Semoga Tintanya Ada Habuan Di Akhirat.

"En Raai jom la kerja dengan saya di PRO", saya seringkali diajukan dengan kata-kata itu setiap kali bertemu dengan beliau. Sekadar melepaskan senyuman dan memberitahu soal pindah pejabat bukan satu yang saya gemar kecuali dengan arahan atau terpaksa.

Namun atas kehendaknya, nama saya dicadangkan menjadi Editor Bersekutu untuk buletin Senada UKM. Satu tugas besar yang dilantik oleh Naib Canselor UKM sekitar awal tahun 2006. Saya seorang kakitangan sokongan bukan pentadbiran mahupun akedemik disenaraikan oleh beliau untuk tanggungjawab itu.

Beliau yang saya maksudkan ialah Allahyarham Salmah Zainal Abidin. Namanya tidak sebesar individu lain di UKM. Salmah seorang Pegawai Penerbitan yang tugasnya menyunting artikel, jurnal. Namun bagi saya beliau memberi jasa kepada penglibatan saya sebagai penulis sambilan di UKM. Banyak artikel ringan yang saya tulis diterbitkan oleh beliau. Malahan beliau banyak menyunting dan menerbitkan puisi saya untuk Senada.

Saya dinaikkan pangkat ke Penerbit UKM, manakala Allahyarham naik pangkat ke Penerbit selepas itu. Akhirnya saya berkata, "Dapat juga Puan Salmah menjadi pegawai saya....". Allahyarham tersenyum tanda setuju.

Namun tidak lama selepas itu Puan Salmah dipinjamkan ke Kementerian Pengajian Tinggi dari tahun 2008-2013. Saya terputus hubungan kerja dengannya. Namun sebagai pegawai yang ada kaitan dengan IPT, ada waktunya saya menyumbang foto-foto untuk menyenangkan tugasan beliau.

Tahun 2013 Allahyarham kembali semula ke Penerbit UKM dan menyandang Timbalan Ketua kat situ. Berlaku penstrukturan Penerbit UKM saya sekali lagi terlepas dari pengawasan Puan Salmah.

Allah lebih menyayangi Puan Salmah, sekitar pukul tiga lebih petang 11 Februari 2014 beliau telah dijemput Ilahi di kediamannya. Paginya beliau menghadiri satu mesyuarat bersama pegawai-pegawainya di Penerbit UKM. Puan Salmah pulang selepas itu untuk menunaikan tanggungjawab kepada bondanya yang kurang sihat. Pegawai-pegawainya terkejut setelah berita kematian beliau diberitahu oleh anaknya. Ada yang tidak percaya. Namun itulah hakikatnya.

Allahyarham pergi disamping anaknya tanpa suaminya di sisi kerana ada urusan pejabat di Kuantan. kehendak Allah siapa boleh menjangkakan. Kembalinya Allahyarham meninggalkan satu bakti buat semua termasuk saya. Walaupun beliau seorang editor yang menyunting setiap artikal penulis lain pada saya habuan di akhirat pasti ada hasil setiap titisan tinta yang disuntingnya.....Al Fatihah.

11 pagi 12 Februari 2014; Di Pusara, Sungai Tangkas, Kajang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah