Kemerdekaan untuk siapa?


Anak kecil ini tidak memahami apa itu Merdeka ketika ini,
namun apabila dewasa kelak mereka perlu memahami
betapa siksanya usaha untuk memerdekakan negara kita.



1 Malaysia boleh dicapai andainya semua kaum
saling faham memahami antara satu sama lain.


Kemerdekaan untuk siapa? Itulah tajuk forum yang diketengahkan oleh UKM semasa mengadakan majlis Ambang Merdeka bertempat di Dewan Tun Abdul Razak (DECTAR). Walaupun kehadiran warga UKM tidaklah memenuhi dewan tersebut kerana cuti Hari Kebangsaan tahun ini ialah pada hari Isnin bilamana ramai pelajar UKM balik kampung namun dengan kehadiran yang memenuhi sekitar satu pertiga DECTAR sudah mampu menggegarkan dewan dengan sorakkan MERDEKA oleh warga UKM.

Sebaik sahaja tepat jam 12 tengahmalam lagu Negaraku berkumandang dengan Jalur Gemilang dinaikkan oleh anggota Sukarelawan Polis UKM (SUKSIS) bersama Sukarelawan Tentera (PALAPES).

Sambutan meraikan Hari Kemerdekaan patut diadakan setiap tahun. Paling tidak ianya akan membawa ingatan bagaimana peritnya rakyat berada di zaman penjajahan yang sering kali kita baca dalam buku-buku sejarah.

Anak-anak muda zaman selepas merdeka tidak pernah melihat, merasai susah dan peritnya zaman sebelum dan selepas merdeka. Mereka yang dilahirkan sebelum dan semasa kemerdekaan sudah tentu pernah merasai kesusahan tersebut. Seperti saya pernah melihat tempat tinggal tiada kemudahan asas seperti air dan eletrik. Pernah saya melihat sebuah pekan (Sungai Lalang di Sungai Petani kedah) yang hanya menggunakan lampu gasolin untuk mencerahkan pekan tersebut. Ketika itu sekitar tahun 1965.

Saya pernah melihat askar-askar yang balik dari operasi di sempadan Malaysia Thailand setelah bertugas di sekitar Gubir, Pedu Kedah. Ketika itu saya dan rakan-rakan sering menerima bekalan makanan dalam tin yang dicampak oleh askar-askar tersebut. Malahan pernah melihat konvoi tentera yang akan bertugas di sempadan. Saya sedar itulah kesusahan yang masih ada selepas merdeka. Malahan saya pernah mendengar tembakan Mortar oleh tentera kita untuk menggempur pengganas komunis. Kisah ini boleh diikuti secara lengkap di tajuk Dari Sik ke Bangi.

Justeru, forum yang dianjurkan oleh UKM amat sesuai dengan membawa beberapa tokoh untuk menceritakan betapa peritnya kehidupan di zaman sebelum merdeka. Malahan seorang ahli forum menceritakan bagaimana ayah dan bapa saudaranya dibunuh dengan kejam! Keganasan ini yang harus diketahui oleh generasi muda. Ketika belajar sejarah kita akan didedahkan fakta dan tarikh sejarah itu berlaku. Jauh dari itu seharusnya menghayati peritnya zaman yang disejarahkan itu harus dihayati.

Saya pernah menyertai perarakan Hari Kemerdekaan pada tahun 1977 di Dataran Merdeka ketika berada di Institut Belia. Nostalgia itu masih segar kerana tahun 1977 negara menyambut Hari Kemerdekaan dalam bulan puasa (Ramadhan). Kami datang dari Kuala Kubu Bahru sewaktu Subuh untuk menyertai sambutan Hari Kebangsaan Ke-20 (tahun 1977). Semua orang sedang berpuasa namun kami semua masih bersemangat.

Tahun ini (2009) selepas tiga puluh dua tahun saya masih menyambut ulangtahun Hari Kebangsaan dengan cara saya sendiri. Saya pernah menyertai kumpulan Jurufoto di Dataran Merdeka untuk merakam peristiwa gilang gemilang sambutan Hari Kebangsaan. Malam tadi selepas bersolat Terawih di masjid UKM saya menyertai warga UKM menyambut Ambang Merdeka ke-52.

Malaysia sudah lama merdeka, justeru marilah kita hidup dengan cara orang merdeka.
Lihat tajuk lain <sila klik>

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah