Rahsia Al Quran

Abang ipar saya Ahmad bin Jamil orang biasa sahaja. Dulu dia bekerja buruh di ladang kelapa sawit. Sebelum bersara dia jadi mandur. Sebelum berpindah ke Kluang Johor dia seorang penoreh getah. Kerana desakkan hidup dia berpindah dan membawa kakak saya dan anak-anaknya.



Minat abang Mad kepada Al Quran berputik sejak muda lagi. Ketika nama Haji Abdul Ghani Abdullah terkenal sebagai johan Qari Malaysia. Haji Abdul Ghani merupakan sepupu abang Mad. Abang Mad sering mengaji ikut kaset atau piring hitam. Bacaan Haji Abdul Ghani dan Haji Ismail Hashim adalah ikutan beliau.

Ketika menetap di Kluang abang Mad banyak mengikuti kelas membaca Al Quran dengan Qari di sana. Bacaan abang semakin baik.

Setelah bersara dari kerja estet kelapa sawit, abang Mad diberi tanggung jawab menjadi bilal dan guru mengajar Al Quran di sebuah estet di Kluang. Lumayan juga gaji yang beliau perolehi.

Selepas mencapai usia 65 tahun abang Mad tak boleh bekerja lagi. Rezekinya tetap ada. Ilmu pengajian Al Quran telah membuka peluang untuknya mengajar Quran dan menjadi Imam rakyat di Masjid Penjara Kluang yang terletak bersebelahan rumah beliau.

Pada tahun 2014 bersamaan 1435 abang Mad ditawarkan menunaikan fardu haji. Pada mulanya abang nak tolak setelah menolak pada tahun 2013 atas faktor kesihatan. Saya nasihatkan abang Mad jangan tolak lagi dengan alasan penyakit ni biasa bukan akan pulih 100%. Abang Mad bersetuju dengan nasihat saya.

Pengalaman abang Mad ketika di Madinah, beliau berpeluang menyemak bacaannya dengan guru Quran mengajar  di Masjid Nabawi. Kata abang Mad, Alhamdulillah bacaannya diperakui betul.

Apa istimewanya abang Mad sehingga saya bawa kisah ini agak panjang? Inilah berkat Al Quran. Abang Mad tak sekolah tinggi. Orang biasa je. Sekolah peringkat rendah pun tak habis kerana faktor kemiskinan sekitar tahun 60an dulu.

Syukur Alhamdulillah ketika abang Mad mengisi masa tuanya yang sudah lebih 70 tahun abang Mad dengan membaca dan mengajar Al Quran.

Sempena bulan Ramadhan, kisah ini wajib menjadi tauladan. Ambillah peluang keemasan ini walaupun tak dapat khatam satu Quran sebelum habis Ramadhan. Walaupun kita tak akan dapat peluang seperti abang Mad setidak-tidaknya kita dah berusaha untuk menjadi orang yang kenal Al Quran.


11 Ramadhan 1438

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah