06 November 2009

Harga barang di Taman Negara Pahang


Kasut yang paling sesuai untuk bekerja di sungai
Minggu lepas (30hb Oktober-1 November 2009) saya bersama sembilan lagi peserta ke Taman Negara Pahang untuk satu tugasan merakam gambar. Taman Negara Pahang merupakan satu lokasi pelancongan yang menarik bagi anda yang sukakan alam sekitar yang hijau, damai dan sunyi.


Tanggapan awal hasil pengalaman Kamarul dan Ismail bahawa mungkin kurang terdapat kedai di sana maka saya dan beberapa orang rakan telah menyediakan beberapa bungkus biskut kerana kuatir tentang harga barang yang mungkin mahal.

Namun andaian itu salah apabila tiba di sana terdapat kedai-kedai yang menyediakan perkhidmatan seperti kedai runcit dan cenderamata.

Oleh kerana tugasan kami akan mengharungi sungai maka saya mencadangkan kepada rakan-rakan menggunakan kasut plastik yang murah. Harga kasut tersebut saya pernah beli hanya dalam lingkungan RM 5 sahaja.


Ketua saya Prof Dr. Kamarudin pada malam kedua telah membeli sepasang kasut dengan harga RM12. Selepas itu rakan-rakan saya yang lain terpengaruh untuk membeli kasut itu, cuma mereka bernasib baik dapat membeli dengan harga cuma RM8.50.

Saya mula terfikir bagaimana dengan jarak kedai tidak sampai 100 meter boleh menjual kasut pada harga yang berbeza.

Malam terakhir Prof Kamarudin membeli sekeping logo Taman Negara dengan harga RM10. Oleh kerana saya berminat dengan logo itu maka saya membelinya dengan harga cuma RM8! Saya bertanya pekedai kenapanya berbeza, beliau menjawab logo yang dibeli oleh Bos saya berlainan jenis. Namun apabila saya membuat perbandingan, logo tersebut 100% serupa dengan logo yang dibeli oleh Prof Kamarudin.

Keesokan harinya saya dibisikkan oleh Prof Kamarudin "Raai kat kedai bawah tu logo yang kita beli cuma RM5". Saya dan rakan-rakan lain terkejut kerana 50% lebih murah daripada harga yang dibeli oleh Bos kami. Akhirnya rakan saya Hj Ismail membeli 6 keping dengan harga cuma RM30 sahaja.

Pada hemat saya, harga barang yang tinggi di tempat pelancongan yang jauh dari pusat bandar adalah munasabah kerana ianya bergantung dari segi logistik. Namun harga barang yang berbeza diantara sebuah kedai di lokasi sama tidak harus berlaku.

Contoh harga air mineral di Pulau Dayang Bunting, Langkawi RM2 boleh diterima kerana menurut penjaga kedainya beliau perlu membayar sewa sampan RM200 sehari bagi membawa keperluan kedainya.

Seharusnya peniaga-peniaga perlu mengubah cara meletakkan harga demi memurnikan hubungan mereka dengan pelancong. Jangan jadikan satu kenangan pahit itu dibawa balik oleh pelancong untuk tatapan orang lain.

Pihak berwajib seharusnya memantau harga barang agar kejadian seperti yang kami alami tidak berulang lagi.

05 November 2009

Mandi sungai


Aktiviti fotografi di Sungai Tahan


Mandi sambil merakam gambar
Foto oleh: Ismail


Sungai menjadi nadi utama masyarakat kita. Sejarah telah membuktikan sungai adalah jalan utama zaman berzaman. Malahan zaman ini masih terdapat di beberapa tempat sungai dijadikan berbagai keperluan.

Justeru bagi sesiapa sahaja yang pernah menjadikan sungai sebagai tempat untuk mandi dan "sebagainya" maka apabila bertemu dengan sungai mereka akan menjadi bahagia.

Di Sungai Tahan Taman Negara saya menikmati air air sungai yang jernih dan bersih. Saya dan beberapa rakan-rakan termasuk Prof Kamarudin mengambil kesempatan berendam seketika di beberapa lokasi. Antaranya di Lubok Ikan Kelah.

Sekali lagi saya ingin mengambil peluang untuk meratu kepada masyarakat cintailah sungai kita dan jagalah sungai kita agar generasi akan datang tidak kenal sungai!

04 November 2009

Pemalu tetapi jujur


Dari Kiri: Kamarul Bahrin, Tok Batin Buman dan saya.



Beras untuk dijadikan makanan utama
amat diperlukan oleh Orang Asli di Taman Negara.

Orang Asli Suku Batek yang tinggal di pingir Sungai Tembeling Taman Negara bersifat pemalu. Riak wajah mereka sudah mencermin apa yang dimaksudkan itu. Namun oleh kerana kampung mereka sering dikunjugi oleh pelancong samada dari dalam mahupun luar negara sifat pemalu mereka tidaklah ketara sangat. Malah setiap kali kehadiran pelancongan mereka akan menyambut dengan mesra namun sifat malu dan rendah diri mereka tetap terpancar di wajah mereka.

Orang Asli Suku Batek dikatakan berasal dari Afrika. Hasil perubahan muka bumi ratusan jutaan tahun dulu mereka terpisah dari tempat asal. Antara negara yang terdapat suku kaum ini ialah di Malaysia, Filipina dan Myanmar. Mereka masih mengamalkan cara hidup berpindah randah dan beberapa kepercayaan lain.

Beras, garam, api dan tembakau merupakan keperluan yang amat diharabkan oleh mereka untuk meneruskan kehidupan.

Beras untuk makanan harian. Garam untuk digunakan bagi menghalau haiwan melata seperti ular, kala jengking lipan dan sebagainya. Api untuk keselamatan keluarga mereka ketika ditinggalkan untuk pergi memburu. Tembakau digunakan untuk dijadikan rokok atau ditaburkan di sekeliling rumah agar haiwan tidak mengganggu keluarga mereka.

Orang Asli di Taman Negara merupakan sebahagian khazanah rimba yang dipelihara. Mereka bebas melakukan aktiviti harian. Rimba adalah "pasaraya" mereka yang mempu memberikan semua keperluan hidup. Namun keperluan lain tidak ditolak oleh mereka. Mereka tidak bercawat seperti yang pernah digambarkan. Mereka berseluar seperti orang lain. Kain batik menjadi pakaian rasmi kaum wanita mereka. Walaupun hanya berkemban namun itu adalah lambang Orang Asli di sini boleh menerima perubahan. Saya melihat di ampaian terdapat beberapa aksosori wanita ada di situ.

Hasil dari eco pelancongan, mereka memperolehi faedah. Walaupun wang bukanlah keperluan harian seperti orang di kampung atau bandar seperti kita namun mereka mendapat faedah apabila setiap kali pelancong datang melawat, sumbangan akan diberikan hasil dari bayaran perkhidmatan yang dibuat kepada agensi pelancongan.

Prof Dr Kamarudin M Said bos saya mengungkap satu dailog "mereka pemalu tetapi jujur". Ungkapan ini dibuat kerana apabila Prof Kamarudin ingin memberikan sedikit sumbangan Tok Batin yang bernama Buman berkata " tadi saya dah dapat dari Tarmizi (pemandu pelancong) ". Tok Batin tidak mahu menerima sumbangan dari Prof Kamarudin. Namun setelah diterangkan barulah beliau menerima sumbangan tersebut.

Inilah nilai-nilai murni yang tersemat di hati mereka. Biarpun mereka mundur, namun terdapat hati yang masih tersemai kejujuran.

Meneroka keindahan alam semulajadi




Jeti Kuala Tahan


Ke Taman Negara dengan sampan panjang.


Sungai Tembeling masih belum tercemar

30 Oktober 2009 pukul 7.19 pagi, saya bersama sembilan lagi peserta telah memulakan perjalanan dengan bas UKM menuju ke Kuala Tembeling, Pahang untuk melakukan Ekspedisi Fotografi Taman Negara 2009 (selepas ini EFTN2009). Selepas tiga jam tiga puluh minit bas tiba di Jeti Kuala Tembeling. Oleh kerana kami belum bersarapan maka kesempatan yang masih ada maka semua peserta telah mengisi perut di salah sebuah gerai di situ.

Menyusuri Sungai Tembeling dengan sampan panjang yang boleh mengisi 12 orang penumpang memberi satu pengalaman baru kepada saya dan rakan-rakan lain.

Di dalam kumpulan seramai sepuluh orang itu, saya, Prof Dr Kamarudin, Hazrul, Ismail, Sulimi sahaja yang betul-betul "karyawan foto". Selebihnya Daud dan Kamarul Bahrin Juruvedio. Manakala Salleh, Kamarul Arifin, Rosli merupakan pegawai Pusat Penerbitan yang menunjukan minat yang tinggi dalam bidang seni foto. Saya sempat bergurau dengan Salleh, Kamarul Arifin dan Rosli bahawa mereka dibawa hanya untuk membawa tripod, bag dan bekalan makanan sahaja. Namun minat yang ditunjukan amat tinggi dan mengembirakan rakan-rakan lain. Malahan hasil gambar yang dirakam tidak mengeciwakan.

Kami menyusuri Sungai Tembeling dengan mengambil masa 2 jam 30 minit dalam cuaca panas dan menarik serta amat sesuai untuk merakam gambar.

Sungai Tembeling bermula dari pinggiran gunung di kawasan sempadan Trengganu Selatan dan Negeri Pahang. Sungai ini mengalir ke arah barat di bahagian Pahang Utara dan kemudian menurun ke arah selatan selepas kawasan Tahan. Di Kuala Tembeling, Sungai Tembeling bertemu dengan Sungai Jelai yang mengalir dari arah barat. Cantuman dua sun gai ini meriapak permulaan Sungai Pahang yang berkuala di Pekan, Pahang. Panjang Sungai Tembeling ialah kira-kira 110 km, dan lebarnya berbeza-beza dari hulu ke hilir dengan purata 80 + 30 meter. Dari kawasan Taman Negara, terdapat anak-anak Sungai yang menagalir masuk ke Sungai Tembeling, iaitu Sungai-sungai Tahan, Trengganu, Kenyam dan Sat. Sungai Sat ialah sempadan Taman Negara di sebelah timur dan Sungai Tembeling di bahagian selatannya.

Dalam sejarah negeri Pahang, banyak babak-babak peristiwa penting berlaku di Sungai Tembeling, sejak zaman Kerajaan Melayu Melaka yang diperintah oleh Sultan Mansur Shah (1459-1477) hinggalah kepada peristiwa-peristiwa perjuangan Mat Kilau, Tok Bahaman dan Tok Gajah menentang penjajahan Inggeris.*rujukan: Ahmad Badri Mohamad Akademika No.26 Januari 1985.

Di pinggir Sungai Tembeling kami tidak menemui banyak perkara yang menarik kerana pemandangannya tidak sehebat di bahagian hulunya. Namun kerana dibeberapa bahagian hubungan talian telefon bimbit tiada, maka saya beranggapan kawasan tersebut tidak mempunyai penduduk. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa orang wanita Orang Asli bersama anak-anak sedang mandi dan membasuh pakaian. Pada anggapan saya kemungkinan terdapat perkampungan Orang Asli di situ.

Tujuan utama EFTN2009 diadakan oleh Pusat Penerbitan UKM dengan diketuai Prof. Dr. Kamarudin M.Said yang juga Ketua Pusat Penerbitan ialah untuk mengumpulkan sebanyak mungkin koleksi gambar dan vedioa tentang flora dan fauna di sekitar Taman Negara, terutamanya di Kuala Tahan.

Taman Negara Malaysia dibuka pada 1938/1939 sebagai Taman Negara King George V. Ia kemudian dinamakan sebagai Taman Negara selepas kemerdekaan. Keluasan kawasan Taman Negara ialah 4,343 km².

Taman Negara terletak di antara sempadan 3 negeri iaitu Pahang, Terengganu, dan Kelantan, yang mana masing-masing memiliki kawasan milik sendiri. Enakmen Taman Negara (Pahang) No.2 pada 1939 dibuat untuk Pahang, Enakmen Taman Negara (Kelantan) No.14 pada 1938 untuk Kelantan, dan Enakmen Taman Negara (Terengganu) No.6 pada 1939 untuk Pahang. Semua enakmen memiliki persamaan kandungan.

Taman Negara Pahang merupakan yang terbesar dengan keluasan 2,477 km², diikuti oleh Taman Negara Kelantan seluas 1,043 km², dan Taman Negara Terengganu seluas 853 km². *rujukan:
Wikipedia

Justeru, Taman Negara sering dikunjungi oleh pelancong dari dalam dan luar negara. Banyak daya tarikan di sini. Bagi anda yang suka memancing boleh menjalan aktiviti itu dengan meminta kebenaran dari PERHILITAN.

Pengangkutan utama di sini ialah sampan yang akan membawa pengunjung menyusuri sungai untuk melihat kesan-kesan yang terdapat di Taman Negara. Antara tempat yang boleh dikunjungi ialah kampung Orang Asli, Titian Kenopy, Lata Berkoh, Lubok Ikan Kelah,Laluan malam, Menara Tinjau Hidupan Liar.

Selama tiga hari bersama rakan-rakan lain saya beranggapan dengan mengunjungi Taman Negara nostalgia lama bermain sungai hampir 40 tahun lalu datang kemabali. Apa tidaknya setiap kali kami mengadakan sesi fotografi di sungai saya sudah pasti akan berendam di air.

Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...