02 Disember 2015

Rahmat dan kuasa Allah

Telah dua kali terjadi. Namun dengan kuasa Allah semuanya berlalu dengan tenang.

Tahun lepas ketika musim konvokesyen UKM abang ipar (suami kakak saya) dimasukkan ke hospital. Kerana tugas, selepas tamat konvokesyen saya bergegas ke Kluang menziarahi abang ipar. Syukur dia kembali sihat. Maklumlah dia seorang wargamas yang pergi menunaikan fardu haji sudah tentu ada kesan pada kesihatannya. Pada asalnya abang ipar masih mahu menangguhkan pemergiannya ke Mekah kerana mengalami masalah tekanan darah rendah. Namun dengan nasihat saya dia akur menempuh apa jua cabaran di tanah suci.

Tahun ini sekali lagi sewaktu majlis konvokesyen, saya mendapat khabar biras (adik ipar isteri) jatuh sakit. Doktor mengesahkan dia kena barah paru-paru tahap empat dan juga terdapat ketumbuhan di kepala! 

Biras saya begitu rapat dalam hubungan seperti saudara kandung. Kalau balik ke rumah mertua atau kakak ipar kami sering berjemaah bersama samada di rumah atau di masjid. Dia begitu kelakar dan mesra bila berbicara. Semasa saya belum mempunyai kenderaan bila sampai di Bandar Muar dengan bas biras inilah yang menjemput kami suami isteri. Jika bertandang ke rumah saudara mara sebelah mertua kami akan berkonvoi selepas saya memilik kenderaan sendiri.

Kalau ke rumahnya di Segamat pasti setiap waktu solat dia akan melaungkan azan. Sumbangannya kepada perjalanan surau di tamannya begitu besar sebagai bilal. Malahan dia cukup aktif dalam pasukan RELA di Segamat. Siapa tak kenal Ismail Md Noor yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Jalan Aji Segamat. Lebih menarik pada tahun 2012 Ismail berbesan dengan abang angkat saya di Kedah. Hubungan kami menjadi lebih meriah.

Kuasa Allah tak siapa boleh duga. Dua bulan lepas dia menderita sakit. Dia terbaring lemah. Ketika menziarahinya sebulan lepas dia terbaring lemah. Ketika bersalam dengannya Ismail lemah. tiada lagi suara mesranya. Tiada lagi ikan air tawar hasil pancingannya. Memanjang satu kegiatan barunya sebelum terlantar sakit.

Minggu lepas pada 28 November 2015 ketika menghadiri kenduri di rumah seorang sahabat, saya menerima panggilan telefon yang mengatakan Ismail telah dibawa ke hospital dengan ambulan. Farhana anaknya yang bergegas pulang dari Alor Star meminta pendapat saya mengenai apa yang patut dilakukan.

"Macamana pendapat Ana berdasarkan pengalaman jadi Nurse di ICU", tanya saya
"Pesakit lain Pakcik...Ini ayah sendiri Ana payah nak buat keputusan....." Farhana dengan nada serba salah.

Farhana walaupun telah berpengalaman di wad ICU Alor Star berbelah bagi nak buat keputusan apabila doktor menghubunginya samada untuk memasukkan tiub Oksigen atau membiarkan begitu sahaja. Saya buat keputusan minta doktor letakkan Oksigen sebagai ikhtiar. Farhana akur. Farhana ini ada saya sebut dalam sebuah catatan lain di Berakhir sebuah kehidupan

Ahad 29 November 2015:
Selepas solat Subuh saya berkata kepada isteri, "Jom kita ke Segamat". Isteri dan anak-anak tidak bersoal panjang jika saya membuat keputusan begitu. Kami sampai di Segamat sempat makan tengahari di kedai yang terkenal dengan resepi ikan Baung. Saya sempat berbual dengan tuan punya restoran. Beliau mengenali Ismail.

Jam 12.30 tengahari saya dan keluarga masuk ke wad 5. Kelihatan pelawat begitu ramai. Dalam wad katil penuh. Ismail terbaring dengan saluran Oksigen di mukanya. Ismail bernafas dengan Oksigen yang salurkan untuknya. Tanpa membuang masa saya mengambil wuduk terus membaca surah Yasin tanpa menghiraukan pada suasana sekeliling. Bacaan saya tidaklah kuat. 

Nafas Ismail dalam keadaan tenang ketika saya membaca dari ayat pertama ke ayat kedua dan seterusnya. Saya yakin dengan tindakkan ini. Saya pernah terdengar seorang ustaz terkenal berkata sewaktu ibunya sakit beliau membaca Yasin, keesokkan harinya ada orang bukan Islam bertanya "Ustaz tak baca lagi ka itu buku...sebab masa ustaz baca emak saya agak bagus..."

Malah, ada kisah yang berlaku dalam sebuah ambulan yang membawa wanita sedang sakit hendak mengandung dan agak kritikal, seorang jururawat bukan Islam berkata "Kalau makcik mau baca Yasin bacalah sekarang...."

Ketenangan berlaku di wad 5 Hospital Segamat. Namun dalam tenang sebenarnya saya beberapa kali sebak. Saya mengalirkan air mata. Justeru, saya sempat menulis dalam Facebook untuk meluahkan rasa hati ini...

Ketika membacakan Yasin di sisimu aku tahu kau mendengar. Tapi aku tahu kau tidak mampu membuka mata. Inilah sahaja yang mampu lakukan di saat ini ketika kau berperang dengan barah yang sudah kritikal wahai Birasku. Aku tahu kita berkata antara kita saling memerlukan ketika sakit. Namun tidak mampu merasai deritamu ketika ini. Syukur sempat juga berbisik kepadamu bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah. Nabi Itu Pesuruh Allah.
Ismail, aku tinggalkan kau bersama Allah semoga Dia memberi Rahmat kepadamu

Saya pulang petang itu dan meninggalkan Ismail di katil 15 wad 5 Hospital Segamat..........

2 Disember 2015:
Isteri saya menelefon adiknya bertanya khabar suaminya (Ismail). Ismail telah diminta bawa balik ke rumah. Ismail perlu berada di sisi keluarga. 

Berita yang menakjubkan bahawa Ismail sudah boleh membuka mata. Dia sudah meminta air dan makanan. Mula rindu dengan anak cucunya.

Ismail memberitahu isterinya dia memang tidak boleh membuka mata ketika di hospital. Tetapi dia tahu siapa yang datang melawatnya. Ismail tahu saya datang membaca Yasin untuknya. Saya yakin itu kuasa Allah. Sebab pada hari Isnin seorang ustaz memberitahu selagi Malaikat Rahmat masih memberi rezeki maka hamba Allah tetap akan memperolehi rezekinya.

5 Disember 2015.....sekitar jam 11.15 malam, saya menerima panggilan telefon dari Segamat mengatakan Ismail telah kembali ke pangkuan Ilahi. Al Fatihah.
Baca juga cacatan ini: Sila klik.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Galeri

Awas! Keretapi nak melintas.

Pernah naik keretapi? Keretapi cara lama yang memenatkan! Mungkin itu ungkapan yang pernah kita dengar. Sebelum tahun 1995 tidak semua ora...