06 Jun 2017

Rahsia Al Quran

Abang ipar saya Ahmad bin Jamil orang biasa sahaja. Dulu dia bekerja buruh di ladang kelapa sawit. Sebelum bersara dia jadi mandur. Sebelum berpindah ke Kluang Johor dia seorang penoreh getah. Kerana desakkan hidup dia berpindah dan membawa kakak saya dan anak-anaknya.



Minat abang Mad kepada Al Quran berputik sejak muda lagi. Ketika nama Haji Abdul Ghani Abdullah terkenal sebagai johan Qari Malaysia. Haji Abdul Ghani merupakan sepupu abang Mad. Abang Mad sering mengaji ikut kaset atau piring hitam. Bacaan Haji Abdul Ghani dan Haji Ismail Hashim adalah ikutan beliau.

Ketika menetap di Kluang abang Mad banyak mengikuti kelas membaca Al Quran dengan Qari di sana. Bacaan abang semakin baik.

Setelah bersara dari kerja estet kelapa sawit, abang Mad diberi tanggung jawab menjadi bilal dan guru mengajar Al Quran di sebuah estet di Kluang. Lumayan juga gaji yang beliau perolehi.

Selepas mencapai usia 65 tahun abang Mad tak boleh bekerja lagi. Rezekinya tetap ada. Ilmu pengajian Al Quran telah membuka peluang untuknya mengajar Quran dan menjadi Imam rakyat di Masjid Penjara Kluang yang terletak bersebelahan rumah beliau.

Pada tahun 2014 bersamaan 1435 abang Mad ditawarkan menunaikan fardu haji. Pada mulanya abang nak tolak setelah menolak pada tahun 2013 atas faktor kesihatan. Saya nasihatkan abang Mad jangan tolak lagi dengan alasan penyakit ni biasa bukan akan pulih 100%. Abang Mad bersetuju dengan nasihat saya.

Pengalaman abang Mad ketika di Madinah, beliau berpeluang menyemak bacaannya dengan guru Quran mengajar  di Masjid Nabawi. Kata abang Mad, Alhamdulillah bacaannya diperakui betul.

Apa istimewanya abang Mad sehingga saya bawa kisah ini agak panjang? Inilah berkat Al Quran. Abang Mad tak sekolah tinggi. Orang biasa je. Sekolah peringkat rendah pun tak habis kerana faktor kemiskinan sekitar tahun 60an dulu.

Syukur Alhamdulillah ketika abang Mad mengisi masa tuanya yang sudah lebih 70 tahun abang Mad dengan membaca dan mengajar Al Quran.

Sempena bulan Ramadhan, kisah ini wajib menjadi tauladan. Ambillah peluang keemasan ini walaupun tak dapat khatam satu Quran sebelum habis Ramadhan. Walaupun kita tak akan dapat peluang seperti abang Mad setidak-tidaknya kita dah berusaha untuk menjadi orang yang kenal Al Quran.


11 Ramadhan 1438

05 Jun 2017

Ismail Ibrahim yang saya kenal

Saya mengenali Haji Ismail Ibrahim (Mail) ketika beliau bertugas di Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sekitar tahun 80an. Masa tu Mail ni belum lagi berjawatan Jurufoto. Kemudian Mail naik pangkat Jurufoto gred B17 pada 7 Mei 1994 dan ditempatkan di Pusat Penerbitan dan Percetakan UKM (PTP).
Haji Mail (tengah)
Rezekinya murah selepas itu Mail naik pangkat B27 pada tahun 2003. Walaupun pada waktu itu ramai yang datang temuduga termasuk saya rezeki menyebelahi Mail. Mail meneraju Unit Foto Penerbit selepas itu setelah ditukar nama dari PTP. Jawatan itu kosong setelah bersaranya abang Fadil. 

Pada tahun 2007 saya berpindah ke Penerbit dan bertugas bersama-sama dengan Mail. Maka bermulalah siri kehidupan saya secara akrab dengan Mail yang serba boleh.

Ketika di Penerbit UKM saya Mail banyak mengatur program kursus fotografi untuk staff UKM dan pihak luar. Mail ni rajin cari peluang. Dapatlah kami membimbing pelajar-pelajar dari kalangan anak-anak FELDA. Mail jadi "pengurus" saya, dia cari peluang saya mengajar. Banyaklah tempat-tempat yang kami pergi. Antaranya Kuala Sepetang, Pulau Tioman, Taman Negara.

Rezeki Mail agak murah sejak bertugas di UKM sudah tiga kali dapat mengikuti Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ke Mekah dengan melakukan kerja-kerja rencam pada tahun 1986, 1987 dan 1989.  Sebanyak tiga kali ke Mekah Mail berpeluang menunaikan fardu Haji. Banyak pengalaman di Mekah antaranya menangkap orang tidak siuman. Antara yang tidak dapat dilupakan oleh Mail ialah apabila dia dipeluk oleh wanita yang ingat Mail ni teman lelakinya.

Sepanjang bertugas di Penerbit UKM Mail berpeluang bertemu Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh. Kedua-dua individu ini adalah bekas anggota komunis yang telah meletakkan senjata. Tujuan pertemuan itu adalah untuk merakam gambar bagi sebuah buku mengenai mereka.

Banyak kisah menarik ketika bersama Mail. Namun tak semua yang boleh saya catatkan kat sini keran ia adalah terlalu peribadi. Tetapi saya terhutang budi dengan Mail kerana memberi peluang untuk naik pangkat sebagai Jurufoto Kanan dan menjadi penceramah sambilan.

Mail akan meninggalkan UKM kerana bersara pada 7 Jun 2017. Tempat kerja terakhir Mail sebelum bersara ialah di Muzium Warisan UKM. Banyak tinggalan gambar-gambar bersejarah telah dikumpul oleh Mail setelah kami dikeluarkan dari Penerbit kerana Unit Foto telah berkubur.

Saya sering bersembang mengenai masa depan fotografi di UKM. Bagaimana nak mengekalkan bahan-bahan sejarah dari media fotografi. Dengan usianya 60 tahun saya pasti Mail akan terus menyumbang tenaganya kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi aktif  menjadi ahli jawatankuasa Masjid Nurul Islam Desa Pahlawan dan juga di Masjid Ar Rahimah Kampung Pandan. Selain itu kerja-kerja kebajikan di Pos Gob dan di beberapa kampung Orang Asli sekitar Perak tetap diteruskan.

Harapan Mail kepada orang-orang muda: "Anak-anak muda perlu tekun bekerja, ambil ilmu daripada orang yang berpengelaman, rendah diri, tidak sombong. Bekerja itu sebagai ibadah, cari lah sebanyak ilmu dunia dan akhir",

Menjelang persaraan saya tahun depan Mail telah meninggalkan UKM lebih awal 10 bulan dari saya. Selamat bersara Haji Ismail.


Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...