Tsunami Di Aceh: Bangun Dengan Air Mata

Ketika kenderaan ustaz Abdullah menyusuri Banda Aceh, tuan Haji Razak Hussin bertanya kepada saya "macam mana En Raai Aceh...bagus?". Jawab saya ringkas, cantik macam pergi Langkawi dan Kelantan. "Sudah tentu Aceh Serambi Mekah" sambung Haji Razak.

Dalam beberapa tulisan selepas Tsunami ada dikaitkan kejadian ombak besar berlaku akibat perbuatan penduduknya yang mengabaikan Allah. Dalam Utusan Malaysia 14 Januari 2005 telah merungkaikan beberapa ulasan mengenai perkara ini:


Salah satu pantai yang menerima gelombang besar Tsunami 2004.
Bayangkan ombaknya ketika Tsunami sedangkan waktu biasa pun ombaknya besar.

Ulama Aceh bergelut betulkan khurafat


Walaupun bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Aceh sudah memasuki hampir 20 hari, namun di kalangan penduduk wilayah itu yang majoritinya beragama Islam, persoalan kenapa Aceh dilanda bencana yang begitu dahsyat masih lagi menjadi perbualan.
Malah pelbagai teori dilahirkan sama ada dari sudut kebesaran dan pembalasan Allah sehinggalah pada sudut yang boleh dianggap berbentuk khurafat. Bagi sebahagian penduduk Aceh, ada yang menganggap ia sebagai ujian Allah manakala sebahagian lagi pula menganggap ia pembalasan Allah.
Lebih ironi lagi, ada pula yang menyifatkan ia sebagai pembalasan terhadap kelompok tertentu mengadakan pesta hiburan berhampiran makam seorang ulama terkemuka Aceh, Syiah Kuala.
Bagi meredakan keadaan ini ulama-ulama Aceh cuba mengingatkan umat Islam wilayah itu supaya terus berpegang kepada ajaran Islam dan tidak membuat kesimpulan yang bukan-bukan berhubung bencana yang dianggap terlalu sukar diterima oleh mereka.
``Jangan bertanya kenapa Aceh, kenapa tidak Jakarta atau daerah-daerah lain, kita harus mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku dan mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah,'' kata KH Sulaiman ketika menyampaikan kuliah subuh di sebuah masjid di Banda Aceh.
Sememangnya bagi penduduk Aceh sehingga ke hari ini, mereka masih tertanya-tanya bagaimanakah mungkin Aceh yang terkenal dengan panggilan Serambi Mekah itu boleh ditimpa bencana tersebut yang bukan sahaja memusnahkan harta benda malah meragut nyawa ratusan ribu orang.
``Mungkin ada kesilapan yang kita lakukan, kita mendakwa ini Serambi Mekah tetapi apakah kehidupan kita setiap hari benar-benar mencerminkan tempat suci itu,'' kata KH Sulaiman.
Oleh itu bagi KH Sulaiman jalan terbaik untuk umat Islam menerima secara terbuka musibah itu ialah kembali kepada Allah untuk memohon pertolongan dan petunjuk, mereka tidak harus terus mengeluh dan kecewa dengan apa yang berlaku.
``Anggaplah ini ujian daripada Allah dan bukannya mengaitkan ia dengan unsur-unsur lain apatah lagi yang berunsur khurafat kerana ini boleh menjejaskan ketakwaan kita kepada Allah,'' kata KH Yusuf ketika menyampaikan kuliah di tempat yang sama.
Pesta

Bangunan yang menempatkan makam Syeikh Abdul Rauf As-Singkili.

Unsur yang dianggap khurafat ini tetapi masih terus dipegang oleh sesetengah umat Islam Aceh ialah kononnya kejadian yang berlaku adalah balasan Tuhan terhadap perbuatan sebuah pasukan keselamatan yang mengadakan pesta Hari Natal di makam Syiah Kuala pada 25 Disember iaitu sehari sebelum tsunami melanda.
Walaupun perbuatan itu dilarang oleh seorang kiai namun pasukan berkenaan tetap meneruskan pesta mereka sehingga kiai tersebut memberi amaran bahawa mereka akan menerima pembalasan daripada Allah kerana mengadakan pesta di tempat yang dianggap suci.
Keyakinan penduduk Aceh berhubung punca tsunami yang dikaitkan dengan peristiwa di makam itu menjadi semakin kukuh apabila keesokan harinya, gempa bumi terjadi dan tsunami menghempas wilayah Aceh. Lebih menarik lagi, kesemua anggota pasukan keselamatan berkenaan bersama ahli keluarga mereka yang berada di kem pasukan itu terbunuh manakala bangunan di kem berkenaan musnah sama sekali.
``Anggaplah sahaja apa yang terjadi itu adalah secara kebetulan, saya bimbang jika kita menganggap ia pembalasan Allah sampai bila pun makam itu akan dipuja,'' kata Kiai Sulaiman.
Namun begitu, setakat ini usaha untuk mengingatkan penduduk Aceh bahawa mereka tidak boleh mengaitkan peristiwa di makam berkenaan dengan tsunami boleh dianggap gagal kerana ia terus menjadi bualan malahan pegangan penduduk.
Justeru hari demi hari selepas tsunami, makam Syiah Kuala terus dikunjungi malah ada di antara mereka berdoa di makam berkenaan. Keadaan itu sudah tentulah meresahkan golongan ulama di Aceh kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk kepada umat Islam.
Bagaimanapun terdapat juga penduduk Aceh menganggap apa yang berlaku ialah pembalasan Allah terhadap sikap sesetengah daripada mereka yang tidak begitu bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah.
``Musibah ini harus dianggap peringatan daripada Allah supaya kita bermuhasabah dan mengkaji di mana silapnya sehingga Allah menjadikan bencana yang cukup dahsyat dan tidak pernah terfikir oleh kita selama ini,'' kata seorang imam di Lambaro, Banda Aceh.
Pandangan yang sama dilahirkan oleh seorang lagi ulama, Tengku Muisran Fuadi yang menegaskan, bencana tsunami dan gempa bumi itu lebih kepada teguran dan seksaan Allah berdasarkan kepada jumlah mangsa yang terkorban dan harta benda yang rosak.
Muhasabah
``Apa yang berlaku adalah ujian kepada keimanan yang bakal melahirkan kesabaran, ketabahan sehingga lahirnya sikap untuk bermuhasabah, kesabaran yang dimaksudkan adalah bersabar sambil memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat untuk melahirkan umat soleh,'' katanya.
Oleh itu ulama-ulama Aceh berpendapat, penduduk wilayah itu perlu bersabar dan memahami bahawa Allah itu Maha Pengasih Lagi Penyayang dan Dia tidak akan sanggup menganiaya hamba-Nya, tetapi acap kali yang berlaku hamba-Nya tidak mempedulikan syariat Allah.
``Kita melihat maksiat di mana-mana, kita tidak berkuasa untuk mencegah maksiat padahal semua kita bertanggungjawab untuk menyuruh kepada kebaikan. Dan ini jelas apabila ada di antara wanita Muslim di sini masih tidak memakai tudung atau menutup aurat. Kalau mereka berbuat demikian pun kerana takut ditahan oleh petugas Wilayatul Hisbah (pasukan khas mencegah maksiat di Aceh) bukan kerana Allah s.w.t.,'' kata Tengku Muisran.
Atas sebab itulah, penduduk Aceh dinasihatkan supaya tidak terlalu berdukacita dan mengambil kesempatan daripada ruang yang diberikan oleh Allah ini untuk mempertingkatkan ibadat mereka.
Firman Allah dalam surah al-Infithar ayat 1 hingga 5 bermaksud;
``Apabila angin terbelah, apabila bintang gugur berselerakkan, apabila lautan bergelora dan apabila semua kubur dibongkar, maka tiap-tiap jiwa akan mengetahui apa yang telah dikerjakan dari yang dilalaikannya.''
Seorang guru agama yang kini mengajar kanak-kanak di sebuah kem penempatan sementara di Banda Aceh, Jarjani Usman pula berkata, umat Islam di Aceh perlu melihat bencana ini dari segi objektif walaupun ia telah mengubah wajah wilayah itu dan menggugat struktur keluarga penduduk Aceh.
Malah katanya, ia juga mungkin sebagai peringatan kepada penduduk-penduduk Aceh supaya meningkatkan ukhuwah Islamiah sesama mereka yang dilihat semakin renggang. Melalui bencana ini akan timbul rasa simpati terhadap penderitaan yang ditanggung oleh saudara mereka.
Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud; ``Seseorang tidak akan pernah mampu merasakan sakitnya penderitaan kecuali bagi orang yang pernah menderita.''
Sabda ini memberi peringatan kepada penduduk-penduduk Aceh bahawa dalam keadaan kesusahan sekarang, mereka perlu bekerjasama dan sama-sama menanggung penderitaan yang dialami oleh mangsa-mangsa tsunami.
``Bagi umat Islam, mereka seharusnya bersama-sama merasakan penderitaan saudara-saudaranya di mana juga mereka berada, oleh itu jadikan tsunami ini untuk kita meningkatkan lagi ukhuwah antara kita,'' kata Jarjani.
Kini mahu tidak mahu, umat Islam Aceh harus menerima hakikat bahawa bencana telah menimpa wilayah mereka, mungkin ia membawa penderitaan, kesengsaraan dan kesedihan serta kemusnahan tetapi sesungguhnya semua itu pasti ada hikmahnya dan Allah juga telah berjanji bahawa setiap kesusahan itu pasti akan berakhir dengan kesenangan.
_____________________________________________________________________
Hari ini genap 13 tahun 7 bulan tsunami berlaku. Sebut Tsunami semua kita di Malaysia akan ingat Aceh. Kenapa? Ia kerana Aceh begitu dekat dengan kita orang Malaysia dan Melayu. Jika kita melihat peta Aceh begitu dekat Malaysia. Malah ketika Tsunami melanda ada tempat di Malaysia terkena tempiasnya.


Ketika penerbangan saya ke Aceh pagi 20 Julai 2018 ke Banda Aceh penuh satu kapal dengan rombangan dari Malaysia. Semuanya orang Melayu Malaysia. 

Apa yang kami cari? Pastinya kami ke sini mencari sejarah. Melihat sejarah penting untuk dijadikan panduan masa depan. Masa silam usah kita kenang tetapi teruskan masa depan dengan penuh semangat yang kuat. 

Bangun dari kemusnahan bukan satu perkara yang mudah. Kalau Jepun kemusnahan dibangunkan semula dengan wang dan teknologi. Aceh dibangunkan semula dan jika anda datang melawat selepas tempuh 10 tahun pastinya tiada lagi kesannya. 


Pergi ke mana sahaja kita akan melihat penduduknya melansungkan kehidupan seperti biasa. Jika ditanya mereka akan bercerita apa yang berlaku 13 tahun dulu. Terutamanya bagi orang-orang tua. Di mana sahaja kita akan mudah mendapat makanan yang enak. Allah memberikan Rahmat-Nya kepada penduduk Banda Aceh untuk mencari rezeki. Mereka pandai menguruskan perniagaan walaupun secara kecil-kecilan.


Evakuasi adalah bangunan yang bina sebagai
persediaan jika terjadi lagi Tsunami lagi.
Dewasa ini pemerintah telah menyediakan beberapa persediaan untuk menghadapi Tsunami jika berlaku lagi. Di beberapa pantai telah ditambak dengan batu-batu besar. Begitu juga telah didirikan satu bangunan khas untuk penduduk di tanah rendah menyelamatkan diri.

Pada hemat saya penduduk Banda Aceh lama melupakan Tsunami. Sampai mereka harus memikirkan bencana. hidup harus diteruskan. Waspada itu perlu. Ziarahlah jika anda berminat melihat negara orang kerana Al-Quran menyebut mengenai musafir. Tanamkan  azam untuk membantu mereka jika kita mampu. 



Gulai Bebek (Itik) begitu terkenal di Banda Aceh 

Kupi Aceh (kopi)




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah