Galeri

16 April 2018

Selamat tinggal semua

Esok 17 April 2018 saya akan menyambut ulangtahun kelahiran ke-60. Hari ini adalah hari terakhir saya bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Mahu tidak mahu saya terpaksa tinggalkan UKM tepat jam 5 petang ini.

Berada di UKM untuk tempuh 38 tahun 5 bulan 11 hari bukanlah satu perkara yang mudah dilupakan. UKM mendewasakan saya. UKM juga mematangkan saya walaupun berada di sini bukan untuk mengambil apa-apa pengajian. Namun pada tempuh yang lama begini telah mencorakkan saya sebagai insan luar biasa.

Saya melihat perkembangan UKM di depan mata. Dari sebuah kampus sementara di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur dan Jalan Universiti Seksyen 16 ke Bangi. Kita UKM menjadi universiti tersohor di Malaysia dan antarabangsa.

Bertugas sebagai Jurufoto sejak tahun 1979 memberi peluang kepada saya ke serata negeri di Malaysia dan keluar negara, antaranya Singapura, Brunei, Kemboja dan Indonesia. Peluang ini telah saya ambil untuk melihat negara orang.


Menjadi staff Pusat Komunikasi Korporat UKM telah membuka peluang saya untuk mengenali ramai oarng-orang kenamaan. Sebagai pejabat yang mengendalikan majlis di UKM maka saya mempunyai ramai kenalan dari media cetak dan media elektronik.

Di sini merupakan tempat bermulanya kerjaya saya di UKM













Sesuatu yang sukar saya lupakan bilamana Naib Canselor memberi penghargaan kepada saya dalam Majlis Konvokesyen pada tahun 2017 apabila beliau menyebut nama saya sebagai penyumbang tenaga untuk kursus fotografi di Kedah, negeri kelahiran saya.

Penghargaan juga saya pernah dapat dengan dianugerahkan Anugerah Bitara Keunggulan perkhidmatan pada tahun 2016. Manakala tahun 2017 saya dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) oleh DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan.

Setiap yang bermula pasti akan berakhir. Genap usia 60 tahun saya harus pergi dari dunia perkhidmatan yang pernuh dengan warna warni keindahan. 17 April 2018 saya akan bergelar pesara. Doakan saya sihat dan mempunyai tenaga untuk terus berkhidmat untuk masyarakat setempat di luar UKM. Saya akan terus memberi khidmat selagi Allah memanjangkan usia.










Kepada warga UKM dari segenap lapisan bermula pengurusan atasan hingga ke rakan-rakan sokongan izinkan saya bersara dengan aman. Menjadi pesara adalah impian semua orang. Dunia persaraan memberi ruang untuk berehat bersama keluaraga, jiran tetangga. Saya memohon maaf andai ada apa-apa kesalahan selama bersama tuan dan puan.

Khas buat warga Pusat Komunikasi Korporat, terima kasih kerana berkesempatan bersama kalian sepanjang lima tahun menjadi rakan setugas.

Tidak ketinggalan warga Pusat Kebudayaan yang memberi peluang untuk saya aktif sebagai tenaga pengajar senifoto sejak lebih 20 tahun.

Rakan-rakan di Fakulti Sains dan Teknolgi terima kasih kerana 27 tahun saya di sana.

 Tidak lupa rakan-rakan di Penerbit UKM kerana kita pernah bersama sejak tahun 2007 hingga 2013.

Rakan-rakan dari agensi luar, rakan media dan rakan-rakan yang pernah menjemput saya menjadi penceramah kursus fotografi terima kasih diucapkan kerana memberi peluang selama ini.



Andai ini pertemuan terakhir kita maka jika saya tidak bertemu kalian lagi ketika saya dijemput Ilahi doakan saya damai di alam akhirat. Perhatikan lirik lagi Gurindam Jiwa yang menjadi lirik yang saya minat sejak kecil lagi:

( L )
Tuailah padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intailah kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

( P )
Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati

( korus )
( L )
Batang selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga

( P )
Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
( L )
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

( L & P )
Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga


  Dan pantun penutup saya

"Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang;
Boleh kita berjumpa lagi"

___________________________________________________________________________

Detik-detik menjelang 5 petang 16 April 2018 

8.30 pagi: Saya mengunjungi Naib Canselor UKM,YBhg. Prof. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali. Mulanya cadangan saya sekadar bersalam dan mengucap selamat tinggal kepada beliau. Namun kerana Tan Sri mempunyai masa untuk saya kami berbual hampir sejam berkisar pengalaman saya dan perkembangan pembangunan UKM. 

Lebih menarik kami berbual topik fotografi dan perniagaan yang melibatkan anak Tan Sri Syafiq. Saya telah berjanji hendak membantu berdasarkan pengalaman yang saya ada.

Selepas itu saya sempat mengunjungi pejabat Setiausaha Timbalan-Timbalan Naib Canselor. Ramai TNC tiada di pejabat hari ini.

11.30 pagi: Saya ke sebuah restoren di Bandar baru Bangi bersama Mejar Jasmy dan Encik Rahim, pesara tentera.

1..00 petang ke masjid UKM menunaikan solat Zohor.

2.30 petang saya ke Bangunan Penerbit dan bersama Ramli. Banyak yang kami bualkan antaranya persiapan beliau untuk ke Tanah Suci di musim haji tahun ini.

4.27 petang: Saya ke Masjid UKM sekali lagi untuk solat Asar. Selepas solar Asar yang menunggu Haji Lokman kerana ada urusan berhenti jadi ahli KESUKMA.

Sekitar jam 6.30 petang saya meninggalkan perkarangan Masjid UKM untuk pulang ke rumah yang jaraknya cuma 6 KM. Saya tinggalkan UKM dalam sejuta kenangan dan segenggam impian ingin berehat dan meneruskan aktiviti yang sukai selama ini. 

Ketika tiba di rumah hujan renyai-renyai mengingatkan saya 39 tahun dulu meninggalkan Sik datang ke UKM ketika musim hujan orang kampung tak dapat menoreh.




_________________________________________________________________________________

18 April 2018

Sepanjang hari semalam 17 April saya menerima banyak ucapan selamat hari lahir dalam Whatsaap dan FaceBook. Paling menarik ucapan ini sempena persaraan saya pada tarikh tersebut. Terharu dan tersayu dengan semua ucapan. Begitulah nilai persahabatan yang kita jalinkan tanpa sedar kita menghasilkan silatulrahim yang cukup berharga. Walaupun ada yang hanya sepi namun saya tahu kalian bersama mereka.

Hari ini saya sempat membaca kembali dan ada peluang membalas. Saya tidak membina nama besar namun mungkin saya berada di sebuah organisasi yang besar maka pemergian saya merencatkan sikit pengamatan kalian semalam.

Maafkan saya andai pemergian saya membuatkan kalian terhiba. Pastinya saya masih di alam nyata dan mampu melihat apa yang perkatakan. Kenangan bersama kalian menghiburkan saya kerana percayalah bersama kalian saya mempunyai sebuah keluarga yang besar kerana saya datang dari insan sebatang kara.

Saya petik pantun ini buat kalian:
Layu sudah pohon selasih,
Akar terendam rindu bertakung;
Bukan mudah bercerai kasih,
Rindu dendam tidak tertanggung.
Burung putih terbang ke hulu,
Sayàpnya patah terlanggar batu;
Orang berkasih memang begitu,
Bila berpisah terasa rindu.
(Petikan buku 1000 Pantun Dondang Sayang - terbitan KEKKWA).

























Abd Raai bin Osman (PJK), Taman Desa Sentosa, Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Selangor



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Wujudkan Tabung Keluarga

Anda sering menghadapi masalah kewangan? Banyak hutang? Penyelesaiannya kita boleh lakukan dengan berbagai cara. Pinjam dengan koperasi, pin...