16 Januari 2019

Itulah Kali Terakhir

Menjadi rutin saya apabila bangun pagi sebelum Subuh akan membuka telefon untuk melihat pesanan pada Whatsap, Facebook dan SMS. Saya berbuat demikian kerana sudah menjadi budaya sejak masih bekerja kerana nak baca jika ada pesanan segera. Setelah bersara ialah kerana nak lihat kalau ada berita penting maklumlah ada anak yang tidak tinggal bersama setelah mereka berkahwin.
Lagi pula, saya pernah terjadi ada pesanan tentang kematian rakan yang lewat diketahui.

Pagi tadi benar-benar mengejutkan saya apabila membaca mesej daripada Ikhwan Hashim, rakan setugas dulu. Haji Ramli Adnan telah kembali ke Rahmatollah malam tadi. Saya terkejut. Saya jadi tidak percaya. Tapi janji Allah saya tetap percaya bahawa kematian akan 
berlaku pada bila-bila masa dan di mana saja. Saya membuka FB. Be
nar. Ramli telah tiada.

Apa sakitnya, fikir saya. Saya menduga mungkin berlaku komplikasi kerana setahu saya Haji Ramli ada mengidap Diabetes dan Darah Tinggi. Mungkin. Tapi saya masih belum pulih dari terkejut kerana hari Isnin lepas arwah ada menghantar mesej bertanyakan berkaitan persaraan.

Saya membuat panggilan ke nombor telefon atas nama arwah. Puteri keduanya menjawab. "Ya Cik, ..... jenazah ayah akan dibawa ke Masjid Bangi Lama untuk diuruskan jam 10 pagi nanti".

Saya memberitahu isteri berita kematian Ramli. Ya dia telah dijemput Allah kembali ke pangkuan-Nya. Kali terakhir saya bertemu secara zahir ketika makan tengahari di Restoran Mustar Itik Salai Sungai Merab. Ramli kelihatan sihat. Ramli meninggal dunia setelah selesai bermain badminton malam tadi. Allah yang menentukan.

Saya banyak kenangan dengan arwah. Tahun lepas (2017) kami setiap hari Sabtu menghadiri kursus haji di Masjid Hasanah Bandar Baru Bangi. Musim haji 1439 bersamaan 2018 Ramli dijemput Allah menjadi tetamu-Nya.

Saya banyak berkongsi pengalaman ketika berada di dua Tanah Suci, Madinah dan Mekah kerana saya pernah menunaikan umrah pada tahun 2016.

Selepas pulang dari menunaikan fardu haji, Haji Ramli banyak berkongsi pengalamannya kepada saya. Maklumlah pengalaman haji dan umrah ada beza.

Ketika masih berkhidmat, Haji Ramli banyak kali keluar outstation dengan saya. Pasangan arwah yang kerap bersama adalah saudara Daud. Arwah begitu rapat dengan saudara Daud, hinggakan apabila Sdra Daud akan bersara Haji Ramli memberitahu saya dia juga nak bersara kerana tak ada kawan lagi.

Haji Ramli ni pendiam orangnya. Tapi kerap melepas senyuman jika ada topik lucu. Mungkin tugasannya kena teliti menjaga Audio di studio UKM. Jika ada program besar atau kecil yang melibat MCP, Haji Ramli adalah tenaga yang menjaga audio bersama Haji Sulimi.

"Saya ni kelulusan tak tinggi Raai. Dapat naik jadi Penolong Jurutera ni pun rezeki...." kata Haji Ramli kepada saya.

Walaupun begitu kemahiran beliau amat tinggi walaupun hanya bekerja di belakang tabir. Semua rakan tahu hal ini.

Masih saya ingat, 16 April 2018 hari terakhir saya sebagai staff UKM. Saya mengisi hari terakhir itu di bilik Haji Ramli kat bangunan Penerbit. Ramli antara staff PKK yang tidak ke Langkawi untuk sanggar kerja. Kami berbual panjang seharian itu. Arwah ni kalau kena gaya dan topik mampu diajak bersembang. Cuma tak suka berseloroh yang pelik-pelik. Itu yang membuat saya hormat beliau.

Maaf untuk saya luahkan kehilangan Haji Ramli amat menyentuh hati saya kerana kami sering berbincang masalah kesihatan yang hampir sama. Arwah begitu menjaga bab makanan. Bayangkan sebelum dapat perkara menunai haji, arwah membuat persediaan dengan bersenam di stadium Bandar Baru Bangi. Pemeriksaan kesihatan tidak pernah diabaikan. Malahan ketika penapisan kesihatan sebelum haji beliau agak keciwa kerana banyak kali tekanan darahnya naik. Atas kehendak Allah dapat juga beliau menunaikan haji.

Saya tetap akan kenang sehingga akhir hayat persahabatan dengan Allahyarham Ramli. Dari Allah dia datang kepada Allah dia kembali. Kita telah menunaikan tanggungjawab sebagai sahabat pagi tadi. Ramli telah sampai ke alam baharunya. Semoga kita yang masih diberi usia bersedia dan insaf kehendak Allah. Kita kehilangan sahabat. Keluarga kehilangan saudara. UKM kehilangan staff yang berkemahiran.

Kepada keluarga yang ditinggalkan kita doakan mereka redo dengan ketentuan Ilahi. Marilah kita berdoa agar rohnya dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dikalangan para solihin. Innalillahiwainnailaihirojiuun. AL FATIHAH.

Haji Ramli paling kanan.

Haji Ramli dua dari kanan

Perjalanan terakhir seorang sahabat.





Tiada ulasan:

Travellog Haji: Antara Doa & Air Mata-Dua Tanah Suci Yang Dirindui-Dijual Dengan Harga Promosi

Perjalanan mengerjakan haji bukan mudah. Setiap Jemaah haji pasti ada cerita tersendiri sepanjang perjalanan mereka sama ada sebelum mahupun...