31 Disember 2013

Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dari kaca mata seorang Jurufoto

Apabila setiap kali Pegawai Khas Naib Canselor UKM menelefon saya, maka saya sudah menganggak pasti Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin perlu sesuatu yang berkaitan dengan gambar. Cik Azimah Dato Mahmud begitu bijak menurunkan tekanan saya apabila memulakan bicara dengan bertanya, "En Raai sibuk?......" 

Saya sebenarnya bukan Jurufoto khas kepada Naib Canselor (NC). Namun saya dan rakan-rakan jurufoto merupakan petugas yang sering merakam gambar apa sahaja aktiviti NC di UKM melainkan keluar negara!

Sepanjang merakam atau bertugas di majlis yang NC hadir saya dapat melihat secara dekat persenaliti beliau. Malah saya dapat melihat karisma beliau sebagai NC wanita pertama di UKM.

Oleh kerana staff UKM amat ramai, pastinya nama saya tidak dihafal oleh beliau. Namun kalau beliau meminta Jurufoto, pastinya saya yang dipanggil.

Pernah saya duduk sebelah beliau kerana menyediakan gambar untuk taklimat lawatan Raja Muda Perak. Oleh kerana Tan Sri hendak memilih gambar-gambar kegiatan pelajar maka beliau banyak yang terdapat staff dipilih. "Tak maulah , ni semua gambar orang-orang tua...." kata Tan Sri dalam loghat Kedahnya.

Staff Pejabat Naib Canselor, Pemandu rasmi. Pegawai Khas,
Setiausaha dan Setiausaha kepada Pegawai khas
 Ketika menyediakan Power Point untuk taklimat lawatan seorang VIP dari luar negara ke PermataPINTAR, Tan Sri mengolah sendiri bahan tersebut. Namun apa yang mengagumkan saya NC mampu mengendalikan Power Point.

Sesuatu yang amat mengusarkan saya apabila Tan Sri amat kuat  ingatannya apabila meminta gambar beliau akan menyebut bulan berapa acara tersebut. Ia amat memudahkan kalau kita terlupa!

Tan Sri  Sharifah Hapsah seperti insan-insan lain yang mempunyai naluri. Ketika NCWO sebuah pertubuhan wanita di mana beliau menjadi presiden mengadakan majlis memperingati Allahyarham Tun (Dr) Fatimah Hashim pada 17 Januari 2010, saya melihat Tan Sri tidak dapat mengawal perasaannya ketika memberi ucapan penghargaan. Akhirnya beliau menamatkan ucapannya yang pendek.

Tan Sri Sharifah Hapsah bersama Presiden KESUKMA.
Sepanjang Tan Sri Sharifah Hapsah menjadi NC, hubungan pengurusan dengan kakitangan berjalan dalam suasana harmoni. Ini jelas apabila Kesatuan Kakitangan Am (KESUKMA) menjadi rakan yang memberikan kerjasama kepada pengurusan UKM.

Selaku Komandan Pasukan Palapes UKM Tan Sri Sharifah Hapsah, penglibatan beliau amat jelas dalam apa jua aktiviti. Tan Sri  menunjukkan minatnya yang tinggi pada kegiatan kadet tentera di UKM.
Selaku Komandan PALAPES UKM

Setiap kali membuat rakaman pertandingan kriket saya tidak dapat lupa hadiah peribadinya kepada pemain-pemain yang telah mengharumkan nama UKM. Shafiq salah seorang pemain kriket UKM berbisik kepada saya "Bang...Tan Sri takkan tak ada apa-apa untuk kami?". Apabila saya kata "cubalah". Selepas itu Shafiq naik berbisik kepada Tan Sri maka saya dapat lihat beliau mengeluarkan sedikit hadiah yang pastinya telah tersedia lebih awal. 



Bersama pasukan kriket UKM
Saya melihat, Tan Sri Sharifah Hapsah mudah didekati. Namun kerana kesibukan, maka masa-masa tertentu sahaja beliau boleh meluangkan masa bersama warga UKM. Misalnya ketika sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya. Sebagai Naib Canselor beliau berjaya melonjakkan nama UKM keperingkat antarabangsa. 

Paling menarik pada kenangan saya ketika musim konvokesyen berada di bilik VVIP mengendalikan studio untuk gambar orang kenamaan, Tan Sri akan datang dengan baju mengikut warna jubah fakulti. Jika sidang untuk graduan Fakulti Perubatan, baju beliau pada hari itu adalah merah. Jika Fakulti Pengajian Islam, bajunya hitam. Begitulah seterusnya.Saya lebih seronok jika ingin merakamkan gambar Tengku Ampuan Negeri Sembilan, Tan Sri sendiri yang membantu membetulkan pakaian baginda.

Justeru itu, dengan bersaranya Tan Sri Sharifah Hapsah dari jawatan Naib Canselor pada 31 Disember 2013, beliau telah meninggalkan satu jasa yang besar kepada UKM. Saya tetap menyanjung beliau sebagai Naib Canselor UKM wanita pertama, dan selepas ini saya dan Jurufoto lain tetap meneruskan khidmat kepada Naib Canselor yang baru ia itu Prof. Datuk Dr Noor Azlan Ghazali

Selamat bersara Tan Sri Sharifah Hapsah semoga terus dirahmati Allah dengan kesihatan yang baik. Saya masih ingat kata-kata beliau dalam satu ucapan, "You can do without me"

## Lihat album kenang-kenangan Tan Sri Sharifah Hapsah

30 Disember 2013

Perhimpunan Mantan Warga Kampung Sungai Batang | Kini Beris Jaya

Asalnya kami ingin mengadakan secara kecil-kecilan dengan menjemput rakan-rakan Facebook yang merantau untuk berkumpul di Tasik Beris. Mereka adalah anak-anak jati Sungai Batang. Namun sambutannya diluar dugaan apabila terdapat sambutan dari kalangan masyarakat Beris Jaya, maka telah mengubah menjadi satu perhimpunan sebegini. Demikian antara ucapan Prof Madya Dr Chek bin Derasid ketika memberikan ucapan alu-aluan di Majlis Perhimpunan Mantan Warga Kampung Sungai Batang pada petang 28 Disember 2013 yang lalu. 




Beliau yang kini merupakan salah seorang warga akademik di Universiti Utara Malaysia yang juga alumni UKM, melahirkan rasa gembira dengan sambuatan yang diluar dugaan itu. Dr Chek juga berharap dengan wujudnya perhimpunan sebegini maka akan dapatlah dilahirkan sebuat kelab atau persatuan yang mampu menganjurkan beberapa aktiviti yang memberikan faedah kepada warga Beris Jaya.

Setiusaha Pengerusi Jawatankuasa Kampung Beris Jaya Tuan Haji Rahman Ahmad, pula dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa syukur kerana kini masyarakat di situ telah mengecapi beberapa kejayaan setelah berpindah ke tempat baharu sejak sepuluh tahun lalu. Beliau menyeru agar penduduk menjaga keharmonian dan menjaga perpaduan agar dapat hidup dalam keadaan lebih selesa. Haji Rahman juga melahirkan rasa gembira kerana kebanyakkan tuntutan mereka sebelum berpindah sepuluh tahun dulu telah dipenuhi oleh kerajaan.

Kampung Sungai Batang yang teletak 15 km dari pekan Sik telah dibangunkan menjadi Tasik Beris sejak tahun 2000. Penduduk di situ telah dipindahkan ke sebuah penempatan baru di Beris Jaya. 




Tasik Beris mempunyai keluasan tadahan air 116 km persegi ini siap sepenuhnya pada tahun 2004. Mempunyai ketinggian air paras maksimum 86.4 meter paras biasa 84.0 meter berfungsi untuk bekalan air sekitar Kedah dan Pulau Pinang dan kawalan banjir. Tasik Beris ini telah terkenal sebagai pusat pelancongan di Daerah Sik. Terdapat sebuah ladang anggor yang menjadi tumpuan setiap musim cuti hujung minggu atau cuti sekolah.

Seperti di kebanyakkan tempat Sungai Batang suatu masa dulu jauh dari pembangunan. Pekerjaan utama meraka adalah pertanian. Namun arus pembangunan menyaksikan perubahan pada kehidupan masyarakatnya. Ramai anak-anak kampung ini telah berjaya samaada di peringkat daerah, negara dan antarabangsa. 

Oleh itu perhimpunan yang telah diadakan dengan cacatan sejarah pada 28 Disember lepas pada hari Sabtu telah menyaksikan kehadiran anak-anak kampung itu untuk memikirkan program akan datang.

Haji Hassan Rejab salah seorang bekas Pengerusi Jawatankuasa Kampung Sungai Batang suatu ketika dulu adalah antara wagamas yang hadir tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya tentang perhimpunan ini. Ketika diberi peluang berucap, Haji Hassan mengesahkan bagaimana azabnya zaman dahulu. Perhubungan dengan dunia luar begitu terbatas. Tiada letrik dan talian telefon. Beliau menceritakan bagaimana di bulan Ramadan mereka harus keluar ke Pekan Sik untuk mendapatkan berita permulaan ibadah puasa dan menyambut Aidilfitri.

Beberapa aktiviti telah diadakan pada perhimpunan ini disamping itu ada manta warga Sungai Batang yang hadir menikmati keindahan Tasik Beris disamping menerima tiupan angin petang.


Bercuti untuk fotografi

Syukur Alhamdulillah saya telah selamat mengadakan bengkel fotografi setelah tamat pada 28 Disember 2013. Bengkel ini merupa program peribadi yang terakhir bagi tahun 2013. Namun lebih jauh program ini merupakan pembuka jalan kepada program seterusnya pada masa-masa akan datang.





Seharusnya saya mengucapkan terim kasih yang tidak terhingga kepada Puan Salmiah, Pegawai Belia dan Sukan Sik kerana membantu saya dalam menjayakan program ini. Atas bantuan beliau maka Persatuan Rekresi Sik turut menyumbangkan tenaga dari awal hingga akhir. Kerana bantuan beliau juga maka Ahli Dewan Undangan Jeneri, Yang Berhormat Mahadzir Abdul Hamid selaku Pengerusi Majlis Belia Daerah Sik telah turun padang untuk merasmikan program ini. Pada perancangan awal saya ingin mengadakan program yang sederhana dan akhirnya menjadi meriah dan tersusun.

 YB Mahadzir amat gembira dengan penganjuran program ini kerana dengan menganjurkan bengkel ini maka belia-belia dan masyarakat Sik khasnya dapat memperlajari ilmu mengikut peraturan yang betul. Beliau menyeru agar mengambil faedah hasil bengkel seumpama ini agar dapat memajukan industri pelancongan di daerah Sik. 

Selaku pembimbing, saya amat bertuah kerana peserta memberi tumpuan yang amat tinggi kerana mereka hadir dengan tujuan mendapatkan perkongsian ilmu dan pengalaman dari saya. Walaupun ada dari kalangan mereka adalah dari peminat fotografi amatur, namun hasil karya yang dihasilkan melalui peraturan yang diberikan maka mereka dapat mencetuskan idea yang terbaik.

Komitmen yang ditunjukkan begitu tinggi, akhirnya terdapat dari mereka walaupun baru menceburi bidang ini, tetapi dapat menghasilkan yang terbaik.

Tempat-tempat menjadi tumpuan peserta ketika membuat amali ialah, Pekan Sik, Lata Mengkuang, Tasik Beris, Kampung Gulau. 

Insyaalah program ini akan ditseruskan jika mempunyai kelapangan masa.

Lihat album | Karya peserta | Aktiviti |

23 Disember 2013

Sumbangan gambar dalam buku oleh penerbit di Singapura

Syukur Alhamdulillah sebuah penerbit di Singapura telah menggunakan gambar saya untuk buku Bahasa Melayu untuk sekolah-sekolah di sana. Gambar ini dipilih dari album Flickr saya. Alhamdulillah setelah saya berbincang dengan pegawai saya, gambar itu diterbitkan tanpa ganjaran kewangan tetapi mereka memberikan penghargaan nama saya. Yalah, jika difikirkan wang bukanlah banyak sangat. Saya harap ianya menjadi satu amal jariah dalam memartabatkan bahasa ibunda kita.




22 Disember 2013

Bengkel Fotografi di Sik Kedah 26 hingga 28hb Disember 2013

Insyaallah jika tiada aral melintang dan diizinkan oleh Allah, saya akan balik ke daerah Sik pada 25 Disember 2013 ini untuk mengendalikan satu kursus fotografi. Kursus yang akan diadakan dengan bantuan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sik ini mendapat kerjasama Persatuan Rekreasi Sik akan diadalan di Belannatara Tasik Beris Sik berhadapan Ladang Anggur.

Kursus ini saya berikan secara percuma tanpa mengenakan apa-apa yuran ceramah selama dua hari setengah. Saya mengadakan kursus ini sempena usia saya 55 tahun dan selama 34 tahun bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia. Inilah hasrat saya selama ini yang terpendam sekian lama untuk mencurahkan ilmu, pengalaman kepada belia dan sesiapa sahaja di daerah saya dibesarkan. 

Mengendalikan satu program yang agak besar dan jauh dari tempat tinggal dan kerja sememangnya memerlukan pengorbanan yang besar. Saya harus menjaga kesihatan sebelum tempuh tersebut. Kerana tanpa kesihatan yang baik agak sukar untuk mengendalikan program selama dua setengah di mana menggunakan masa  lebih kurang 19 jam.

Saya amat berbesar hati apabila Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sik sanggup membantu. Lebih-lebih lagi bantuan sukarelawan dari Persatuan Rekreasi Sik. Saya lebih bersyukur kerana ada seorang dermawan yang telah memberikan sedekah sejumlah wang untuk jamuan pada program ini.

Apa yang ingin saya hebahkan ialah ini adalah sumbangan khidmat masyarakat yang saya mulakan di Sik, kedah dan saya akan bergerak ke banyak lagi lagi tempat selagi terdaya dan mendapat bantuan pejabat belia atau persatuan.

Kepada anda yang berminat bolehlah menghubungi saya di emel: raaios@yahoo.com bagi tujuan tersebut.


07 Disember 2013

Fotografi: Media Sokongan Kepada Keperluan Sebuah Muzium

Berikut merupakan kertas pembentangan saya di Program Bicara Muzium dan Warisan siri 2/2013 pada 4 disember 2013 bertempat di Puri Pujangga, UKM

Majlis Perasmian Kampus UKM Bangi.

Peranan merekodkan sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bermula sebelum tahun 1970. Ia bermula ketika kerja-kerja lawatan ke tapak UKM oleh pemimpin Negara  untuk memastikan kesesuaiannya. Almarhum Sultan Selangor, YAB Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussain.
 
Peranan merakam gambar-gambar ini dilakukan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JPM). Oleh itu banyak gambar-gambar dalam bentuk analog disimpan oleh JPM. Namun kemudian telah diambil oleh UKM dengan wujudnya Pusat Teknologi Pendidikan (PTP). Pengarahnya En Chan Beng Fai adalah peneraju kerja-kerja ini dengan menggunakan filem Hitam Putih kemudian beralih kepada filem slaid dan warna.

Dari kiri: Bangunan Perpustakaan Tun Sri Lanang,
Ekonomi dan Perniagaan dan Fakulti Sains dan Teknologi.
Majlis Konvokesyen Pertama
di Bangunan Parlimen
Sekitar tahun 70an hingga 90an peranan begitu terserlah. PTP mempunyai beberapa orang Jurufoto yang sebenar berjawatan Juruteknik. Mereka adalah; Wilfed Long (berbangsa Cina), En Fadil bin Sood, En Mohd. Yamin bin Salleh (Allahyarham), Haji Jalil Yaakup, En Saliman Leman. Mereka ini telah pun bersara.

UKM tidak harus melupai khidmat  Jurufoto lain seperti di fakulti-fakulti seperti, En Zainal, En Alias (Perubatan), Haji Khalil Alwi (Sains Teknologi). Haji Midin (Pendidikan)

Ketika peringkat awal penubuhan UKM kerjaya mereka adalah Juruteknik atau Pembantu Makmal. Oleh kerana peraturan perkhidmatan waktu itu agak longgar mereka dibenarkan bekerja merakam gambar. Selepas wujud Sistem Saraan Baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) mereka tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja fotografi.

Bangunan Canselori

Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR)
Penubuhan unit foto selain PTP, di UKM terdapat juga di fakulti lain seperti Perubatan, Sains dan Pendidikan. Namun di fakulti-fakulti ini peratus tugasan mereka adalah merakam kerja-kerja penyelidikan sains dan perubatan.


PTP melalui sejarahnya dengan pengstrukturannya apabila pada 28 April 1982, 1 Januari 1999, 1 Januari 2003, 2008 dan 15 Julai 2013. Pengstrukturan tersebut mengakibatkan arkib foto yang terdapat di bangunan Penerbit  harus diselamatkan.

Fotografi telah dicipta sekitar tahun 1827. Oleh itu fotografi sendiri melalui satu perubahan yang besar dalam sejarahnya sendiri. Bermula dengan ciptaan fotografi hitam putih, kemudian filem warna maka inovasinya berkembang begitu hebat sehingga wujdunya teknologi fotografi digital.

Di Malaysia, fotografi banyak digunakan oleh golongan istana dan bangsawan untuk merakam sejarah. Oleh itu banyak melihat kalangan ini memiliki koleksi yang berbagai. Kebetulan antara kerabat mereka menjadi terkenal maka bukti sejarah bergambar mudah diperolehi oleh pihak muzium atau jabatan arkib.

Kaitan rapat antara fotografi dan lukisan memang ada. Namun dengan terciptanya fotografi media ini mampu merakam segala sejarah, bahan, manusia dalam sifat yang sebenar.

Oleh itu dalam merekodkan bahan-bahan sejarah fotografi adalah media yang paling tepat untuk digunakan. Menghasilkan sebuah karya fotografi untuk keperluan muzium sebenarnya sama dengan menghasilkan karya untuk keperluan sains, perubatan dan kejuruteraan. Malah, segala hasil karya yang dirakam oleh bidang tersebut amat sesuai dijadikan bahan atau media di muzium.

Masji UKM dalam pembinaan

Masjid UKM berlatar belakangkan Bandar Baru Bangi.
Seorang karyawan untuk bidang ini haruslah seorang mahir atau pakar dalam dua bidang yang berkaitan. Adalah lebih baik jika merakam bahan-bahan artifak dilakukan oleh ahli yang mahir dalam khazanah muzium serta fotografi. Kerana sudut pandangan yang akan dihasilkan dalam karyanya lebih tepat mengikut keperluan sebuah muzium.


















Keperluan tugasan fotografi:

1.    Kamera DSL R (Digital Single Lens Reflexs).
2.    Lens yang sesuai – Telefoto, Midium Format, Mikro
3.    Flash dan Reflektor
4.    Cahaya bantuan – Jika ingin merakam bahan artifak dengan lebih detail.
5.    Filter.

1. Kamera DSLR  (Digital Single Lens Reflexs).






Kamera DSLR  merupakan kamera yang lengkap dan tidak semestinya mahal. Kamera DSLR yang berkekuatan 10 megapiksal keatas sudah memadai. Kerana kekuatan kamera ini sudah mampu menghasilkan gambar besar. DSLR mempunyai kelengkapan untuk menambah alat-alat tambahan ketika melakukan tugasan.



2. Lens.




Keperluan lens telephoto ialah untuk rakaman dari jauh untuk tugasan yang merbahaya. Lens format medium untuk tugasan jarak biasa padangan mata. Manakala lens mikro untuk tugasan merakam gambar-gambar kecil.





3. Flash dan Reflektor.





Flash dan Reflektor perlu untuk tugasan di lapangan jika cahaya tidak cukup.











4.  Cahaya Bantuan.




Peralatan ini perlu disediakan jika ingin merakam gambar di muzium terutamanya untuk merakam bahan artifak agar kelihatan lebih sempurna.














5. Filter. 

Filter juga perlu disediakan dalam kes-kes untuk menghasilkan tugasan yang berseni pada perkara—perkara yang berkaitan dengan bahan artifak.

Keperluan bagi seorang petugas muzium ketika merakam hasil-hasil bahan artifak ialah, beliau harus faham sedikit sebanyak teknik-teknik pengahasilan gambar yang baik. Petugas harus faham pengendalian peralatan fotografi, perlu tahu bagaimana menghasilkan gambar mengikut peraturan komposisi agar gambar-gambar yang akan dihasilkan menarik disamping tepat dari segi pencahayaan, saiz bahan dan sebagainya.

Tidak dapat dinafikan tidak ramai orang faham kepentingan fotografi  dalam sejarah. Kerana ketika masih berada di zaman kejadian itu berlaku, semua orang akan mengabaikan bahan-bahan sejarah. Namun bahan sejarah terutama media fotografi akan menjadi mahal selepas lima puluh tahun kemudian.

Oleh itu, media fotografi tidak boleh dilupuskan mengikut bahan-bahan pejabat lain seperli fail-fail yang akan dilupuskan mengikut jangkamasa tertentu. Selagi lama gambar itu disimpan maka lagi mahal nilainya. Beberapa cadangan ingin disyorkan agar  penyimpanan gambar-gambar lebih terjamin dari segi mutu dan keselamatannya.


1.    Mewujudkan arkib berpusat yang diselia oleh petugas yang mahir dalam urusan arkib, perpustakaan. Cara begini mampu menjamin dari segi keselamatan penyimpanan dan lebih mudah ketika carian dilakukan.

2.    Sebuah server berpusat harus dibangunkan dengan jaminan keselamatan server. Manakala penyeliaan diuruskan oleh petugas yang boleh diamanahkan.

3.    Merekodkan semula semua gambar-gambar lama khasnya bagi UKM. Ini akan menjamin kualiti, simpanan akan terjamin selepas seseorang petugas bersara atau meninggalkan tempat kerja atas sebab kematian atau berpindah tempat kerja.

4.    Uruskan bahan bergambar seperti sebuah perpustakaan buku. Cara begini akan menjamin senarai penyimpanan walaupun ketika berlaku perubahan pucuk pimpinan.

5.    Gambar dari bahan fotografi boleh disimpan sehingga seratus tahun. Namun simpanan dalam bentuk digital belum terjamin kerana perubahan perisian IT akan sentiasa berubah.

6.    Pengurus untuk sebuah arkib gambar haruslah diambil dari orang berpengalaman dalam selok-belok muzium dan mahir dalam ilmu fotografi.

Kesimpulannya, fotografi itu ada sejarahnya yang panjang dan menarik. Fotografi adalah pencatat sejarah yang setia seperti pensil, pen dan mesin taip. Namun fotografi telah diambil alih oleh digital. Justeru pada lazimnya fotografi harus diadun dengan sempurna agar peranannya akan lebih mantap dalam usaha merealisasi keperluan muzium.

Pusat Komunikasi Korporat,
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.
_______________________________________________________________

Lampiran A:















_______________________________________________________________________

Lampiran B: 

Jurufoto yang masih berkhidmat dengan UKM
1.Rosli bin Nasir – B32, PPUKM (UiTM)
2.Hasnan bin Musa- B22 (KUP), PPUKM
3.Abd.Rahman Putra bin Mohd Yunus– B22, PPUKM
4.Noorashikin binti Yusof - B17, PPUKM (UiTM)  
5.Ismail bin Ibrahim – B27, Hejim
6.Abd Raai bin Osman – B22, PKK (IKBN Peretak)
7.Ikhwan bin Hashim – B17,PKK (IKBN Peretak)
8.Ahmad Shahiddan bin Saidi- B17, PKK (Akademi TV3)
9.Badru Nizam bin Sajadi- B22,FST (IKBN Peretak & UKM)
10.Kamarul Ariffin bin Mohd Sanusi- B17,FST (UiTM)
11.Md Yusuf bin Budin - B17, Kebudayaan
12.Sulimi bin Ismail– B17,FSSK
13.Muhammad Akmal bin Mohd Mokhtar- B17, FSSK (IKBN Peretak)
14.Jamaludin bin Saleh - B17, FPI

30 Oktober 2013

Anugerah UNSUNG HERO Universiti Kebangsaan Malaysia

Tambah kapsyen
Petikan dari majalah MA:
 
Beliau merupakan alumni IKBN Peretak. Merupakan Ahli Fotografi- Di Fakulti Sains Dan Teknologi; Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor mulai 5 November 1979 hingga 17 Ogos 2007. Selepas itu beliau bertugas di Penerbit UKM sehingga tahun 2013. Kini beliau berkhidmat di Pusat Komunikasi Koperat. Jika anda seorang peminat fotografi dan anda adalah warga UKM, menjadi satu kerugian jika anda tidak berjumpa dan mempelajari ilmu fotografi dari beliau. Seorang yang tidak lokek dengan ilmu fotografi yang juga aktif dalam pelbagai penerbitan bercetak mahupun maya. Kelibat beliau sering kelihatan di program-program pelajar walaupun di hari minggu. Gambar-gambar koleksi beliau sudah semestinya menjadi koleksi yang bernilai untuk warga UKM dan sejarah UKM itu sendiri. Beliau juga merupakan Mentor Fotografi MA33-MA36. Dengan ini team MA bebesar hati untuk menganugerahkan anugerah ‘UNSUNG HERO’ kepada En Abd. Raai Osman.

‘UNSUNG HERO’ adalah wira yang berjasa namun tidak disebut-sebut, tidak dikenali, hakikatnya merekalah yang paling banyak berjasa.


#####################################################
Majalah Aspirasi diterbitkan setahun sekali oleh pelajar UKM dengan kerjasama JPel UKM.

19 Oktober 2013

Facebook: Sampai Bila?

Apabila isteri saya mula membuka akaun Facebook pada tahun ini maka saya mula memikirkan adakah dia nak memantau kegiatan saya? Ketika berjalan di khalayak ramai ada melepaskan senyuman pada saya sudah tentu dia rakan FB. Ada orang akan tahu kita ke mana pergi mungkin mereka telah membaca status yang berbunyi "sedang nak naik tangga kapal terbang". Begitulah fenomena FB sejak ia diperkenalkan pada tahun 2004.

 Sampai bila facebook akan bertahan dan sampai bila kita akan bertahan dengan aktiviti bersosial dengannya? Ini satu soalan yang saya terfikir setelah sudah hampir empat tahun menjadikan Facebook sebagai media sosial.

Janganlah bermain FB ketika bekerja.

Saya mula mengenali nama laman sosial ini sekitar tahun 2009 apabila Profesor Dr Yang Farina menyebut dalam satu e-mel kepada warga Fakulti Sains dan Teknolgi UKM. Beliau mencadangkan agar lihat FB Prof Dr Kamarudin Salleh untuk melihat bagaimana keadaan kesihatannya. Setelah saya saya membuka akaun FB dan memohon menjadi sahabat, sehingga Prof Kamarudin kembali ke Rahmatollah beliau tidak sempat menjadikan rakan FBnya.

Tahun 2009 saya menjadikan FB sebagai medan sosial setelah FB berada di alam maya sekitar lima tahun. FB mula beroperasi  pada bulan Februari 2004. Oleh itu saya fikir ada ramai yang telah menjadikan FB sebagai medan bersosial awal. Ketika itu tidak ramai rakan-rakan saya berminat dengan FB. Malahan ada yang menganggap FB sebagai membuang masa! Saya akui seandainya menggunakan FB hanya untuk berchating di pejabat sambil bekerja anggapan membuang masa amat tepat. Lihat sejarah Facebook.

Ketika saya memulakan operasi FB rakan-rakan tidak sampai seratus orang. Namun setelah FB saya jadikan sebagai media penyampaian maklumat kepada pelajar UKM yang mengambil program kokurikulum maka senarai rakan semakin bertambah. Senarai rakan FB semakin bertambah apabila saya kerap mengendalikan kursus fotografi. Sehingga hari ini, (19 Oktober 2013) saya mempunyai seramai 3244 orang. Sebagai orang biasa jumlah itu pada hemat saya cukup ramai. Usia saya yang telah melewati lima puluhan dengan jumlah itu saya fikir cukup ramai rakan!

Saya memiliki rakan-rakan dari kalangan pelajar sekolah, pelajar IPT dan kolej. Lelaki, wanita dan gender yang lelaki bukan, wanita pun bukan. Terdapat dari kalangan golongan profesional dan separa pakar. Mereka enjoy dengan FB. Namun percayakah anda, FB akan menjadikan kita rapat dengan orang yang sebelum ini tidak rapat di alam sebenar. Malahan ada juga yang menjadi semakin jauh setelah menjadi rakan FB biar pun dia kita kenali sejak sekolah.


FB mampu menjalin persahabatan dan kekeluargaan yang
lama terpisah.
Facebook pada saya ada positif dan ada negatif. Lihat senarai perlakuan yang ada kaitan dengan FB.

  1. Menjadikan FB sebagai media sosial ketika berada di pejabat. Perkara ini boleh dielakkan dengan hanya menggunakan FB di rumah sahaja. Namun, ia boleh menjadikan halangan hubungan kebahagian kepada rumahtangga. Namun jika menggunakan FB menghebahkan aktiviti jabatan saya fikir boleh dipertimbangkan.
  2. FB mampu mengeratkan sahabat yang terpisah sejak lama. Kejadian ini berlaku kepada saya apabila menemukan kembali guru  dan rakan-rakan sekolah setelah terpisah lebih tiga puluh tahun.
  3. Jalinan hobi, perniagaan mampu terjadi menerusi FB. Saya mampu membentuk hubungan persahabatan hanya kerana saya peminat dan fotografi dan berkerjaya sebagai jurufoto.
  4. Pembentukkan Group dalam FB mampu mengumpulkan ramai alumni dari mana-mana sekolah dan IPT atau kolej.
  5. Kita mampu berada bersama keluarga biarpun berada di ribuan kilometer jika kita aktif dalam FB. Namun jika kita lakukan perkara negatif maka tembelang kita terpecah.
  6. Dakwah mampu digerakkan oleh pendakwah. Namun seandainya kita tidak alim dalam ilmu agama Islam dikuatiri menyebarkan ajaran salah pula.
Banyak lagi yang boleh disenaraikan namun saya fikir anda boleh kaitkan apa sahaja dengan hubungan di laman sosial ini. Tetapi saya ingin menyenaraikan beberapa perkara yang kurang sihat dan tidak di halusi oleh rakan-rakan FB. Misalnya:

  1. Menegur rakan-rakan secara terbuka tanpa memikirkan rakannya suka atau tidak. Misalnya menegur gambar rakannya berperut buncit pada gambar yang dipaparkan agak kurang sesuai kerana ketika mempamerkan gambar itu beliau tidak terfikir akan dimalukan.
  2. Agak kurang selesa apabila ada rakan yang mengambil kesempatan melakukan gangguan emosi apabila memuji foto kita dengan perasaan keinginan yang melampau. Misalnya "cantiklah badan abang ni....". Sedangkan ketika memasukkan gambar kita mungkin berharap dapat berkongsi dengan rakan yang ada bersama dalam gambar itu.
  3. Merbahaya jika isteri atau suami memiliki FB dan segala apa yang tulis dan dihebahkan boleh dilihat antara satu sama lain.
  4. Menulis hal politik membuatkan rakan muak membaca. Kerana peranan FB hanya untuk bersantai. Misalnya mereka lebih suka melihat kebahagian kita bersama anak-anak atau cucu-cucu.
  5. Memuatkan gambar wang yang kononnya telah kaya dengan program skim cepat kayanya.
Saya dan anda mempunyai ramai rakan dalam FB. Mungkin keghiarahan berfacebook begitu tinggi ketika membuka akaun. Ramai yang akan membuat apa sahaja komen dalam laman tersebut. Lama kelamaan ada di kalangan kita akan menjadi jemu untuk aktif. Mungkin sudah kurang idea, malas nak menulis, malas nak membaca komen berulang dalam topik yang sama. Justeru, ada yang terus diam. Kalau aktif pun hanya membuka dan membaca.

Topik-topik dalam FB ada kalanya ringan, ada kalanya berat. Misalnya topik politik dan agama. Namun pada saya topik yang elok diperhalusi oleh mereka yang arif. Jika topik agama jangan biarkan orang tidak alim menjelaskan tanpa nas yang betul.

Menubuhkan group (kumpulan) atau pages (halaman) atas nama-nama tertentu amat baik dalam mengawal kandungannya. Namun harus diingat jangan membiarkan berlaku pihak lain yang menubuhkan bagi pihak kita. Kesannya kita tidak tahu apa yang dia buat.

Menjadikan FB sebagai media iklan juga amat baik, namun berniaga tanpa memikirkan perasaan orang lain akan meninggalkan kesan kurang baik kepada emosi rakan kita. Rakan kita akan muak jika iklan yang berulang dan ditagkan ke lamannya. Pernah terjadi seorang rakan sering kali menandakan iklannya dalam FB saya. Saya terganggu. Akhirnya saya jadi bosan dan langsung menghalang namanya wujud dalam wall public.

Terlalu banyak kesan buruk, faedah bermenafaat yang kita boleh dapat dari laman sosial ini, namun tepuk dada tanya selera. Jikalau positif ia akan menjadikan diri kita gembira dengan laman sosial ini. Mantan guru displin saya kita menjadikan FB sebagai bahan sosialnya untuk berhubung dengan ramai bekas pelajarnya yang kini bekerja dalam bebagai lapisan pangkat. Beliau kerap diminta hadir ke mana jua majlis anjuran bekas pelajarnya. Walhal ada bekas pelajarnya dulu amat gerun dengannya. Saya sendiri dapat bertemu dengan beliau walaupun sudah lebih tiga puluh tahun terpisah.

Inilah laman sosial yang amat menarik dan saya amat suka. Jangan kuatir melihat saya aktif ketika waktu pejabat kerana saya menghebahkan aktiviti organisasi di laman FB walaupun telah ada laman web rasminya. Walaupun saya mempunyai lebih tiga ribu rakan, namun rangkaian rakan ke rakan telah mampu dilihat oleh lebih 30 ribu pengguna FB lain.

Bersosial dengan rakan-rakan di alam maya, jangan lupa rakan-rakan di alam nyata. Jangan abaikan rakan-rakan surau atau masjid. Jangan pasir dengan jiran tetangga. Usah kurang mesra dengan keluarga sendiri. Merekalah sahabat yang memungkinkan kita mencapai bau atau nikmat Syurga!

Lihat tajuk yang berkaitan: Sila klik


20 Oktober 2013, Taman Desa Sentosa, Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Selangor




11 September 2013

Segala-galanya ujian daripada Allah

Sabtu- 7 September 2013-1.46 petang:

Setelah doktor di Poliklinik UKM Bandar Baru Bangi meminta saya membawa kedua-dua puteri ke mana-mana hospital, saya membuat keputusan membawa mereka ke Hospital Serdang, Selangor. Lima jam di Unit Kecemasan hospital tersebut saya dikejutkan dengan panggilan agar waris masuk ke Zon Merah (kritikal). 

Ketika masuk saya melihat Nur Amirah berada di katil beroda dengan tangan telah dipasang saluran air. Dia kelihatan lemah. Sebagai ayah yang pernah menguruskan anak sejak dari bayi, maka keadaannya saya yakin dia amat lemah.

Hapuskan sarang nyamuk Aedes

Ketika itu Nur Atiqah masih di dalam bilik rawatan kecemasan. Saya tidak tahu keadaannya. Saya menghubungi seorang sahabat (pemandu teksi) untuk mengambil isteri dan anak bongsu di rumah. Saya tidak mahu isteri memandu kereta sebuah lagi kerana Hospital Serdang terkenal dengan kesesakkan tempat letak kereta.

Along Atiqah, kemudian dibenarkan pulang tetapi perlu datang keesokkan hari untuk mengambil ujian darah lagi. Walaupun Plateletnya di bawah 100.

Pukul 8 malam sekali lagi saya dipanggil ke Zon Merah. Saya dan isteri masuk dan dimaklumkan Amirah perlu dirawat di ICU. Syukur Allah memberikan kekuatan dalam kekalutan itu. Jururawat dan Pembantu-Pembantu Perubatan telah membawa Amirah ke ICU.

Ayah dan Ibu mana yang tidak resah ketika melihat anak yang berkeadaan begitu didepan mata. Inilah kali ketika Allah mengejut kami menerusi Amirah. Pertama ketika dia masih kecil, Amirah mengidap demam panas yang teruk sehingga hampir sawan dan dirawat selama lima hari di Hospital Kajang. Kedua dia menjalani pembedahan Tonsil di Hospital Tentera Kinrara.

Ketika berada di ICU, sepupunya Farhana Ayu bersama suami Nikmat telah datang untuk mengetahui keadaan Amirah. Saya fikir,  Farhana sedia maklum kerana dia adalah Jururawat di ICU Hospital Ampang. Saya mendapat banyak info dari Ana.

Ahad - 8 September 2013:

Pagi Ahad adalah waktu rehat semua orang. Oleh kerana anak masih berada di hospital kerana Denggi, saya tidak puashati kerana Aedes adalah penyebar demam tersebut. Saya mengambil tindakkan mencari semua botol plastik yang terdapat di dalam longkang berhampiran tempat letak kereta taman perumahan. Ohhh sikap jiran-jiran yang sesuka hati membuang botol-botol tersebut membuatkan hati jadi hiba. Sebanyak satu plastik sampah telah saya pungut. Ia adalah antara punca pembiakkan nyamuk aedes. Apa boleh buat itulah sikap mereka.

Ketika waktu melawat tengahari, adik ipar dari Segamat telah datang bersama keluarganya melawat Amirah. Kehadiran mereka memberi keringanan mental buat saya dan isteri.

Keadaan Amirah masih belum berubah. Plateletnya masih rendah. Namun kadar plateletnya sudah naik 40. Petang ketika saya menziarahinya Amirah muntah. Mungkin kerana perutnya kosong kata Nurse Ia mencemaskan saya.

Ketika waktu melawat telah tamat, Nurse menghubungi isteri saya agar membeli sedikit makanan berbentuk bubur.

Isnin- 9 September 2013:

Saya dan isteri mengambil cuti mulai hari ini hingga 11hb September. Syukur cuti masih ada. Inilah yang saya  amalkan cuti tidak dibazirkan. Saya dan isteri menyimpan cuti untuk kes-kes seumpama ini.

Amirah dipasang alat bantuan pernafasan untuk membantu melegakan paru-parunya. Kakak dan adiknya dapat melawat hari ini.

Selasa -10 September 2013:

Hari ini Kak Long dan Kak Ngah (ipar saya) datang dari Muar. Mereka mak saudara yang sering kami ziarah bila balik Muar. Mujur Amirah telah ditanggalkan alat bantuan pernafasan. Tapi keadaan Amirah di ICU pasti meresahkan kakak-kakak ipar saya.

Rabu -11 September 2013:

Nurse yang memantau Amirah berkata dia akan dibawa ke wad biasa. Wad 7D. Hati kami suami isteri lega. Amirah menyambut dengan senyuman. Darahnya semakin pulih.Segala saluran telah ditanggalkan oleh petugas ICU. Cuma kata Nurse kena tunggu katil kosong.

Seperti kata nurse patang itu Amirah telah pun menjadi penghuni wad 7D.Syukur. Nurse di wad 7D kata Amirah mungkin boleh dibawa pulang. Namun saya berkata kat isteri kalau boleh biarlah dia disitu paling tidak untuk satu malam lagi.

Khamis- 12 September 2013

Ketika melawat tengahari ini Amirah telah semakin ceria. Namun lemah badannya masih terasa. Maklumlah tiga malam di ICU. Alhamdulillah kira-kira pukul 5 petang Amirah dibenarkan keluar.


Demikianlah catatan saya sebagai ayah menceritakan bagaimana mengawal perasaan ketika dua anak diserang Denggi. Sahaja yang tahu perasaan ini. Saya dan isteri melakukan solat hajat memohon Allah menyembuhkan anak saya. Saya menulis di sini bukan ingin menceritakan kisah tenat. Ramai rakan-rakan mengalami trauma yang sama. Malahan lebih teruk. Penyakit ini sebenar kalau mengikut doktor, tiada ubat. Namun tempat yang paling layak kita memohon adalah Allah.

Saya amalkan beberapa langkah. Tenang walaupun jiwa kacau. Ingatkan penyakit datang dari Allah sebagai ujian. Mohon daripada Allah agar disembuhkan. Saya lakukan solat hajat, saya baca Yasin, saya lakukan amalan Fatihah 41 kali. Menangis di sejadah. Sebagai orang Islam, ini yang harus kita lakukan.

Syukur Alhamdulillah kini Atiqah, Amirah yang kami anggap kembar tetapi lain tahun kembali pulih. Tak lain dan tak bukan ia adalah kehendak Allah. Terima yang berdoa dari jauh. Terima kasih kepada Timah, Kak Long, Kak Ngah, Ipin, Ana, Nikmat, Abang Wahid, Sofi...rakan-rakan pejabat isteri yang sudi berkongsi resah dan gelora kami. Kepada Allah saya memanjatkan syukur kerana Engkau memakbulkan doa kami yang hina ini...Amin.

Kepada anda yang pernah mengalami trauma Denggi pasti sudah merasai apa yang saya catatkan. Seterusnya mohon musnahkan semua tempat-tempat yang mungkin menjadi tempat bersarangnya nyamuk Aedes. Sedangkan saya yang kerap memantau, masih mengalami penyakit ini. Yalah....kita hidup berjiran...Jangan kerana kita orang lain menerima kesannya.

Jika anda mengalami demam mengejut, cepat-cepat jumpa doktor.

Antara tanda-tandanya demam mengejut, lelah, muntah, ruam kat kulit, makan tak ada selera. Minum air yang banyak.

Nak kenal nyamuk Aedes?: Lihat gambar

Isnin-16 September 2013:

Saya dan penduduk taman terutama Blok Jasmin telah mengadakan gotong royong. Walaupun tidak ramai yang turun tetapi saya berpuashati kerana banyak punca jentik-jentik telah dihapuskan.














Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...