Segala-galanya ujian daripada Allah

Sabtu- 7 September 2013-1.46 petang:

Setelah doktor di Poliklinik UKM Bandar Baru Bangi meminta saya membawa kedua-dua puteri ke mana-mana hospital, saya membuat keputusan membawa mereka ke Hospital Serdang, Selangor. Lima jam di Unit Kecemasan hospital tersebut saya dikejutkan dengan panggilan agar waris masuk ke Zon Merah (kritikal). 

Ketika masuk saya melihat Nur Amirah berada di katil beroda dengan tangan telah dipasang saluran air. Dia kelihatan lemah. Sebagai ayah yang pernah menguruskan anak sejak dari bayi, maka keadaannya saya yakin dia amat lemah.

Hapuskan sarang nyamuk Aedes

Ketika itu Nur Atiqah masih di dalam bilik rawatan kecemasan. Saya tidak tahu keadaannya. Saya menghubungi seorang sahabat (pemandu teksi) untuk mengambil isteri dan anak bongsu di rumah. Saya tidak mahu isteri memandu kereta sebuah lagi kerana Hospital Serdang terkenal dengan kesesakkan tempat letak kereta.

Along Atiqah, kemudian dibenarkan pulang tetapi perlu datang keesokkan hari untuk mengambil ujian darah lagi. Walaupun Plateletnya di bawah 100.

Pukul 8 malam sekali lagi saya dipanggil ke Zon Merah. Saya dan isteri masuk dan dimaklumkan Amirah perlu dirawat di ICU. Syukur Allah memberikan kekuatan dalam kekalutan itu. Jururawat dan Pembantu-Pembantu Perubatan telah membawa Amirah ke ICU.

Ayah dan Ibu mana yang tidak resah ketika melihat anak yang berkeadaan begitu didepan mata. Inilah kali ketika Allah mengejut kami menerusi Amirah. Pertama ketika dia masih kecil, Amirah mengidap demam panas yang teruk sehingga hampir sawan dan dirawat selama lima hari di Hospital Kajang. Kedua dia menjalani pembedahan Tonsil di Hospital Tentera Kinrara.

Ketika berada di ICU, sepupunya Farhana Ayu bersama suami Nikmat telah datang untuk mengetahui keadaan Amirah. Saya fikir,  Farhana sedia maklum kerana dia adalah Jururawat di ICU Hospital Ampang. Saya mendapat banyak info dari Ana.

Ahad - 8 September 2013:

Pagi Ahad adalah waktu rehat semua orang. Oleh kerana anak masih berada di hospital kerana Denggi, saya tidak puashati kerana Aedes adalah penyebar demam tersebut. Saya mengambil tindakkan mencari semua botol plastik yang terdapat di dalam longkang berhampiran tempat letak kereta taman perumahan. Ohhh sikap jiran-jiran yang sesuka hati membuang botol-botol tersebut membuatkan hati jadi hiba. Sebanyak satu plastik sampah telah saya pungut. Ia adalah antara punca pembiakkan nyamuk aedes. Apa boleh buat itulah sikap mereka.

Ketika waktu melawat tengahari, adik ipar dari Segamat telah datang bersama keluarganya melawat Amirah. Kehadiran mereka memberi keringanan mental buat saya dan isteri.

Keadaan Amirah masih belum berubah. Plateletnya masih rendah. Namun kadar plateletnya sudah naik 40. Petang ketika saya menziarahinya Amirah muntah. Mungkin kerana perutnya kosong kata Nurse Ia mencemaskan saya.

Ketika waktu melawat telah tamat, Nurse menghubungi isteri saya agar membeli sedikit makanan berbentuk bubur.

Isnin- 9 September 2013:

Saya dan isteri mengambil cuti mulai hari ini hingga 11hb September. Syukur cuti masih ada. Inilah yang saya  amalkan cuti tidak dibazirkan. Saya dan isteri menyimpan cuti untuk kes-kes seumpama ini.

Amirah dipasang alat bantuan pernafasan untuk membantu melegakan paru-parunya. Kakak dan adiknya dapat melawat hari ini.

Selasa -10 September 2013:

Hari ini Kak Long dan Kak Ngah (ipar saya) datang dari Muar. Mereka mak saudara yang sering kami ziarah bila balik Muar. Mujur Amirah telah ditanggalkan alat bantuan pernafasan. Tapi keadaan Amirah di ICU pasti meresahkan kakak-kakak ipar saya.

Rabu -11 September 2013:

Nurse yang memantau Amirah berkata dia akan dibawa ke wad biasa. Wad 7D. Hati kami suami isteri lega. Amirah menyambut dengan senyuman. Darahnya semakin pulih.Segala saluran telah ditanggalkan oleh petugas ICU. Cuma kata Nurse kena tunggu katil kosong.

Seperti kata nurse patang itu Amirah telah pun menjadi penghuni wad 7D.Syukur. Nurse di wad 7D kata Amirah mungkin boleh dibawa pulang. Namun saya berkata kat isteri kalau boleh biarlah dia disitu paling tidak untuk satu malam lagi.

Khamis- 12 September 2013

Ketika melawat tengahari ini Amirah telah semakin ceria. Namun lemah badannya masih terasa. Maklumlah tiga malam di ICU. Alhamdulillah kira-kira pukul 5 petang Amirah dibenarkan keluar.


Demikianlah catatan saya sebagai ayah menceritakan bagaimana mengawal perasaan ketika dua anak diserang Denggi. Sahaja yang tahu perasaan ini. Saya dan isteri melakukan solat hajat memohon Allah menyembuhkan anak saya. Saya menulis di sini bukan ingin menceritakan kisah tenat. Ramai rakan-rakan mengalami trauma yang sama. Malahan lebih teruk. Penyakit ini sebenar kalau mengikut doktor, tiada ubat. Namun tempat yang paling layak kita memohon adalah Allah.

Saya amalkan beberapa langkah. Tenang walaupun jiwa kacau. Ingatkan penyakit datang dari Allah sebagai ujian. Mohon daripada Allah agar disembuhkan. Saya lakukan solat hajat, saya baca Yasin, saya lakukan amalan Fatihah 41 kali. Menangis di sejadah. Sebagai orang Islam, ini yang harus kita lakukan.

Syukur Alhamdulillah kini Atiqah, Amirah yang kami anggap kembar tetapi lain tahun kembali pulih. Tak lain dan tak bukan ia adalah kehendak Allah. Terima yang berdoa dari jauh. Terima kasih kepada Timah, Kak Long, Kak Ngah, Ipin, Ana, Nikmat, Abang Wahid, Sofi...rakan-rakan pejabat isteri yang sudi berkongsi resah dan gelora kami. Kepada Allah saya memanjatkan syukur kerana Engkau memakbulkan doa kami yang hina ini...Amin.

Kepada anda yang pernah mengalami trauma Denggi pasti sudah merasai apa yang saya catatkan. Seterusnya mohon musnahkan semua tempat-tempat yang mungkin menjadi tempat bersarangnya nyamuk Aedes. Sedangkan saya yang kerap memantau, masih mengalami penyakit ini. Yalah....kita hidup berjiran...Jangan kerana kita orang lain menerima kesannya.

Jika anda mengalami demam mengejut, cepat-cepat jumpa doktor.

Antara tanda-tandanya demam mengejut, lelah, muntah, ruam kat kulit, makan tak ada selera. Minum air yang banyak.

Nak kenal nyamuk Aedes?: Lihat gambar

Isnin-16 September 2013:

Saya dan penduduk taman terutama Blok Jasmin telah mengadakan gotong royong. Walaupun tidak ramai yang turun tetapi saya berpuashati kerana banyak punca jentik-jentik telah dihapuskan.














Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah