Radzuan Ghazali Dalam Kenangan



 


Radzuan Ghazali satu nama yang tidak asing lagi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Pegawai Media yang bertugas di Pusat Komunikasi Korporat UKM.

Pagi ini saya menerima berita agak lewat selepas solat Subuh bahawa beliau telah meninggal dunia sekitar jam 12 tengahmalam tadi di Hospital Serdang, Selangor kerana serangan jantung.
Rakan-rakan media perdana TV Radio dan akhbar pasti mengenali Allahyarham sebagai pegawai media yang mesra dan suka bergurau.
Bagi saya yang pernah bekerja sepejabat dengan beliau memang banyak kenangan manis terutamanya apabila kami ke luar kawasan. Pernah bermalam sebilik walaupun kalau ikut kelayakan beliau tidur di bilik asing. Kemesraan bermula ketika bertugas di Bukit Fraser. Kemudian kami pernah ke Seberang Takir, Kuala Terengganu. Kebetulan ketika beliau masuk kerja di PRO nama PKK sebelum ini, isteri saya sepejabat dengan Allahyarham

Bagi warga UKM yang sering menganjurkan majlis seperti seminar, persidangan pasti biasa berurusan dengan Allahyarham yang ada kaitan dengan media. Jika bab media sesiapa pun tidak akan risau Allahyarham pasti akan layan sebaik mungkin. Baik bahan sidang akhbar, cenderamata, makan atau minum.

Setiap tahun di majlis konvokesyen UKM beliau antara pegawai yang bergerak secara solo membawa wartawan dan jurufoto bertemu sumber berita misalnya graduan yang cemerlang. Kadang-kala saya bergurau, "Sudahlah En Wan, kami dianak tirikan." Tetapi beliau beliau membalas balik, "Kau orang dalam pandai-pandailah cari sendiri".

Suatu ketika Allahyarham berpindah jabatan dengan tujuan agar ada penambahan pengetahuan dan pengalaman namun kata Allahyarham kepada saya "aku tak sesuai dengan kerja-kerja macam itu. Lebih sesuai jaga media untuk promosi UKM". Ketika itu ada rakan media yang bertanya "Wan sekarang kat mana? Saya dok masuk UKM dia dah tak ada?"

Malah dalam banyak perkara saya sering mendengar pujuk Allahyarham kepada wartawan, "Basir (wartawan NST), esok jangan lupa Front Page ye!". Tapi apabila rakan wartawan berkata itu hak editor dia hanya senyum.

Tidak dapat dinafikan dalam beberapa keadaan Allahyarham adalah pegawai yang terawal bertemu Naib Canselor bagi melapurkan apa-apa berita atau rencana mengenai UKM yang tersiar di media.

Satu lagi kelebihan yang ada pada Allahyarham ialah kecekapan mengenal pasti siapa yang patut dirujuk jika pihak media menghubungi bertanyakan pakar dalam bidang tertentu. Misalnya jika topik bab alam sekitar beliau akan cepat memberitahu siapa Profesor yang patut dihubungi.

Di Pusat Komunikasi Korporat UKM, beliau antara pegawai yang datang awal ke pejabat. Kerap kali jika saya datang ke pejabat seawal 7.15 pagi Allahyarham telah hadir dan ada waktunya beliau sedang berada di mesin fax untuk menghantar siaran akhbar ke pejabat TV, radio dan media cetak.
Dalam FaceBook Allahyarham kerap buat komen pada status saya walaupun setelah saya bersara. Komen paling akhir ialah kisah misteri Bukit Mexwell dan Bukit Fraser. Satu komen yang saya anggap sebagai wasiat ialah mengenai Hard Dic gambar. Kata Radzuan hantar saya semua gambar ke Muzium Warisan Akademik UKM.😪

Kali terakhir saya bertemu Allahyarham sebulan lepas ketika ke pejabat Pendaftar UKM untuk menghantar borang tuntutan perubatan. Cuma masa itu layanan/gurauannya tidak seperti sebelum ini. Tapi saya abaikan semua itu kerana memikirkan mungkin dia sibuk.

Radzuan Ghazali dalam usia 53 tahun telah kembali dijemput Ilahi. Saya memohon agar sesiapa yang mengenali Allahyarham berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan oleh Allah di kalangan muslimin.

Ketika sehari sebelum hari raya Aidilfitri kami masih bekerja. Kami sama senasib anak bongsu yang telah kehilangan ibu. Kalau lagu Ayah dan Ibu berkumandang air mata akan bergenang. Hari ini beliau telah tiada. Pergi tak akan kembali walaupun pencen ku dulu sesekali kembali bertemumu di UKM dan FB. Dalam gurau kami sering nasihat menasihati. Al Fatihah buat Radzuan Ghazali. Aku terlalu sedih. (catatan dalam Instagram saya)

Sahabatku, ketika kau kembali di suasana Corona Covid-19 ini saya tidak dapat menziarahimu kerana terpaksa mematuhi SOP PKPB tambahan saya mempunyai penyakit kronik. Selamat berangkat sahabat ke alam barzah. Insya-Allah kita akan bertemu di sana dengan izin-Nya.

Al Fatihah buat sahabatku Radzuan😪😪. Takziah buat keluarga Allahyarham Radzuan Ghazali.😪



10 November 2020
Taman Desa Sentosa, Teras Jernang, Bangi, Selangor


Gurauan yang akan dikenangkan sehingga akhir hayat saya.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah