21 Mei 2009

Dia seorang Seniman

Senator Tan Sri Jins Shamsudin nama besar dalam industri perfileman. Lakonannya yang mantap, wajahnya yang kacak membuatkan dia antara seniman yang menjadi ikon dalam dunia perfileman. Allah menentukannya maka dalam usia 73 tahun beliau masih sihat dan petah bercakap. Gaya ia bercakap seperti mana kita menonton lakonannya di layar perak mahupun dalam drama TV.

Ramai peminat mungkin tertanya-tanya bagaimana boleh wujud nama Jins. Menurut Tan Sri Jins, emaknya hendakkan nama Zin, namun ketika ayahnya membuat pendaftaran, polis yang membuat pendaftaran itu tidak boleh menyebut Zin, akhirnya tertulis Jins. Setelah dewasa beliau cuba menyemak nama Zin mengikut tahun kelahirannya. Namun nama Jins sahaja yang ada. Akhirnya nama Jins Shamsudin diterima. Nama Jins bukan nama samaran ia adalah nama sebenar dalam Maykadnya.

Dua hari lepas saya dan rakan-rakan sepejabat berpeluang bertemu dengan beliau ketika menjadi tetamu Pusat Penerbitan UKM. Saya pernah bertemu dengan Jins beberapa kali ketika bertugas merakam gambar dibeberapa lokasi dalam dan luar UKM, namun bertemu dan berbual secara dekat inilah pertama kali.

" Tanpa P Ramlee tiada Jins Shamsudin" itu ungkapan Tan Sri Jins ketika kami berbual di rung tamu pejabat. P Ramlee yang membawa beliau masuk menjadi hero dalam filem Pancadelima. P Ramlee banyak mengajar beliau menjadi pelakon.

"P Ramlee guru saya. Banyak kisah-kisah hidup P Ramlee dalam ingatan saya. Jadi tiada siapa yang mampu menyelami rahsia hidupnya. Baik kisah susah payahnya, kisah percintaannya yang agung" tegas Tan Sri Jins.

Di awal tahun 80an, pernah usaha membuat filem bertajuk P Ramlee menemui kegagalan kerana fakta yang terdapat dalam filem tersebut jauh menyimpang dari kisah asal. Banyak menyentuh kisah-kisah kurang senonoh arwah cuba diketengahkan.

"Ini tidak baik menjatuhkan maruah orang dalam filem!" Tegas Senator Jins.

"Saya, dalam keadaan sekarang masih menaruh harapan untuk menyiapkan dua buah filem, Pasir Salak dan P Ramlee. Saya harus membawa kisah beliau kerana dia guru saya!", kata Tan Sri Jins.

Mungkin kebetulan, ayah Tan Sri Jins meninggal pada tarikh yang sama dengan P Ramlee meninggal. Justeru kerana masalah yang hadapi oleh beliau setelah kematian ayah pengajiannya tergendala di luar negara. Sekarang beliau sedang menyambung pengajian ijazah Phd di Universiti Utara Malaysia. 


"Umur saya sudah 73 tahun nak buat apa lagi dengan ijazah itu? Tapi pada saya ia akan menjadi pembakar semangat untuk anak-anak, untuk menunjukkan orang seni juga boleh belajar. Kini sudah ramai orang-orang seni berpelajaran tinggi" sambung Tan Sri Jins.

Dipertemuan yang boleh saya anggap sebagai siri "pengkisahan seniman " itu telah banyak membuahkan kisah-kisah lama beliau. Beliau seronok menceritakan kejayaan penubuhan FINAS, ASWARA hasil cadangan beliau. Menurut Senator Jins lagi, pengiktirafan keatas ASWARA juga merupakan hasil cadangan beliau selaku Senator. Kini nasib anak-anak seni sudah terbela, tidak seperti zaman beliau yang terpaksa belajar sendiri, mencari guru sendiri.

" Jika saya sudah tiada lagi bacalah buku ini (memoirnya) dan lihatlah gambar-gambar ini", demikian pesan Senator Tan Sri Jins Shamsudin ketika hendak meninggalkan kami di foyer Pusat Penerbitan UKM.

Beliau meninggalkan kami dengan memandu kereta mewahnya dan hilang dari pandangan. Saya masih merasakan beliau wujud dalam adengan filem atau drama. Banyak kisah-kisah dicerita kepada saya dan rakan-rakan, namun ada kisah yang beliau diminta tidak diketengahkan kepada umum. Kisah itu menjadi panduan hidup kami.

18 Mei 2009

Bulan Mei

Sama kita sedar atau tidak, bulan Mei setiap tahun banyak betul sambutan hari-hari hebat yang disambut oleh semua orang (masyarakat).
Hari Ibu, Jururawat, Belia, Guru adalah antara hari-hari yang kita sama-sama sambut. Radio, TV, laman web dan blog (termasuk blog saya...) menyambut hari-hari tersebut. Kita sedar atau buat-buat tidak sedar bahawa semua hari-hari tersebut semacam boleh menentukan "hidup atau matinya kita?".
Tiada Ibu, mana mungkin kita lahir ke dunia ini. Tiada Jururawat mana mungkin emak (Ibu) kita tahu tahap kesihatannya semasa beliau mengandung. Belia.... ahh tak ada belia mana mungkin ada polis, sebab ramai belia yang yang tak dengar kata. Maaf sebenarnya tiada belia mana mungkin ada Ibu, Jururawat, Guru....... Belialah yang menjamin kuat atau lemahnya sesebuah negara.
Saya tidak mahu menyebut satu tarikh "hitam" dalam sejarah negara. Namun awal pagi 13 Mei radio menyiarkan Hari Ini Dalam Sejarah pada tarikh tersebut. Menitis air mata mengenangkan peristiwa itu. Lebih membanggakan saya pada tengahari dihari tersebut saya berada di tengah-tengah Kuala Lumpur dan melihat kedamaiannya. Macam tidak percaya peristiwa itu pernah berlaku 40 tahun lalu!
Namun hari ini (18 Mei) tahukah anda bahawa pada tarikh keramat inilah telah terbangun sebuah universiti yang menjadi kebanggaan orang-orang kampung? Universiti tersebut sudah tentunya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang membangun megah dipinggir Hutan Bangi dan menyusur Sungai Langat yang tidak jauh dari Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban.
Hari ini telah genap 39 tahun UKM ditubuhkan pada 18 Mei 1970. Hari ini banyak acara akan dilangsungkan di UKM. Salah satu ialah pelancaran Muzium UKM yang menempatkan berbagai khazanah sejarah kejayaan UKM khasnya dan warganya am. Boleh dikatakan pagi nanti kami warga UKM akan sibuk menyambut ulangtahun ke-39. Disebelah malam satu majlis doa kesyukuran akan diadakan di Masjid (Pusat islam UKM).
Untuk meriwayatkan sejarah kejayaannya bukanlah cukup dalam ruangan ini, namun warga UKM harus berbangga kerana telah berjaya berada di tempat ke-2 di Malaysia baru-baru ini (lihat laporan ini ).
Kami (warga UKM) membanggunkan UKM dengan keringat yang menitis bagai mutiara diawal penubuhannya. Saya masih ingat sewaktu datang ke UKM untuk bertugas pada tahun 1979 UKM masih berusia sembilan tahun. Ketika itu masih terdapat warga-warga perintis bertugas di UKM. Kini ramai antara mereka telah kembali ke rahmatullah (Al-Fatihah).
UKM menjadi perintis di Bandar Baru Bangi. Ketika itu belum ada lagi industri dan pusat-pusat latihan lain. UKM berdiri dengan megah di kaki bukit Hutan Bangi. Kini UKM menjadi antara pusat pengajian yang sibuk dengan manusia. Paling membanggakan UKM kini menjadi tempat rakyat dari negara timur tengah datang untuk menuntut ilmu. UKM akan terus kehadapan. UKM juga akan mencatat sejarah baru apabila akan memperolehi Canselor baru setelah kemangkatan Canselor Keduanya itu Almarhum Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Almarhum Tuanku Ja'far Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 27 Disember 2008.

Selamat Berangkat Abang Mad

  Terima kasih semua yang mendoakan buat perjalanan (dengan bas) saya pada malam Ahad hingga siang Ahad ke Kluang untuk menziarahi Allahyarh...