Saya Bukan Jurufoto Lagi | Setelah 100 Hari Bersara


Di perkampungan nelayan yang dibangunkan
oleh bintang filem terkenal Jackie Chan
Hari ini telah 100 hari saya bersara. Namun ia bagaikan satu pencutian yang panjang. Namun oleh kerana saya telah meletakkan diri ini pada mood bersara sejak dua tahun dulu maka fobia bersara tidak terasa oleh saya.

Menariknya tarikh persaraan saya ada tiga peristiwa yang berturutan. Sebulan sebelum hari persaraan saya telah mengadakan majlis perkahwinan puteri sulong. Sebulan selepas bersara umat Islam menyambut bulan Ramadan dengan berpuasa. Dua bulan selepas bersara kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Justeru, saya tidak terasa sunyi walaupun telah hilang ribuan rakan-rakan dari UKM. Paling tenteram pada bulan Ramadan ini saya boleh berpuasa dan bertarawih dengan tenteram. Agak melegakan saya ialah tekanan darah saya turun. Ini yang membuat saya bersyukur.

Apa yang saya buat selepas bersara? Banyak....kebetulan isteri saya juga sama-sama bersara dan kami sambung berbulan madu! Kami ada masa untuk melakukan senaman di waktu pagi atau petang. Buat masa ini saya telah menyediakan sebuah kamera yang ringkas bukan DSLR, kerana saya dah tak larat lagi nak pikul yang berat-berat. Saya masuk masuk "pejabat" sekitar jam 10 pagi. Lakukan apa yang patut pada laman web Alam Seni Foto , Blog saya di Abd Raai Osman. Layan juga Facebook dan kemaskini Facebook Pages

Sunyikah saya dengan dunia persaraan. Sunyikah saya dengan tidak menjadi Jurufoto lagi. Ya, ini jawapan saya. Bersara pada genap usia 60 tahun adalah satu kepuasan yang terbaik. Saya dah lakukan yang terbaik pada hemat saya. Saya puas dengan kerjaya itu selama 38 tahun 5 bulan 12 hari di Universiti Kebangsaan Malaysia. Saya gunakan segala ruang  yang dipertanggungjawabkan. Kesempatan sebagai staff UKM saya ambil dengan melakukan apa juga yang selayak sebagai Jurufoto. Saya bergaul dengan semua peringkat. Oleh itu saya mempunyai banyak kenangan di UKM. Saya dapat banyak anugerah dari UKM. Sebab saya rasa itu segala kenangan yang akan membuatkan terhibur ketika keseorangan.

Kita ada peranan selagi bekerja. Kita ada tanggungjawab ketika diangkat menjawat apa jua jawatan dalam perkhidmatan di mana jua. Sebenarnya semasa kita bersara semua ini akan dikenang oleh kita sebagai memori indah.

Memanglah apabila telah bersara banyak yang kita tidak boleh lakukan. Nak masuk rakam gambar di majlis-majlis tiada lagi autoriti lagi. Maka ini akan menjadi kenangan lagi. Nak bertemu orang kenamaan pun ada halangan buat kita. Namun ia bukan kerugian buat saya kerana saya telah lakukan semua itu ketika bertugas dulu.

Kini saya lalui masa-masa sebagai wargamas dengan penuh keyakinan. Namun tahukah anda ketika saya menyambut hari lahir ke-60 tahun, terasa satu kejutan yang hebat. Walau apapun saya sedar usia bukan penghalang untuk saya bergerak. Jika kesihatan baik saya akan terus berkarya dalam dua bidang yang amat diminati iaitu menulis dan merakam gambar.

Bidang-bidang ini telah sebati dengan saya. Malah ketika saya di UKM merakam gambar adalah tugas hakiki. Mengarang berita adalah tugas sampingan untuk portal berita UKM. Namun saya masih ada hubungan dengan UKM kerana masih menyambung kontrak sebagai pengajar kursus citra senifoto. Insyaallah selagi terdaya dan Allah memberikan fikiran yang waras maka tugas ini akan saya teruskan.

Melawat rumah anak-anak yatim sedang dalam pembinaan di Aceh
Selain menjadi makmum dan surau yang jarak cuma 60 meter dari rumah saya juga membiasakan diri menjadi imam ketika diperlukan. Tugasan ini saya jadikan sebagai kerja sukarela demi masyarakata yang ada.

Peluang keemasan bersama insan-insan yang terpilih juga saya sertai iaitu dengan ikut serta ke Aceh demi kelangsungan melihat apa yang perlu bagi anak-anak yatim di sana. Mungkin ada orang akan bertanya kenapa perlu ke Aceh? Ia, ia satu keperluan kerana mereka di sana menerima kesan tsunami yang hebat. Maka trauma anak-anak ini harus kita bantu.

Hidup ini satu perjuangan tuan-tuan dan puan-puan. Saya berjuang untuk hidup dalam keadaan pemantau masalah Buah Pinggang. Tahap berapa itu masih rahsia. Namun saya rasa dengan kerap bertemu dengan doktor maka saya fikir usia yang masih ada berbaki wajib saya guna untuk orang lain. Ubat, nasihat doktor adalah penting dalam merawat apa-apa penyakit, tetapi kemurungan harus saya nyahkan dari minda saya. Saya masih hidup bukan kerana ingin menikmati kemewahan dunia tetapi saya masih mahu hidup demi berbakti kepada agama, bangsa dan umat Muhamad S.A.W

Kalian yang saya sayangi, derita hidup saya tak siapa yang tahu kerana ia telah menjadi lali kerana telah lama merasai kesusahan ini. Maklumlah saya menjadi anak yatim ketika berusia 11 tahun. Oleh itu rezeki yang ada saya akan gunakan sedikit buat anak-anak yang setaraf dengan saya.

Hidup mengejar harta tidak akan ada penghujungnya tetapi yang berkat amal ibadat kita akan menentukan kebahagian kita. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah