Virus Covid 19: Bertabahlah Wahai Hati

Kita sering mendengar bencana berlaku di negara orang baik banjir, gempa bumi, gunung berapi dan tsunami. Di Malaysia sering hadapi ialah banjir besar di Pantai Timur, Johor dan di beberapa negeri lain. Rakyat Malaysia masih bertuah Allah tidak menurunkan bencana dalam skala besar.

Tsunami di Banda Acheh dan 14 buah negara lain telah mengorban sekitar 230,000-280,000 orang dan membanjiri masyarakat pantai dengan gelombang hingga 30 meter (100 kaki) tinggi. Ia adalah salah satu bencana alam paling dahsyat dalam sejarah yang direkodkan. Indonesia adalah negara paling sukar dilanda, diikuti oleh Sri Lanka, India, dan Thailand. Tsunami berlaku pada 26 Disember 2004. Seluruh dunia gempar termasuk rakyat Malaysia. (Sila baca catatan saya dengan klik di sini Tsunami di Banda Acheh)

Menteri Hal Ehwal Islam
Di Malaysia sering terjadi banjir besar yang memusnahkan harta benda dalam jumlah yang besar. Rumah-rumah rosak. Walaupun tidak mengorbankan jiwa dalam jumlah yang ramai, namun ia memberi kesan yang amat mendalam kepada mereka yang menanggungnya.

Saya pernah terlibat dalam misi bantuan di Banjir Besar Johor, Banjir Besar di Pantai Timur. Sila baca catatan saya di Banjir Besar 2006-2007 di Johor, Banjir Besar Pantai Timur 2014.

Banyak rangkaian bencana alam berlaku di seluruh dunia. Ada bencana yang kita lihat dari jauh tanpa terfikir apa-apa kerana ia tidak meninggalkan kesan sebab tiada keluarga yang terlibat. Bagi yang ada keluarga terlibat, tanyalah apa perasaan  mereka.

Ketika misi bantuan pergi ke Bangladesh membantu mangsa-mangsa di sana ada yang berkata kenapa membantu orang luar sedangkan di Malaysia masih ramai yang memerlukan bantaun.

Banda Acheh yang telah musnah sejauh 45 kilometer dari pantai, ramai anak-anak menjadi yatim. Ramai isteri menjadi balu. ada yang bertanya kenapa kita membantu mereka. Walau bagaimana pun tahukah kita ketika itu tabung-tabung bantuan tetap penuh. Malah waktu itu ramai sukarelawan meninggalkan keluarga untuk ke tempat bencana bagi memberi bantuan.

Januari 2020 China diserang Virus Covid19. Waktu itu kita masih selesa ke sana sini. Persiapan persekolahan dilakukan dalam suasana sempurna. Malah rombongan menunaikan umrah masih ramai yang pergi seperti biasa. Anak sulong saya sempat menunaikan umrah pada bulan Januari lepas.

Malah ketika saya menghantar rombongan umrah anak saya suasana KLIA masih meriah. Perniagaan masih rancak berjalan. Ketika anak saya pulang 1 Februari, sudah ramai yang memakai penutup muka termasuk saya. Malah menantu saya sudah membawa bekal Sanitizer.

Sekitar 9 Mac Arab Saudi telah menutup kemasukan jemaah umrah. Malah ada jemaah umrah Malaysia yang terpaksa pulang tanpa menunaikan umrah. Ketika berita penutupan Baitullah itu ramai umat Islam menangis malah ketika itu bakal jemaah haji Malaysia yang menyertai Kursus Asas Haji baru tamat mengikutinya di masjid-masjid terpilih anjuran Tabung Haji. Sehingga kini mereka masih tertanya-tanya musim haji 1441 bagaimana keadaannya.

16 Mac 2020 rakyat Malaysia mulai panik. Diberitakan banyak pasaraya diserbu oleh pengunjung bagi membeli bahan makanan. Pada malamnya Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Bin Hj. Muhammad Yassin telah mengumumkan Sekatan Perjalanan bagi seluruh rakyat Malaysia bermula 18 Mac. Manakala pada 17 Mac diberitakan seluruh jalanraya dan lebuhraya sesak kerana ramai orang 'balik kampung'

Ketika catatan ini ditulis rekod terkini kes baru jangkitan Covid 19 ialah 212, jumlah terkni 1,518 dengan 14 kematian. Menakutkan. 

Covid-19, yang bermaksud 'Penyakit Virus Korona' adalah nama rasmi bagi novel koronavirus 2019, virus baharu yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lalu dan sudah meragut 1,114 nyawa di republik itu dan satu kematian di Filipina serta 43,155 kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menjelaskan bahawa co bermaksud ‘korona’, vi (virus) dan d (penyakit).  (Rujukan)

Setelah 6 hari rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakkan nampaknya ianya berjalan dengan lancar. Perdana Menteri dalam sidang akhbar khasnya memberitahu kerjasama sekitar 90% menambah keyakinan sekatan ini akan berakhir tak lama lagi. 

Mulai semalam 22 Mac tentera telah membantu polis mengawal keadaan agar perjalanan kehidupan rakyat lebih sempurna. Tinjauan saya sejak hari pertama ketika keluar membeli barang dapur, orang ramai faham keadaan ini dengan tidak membawa anak-anak bersama ketika keluar membeli barang. Semua orang faham virus ini amat merbahaya.

Namun yang merisaukan kita dalam keselesaan rakyat 'berehat di rumah' pasukan perubatan berada dalam situasi meletihkan, tertekan. Keadaan mungkin berbeza antara pasukan perubatan dengan polis. Pasukan perubatan sudah pasti tahu pesakit yang datang adalah pengidap atau disyaki. Manakala pihak polis yang membuat sekatan jalanraya akan berada dalam situasi tidak menentu kerana mereka tidak tahu orang melintas dalam kereta atau motosikal mempunyai sejarah hubungan dengan pengidap virus atau tidak.

Ramai yang mendoakan agar pihak yang memantau kes virus ini dilindungi oleh Allah agar tidak lebih parah. Tidak cara lain, rakyat mesti memberi kerjasama membantu kerajaan. Usah dibawa sentimen politik, kaum dan agama. Patuh sahaja.

Kita memiliki hebahan media yang meluas, TV, radio, akhbar dan media sosial. Jangan jadikan media sosial untuk menyebarkan berita yang tidak sahih. Misalnya saya ada 22 saluran Group Whatsap. Apabila buka sahaja bila-bila masa maka saya akan dapat membaca hampir hebahan yang sama. Apahal jika berita itu palsu.


Jururawat di Hospital Tuanku Mukhliz/PPUKM, Cheras.
Ada berita yang melibatkan tentera yang dihebahkan. Tak lama sekitar dua atau tiga jam pihak berkuasa angkatan tentera menafikan hebahan itu palsu. Bayangkan hebahan itu sudah dipercayai oleh jutaan rakyat Malaysia.

Membuat lawak atau berseloroh dalam situasi sekarang bukan masa yang tepat. Ramai yang berhempas pulas untuk membendung wabak ini. Ramai orang alim sedang berdoa di waktu malam dan pagi sedangkan kita membuat lawak dan mengecam tindakan arahan kerajaan. 

Inilah kali pertama rakyat Malaysia di arah membuat kawalan perjalanan kerana wabak. Jika sekitar 60 tahun dulu negara kita perintah berkurung kerana ancaman komunis. Ketika  ada kawasan yang dilarang keluar waktu malam. Tentera berkawal. 

Kita pernah dikawal ketika jerubu. Sekolah dan institusi pengajian tinggi menutup kelas dan segala kegiatan ko-korikulum. Tahun 2020 kita mengalami kawalan yang mengajak tinggal hanya di dalam rumah. Jangan keluar kecuali pekerja yang berada dalam sektor kritikal, ketua keluarga membeli barang dapur, pesakit kronik perlu ke hospital atau ke pusat dialisis. Semua orang nampak gelisah.

Marilah kita berdoa dan memberi kerjasama pada kawalan perjalanan ini agar cepat berakhir.

Kesan Kecil dan Besar:

1. Kita sudah pasti telah melihat banyak kesan kecil dan bersar. Allah sedang menguji kita. Masjid dan surau telah menghentikan solat jemaah dan Jumaat sejak 18 Mac. Walau bagaimana pun ambillah satu pengajaran akibat pemberhentian aktiviti di masjid dan surau. Selepas tamat larangan nanti marilah kita aktif kembali. Bagi yang tidak pernah ke masjid atau surau datanglah walaupun hanya waktu Maghrib sahaja atau Subuh sahaja. Waktu-waktu lain mungkin dilakukan di tempat kerja.

2. Menyedihkan apabila melihat peniaga-peniaga kecil terpaksa menutup kedai atau gerai. Grai goreng pisang atau keropok lekor terpaksa ditutup. Peniaga pasar malam atau Food Truck juga tiada ruang. Semasa tempuh penutupan muhasabahlah kita. Cari di mana ada salah silap kita misalnya dari sudut harga, dari segi penyediaan makanan yang halal. Bagaimana dengan zakat kita jika cukup syarat. Apakah kerja sedekah kita boleh memberi faedah kepada orang lain?

3. Apabila kita tak boleh lepak di kedai makanan segera, kopitiam, kedai mamak. Insaflah jika lepak itu kerap sangat dengan kawan-kawan meninggalkan keluarga kesunyian tanpa ayah atau suami. Selepas ini boleh teruskan tetapi bukan jadi ketagih.

4. Balik kampung sudah terhad. Ketika perintah kawalan perjalanan berlaku kita berpusu-pusu nak balik kampung. Kenapa aktiviti ini kita lakukan setiap dua minggu atau sebulan sekali atau dua bulan sekali. Lakukan selepas ini.

5. Kakitangan kerajaan tidak bekerja tapi gaji tetap dapat penuh hujung bulan kelak. Bagaimana yang bekerja di sektor swasta yang mana majikan mereka berskala kecil. Dua minggu mungkin majikan memberi separuh gaji. Malah ada soktor menawarkan cuti tanpa gaji. Saya tidak dapat membayangkan keadaan ini

"Malaysia Aviation Group (MAG) menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuatkuasa bulan depan.
Syarikat induk Malaysia Airlines Bhd itu dalam satu kenyataan berkata, kakitangan diberi pilihan secara sukarela untuk mengambil cuti selama lima hari tanpa gaji dalam tempoh sebulan sekurang-kurangnya tiga bulan atau satu hingga tiga bulan". (Sumber Berita Harian)
6. Baiklah ketika dibelenggu keadaan ini marilah kita bangun ketika bermasalah. Jika ada lebihan wang marilah kita bersedekah dengan menyumbang kepada pihak-pihak tertentu. Bersedekahlah kepada pasukan barisan depan yang sedang bekerja keras menghapuskan Virus Covic19 ini. Ada pelajar universiti yang 'terkandas' di kolej kediaman tak balik kampung. Misalnya pelajar-pelajar dari Sabah dan Sarawak. Peluang kita bersedekah ketika dilanda wabak diharap Allah akan mempercepatkan selesai. Mana tahu selepas ini anda akan menjadi kaya
7. Ada orang yang tertekan ketika wabak Covic19 ini. Hingga ada yang takut nak pergi ke pasaraya untuk membeli barang dapur. Baik, takut begini bagus kerana ia akan membawa sikap berwaspada. Kalau takut hingga nak keluar rumah untuk hal-hal penting terbantut.

Jika demikian serangan emosi fobia ini, keluar jika ada hal penting sahaja. Pakai sanitizer, pakai penutup muka (mask). Elak bersalam atau berpelukan. Setelah balik ke rumah tukar baju dan mandi.

Jangan terlalu fobia atau tertekan kerana virus ini adalah masalah sejagat yang di geruni oleh jutaan orang. Usah terlalu fikir hingga tak boleh tidur dan sebagainya. Jalani kehidupan dan ikut arahan kerajaan. Jangan dok fikir bagaimana nak hapuskan virus kerana kita bukan saintis.

Orang Islam, senjata paling penting ialah berdoa. Amalkan doa agar Allah membantu kita. Teruskan beramal dan beribadat seperti biasa walaupun bukan di masjid atau surau.

Manusia tidak terlepas dari keluh kesah. "Sesungguhnaya manusia dicipta bersifat suka mengeluh". (Ayat 19: Surah Al-Ma'arij)

Esok kita akan masuk hari ke-7. Malam ini bangunlah kita di waktu pagi bertahajut, hajat, taubat dan witir agar Allah menghapuskan wabak ini. " Ya Allah kami memohon agar virus ini dihapuskan oleh Mu. Ya Allah ketika ini mungkin tangan kami menadah tangan kepada Mu bersama-sama alim ulama maka kami berharap agar doa kami juga dimakbulkan. Amin"

Kita kembali kepada Allah jika selama ini kita jauh daripadaNya.

Kita lihat bagaimana suasana di sekatan jalanraya oleh PDRM Klik di sini  | Kenapa jadi begini?

______________________________________________________________________________
Tulisan di atas adalah idea asal Haji Abd Raai bin Osman. Sebarang komen yang tidak bertanggung tidak akan dilayan oleh penulis.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah