Galeri

01 Januari 2012

Anak-anak mengerti semuanya

Ini tidak lebih kisah sebuah keluarga saya. Saya mencatatkannya sebagai kenangan sebagai sebuah dairi tahun baru 2012.

31 Disember setiap tahun saya dan keluarga meraikan sambutan ulangtahun kelahiran puteri bongsu. Sambutan biasanya ala kadar tanpa kemeriahan seperti orang lain buat. Tiada kek harijadi dan seumpamanya kerana bagi saya sambutan itu bukan wajib yang mustahak ialah mengingati. Tahun ini lebih menarik kerana Nur Aqilah menyambut ulangtahun ke-17. Selalunya disebut swetseventen. Seperti biasa dia akan menerima ciuman ucap selamat daripada ibunya dan saya termasuk kakak-kakaknya. Aqilah tiada abang.

Pukul 8 malam selepas bersolat Magrib di surau lebuhraya berhampiran tol Sungai Besi saya, isteri dan dua orang anak (yang sulung dan bongsu-anak kedua masih bekerja malam itu di Hotel Singgahsana Petaling Jaya) memandu masuk ke tempat letak kereta hotel Singgahsana. Isteri dan Aqilah tidak mengetahui langsung apa yang sedang saya lakonkan bersama puteri sulong (Nur Atiqah). Sesampai di lobi hotel kami disambut oleh Sofi rakan Nur Amirah ( puteri kedua saya). Sofi membawa kami ke tingkat satu hotel. Setelah kami diminta duduk di meja yang telah ditempah oleh Amirah baru isteri saya dan Aqilah menyedari kejutan yang saya dan dua orang anak lakonkan. 

Isteri ketawa menahan kejutan. Manakala Aqilah juga tak habis-habis ketawa kerana dia baru faham malam itu diraikan bersama-sama ibu menyambut ulangtahun kelahiran kerana Aqilah dan Isteri saya menyambut ulangtahun berkembar. Anak saya 31 Disember dan isteri saya 1 Januari.Diringkaskan kisah malam itu kami menjamu selera yang ditaja oleh Amirah yang bertugas sebagai Pembantu Chef di hotel tersebut.

Ketika sambutan tahun baru 2012 diraikan oleh masyarakat dunia dengan kilauan percikan bunga api di angkasa Petaling Jaya saya melihat kumpulan Chef hotel membawa sebuah kek ke meja kami dengan diringi oleh Sofi dan Amirah. Isteri dan Aqilah meniup lilin dan terus terang saya akui inilah pertama kami kami menyambut ulangtahun yang meriah!

Tujuh belas tahun dulu saya  menyambut hari ulangtahun  kelahiran isteri ketika beliau berjaya melahirkan Aqilah kira-kira empat jam sebelum tahun baru 1995. Sebenarnya melahirkan Aqilah antara berperang nyawa isteri  dan anak. Isteri saya mengidap sejenis penyakit yang menyukarkan proses kehamilan. Menjaga kandungan ketika itu amat sukar malahan saya perlu memberikan perhatian yang penuh sepanjang kandungan itu berada di dalam rahim isteri.

Sewaktu menunggu kelahiran Aqilah saya bermalam bersama Atiqah dan Amirah di surau Hospital Besar Kuala Lumpur. Kami berulang alik dari Bangi ke KL. Alhamdulillah Allah memberikan kekuatan kepada saya dan menyelamatkan keluarga dari sebarang bala.

Pernah meninggalkan Atiqah dan Amirah di kaunter pendaftaran Hospital Besalin KL. Apabila saya turun dari wad saya lihat kedua-dua anak ni sedang dipujuk oleh seorang makcik kerana Amirah yang berusia tiga tahun sedang menangis. Inilah dugaan paling azab yang saya terima ketika itu. Saya tiada kakak, adik untuk membantu menjaga anak-anak saya yang masih kecil itu. Namun Allah memberikan bantuan dengan mengirimkan mak cik tersebut.

Sebab itu saya mengatakan sambutan tahun ini lebih bermakna dan akan menjadi sejarah dalam hidup kami sekeluarga. Allah tidak akan memberikan kesusahan sepanjang masa, namun ujian Allah harus kita terima mensyukuri kerana rahmatnya tetap ada. 

Saya berbisik kepada isteri, "kalau awak dah tiada pastinya 1 Januari akan dikenang ketika mereka adik beradik menyambut ulangtahun hari lahir Aqilah setiap 31 Disember". Isteri saya merenung sayu ke arah anak-anak yang sedang melihat percikan bunga api di langit Petaling Jaya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Wujudkan Tabung Keluarga

Anda sering menghadapi masalah kewangan? Banyak hutang? Penyelesaiannya kita boleh lakukan dengan berbagai cara. Pinjam dengan koperasi, pin...