Alam Seni Foto~photography for all~ kini berusia 10 tahun

Fotografi merupakan salah satu hobi yang mahal. Fotografi merupakan salah satu kerjaya yang mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan. Fotografi juga mampu menjadikan terapi kesihatan yang mesra. Fotografi mampu menjadikan dunia ini dengan warna-warni yang gembira, ceria dan bermotivasi.

Itulah ungkapan yang mampu saya lahirkan hasil penglaman selama 30 tahun menceburi kerjaya Jurufoto di UKM. Mungkin kebetulan, pada 5 November 1979 saya memulakan kerjaya sebagai Jurugambar (istilah pada jawatan Jurufoto ketika itu) dan pada 13 Oktober 1999 saya melancarkan laman web bertajuk Alam Seni Foto~photography for all~. Laman web ini bertujuan menyebarkan ilmu fotografi untuk peminat fotografi.

Pada tahun 1990an fotografi digital belum lagi popular seperti sekarang. Ketika itu kami jurufoto masih bergelumang dengan bahan kimia untuk memproses filem dan mencetak gambar. Photoshop belum lagi hebat seperti sekarang. Jumlah karyawan foto tidak seperti sekarang yang meningkat hampir jutaan orang.

Masih terdapat orang takut untuk menyertai bidang fotografi, kerana sekali "snap" belum tentu memperolehi gambar yang normal, tidak underexpose atau overexpose. Penggunaan filem membimbangkan semua orang. Natijahnya usahawan fotografi tidak wujud seramai sekarang. Jikalau adapun cuma dari kalangan mereka yang berani menghadapi risiko.

Ketika itu saya telah bertugas sebagai Pensyarah Sambilan untuk kursus Seni Foto di Pusat Ko-korikulum, Universiti Kebangsaan Malaysia (bermula dari 1 Januari 1997). Saya mempunyai nota yang telah dihasilkan untuk kegunaan pelajar-pelajar kursus tersebut.

Nota itu saya kumpul hasil pengalaman, pembacaan dari buku-buku fotografi 100% datang daripada luar negara. Majalah utama yang saya rujuk ialah U and Your Camera disamping guru saya semasa di Institut Kemahiran belia, PERETAK, guru saya yang juga ketua saya Profesor Dr Mohamed Omar, Khalil Alwi, Hamzah Hurmin, Allahyarham Ahmad Nayan.

Dengan nota tersebut maka saya telah membangunkan laman web Alam Seni Foto~photography for all~ pada tanggal 13 Oktober 1999 dengan menggunakan tapak web Tripod.com.

Saya menyebarkan nota ini secara percuma kepada semua peminat fotografi di Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand. Kini laman tersebut masih lagi menjadi rujukan oleh pelajar-pelajar terutamanya bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat tambahan sejarah fotografi analog (filem).

Saya tidak mendapat sokongan daripada sesiapa untuk membangunkan laman web tersebut kecuali daripada Rashid A.Ghani, Kamarudin Musa dari segi bantuan penggunaan komputer serta ICT. Semasa itu belum wujud laman web yang mengajar fotografi kerana untuk mengajar menerusi laman web agak sukar kerana memerlukan gambar-gambar.

Kalau ada pun hanya laman web yang menyiarkan gambar hasil karya Jurufoto sahaja. Namun terdapat juga Jurufoto luar negara yang telah menghasilkan laman web untuk pengajaran.

Walaupun kini Alam Seni Foto tidak lagi menjadi media utama rujukan peminat fotografi Malaysia, saya berbangga kerana telah wujud banyak individu terpelajar dan berpengalaman yang mengajar dan menyebarkan ilmu untuk rakyat negara kita.

Justeru, saya berterima kasih kerana Pusat Teknologi Maklumat UKM membenarkan laman web ini menggunakan servernya. Dengan itu maka laman web tersebut tidak lagi menggunakan server Tripod. Kini ianya telah menggunakan tapak web yang beralamat http://www.ukm.my/raai . Alam Seni Foto pernah memenangi pertandingan mereka cipta laman web sempena ulangtahun Ke-35 UKM.

Sokongan yang telah diberikan oleh peminat sehingga kini menjadikan Alam Seni Foto~photography for all~ boleh berdiri di situ selama sepuluh tahun.

Terima kasih kepada anda yang pernah menziarahi Alam Seni Foto~photography for all~.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
fotografi memang satu cabang seni yg punya nilai estetika tersendiri...saya juga gemar merakam gambar utk koleksi peribadi .teruskan usaha murni anda kerana foto-foto itu akan menjadi kenangan sepanjang hayat...Insyaallah.

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah