Menjadi Individu Hebat?

Sebelum saya berangkat mengerjakan umrah mulai 5 hingga 15 November 2018 saudara Pauzi Paimin dari Pusat Profesional UKM menghubungi saya untuk meminta menjadi ahli forum Program Jati Diri pada 26 November 2018. Saya bersetuju.

Rakan sejawat boleh membantu untuk kecemerlangan kita
tetapi jangan jadikan mereka mangsa untuk kehebatan kita
 





Jam 10.30 pagi 26 November saya tiba di Dewan Utama Pusat Siswazah UKM. Jika dulu saya hadir sebagai Jurufoto, Kali ini saya hadir sebagai ahli forum. Wauu, terasa hebat. Saya akan berada di pentas itu yang sering kali diduduki oleh orang-orang hebat. Tokoh-tokoh terkenal, tetapi hari ini saya seorang pesara yang dulunya hanya seorang kakitangan sokongan UKM.

Saya bersama Prof. Dato' Dr. Teo Kok Seong, Fellow ATMA dan KITA UKM dan Tuan Haji Khalis bin Mohd Salleh mantan Timbalan Pendaftar UKM duduk sebaris di atas pentas. Topik yang saya akan bincangkan nanti ialah Jati Diri. 

Setelah dua orang ahli panel memberi pendapat, maka sampailah giliran saya. Cuba bayangkan saya bercakap di depan peserta kursus dengan didengari oleh dua orang ahli penal lain. 


Saya menarik perhatian audien bahawa ketika zaman bekerja dulu ada yang menyebut saya adalah lagend. Rakan-rakan sejawat menyebut saya sebagai otai. Saya terima semuanya. Bagi saya itu semua hiburan buat saya yang sudah berada di hujung perkhidmatan. Kita lupakan kandungan apa yang saya cakap ketika berada di mikrofon.



Keluarga diperlukan ketika susah atau senang




Saya faham nama saya sering disebut dan menjadi rujukan terutamanya dalam bidang fotografi atau lebih tepat sebagai seorang kakitangan yang bergelar Jurufoto. Sebagai orang tua (Otai atau Old Timer) saya mungkin menjadi pencetus semangat ketika berada di gelanggang kerjaya. Atas faktor usia biasanya bukan di UKM sahaja, malah di beberapa Universiti Awam dan beberapa jabatan kerajaan mengenali saya. Itu dulu.......😟

Berada pada tahap yang dikenali ramai semua orang inginkan. Sebab itu membuatkan ramai berusaha ke arah itu. Namun ada juga yang tidak meminta terjadi begitu, tetapi namanya terus melonjak. Itu rezeki namanya. Setiap kita pasti akan ada tahap pencapaian. Usah risau kerana yang meletakkan kedudukan seumpama itu adalah Allah!


Anda berusaha untuk berjaya dengan berbagai cara. Anda berdoa kepada Allah (jika orang Islam). Ibu dan ayah juga berdoa sejak anda kecil untuk kejayaan anda. Maka anda seharusnya berasa bersyukur jika anda menjadi orang yang dikenali di dalam masyarakat. Tak kira dalam kelompok kecil atau besar. 



Akhirnya anda menjadi seorang individu hebat dalam sesuatu bidang! Jika ini terjadi anda harus bersyukur kepada Allah.


Kehebatan kita di belakangnya
adalah dengan sokongan isteri.
Jika kita hebat, ada orang lain
lebih hebat daripada kita

Ketika anda menjadi orang hebat walaupun hanya sebagai pekerja am, pembantu tadbir, pegawai, guru dan apa jua jawatan maka anda telah mencapai tahap profesional. Saya pernah mendengar seorang pakar motivasi berkata, anda harus menjadi seorang yang profesional dalam kerjaya anda. 

Bayangkan anda seorang pekerja am mungkin sebagai tukang kebun, tetapi anda adalah pakar dalam bidang anda. Pandai mengahwinkan pokok, pandai jenis-jenis baja dan racun maka anda adalah seorang profesional.



 






Setiap anugerah adalah kerana usaha dan doa kita. Anugerah yang kita dapat pastinya dengan izin Allah.




Menjaga tahap kehebatan kita bukanlah satu perkara yang mudah. Tidak semudah menjadi hebat. Berikut beberapa ciri-ciri yang harus anda pertahankan ketika berada di puncak kehebatan:
  1. Perwatakan - Jaga tingkah laku, Jaga percakapan. Jaga kebersihan diri. Jaga perangai
  2. Bersedia menerima tugas walau dalam apa juga keadaan. Kena pandai memberi alasan yang paling munasabah jika anda menolak. Tambahan kerja yang datang dari orang yang juga hebat.
  3. Bersedia menjadikan pejabat atau tempat kerja sebagai rumah pertama. Mungkin perlu berada di tempat kerja sehingga 12 jam. Jika 8 jam anda melayan pelanggan, maka 4 jam lagi adalah menyelesaikan tugasan yang diberikan. Pasti anda faham waktu selepas jam 5 petang adalah waktu orang biasa-biasa sudah balik ke rumah. Waktu inilah panggilan telefon telah tiada. Mungkin anda datang 2 jam awal sebelum jam 8 pagi dan balik 2 jam selepas jam 5 petang. Memang sukar dilakukan jika anda suka mematikan komputer 5 minit sebelum 5 petang atau menghidupkan komputer tepat jam 8 pagi.
  4. Buat kerja lebih dari senarai tugas namun tidak mengganggu kerja orang lain atau overshadow rakan-rakan lain. Misalnya jika anda pemandu, selain memandu dan memastikan kereta bersih, anda boleh menjadi seorang makenik yang ringan andai kata kereta bos tersangkut di perjalanan anda sudah faham apa nak dilakukan.
  5. Belajar berfikir dengan pantas sepantas 1 minit jika ada masalah. Masalah kecil jangan fikir lama-lama. Misalnya jika bos kata "Hassan esok kita pergi Kelantan", sebelum satu minit anda sudah kata ok. Kecuali anda ada masalah besar dalam keluarga. Beritahu dengan bersopan, jangan menolak penuh kasar.
  6. Belajar jadi 90% faham kerja kita. Manakala 10% yang kita tak tahu rujuk kepada yang lebih arif atau berpengalaman. Misalnya jika mentol pejabat terbakar tolong tukar jika melibat pendawaian yang merbahaya panggil rakan yang pakar. 
  7. Menjadi otai satu kelebihan dari segi pengalaman, perwatakan walaupun anda tidak berkelulusan tinggi. Tetapi jika ada pegawai yang memerlukan khidmat anda maka anda adalah keutamaannya. Katakan anda pandai berbahasa Jawa, Minang, Cina atau Tamil pastinya anda akan dipilih.
  8. Jadi seorang guru jika anda telah bekerja lebih 20 tahun. Anda adalah aset yang berharga kepada organinasi. Maklumlah mana ceruk, mana sudut anda tak hafal walaupn berjalan dalam gelap!
  9. Anggaplah rakan sekerja yang mudah seperti adik beradik. Hormati pangkat mereka. Hormati kelulusan mereka walaupun mereka jauh lebih muda. Lakukan seperti dalam keluarga walaupun abang long atau kak long tak sekolah tinggi tetapi adik-adik yang ada kelukusan PhD tetap menghormatinya kerana ketokohan mereka. Jangan cakap meninggi diri seperti "aku makan garam lebih duku dari kau" sebab jawapannya sudah ada "patutlah abang dapat penyakit Darah Tinggi"
  10. Elak memijak kawan atau kata orang mudah jangan kencingkan kawan jika ingin terus hebat. 
Semua kita mahu dihargai seperti orang lain biarpun cara
penghargaan itu adalah berbeza.


Banyak lagi yang boleh disenaraikan sebab ia adalah ciri-ciri semulajadi kita. Jika kita datang dari keturunan orang baik-baik pastinya tingkah laku kita adalah cukup sempurna.

Ingat pesan saya tanpa kita di suatu masa selepas bersara orang tidak terasa rugi. Organisasi kita tidak akan rugi. Jika kita hebat dan menjaga kehebatan kita maka kita yang akan bertuah misalnya jika selepas bersara dan kita telah kembali dijemput Ilahi, sudah pasti rakan-rakan lama akan datang ziarah di hari kematian kita. Amat beruntung jika ramai yang bersolat untuk jenazah kita.

Kata seorang ulama "nak tahu hebat atau tidak seseorang itu, lihat di hari kematiannya berapa ramai orang yang datang menyembahyangkan jenazah kita".



 


Dihujung kehidupan biar sehebat mana kita, hanya kain kafan menutup tubuh, amal ibadat penentu segala-galanya. Manakala yang akan mengangkat jasad kaku kita adalah rakan-rakan yang selama ini menjadi sahabat baik kita.


Nota: Sila tekan pada gambar untuk mendapatkan saiz besar.

*Catatan ini berdasarkan pengalaman dan pembacaan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah