Bilik LG104

Bilik LG104 mempunyai kisah tersendiri dalam sejarah kerjaya saya di UKM. Bilik LG104 adalah tempat saya mencari ilham dan rezeki sejak berpindah ke UKM Bangi pada April 1982 dari Jalan Universiti, Sekyen 16 Petaling Jaya, kampus sementara UKM. Saya berada di Bilik LG104 hingga Julai 2007 setelah naik pangkat di Penerbit UKM. 


Kamarul yang menggantikan tempat saya pernah berkata, "berani abang Raai duduk kat situ sorang-sorang?", saya hanya tersenyum. Kerana pada saya ia adalah satu tanggungjawab yang besar sewaktu berada di Bilik LG104. Di situlah Bilik Gelap saya memproses filem dan gambar ketika era fotografi analog. Bilik LG104 jugalah adanya studio tempat saya merakam gambar semua hasil penyelidikan pelajar dan pensyarah. 

Kata Kamarul ada orang nampak budak kecil berlari-lari kat kawasan itu, Hahah, tak pernah pula saya terjumpa budah-budak itu. "Abang tak pernah jumpa ke?". Saya masih mampu tersenyum bila kisah itu disampaikan oleh Kamarul.

Di mana Bilik LG104? Biar saya rahsiakan nanti ada orang takut nak bekerja kat situ. Ia bukanlah satu bilik yang menyeramkan. Bilik LG104 terletak di paras bawah menyebabkan ia kelihatan seram. Nak ikutkan saya taklah kerap diganggu oleh makhluk halus, sesekali pernah terkena kacau cuma tidaklah sampai saya hilang semangat nak pergi kerja.

En Khairul seorang kontraktor pernah menceritakan kepada saya; " Bang sehari sebelum hari raya Aidiladha saya nampak student perempuan lalu sebelah saya. Saya tegur dia diam. Lama kelamaan saya saya nampak budak student ni semakin kecil dan hilang dari mata saya. Saya tanya pekerja yang ada kat situ, dia orang tak nampak". Dia hilang ke arah mana En Khairul? "Ke arah bilik abang!". Mendengar cerita itu saya masih mampu tersenyum. Senyum lagi......

Suatu hari ketika sedang mencetak gambar besar, banyak juga gambar yang harus dicetak. Ketika imej gambar keluar sedikit demi sedikit tiba-tiba hidung saya tercium bau wangi yang terlalu kuat. Wanginya begitu harum dan sedap seperti ada wanita disebelah saya!!

Oleh kerana imej gambar sedang keluar sedikit demi sedikit pada kertas yang bersaiz A3 maka saya abaikan bau wangi itu. Saya tak mahu berlaku pembaziran. Apa yang saya lakukan? Saya secara kuat melaungkan takbir ALLAH HUAKBAR..... Dengan izin Allah bau wangi itu hilang serta merta.

Dari mana datang bau itu? Kalau dari minyak wangi saya mustahil kerana saya cam baunya. Peliknya dengan bau Asid Asitid dan Sodium Tyusulfik haruman itu amat kuat sekali mengatasi bau bahan kimia tersebut!

Berhenti dari meneruskan proses mencetak gambar? Mana mungkin, kerja wajib dihabiskan. Banyak lagi yang perlu dilakukan. Kalau saya tak buat siapa nak buat. Saya kerja seorang sahaja kat situ. Di kesamaran cahaya kuning Bilik Gelap saya meneruskan tugasan hingga ke petang.

Apa sahaja ayat Quran yang mampu saya baca, saya. Ayat Kursi, Tiga Qul semuanya jadi bacaaan saya. Wangi sang empunya diri hilang. Gamaknya apa yang datang? Saya terbayang mungkin waktu tu 'dia' datang dari arah belakang saya sambil menjengah apa yang saya buat. Hmmmm maklumlah dalam kegelapan Bilik Gelap memang menakjubkan tak gitu. Mujur dia tak menjelma.

Taklah banyak sangat kisah misteri kat Bilik LG104 ni. Tak tahulah mungkin sebab setiap kali nak pergi kerja dana masuk ke bilik ni saya sering berkata "Aku datang mencari rezeki. Kalau kau ada jangan ganggu aku nak cari rezeki untuk anak isteri. Aku orang susah. Kalau kau ganggu aku, susahlah aku". Betul ..itulah dailog saya setiap sampai ke Bilik LG104. Jika tak sibuk sempatlah baca Yasin. Kerap juga saya buat Solat Hajat kat bilik ini.

Bilik LG104 adalah rumah kedua saya. Mana taknya ada waktunya datang memperoses filem atau gambar waktu malam. Masa tu pengawal masih ada di setiap bangunan. Shifnya hingga jam 11 malam. Nak hilangkan seram saya bukan bacaan Yasin dari kaset. Nak jadikan cerita, kaset tu jadi lain macam punya bunyi macam radio kehabisan bateri. Haaaa..... siapkan kerja cabut!

Ada sekali tu selepas buat kerja dalam Bilik Gelap sampai jam 1 petang. Badan dah letih berdiri sejak jam 9 pagi. Saya ambil rehat sekejap. Masa tu anak-anak kecil-kecil lagi tak sibuk nak ambil anak kat sekolah. Mata terlelap. Dalam dok terlelap tu terdengar suara perempuan...."OOOO dia tidur.....". Bingkas bangun, tak ada orang pula. Pintu besar tak berkunci. Buka pintu dan tinjau kat lorong luar. kosong. Sah....ia hanya mainan sang pari-pari.

Bilik LG104 tetap menjadi kenangan bagi saya. Selama 25 tahun di situlah saya merakam gambar dan memproses gambar. Ramai pelajar yang mendapatlan khidmat daripada saya. Menariknya ada pelajar yang datang berteman jika nak berurusan dengan saya. Maklumlah kerja kat bilik yang semacam bilik mayat.

Bilik LG104 juga tempat rakan-rakan yang rapat dengan saya meluahkan perasaan. Ada orang gagal naik pangkat akan datang meluahkan perasaan kat sini. Malah ada yang dah meninggal dunia. Gagal naik Profesor dan berbagi. Tak puas hati kat Bilik LG104 dia orang singgah. Yang best waktu tu saya juga tak naik pangkat. Selepas naik pangkat hilang.....lumraah dunia.

Di mana kita bekerja yang penting itulah tempat kita mencari rezeki. Kepada sesiapa yang pernah mendapatkan khidmat saya semasa zaman fotografi analoq pasti akan tahu di mana Bilik LG104. Banyak misteri dan saya tinggalkan misteri itu pada hujung bulan Julai 2007 setelah naik pangkat. Saya ada berpesan kepada 'mereke' yang pernah datang tanpa saya kenal bahawa, jangan ikut saya. Jangan ganggu orang datang kemudian dari saya. Mereka mencari rezeki seperti saya juga.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah