haji jika belum pergi.
  5. Tunaikan umrah kerana jika wang kita digunakan ke jalan Allah pasti ada berkatnya. Jika mampu pergi sekeluarga.
  6. Fikirkan untuk berwakaf dan bersedekah. Wang kita tidak banyak, tetapi dengan bersedekah pastinya Allah akan membalas kembali. Cuma berhat-hati jangan kena tipu.
  7. Anda beruntung jika tinggal di kawasan perumahan atau kampung yang ramai orang pencen kerana sifat berlumba tiada lagi kerana semuanya telah menjadi wargamas. 
  8. Buat hibah dan wasiat segala harta yang ada biarpun sebuah motosikal yang telah tiada nilai. Jika ada keluarga yang mempunyai sifat amanah jadikan mereka sebagai penama. Jika anda meninggal dunia isteri dan anak-anak tidak jadi miskin.
  9. Jangan berhutang. Jika ada hutang langsaikan. Jangan ada lagi hutang kad kredit. Jika nak berbelanja dengan wang plastik gunakan kad debit.
  10. Kurang kos telefon, letrik, air, TV berbayar. 
  11. Banyakkan membaca dengan menggantikan menonton siaran TV.
  12. Perbanyakkan senaman. Misalnya berjalan-jalan untuk tempuh satu jam kerana setelah pencen kita sudah kurang berjalan.
  13. Usah mengingati sejarah perjawatan kita. Jangan ingat pangkat kita lagi kccuali jika ada gelaran dari istana.
  14. Menulis buku, blog atau laman web.
  15. Membaca Al Quran. Bukan asyik belajar sedang membacanya tidak, bagaimana nak lancar.
  16. Beritahu anak menantu bahawa anda perlukan masa bersendirian bukannya 24 jam menjaga cucu. Sesekali boleh sekadar untuk berhibur.
  17. Pesan kepada anak-anak bahawa anda telah bersara bukan ada gaji lagi. Ubah anggapan orang pesara adalah orang kaya baru. 
  18. Gunakan wang secara berhemah kerana ketika kita sakit tidak mungkin ada orang mampu membantu.
  19. Jika anda ada penyakit yang berat, lapangkan dada. Reda dengan pemberian Allah. Anggaplah penyakit anugerah Allah yang telah menentukan anda bukan lama lagi nak hidup. Pilih aktiviti hidup yang tidak menyusahkan orang lain. Usah melancong ke luar negara, jika terjadi sesuatu kos pengurusan perubatan amat mahal.
  20. Ingat semua orang telah bersara dan akan bersara. Usah dikenang jasa kita kepada tempat kerja kerana ia akan menyesakkan dada jika orang tidak menghargainya.
  21. Jadikan hari terakhir anda mengucapkan selamat tinggal dengan rakan sejawat atau orang bawahan adalah noktah. Maksudnya jika anda tidak berkunjung lagi ke pejabat selepas itu maka hari pencen anda adalah hari terakhir di situ. Sebab jika kunjungan selepas itu mungkin tidak ramai lagi yang mengenali anda lagi.
  22. Ubah gaya hidup. Mesrakan dengan rakan-rakan setaman atau sekampung kerana merekalah yang menguruskan hari-hari terakhir anda di muka bumi ini.
  23. Ingat tidak elok mengharap mati. Tidak baik meminta mati. Tapi bersedia dengan hari kematian.
Catatan saya sekadar analisa awal. Mungkin tulisan ini akan disunting dari semasa ke semasa. Namun anda mungkin boleh menambah pada ruangan komen untuk berkongsi bersama. Bersedialah untuk bersara. Tapi jangan sedih di malam anda menyambut tarikh lahir ke-60 atau lebih awal. Ingat Rasulullah wafat ketika berusia 63. Jika kita melebihi usia itu kita adalah Da'i untuk mengubah masyarakat setempat kerana setelah kita meninggal jiranlah insan awal yang akan menziarahi jenazah kita, jiranlah yang akan membaca Al Quran sebelum keranda dibawa ke kubur.

Bersara seronok, bersara amat indah namun jika tidak kena dengan gaya kita akan menjadi manusia yang murung dan anak cucu akan bersedih sebelum kita dijemput Ilahi. Jika kita sunyi, rumah anak-anak yatim boleh dilawati kerana kehadiran seorang Atuk akan menceriakan hidup mereka.....

_________________________________________________
Dapatkan Buku Memoir Seorang Jurufoto tulisan saya dengan harga promosi RM30.  Buku kedua saya ini mencatatkan pengalaman sebagai jurufoto selama lebih 38 tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia.  Sila hubungi dengan whatsap 0193393308
Dapatkan Buku Memoir Seorang Jurufoto tulisan saya.

Buku kedua saya ini mencatatkan pengalaman sebagai jurufoto selama lebih 38 tahun di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sila tempah di Shopee (klik)
__________________________________________________




Atas: Cetakan Pertama Telah Habis Dijual.
Dapatkan Buku Travelog Haji Cetakan Kedua 
 Sila tempah di SHOPEE (KLIK) 

Sebarang pertanyaan sila hantar whatsap ke: 0193393308






Kemaskini: 8 Mei 2023

28 November 2018

Menjadi Individu Hebat?

Sebelum saya berangkat mengerjakan umrah mulai 5 hingga 15 November 2018 saudara Pauzi Paimin dari Pusat Profesional UKM menghubungi saya untuk meminta menjadi ahli forum Program Jati Diri pada 26 November 2018. Saya bersetuju.

Rakan sejawat boleh membantu untuk kecemerlangan kita
tetapi jangan jadikan mereka mangsa untuk kehebatan kita
 





Jam 10.30 pagi 26 November saya tiba di Dewan Utama Pusat Siswazah UKM. Jika dulu saya hadir sebagai Jurufoto, Kali ini saya hadir sebagai ahli forum. Wauu, terasa hebat. Saya akan berada di pentas itu yang sering kali diduduki oleh orang-orang hebat. Tokoh-tokoh terkenal, tetapi hari ini saya seorang pesara yang dulunya hanya seorang kakitangan sokongan UKM.

Saya bersama Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong, Fellow ATMA dan KITA UKM dan Tuan Haji Khalis bin Mohd Salleh mantan Timbalan Pendaftar UKM duduk sebaris di atas pentas. Topik yang saya akan bincangkan nanti ialah Jati Diri. 

Setelah dua orang ahli panel memberi pendapat, maka sampailah giliran saya. Cuba bayangkan saya bercakap di depan peserta kursus dengan didengari oleh dua orang ahli penal lain. 


Saya menarik perhatian audien bahawa ketika zaman bekerja dulu ada yang menyebut saya adalah lagend. Rakan-rakan sejawat menyebut saya sebagai otai. Saya terima semuanya. Bagi saya itu semua hiburan buat saya yang sudah berada di hujung perkhidmatan. Kita lupakan kandungan apa yang saya cakap ketika berada di mikrofon.



Keluarga diperlukan ketika susah atau senang




Saya faham nama saya sering disebut dan menjadi rujukan terutamanya dalam bidang fotografi atau lebih tepat sebagai seorang kakitangan yang bergelar Jurufoto. Sebagai orang tua (Otai atau Old Timer) saya mungkin menjadi pencetus semangat ketika berada di gelanggang kerjaya. Atas faktor usia biasanya bukan di UKM sahaja, malah di beberapa Universiti Awam dan beberapa jabatan kerajaan mengenali saya. Itu dulu.......😟

Berada pada tahap yang dikenali ramai semua orang inginkan. Sebab itu membuatkan ramai berusaha ke arah itu. Namun ada juga yang tidak meminta terjadi begitu, tetapi namanya terus melonjak. Itu rezeki namanya. Setiap kita pasti akan ada tahap pencapaian. Usah risau kerana yang meletakkan kedudukan seumpama itu adalah Allah!


Anda berusaha untuk berjaya dengan berbagai cara. Anda berdoa kepada Allah (jika orang Islam). Ibu dan ayah juga berdoa sejak anda kecil untuk kejayaan anda. Maka anda seharusnya berasa bersyukur jika anda menjadi orang yang dikenali di dalam masyarakat. Tak kira dalam kelompok kecil atau besar. 



Akhirnya anda menjadi seorang individu hebat dalam sesuatu bidang! Jika ini terjadi anda harus bersyukur kepada Allah.


Kehebatan kita di belakangnya
adalah dengan sokongan isteri.
Jika kita hebat, ada orang lain
lebih hebat daripada kita

Ketika anda menjadi orang hebat walaupun hanya sebagai pekerja am, pembantu tadbir, pegawai, guru dan apa jua jawatan maka anda telah mencapai tahap profesional. Saya pernah mendengar seorang pakar motivasi berkata, anda harus menjadi seorang yang profesional dalam kerjaya anda. 

Bayangkan anda seorang pekerja am mungkin sebagai tukang kebun, tetapi anda adalah pakar dalam bidang anda. Pandai mengahwinkan pokok, pandai jenis-jenis baja dan racun maka anda adalah seorang profesional.



 






Setiap anugerah adalah kerana usaha dan doa kita. Anugerah yang kita dapat pastinya dengan izin Allah.




Menjaga tahap kehebatan kita bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak semudah menjadi hebat. Berikut beberapa ciri-ciri yang harus anda pertahankan ketika berada di puncak kehebatan:
  1. Perwatakan - Jaga tingkah laku, Jaga percakapan. Jaga kebersihan diri. Jaga perangai
  2. Bersedia menerima tugas walau dalam apa juga keadaan. Kena pandai memberi alasan yang paling munasabah jika anda menolak. Tambahan kerja yang datang dari orang yang juga hebat.
  3. Bersedia menjadikan pejabat atau tempat kerja sebagai rumah pertama. Mungkin perlu berada di tempat kerja sehingga 12 jam. Jika 8 jam anda melayan pelanggan, maka 4 jam lagi adalah menyelesaikan tugasan yang diberikan. Pasti anda faham waktu selepas jam 5 petang adalah waktu orang biasa-biasa sudah balik ke rumah. Waktu inilah panggilan telefon telah tiada. Mungkin anda datang 2 jam awal sebelum jam 8 pagi dan balik 2 jam selepas jam 5 petang. Memang sukar dilakukan jika anda suka mematikan komputer 5 minit sebelum 5 petang atau menghidupkan komputer tepat jam 8 pagi.
  4. Buat kerja lebih dari senarai tugas namun tidak mengganggu kerja orang lain atau overshadow rakan-rakan lain. Misalnya jika anda pemandu, selain memandu dan memastikan kereta bersih, anda boleh menjadi seorang makenik yang ringan andai kata kereta bos tersangkut di perjalanan anda sudah faham apa nak dilakukan.
  5. Belajar berfikir dengan pantas sepantas 1 minit jika ada masalah. Masalah kecil jangan fikir lama-lama. Misalnya jika bos kata "Hassan esok kita pergi Kelantan", sebelum satu minit anda sudah kata ok. Kecuali anda ada masalah besar dalam keluarga. Beritahu dengan bersopan, jangan menolak penuh kasar.
  6. Belajar jadi 90% faham kerja kita. Manakala 10% yang kita tak tahu rujuk kepada yang lebih arif atau berpengalaman. Misalnya jika mentol pejabat terbakar tolong tukar jika melibat pendawaian yang merbahaya panggil rakan yang pakar. 
  7. Menjadi otai satu kelebihan dari segi pengalaman, perwatakan walaupun anda tidak berkelulusan tinggi. Tetapi jika ada pegawai yang memerlukan khidmat anda maka anda adalah keutamaannya. Katakan anda pandai berbahasa Jawa, Minang, Cina atau Tamil pastinya anda akan dipilih.
  8. Jadi seorang guru jika anda telah bekerja lebih 20 tahun. Anda adalah aset yang berharga kepada organinasi. Maklumlah mana ceruk, mana sudut anda tak hafal walaupn berjalan dalam gelap!
  9. Anggaplah rakan sekerja yang mudah seperti adik beradik. Hormati pangkat mereka. Hormati kelulusan mereka walaupun mereka jauh lebih muda. Lakukan seperti dalam keluarga walaupun abang long atau kak long tak sekolah tinggi tetapi adik-adik yang ada kelukusan PhD tetap menghormatinya kerana ketokohan mereka. Jangan cakap meninggi diri seperti "aku makan garam lebih duku dari kau" sebab jawapannya sudah ada "patutlah abang dapat penyakit Darah Tinggi"
  10. Elak memijak kawan atau kata orang mudah jangan kencingkan kawan jika ingin terus hebat. 
Semua kita mahu dihargai seperti orang lain biarpun cara
penghargaan itu adalah berbeza.


Banyak lagi yang boleh disenaraikan sebab ia adalah ciri-ciri semulajadi kita. Jika kita datang dari keturunan orang baik-baik pastinya tingkah laku kita adalah cukup sempurna.

Ingat pesan saya tanpa kita di suatu masa selepas bersara orang tidak terasa rugi. Organisasi kita tidak akan rugi. Jika kita hebat dan menjaga kehebatan kita maka kita yang akan bertuah misalnya jika selepas bersara dan kita telah kembali dijemput Ilahi, sudah pasti rakan-rakan lama akan datang ziarah di hari kematian kita. Amat beruntung jika ramai yang bersolat untuk jenazah kita.

Kata seorang ulama "nak tahu hebat atau tidak seseorang itu, lihat di hari kematiannya berapa ramai orang yang datang menyembahyangkan jenazah kita".



 


Dihujung kehidupan biar sehebat mana kita, hanya kain kafan menutup tubuh, amal ibadat penentu segala-galanya. Manakala yang akan mengangkat jasad kaku kita adalah rakan-rakan yang selama ini menjadi sahabat baik kita.


Nota: Sila tekan pada gambar untuk mendapatkan saiz besar.

*Catatan ini berdasarkan pengalaman dan pembacaan.

19 November 2018

Umrah Kedua 2018/1440

Alhamdulillah pada 5 November 2018 bersamaan 27 Safar 1440 saya, isteri dan puteri bongsu Nur Aqilah berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah dengan singgah di Madinah sebelum berangkat ke Mekah pada 8 November. Syukur Alhamdulillah penerbangan SaudiAir selamat mendarat di Madinah setelah singgah di Ryaid selama sejam walaupun tertanggu sehingga dua jam di Lapangan Terbang KLIA keana cuaca buruk............

Sila baca catatan seterusnya di Umrah Mencari Keredaan Ilahi (sila klik pada tajuk)

11 September 2018

Awas! Keretapi Nak Melintas.

Pernah naik keretapi? Keretapi cara lama yang memenatkan! Mungkin itu ungkapan yang pernah kita dengar.

Sebelum tahun 1995 tidak semua orang berminat naik keretapi. Ia dianggap pengangkutan yang kurang selesa. Saya sendiri pernah naik keretapi buat kali pertama pada tahun 1976 dari Bukit Mertajam Pulau Pinang tanpa kerusi. Berdiri dan tidur di lantai dengan beralaskan surat khabar. Pernah duduk di pintu keretapi sepanjang perjalanan dari Kluang, Johor ke Kuala Lumpur. Banyak sekali pengalaman namun ia cukup manis untuk dikenangkan.

Ketika palang belum ditutup.


Selepas wujudnya keretapi letrik iaitu Komuter dipertengahan tahun 1995 segala-galanya berubah. Orang ramai yang berada di Lembah Klang mulai berminat naik komuter yang selesa lagi pantas. Malah komuter mampu mengurangkan masalah kesesakan jalanraya.

Jika dulu komuter beroperasi dari Kuala Lumpur ke Sremban, Kuala Lumpur ke Klang, Kuala Lumpur ke Rawang, Kuala Lumpur ke Batu Caves. Kini komuter telah meluaskan khidmatnya jauh dari itu. Malah penduduk di sebelah utara tanahair boleh menikmati kemudahan ini.

Setelah wujudnya komuter maka sistem landasan tradisional tiada lagi. Landasannya kini telah dilengkapi dengan kebel letrik. Semua landasan dibina jambatan supaya melancarkan perjalanan lalu lintas kenderaan di jalan raya.

Pegawal Trafik KTM menghidupkan lampu isyarat.

Lampu isyarat berwarna merah berfungsi dan memberi amaran
kepada pengguna jalanraya untuk bersedia berhenti.

Pegawal Trafik bersedia untuk memberi isyarat agar keretapi melintasi
jalanraya.


Namun begitu, masih terdapat di beberapa lokasi (bandar dan desa) masih ada sistem kawalan trafik yang menggunakan kaedah manual.

Saya berpeluang melihat dari dekat bagaimana sistem manual dilaksanakan di salah satu lintasi keretapi di Bandar Segamat.

Pegawal Trafik akan memulakan kawalannya dengan menghidupkan loceng amaran dan lampu isyarat merah dihidupkan sekitar 10 minit sebelum keretapi melintas. Pengawal Trafik akan memegang bendera merah supaya Pamandu Lokomotif tahun lalu lintas belum bersedia berhenti. Setelah memastikan kenderaan memberi kerjasama untuk berhenti di satu garisan, maka pintu pagar akan ditutup.

Lampu isyarat hijau akan dihidupkan agar Pemandu Lokomotif tahu pagar telah ditutup dan pada tangan Pengawal Trafik akan terdapat bendera hijau. Keretapi akan bergerak melintasi jalanraya dengan membunyikan hon. Selesai semua gerabak melintasi jalanraya, pagar akan dibuka dan lalulintas akan dibenarkan melintasi jalan tersebut.

Pergerakkan jadi lancar kerana disiplin yang kuat. Pengawal Trafik tidak boleh leka, Pemandu Lokomotif juga kena bersedia dan pengguna jalanraya perlu memberikan kerjasana. Setelah semua ini diambil kira maka kemalangan boleh dielakkan.

Cuma, beberapa kemalangan pernah berlaku kerana kedegilan pemandu kenderaan yang engkar isyarat dikeluarkan oleh Pengawal Trafik. Misalnya satu kejadian di lintasi Bukit Siput, Segamat suatu masa dulu dan beberapa kejadian lain seperti orang ramai melintasi landasan keretapi tanpa menghiraukan keselamatan mereka.

Perjalanan keretapi cara lama ini akan menjadi sejarah di negara kita. Kemajuan dan kehendak semasa akan menjadikan perkhidmatan keretapi kita lebih maju.





Di Segamat terdapat jalan kecemasan jika palang
lintasi keretapi ditutup.







Segamat 10 September 2018

07 September 2018

Lokasi Rehat Tasik Beris Terbiar

Artikel berkaitan: Tasik Beris | Puncak Beris yang damai | Bengkel Fotografi di Tasik Beris, Sik, Kedah
_____________________________________________________________

Pada 1hb September 2018 saya kembali berhenti menghirup udara segar di Tasik Beris ketika pergi ke Belantek, Sik Kedah untuk menghadiri majlis kenduri di rumah Anuar. Tasik Beris tidak seperti yang saya lihat seperti tahun 2013 dimana kali terakhir mengunjunginya. Waktu itu saya ke sana kerana mengendalikan satu kursus fotografi.




Tasik Beris yang terletak sejauh 24 km dari Pekan Sik, 51km dari Pekan Gurun, 72km dari Bandar Alor Star terletak di pedalaman Kedah dengan kehijauan bukit bukau dan keheningan yang semulajadi. Ia dibina pada tahun 2000 dengan menenggelamkan Kampung Sungai Batang dimana terdapat lima kampung kecil di dalamnya iaitu Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar. Disamping sebahagian kampung Batu Seketol juga tenggelam manakala sebuah lagi Kampung Terenas juga tenggelam.

Sewaktu Kampung Sungai Batang dan Kampung Batu Seketol masih wujud, kegiatan harian penduduknya ialah sebagai petani seperti menjadi pesawah, penoreh getah juga dusun buah buahan serta mencari hasil hutan .
Terdapat dua batang sungai yang bersambung di Kampung Kuala dan sungai ini akan bersambung ke Sungai Muda. Sungai yang dimaksudkan ialah Sungai Kuala dan Sungai Batang. Air yang datang dari hulu Sungai Batang begitu banyak yang memberikan potensi untuk diwujudkan Tasik Beris.


Tasik Beris mempunyai keluasan tadahan air 116 km persegi ini siap sepenuhnya pada tahun 2004. Mempunyai ketinggian air paras maksimum 86.4 meter paras biasa 84.0 meter berfungsi untuk bekalan air sekitar Kedah dan Pulau Pinang dan kawalan banjir. Tasik Beris ini telah terkenal sebagai pusat pelancongan di Daerah Sik. Terdapat sebuah ladang anggor yang menjadi tumpuan setiap musim cuti hujung minggu atau cuti sekolah.
Ketika Tasik Beris dalam proses pembinaan lebih seribu kubur telah dipindahkan pada tahun 2002. Kampung yang terlibat ialah Kampung Batu Seketol, Kampung Sungai Batang (Kampung Kuala, Kampung Baru, Kampung Tengah, Kampung Paya dan Kampung Besar), Kampung Ternas dan Kampung Telaga Batu. Penduduk-penduduk kampung tersebut sekarang ditempatkan di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) kira-kira 10 kilometer dari Pekan Sik dan 5 kilometer dari Pekan Jeniang


Penduduk-penduduk kampung menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Sungai Batang untuk mendapatkan pendidikan awal. Tapak sekolah asal telah ditenggelami air empangan Beris. Sekolah tersebut telah ditukarkan nama kepada Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya terletak berhampiran dengan penempatan penduduk-penduduk kampung di Bandar Baru Beris Jaya – Sumber Wikipedia.

Tasik Beris menjadi kenangan kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi penduduk di Kampung Sungai Batang sebelum dipindahkan ke Bandar Baru Beris Jaya. Saya antara individu yang tidak akan lupa segala kenangan ketika membesar di sana. Namun setelah saya memulakan kehidupan baharu di Bangi Tasik Beris menggamit agar saya kembali mengimbau kenangan di sini.

Justeru pada tahun 2008 saya kembali melihat wajah sebenar Tasik Beris. Walaupun saya telah sampai ke beberapa tasik di Malaysia seperti Tasik Kenyir, Tasik Banding, Tasik Cini, Tasik Muda namun Tasik Beris mengimbau suka duka saya sepanjang berada dan membesar di sini.

Sebuah kampung yang ditenggelamkan bermula selepas tahun 2000 akan memberi kesan yang mendalam. Saya pernah balik ke sana pada tahun 2002 untuk urusan mengecam pusara ayahanda. Pusara ayah saya digali semula bersama-sama ribuan pusara lain. Terdapat dua tanah perkuburan yang terlibat iaitu di Kampung Besar dan di Kampung Paya. Manakala ada juga perkuburan lain yang agak lama dan dipercayai kubur bangsa Siam. Saya tidak tahu ia digali atau tidak.



Beberapa kisah kedengaran ketika proses menggali kubur ini namun ia tertutup dari perbincangan umum kerana Majlis Agama Islam mewartakan kawasan perkuburan tidak boleh dimasuki oleh penduduk kecuali waris dan pekerja yang diamanahkan. Ia dilakukan agar aib arwah-arwah yang digali semula tidak menjadi bahan bualan mahupun fitnah.

Saya sendiri hanya datang untuk mengecam batu nesan kemudian balik semula ke Bangi tanpa perlu melihat proses penggalian itu. Syukur kerana saya tak perlu untuk melihat sifat wajah arwah ayah yang telah dikebumikan pada tahun1969.

Kini setelah 18 tahun Tasik Beris dibina dan dibangunkan Empangan Beris ia telah dapat menyalurkan air untuk negeri Kedah dan Pulau Pinang. Disamping itu Kedah mempunyai tiga lagi empangan yang telah dibina lebih awal iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahneng.

Sesiapa saja yang melintasi jalan Sik ke Nami akan dapat melihat keindahan Tasik Beris. Malah masih ada penduduk asal Sungai Batang yang saban hari akan pergi menoreh atau berkebun di Kawasan pinggir Tasik Beris.

Sebelum ini terkenal dengan ladang anggur Tasik Beris namun kini telah tutup. Mungkin masalah perniagaan merosot. Ada beberapa chaket juga telah ditutup. Walaupun begitu masih ada beberapa resort dan chalet lain berfungsi tapi Tasik Beris seperti tiada lagi pengunjung ke sini.

Bagi pengemar aktiviti air seperti memancing, mereka masih ke sini tetapi kunjungan oleh pelancong tempatan dari luar Sik telah berkurangan. Banyak tempat seperti tidak terurus lagi.

Saya fikir Majlis Daerah Sik perlu mengorak langkah proaktif untuk mempopularkan kembali Tasik Beris. Usaha harus diadakan agar orang ramai boleh mengambil bahagian di hujung minggu bagi menjalankan aktiviti keluarga. Saya lihat ada kawasan tertentu yang mampu menggamit kunjungan pelancong kerana keadaan sekitar Tasik Beris masih nyaman dengan udara segar.


Bangunan ini telah menjadi 'gajah putih'. Terbiar.

Taman permainan kanak-kanak yang rosak. Lot kedai sudah tutup.

Terdapat dawai mata punai yang diletakkan agar orang tidak masuk

Pemandangan yang kurang selesa dilihat.

Taman permainan kanak-kanak yang rosak.

Pemandangan kurang cantik

Masih jelas kelihatan jalan ke rumah saya

Aktiviti air masih wujud.

Bukit di pinggir tasik yang hijau.











06 September 2018

Suatu Pagi Di Sebuah RnR


Din (bukan nama sebenar) memandu bas ekpres menuju ke Kuala Lumpur dalam kepekatan malam. Suasana dalam bas sunyi, maklumlah semua penumpang tidur kerana jam sudah menunjukkan pukul satu pagi. Tumpuan pada lebuhraya diberi perhatian seratus peratus kerana terdapat lebih 30 orang penumpang.





Di sebuah hentian Din ambil keputusan untuk tidak berhenti kerana tiada penumpang yang berhajat untuk ke bilik air atau menjamah makanan.

Ketika mendaki sebuah bukit di lebuhraya Din dikejutkan oleh seorang lelaki tua melayu. “Apa pasal tak berhenti tadi? Saya nak ke bilik air ni”. Tanpa berkata apa-apa Din berhenti di sebuah RnR yang agak sunyi. Kalau siang hari RnR ini boleh dilihat dikelilingi dengan pokok-pokok hijau. Cantik dan menyegarkan.

Setelah bas berhenti ada seorang budak lelaki Bersama ibunya turun ke bilik air. Sementara itu Din mengambil kesempatan menghisap rokok. Suasana sepi dan dingin.

Tiba-tiba budak lelaki tadi balik semula ke bas Bersama dengan ibunya dengan keadaan termengah-mengah.

“Bang…bang…..Tadi masa keluar bilik air saya Nampak pakcik yang sama-sama turun dengan saya sedang menarik lembu dan mengikat kat pokok.” Kata budak lelaki itu.

“Dah, dah naik cepat ke bas….tak payah tunggu lagi pakcik tu”. Din mengarahkan budak lelaki itu bersama ibunya naik bas. Din terfikir mana ada orang bela lembu waktu pagi macam tu, dah tu waktu dah hampir jam 2 pagi.

Sambil memandu dia terbayang lelaki melayu yang menyergahnya sebelum turun. Lepas tu terjumpa pula oleh budak lelaki tadi bersama dengan lembunya.

Sesampai di Kuala Lumpur dia meneruskan perjalanan bas ke Klang. Penumpang tinggal tak ramai lagi. Sesampai di Klang seorang wanita melayu memberitahun Din.

“Bang lain kali kalua malam jangan berhenti lag ikat RnR tadi. Sebenarnya lelaki melayu tadi tu duduk sebelah saya. Memang pelik dan menyeramkan”. Kata wanita tadi.

Sejak peristiwa itu Din demam seminggu kerana sering terbayang wajah lelaki melayu tadi. Memang ada misteri. Din memang bertekad tak akan berhenti lagi di RnR itu.



24 Ogos 2018

Saya Anak Ibu.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah tempat kerja saya yang pertama dan terakhir. Ibu adalah syurga saya, semua orang tahu hal ini. Ketika saya mula-mula bekerja dulu telah bertekad untuk membahagiakan seorang ibu yang telah melahirkan saya. Ibu seorang ibu tunggal kematian suami ketika usia saya 11 tahun. Pernah seorang pemuda menyindir saya dah besar masih hidup di bawah ketiak mak. Saya diam kerana dia jahil agama (kalau dia faham sudah tentu dia tahu menjaga seorang ibu dapat pahala yang besar) dan tak faham sejarah hidup saya yang tak perlu di dihebohkan.

Ibu pernah membesarkan saya dengan menoreh getah dikebun orang. Sebut saja di Kampung Sungai Batang, Sik, Kedah siapa yang kenal Mak Long Teh. Itulah ibu saya yang sering mengambil upah menanam padi, menuai padi setiap musim. Malah waktu malam dia akan membuat tikar mengkuang atau atap Rumbia.  Ibu tak tahu duduk diam. Menariknya di sebelah pehanya ibu saya terdapat golok sebagai senjatanya. Dia tak ada niat nak bunuh orang pun. Pernah sekali ada orang mengganggu dia, dia kejar dengan lampu picit. Ada darah Tun Fatimah juga ibu saya. Maklumlah dia wanita yang pernah hidup di zaman Jepun dan Komunis.....

Ibu saya bukan seorang yang bersekolah tinggi. Tak tahu membaca pun baik tulisan jawi atau rumi. Namun kalau saya membaca Quran dialah guru saya. Ibu tak tengok Quran tapi dia tahu ayat yang baca tu salah. Sebab apa ibu saya semasa anak dara dulu di Kampung Kota, Permatang Pauh, Seberang, Pulau Pinang seorang murid yang pandai mengaji Quran dengan adik beradiknya. Namun kerana garangnya saya tak mengaji dengan beliau. Akhirnya saya khatam Quran dengan seorang guru Quran di Kampung Sungai Batang. 

Ibu saya seperti ibu anda juga, sayang kat anak. Kalau boleh semua ibu nak kita jadi orang pandai. Tahun 1969 ketika nak masuk sekolah menengah saya minta izin nak masuk ke Sekolah Menengah Sik, Kedah, ibu tak bersetuju. Ibu saya nak saya masuk sekolah pondok. Kata ibu, arwah ayah berpesan supaya saya masuk sekolah pondok. Sebagai anak muda yang bercita-cita besar untuk hidup senang saya membantah hasrat ibu. (Tahukah kalian ketika saya mencatat kisah ini terasa sedih kerana membantah hasrat ibu pada masa itu).

Tak kisahlah fikir saya waktu, akhirnya pada awal Januari 1970 saya menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Sik seorang diri. Ibu tak hantar. Saya kata biarlah ibu pergi menoreh kerana masa tu bukan musim hujan.

Walaupun tak pergi ke sekolah pondok, namun ibu bagi sokongan kuat. Wang ringgit tidak diabaikan. Cuma oleh kerana ibi seorang yang buta huruf, maka terkial-kiallah saya belajar sendiri. Nak apa saja ibu bagi. Saya nak sertai Pengakap ibu sokong. Itulah ibu. Mana ibu nak tengok anak tak gembirakan? 

Baiklah kalau saya cerita kisah ibu sebenarnya semuanya sama dengan ibu-ibu lain. Sebab itu semua orang tak boleh lupa pada ibu. Lebih-lebih lagi jika menjelang musim raya. Semua orang akan rindu masakan ibu.

Dalam banyak-banyak kenangan saya dengan ibu satu yang sukar dilupakan. Tahun 1984 saya dapat tawaran kerja dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Suatu pagi selepas solat Suboh ibu saya memberi pendapatnya. Adakah saya akan balik Kedah untuk bekerja di sana. Saya tanya apa pendapat dia. Pendapatnya yang saya ingat sampai ke hari ini.

" Hang nak bertunang dengan Selamah. Nanti P balik Kedah tentu dia jadi susah sebab mak ayah dia jauh di Muar....Kalau sakit demam macam mana?" itu saja luah perasaan hati ibu. 

Saya terima pendapat ibu. Walaupun saya terpaksa melupakan tawaran kerja di UUM dengan 4 kali kenaikan gaji. Saya ikut nasihat ibu. 

Oleh itu di sinilah saya hendak mengajak kalian faham kenapa saya kekal berada di UKM hingga ke usia 60 tahun. Saya tempuhari susah senang di UKM. Syukur dengan patuh cakap ibu saya bahagia. Saya bahagia dengan ibu, isteri, anak-anak dan kerjaya. Saya terus membina kejayaan walaupun saya bukan seorang pegawai mahupun kakitangan akademik. Kini saya bahagia kerana sepanjang kerjaya saya di UKM saya telah melakukan yang terbaik. Saya fikir andai ibu masih hidup beliau pasti gembira.

Ibu saya telah dikebumikan di Pusara Kampung Dato Abu Baginda tak jauh dari Putrajaya pada tahun 1991. Al Fatihah.










Takdir Allah

  Jika anda membaca status saya tentang hubungan anak, isteri, suadara mara bukan bermaksud saya ada masalah dengan mereka. Mereka tiada mas...