Seronokkah Anda Dengan Facebook?


Saya sudah bosan dengan Facebook (FB). Mungkin itulah resam manusia macam saya bila telah lama berada di FB sejak 2009. Di awal pembabitan saya di alam FB terasa amat seronok maka hingga kini saya telah ada lebih tiga ribu rakan. Malah rakan yang sudah meninggal dunia masih menjadi rakan saya. Kadang-kadang terasa pilu melihat ada orang menghantar ucapan ulang tahun kelahiran, sedangkan rakan itu telah meninggal dunia.

Kenapa saya amat mudah menerima permintaan menjadi rakan FB? Mudah saja ia adalah kerana atas keinginan untuk berkawan. Malah ada jauh dari itu kerana saya seorang karyawan foto yang beranggapan mereka ingin berkongsi perkara yang ada kaitan dengan fotografi.

Namun harus diberitahu, saya mempunyai prinsip dalam mengekalkan mereka dalam senarai rakan FB. Misalnya jika mereka ikhlas saya akan terus membiarkan sebagai senarai rakan. Namun jika sebaliknya saya akan menyahkan mereka malah akan terus menghalang  dari senarai rakan. Zalimkan?

Saya bukan sombong tetapi itulah prinsip saya dan mungkin boleh ditiru oleh anda. Malah selepas membaca tulisan ini anda boleh membuat keputusan samada mahu menjadi rakan atau tidak dengan saya.....

  • Ada rakan FB yang mengambil kesempatan meminta yang bukan-bukan. Misalnya baru kenal sudah mahu bertemu. Bukan mudah untuk membuat keputusan bertemu dengan seseorang yang kita hanya kenal dalam FB. Hati budi, atau kepercayaan bukan boleh dibentuk dengan masa yang singkat. Sedangkan rakan sekampung, sedarjah, sekuliah, sepejabat juga susah kita nak percaya, inikan pula rakan alam maya yang sukar dibaca body language. 
  •  Berhati-hati jika wanita cantik yang  ingin  menjadi rakan FB anda kerana ada sesetengahnya yang menyamar  dengan wajah cantik sedangkan dia menyamar untuk  menipu anda. Bayangkan selepas anda menerima dia menjadi rakan  wanita ini akan mengirimkan mesej  syahdu meminta bantuan. Jika dulu mereka menggunakan emel. Kini FB adalah media yang amat sesuai.Begitu juga jika anda wanita, jangan tergoda dengan rakan FB berwajah tampan.
  •  Kini, wujud pula ustaz yang meminta anda untuk meluluskan permohonan menjadi rakan. Selepas dia diterima menjadi rakan anda, ustaz ini akan mengirimkan mesej memohon bantuan kewangan untuk menampung pengajiannya. Ayatnya memang syahdu kalau anda tidak meneliti  dengan bijak maka anda pasti akan tertipu.


    Kisah ini saya timbulkan kerana ada pengalaman yang menarik apabila seseorang meminta bantuan untuk meneruskan pengajiannya sejak Januari 2017. Ketika itu saya sedang menerima rawatan di hospital kerana pembedahan.

  • Namun pada 9 Julai lepas saya menerima sekali lagi mesej beliau. Apabila saya cuba menyiasat siapa dia, tetapi pada profil FBnya tidak boleh baca apa-apa maklumat tentang dirinya. Kalau dia seorang yang jujur sudah pasti saya boleh lihat gambar atau apa saja aktiviti di FBnya. Setelah saya membalas dengan mengatakan gagal melihat profilnya setengah jam kemudian saya dapati beliau telah membuat tindakan block saya. Saya juga tidak dapat mengirimkan lagi mesej ke FBnya. Perbuatannya telah menjelaskan ketidak jujurnya beliau.


Anda boleh lakukan beberapa langkah keselamatan jika ingin aktif sebagai pengguna FB. Misalnya  lakukan privisi sahaja pada FB anda. Hanya rakan yang anda fikir jujur sahaja boleh membaca  FB itu. Sebab itu kepada anda yang aktif dengan jumlah rakan yang melebihi dua ribu rakan maka langkah-langkah keselamatan harus dilakukan. Misalnya kerap tukar no pin. Jangan biarkan komputer sentiasa on.

Menghalang  rakan FB mengetag gambar atau posting adalah langkah bijak. Pendek kata usah biarkan FB anda sentiasa terbuka seperti mana anda tidak kunci rumah atau kereta.

Kerap update gambar keluarga terutamanya anak-anak kecil juga amat merbahaya. Tambahan dengan status “Sayang jangan meragam ye.....papa tiada seminggu di rumah”. “Boy kerinduan pada papanya yang telah berpindah tempat kerja baru”.

Potret kereta anda dengan nombor pendaftaran juga merbahaya. Paparan rumah anda dengan nombor rumah atau ciri-ciri rumah juga merbahaya. Tahukah kita siapa rakan FB kita? Kita tak tahukan?

Itu antara pengalaman saya yang mampu dikongsi dengan anda. FB boleh jadi positif. FB mampu menjadi negatif. Maka keistimewaan anda boleh terserlah dalam FB. Malah anda mampu mengumpul ramai rakan FB, tetapi anda tidak mampu mengumpul rakan-rakan ketika berada dalam kesusahan.

Jangan jadikan FB sebagai media boleh membawa bencana apabila anda tersalah posting bersifat mengancam atau mengugut. Fikir baik-baik sebelum FB  menjadi bahan pemusnah.

Baca pautan yang berkaitan di Dunia Alam Maya: Media Sosial, Blog dan Laman Web




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah