Saya Anak Ibu.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah tempat kerja saya yang pertama dan terakhir. Ibu adalah syurga saya, semua orang tahu hal ini. Ketika saya mula-mula bekerja dulu telah bertekad untuk membahagiakan seorang ibu yang telah melahirkan saya. Ibu seorang ibu tunggal kematian suami ketika usia saya 11 tahun. Pernah seorang pemuda menyindir saya dah besar masih hidup di bawah ketiak mak. Saya diam kerana dia jahil agama (kalau dia faham sudah tentu dia tahu menjaga seorang ibu dapat pahala yang besar) dan tak faham sejarah hidup saya yang tak perlu di dihebohkan.

Ibu pernah membesarkan saya dengan menoreh getah dikebun orang. Sebut saja di Kampung Sungai Batang, Sik, Kedah siapa yang kenal Mak Long Teh. Itulah ibu saya yang sering mengambil upah menanam padi, menuai padi setiap musim. Malah waktu malam dia akan membuat tikar mengkuang atau atap Rumbia.  Ibu tak tahu duduk diam. Menariknya di sebelah pehanya ibu saya terdapat golok sebagai senjatanya. Dia tak ada niat nak bunuh orang pun. Pernah sekali ada orang mengganggu dia, dia kejar dengan lampu picit. Ada darah Tun Fatimah juga ibu saya. Maklumlah dia wanita yang pernah hidup di zaman Jepun dan Komunis.....

Ibu saya bukan seorang yang bersekolah tinggi. Tak tahu membaca pun baik tulisan jawi atau rumi. Namun kalau saya membaca Quran dialah guru saya. Ibu tak tengok Quran tapi dia tahu ayat yang baca tu salah. Sebab apa ibu saya semasa anak dara dulu di Kampung Kota, Permatang Pauh, Seberang, Pulau Pinang seorang murid yang pandai mengaji Quran dengan adik beradiknya. Namun kerana garangnya saya tak mengaji dengan beliau. Akhirnya saya khatam Quran dengan seorang guru Quran di Kampung Sungai Batang. 

Ibu saya seperti ibu anda juga, sayang kat anak. Kalau boleh semua ibu nak kita jadi orang pandai. Tahun 1969 ketika nak masuk sekolah menengah saya minta izin nak masuk ke Sekolah Menengah Sik, Kedah, ibu tak bersetuju. Ibu saya nak saya masuk sekolah pondok. Kata ibu, arwah ayah berpesan supaya saya masuk sekolah pondok. Sebagai anak muda yang bercita-cita besar untuk hidup senang saya membantah hasrat ibu. (Tahukah kalian ketika saya mencatat kisah ini terasa sedih kerana membantah hasrat ibu pada masa itu).

Tak kisahlah fikir saya waktu, akhirnya pada awal Januari 1970 saya menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Sik seorang diri. Ibu tak hantar. Saya kata biarlah ibu pergi menoreh kerana masa tu bukan musim hujan.

Walaupun tak pergi ke sekolah pondok, namun ibu bagi sokongan kuat. Wang ringgit tidak diabaikan. Cuma oleh kerana ibi seorang yang buta huruf, maka terkial-kiallah saya belajar sendiri. Nak apa saja ibu bagi. Saya nak sertai Pengakap ibu sokong. Itulah ibu. Mana ibu nak tengok anak tak gembirakan? 

Baiklah kalau saya cerita kisah ibu sebenarnya semuanya sama dengan ibu-ibu lain. Sebab itu semua orang tak boleh lupa pada ibu. Lebih-lebih lagi jika menjelang musim raya. Semua orang akan rindu masakan ibu.

Dalam banyak-banyak kenangan saya dengan ibu satu yang sukar dilupakan. Tahun 1984 saya dapat tawaran kerja dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Suatu pagi selepas solat Suboh ibu saya memberi pendapatnya. Adakah saya akan balik Kedah untuk bekerja di sana. Saya tanya apa pendapat dia. Pendapatnya yang saya ingat sampai ke hari ini.

" Hang nak bertunang dengan Selamah. Nanti P balik Kedah tentu dia jadi susah sebab mak ayah dia jauh di Muar....Kalau sakit demam macam mana?" itu saja luah perasaan hati ibu. 

Saya terima pendapat ibu. Walaupun saya terpaksa melupakan tawaran kerja di UUM dengan 4 kali kenaikan gaji. Saya ikut nasihat ibu. 

Oleh itu di sinilah saya hendak mengajak kalian faham kenapa saya kekal berada di UKM hingga ke usia 60 tahun. Saya tempuhari susah senang di UKM. Syukur dengan patuh cakap ibu saya bahagia. Saya bahagia dengan ibu, isteri, anak-anak dan kerjaya. Saya terus membina kejayaan walaupun saya bukan seorang pegawai mahupun kakitangan akademik. Kini saya bahagia kerana sepanjang kerjaya saya di UKM saya telah melakukan yang terbaik. Saya fikir andai ibu masih hidup beliau pasti gembira.

Ibu saya telah dikebumikan di Pusara Kampung Dato Abu Baginda tak jauh dari Putrajaya pada tahun 1991. Al Fatihah.










Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah