UKM rumah keduaku





UKM saya kenal namanya menerusi seorang guru, cikgu Yusof yang ditawarkan menuntut sekitar tahun 70an iaitu ketika UKM mula ditubuhkan pada 18 Mei 1970. Semua anak muridnya berbangga bila dia mengumumkan nak masuk UKM.

1979 saya melangkahkan kaki masuk UKM untuk bertugas sebagai Jurufoto. Bermula dari situ saya telah menjadi seorang perakam sejarah sehingga hari ini.

Menjelang sambutan ke-47 penubuhan UKM saya akan mencoretkan beberapa kenangan yang boleh dijadikan ikhbar kepada generasi baru UKM. Lebih-lebih lagi tahun ini adalah tahun terakhir saya berada di UKM sebagai warganya maka sudah tentu terlalu banyak peristiwa pahit manis dalam melihat sebuah universiti awam bangun dan tersohor di mata masyarakat.

Ketika saya melaporkan diri di UKM kampus Bangi, keadaan kampusnya tidak seperti sekarang. UKM berada di dalam hutan. Bandar Baru Bangi tidak secanggih sekarang. Kalau sesiapa yang datang dari daerah Baling Grik, Sik, Gua Musang dia mesti berkata  " aah UKM macam kampung aku saja".

Tapi tahukah kalian, UKM bermula di mana? UKM bermula di kampus sementaranya di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur. Manakala makmal-makmalnya terletak di Jalan Universiti Seksyen 16 Petaling Jaya. Di sanalah membangunnya universiti tersohor ini dengan jerit perit yang semua orang tidak tahu. Di sanalah lahirnya tokoh-tokoh saintis terkenal Malaysia.

Mantan Naib Canselor Prof Dato Dr Nor Ramly pernah mengisahkan ketika pulang dari menamatkan PhDnya, Pendaftar pertama ketika itu Tun Abdullah Salleh (Allahyarham) telah meminta beliau melaporkan diri dengan kadar segera pada hari Isnin. Sedangkan beliau belum lagi balik ke Melaka untuk bertemu ayah dan ibunya. Dr Nor Ramly antara pensyarah terawal masuk UKM sebagai pensyarah.

Waktu itu hanya tiga fakulti sahaja baru wujud. Fakulti Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyrakatan dan Fakulti Sains.Sebab  itu jika anda lihat ramai tokoh ilmuan dalam pengajian Islam waktu itu lahir dari UKM selain dari Timur Tengah.

Saya merupakan warga UKM yang masuk melaporkan diri pada 5 November 1979. Ketika itu UKM baru berusia 9 tahun. Maaf nak cakap, kalau ada sesiapa masuk universiti ketika itu habis satu keluarga akan datang pada hari pendaftaran.

Gagasan penubuhan UKM berlaku cukup hebat. Walaupun tidak dengan darah, tetapi keringat dan air mata adalah antara yang mencurah keluar waktu itu. Pernah sekitar tahun 2014 satu pembentangan pengkisahan UKM telah diadakan oleh Muzium Warisan Akademik UKM yang mana saya turut terlibat, Prof Datuk Dr Sukiman Sarmani mantan TNC telah membentangkan kertaskerja hampir dua jam. Dalam pembentangannya Prof Sukiman mengkisahkan ada situasi yang memihak agar UKM tidak ditubuhkan dengan nama kebangsaan. Malahan ada tokoh-tokoh yang yang dibayangi dengan universiti lain, cuba untuk menyimpangkan penubuhan UKM.

Penubuhan Fakulti Perubatan juga menjadi panas apabila ada usaha untuk mengecilkan UKM. Ada pihak-pihak yang mengatakan mana mungkin UKM nak ajar orang jadi doktor dalam bahasa Melayu! Nah lihat kini Fakulti Perubatan UKM berdiri dengan megah di satu kawasan yang cukup stratigik di Cheras dengan nama Hospital Canselor Tuanku Muhkriz. Ribuan pesakit menjadikan hospital UKM sebagai tempat mendapatkan rawatan. Malah telah wujud ramai pakar dari berbagai bidang di UKM.

Sekarang UKM berada dalam zaman ekonomi yang mencabar. UKM harus menjana pendapatan. Warga UKM digalakkan berjimat dalam beberapa segi. Ketika diawal penubuhannya UKM juga menghadapi banyak masalah walaupun waktu itu kerajaan membantu 100% kewangan kepada UKM. Namun oleh kerana pembangunan fizikalnya dengan membangunkan bangunan baharu di Bangi ada beberapa aspek lain yang menyebabkan warganya telah cuba membantu mana yang boleh.

Cerita seorang Pembantu Makmal veteran, "abang pernah seludup tabung uji, kelalang dari sebuah makmal luar masuk ke UKM semata-mata nak buat kelas amali perlajar sains".

Tidak cukup dengan itu, ada Pembantu Makmal Haji Repin Senin (Allahyarham) yang bertugas waktu malam cari katak, ular dan sebagainya untuk dijadikan spesimen makmal.

Saya berada di makmal Fakulti Sains UKM Petaling Jaya sejak 1979 hingga April 1982. Kemudian kami harus berpindah ke kampus Bangi. Berpindah ke Bangi bukanlah satu perkara yang mudah. Perasaan dan sebagainya harus diuruskan. Bangunan baharu memberi semangat baharu. Namun setelah setahun di sini perasaan bosan telah hilang. Walau bagaimana pun semangat bekerja macam orang KL tidak sama. Kami berada di satu suasana tersendiri. Bercampur dengan  sesama kerja kat UKM satu perkara yang baru.


Naik bas ke tempat kerja dengan 100% orang UKM memberi satu ikatan persahabatan yang mesra. Walaupun kami berlainan jabatan tetapi kerana dalam satu bas pergi dan balik maka hubungan menjadi akrab. Begitu juga dengan pelajar. Hubungan dengan mereka jadi akrab ketika berada di makmal atau apa saja keadaan. Semua ini menjadikan kami mempunyai jati diri yang hebat.

Sebut sahaja datang dari Bangi, semua orang akan berkata kami dari UKM. Sebab ketika itu Bangi belum membangun seperti sekarang.

Ada juga kisah menarik semasa UKM membangun ketika itu. Misalnya ada pelajar yang menoreh getah di kebun getah yang terdapat dalam kawasan UKM untuk menampun perbelanjaan. Tahukan kelab Golf Danau? Haa awal tahun 1980an masa tu penuh dengan pokok getah. Kat situlah mereka menoreh. Maklumlah ramai pelajar UKM yang datang dari kampung maka pekerjaan itu tiada masalah bagi mereka.

UKM telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di sekitarnya. Kajang terus membangun. Beberapa kawasan di Kajang telah. Komplerks Metro muncul yang merancakkan kehidupan masyarakat di Kajang. Sate Kajang terus terkenal. Akhirnya saya melihat Bandar Baru Bangi dibangunkan dengan pesat. Malahan saya berani katakan ia telah menandingi Shah Alam. Mungkin dengan terbangunnya KLIA, Putrajaya maka kemeriahan terus dikecapi.  

Wawasan UKM tidak banyak yang hendak saya sentuh kerana ianya telah banyak disentuh oleh pengurusan atasan UKM. Saya berada di bawah beberapa orang Naib Canselor. Semuanya memiliki keistimewaan tersendiri.Namun sebelum tahun 2007 saya berada di Fakulti Sains dan Teknologi. Setelah berada di Pusat Komunikasi Korporat maka saya lebih mengenali Naib Canselor di ketika era YBhg Prof Emerita Tan Sri Sharifah Habsah Syed Hasan.dan YBhg. Prof. Datuk Sri Dr. Noor Azlan bin Ghazali. Rapat dalam erti kata mengikuti Naib Canselor dalam acara-acara rasmi.

Kalau ada orang bertanya apa kepuasan saya selama menjadi warga kerja di UKM? Jujur saya katakan  UKM adalah rumah kedua saya. Malah di UKM saya ada dua tugas yang kadang-kadang menghantui mimpi saya. Saya Jurufoto dan saya juga pengajar sambilan untuk kursus seni foto. Saya puas kerana ada masanya UKM menjadi rumah kedua saya. UKM keutamaan saya.UKM juga membawa saya ke luar negara. Tahukah anda ketika mendengar lagu Negaraku dan lagu Versiti Kita tengkok saya meremang. Air mata gugur dengan suam ke pipi saya. Bayangkan ketika Ketua Pramugari mengucapkan selamat pulang ke tanah air semasa kapal terbang mendarat terasa cukup berbangga kerana saya ke luar negara dengan membawa lencana UKM. Peristiwa ini berlaku pada tahun 2015 bulan Ogos menjelang ulangtahun kemerdekaan ke-57.....Saya baru pulang dari Kemboja.

Saya pernah bertemu dengan Nordin ketika ulangtahun UKM ke-46 pada tahun 2016. Mula-mula saya tak berapa pasti siapa Nordin. tetapi bacalah kisah Nordin pada pautan ini: Nordin dan Seringgit.    Kita semua boleh menjadi seperti Nordin. Walaupun kita mungkin tidak akan disanjung macam Nordin tetapi percayalah setiap kita ada peranan yang besar. Malahan saya pernah bertemu dengan seorang rakan penyiram pokok bunga tanpa jemu keliling kampus. Tanpa segan dan malu beliau menjalankan tugas demi menjaminkan pokok bunga terus segar. Menariknya beliau akan bersara sehari lebih awal dari saya.

Catatan ini agak panjang sdra/i pasti jemu membacanya. tetapi percayalah selepas saya bersara tahun 2018, saya akan terus menulis ketika itu UKM bakal menyambut ulangtahun ke-48 dan seterusnya ke-50 tahun. Doa saya ulangtahun ke-50 saya masih ada nafas untuk melihat dari jauh UKM terus berdiri megah di lembah Bukit Rupa. Sebuah bukit yang dapat dilihat dari jauh. Dapat dilihat dengan megah dari Lebuhraya Utara  Selatan.
DECTAR
Saya dapat kecapi kepuasan sendiri ketika berada di UKM. UKM telah memberi anugerah tertinggi kepada saya pada tahun 2016. Anugerah Bitara adalah bukti kesetiaan saya dengan UKM.

Kepada anda yang akan ditinggalkan doa saya anda akan  terus berjaya sebagai Pensyarah, Pegawai Tadbir, Kakitangan Sokongan istimewa sekali kepada pelajar dan graduan. 

Tahun ini adalah kali terakhir saya melihat majlis konvokesyen yang penuh gemilang. Setiap yang bermula pasti akan berakhir. 

_______________________________________

Nukilan: Abd Raai Osman (UKM Per. K003308)
Desa Sentosa, Teras Jernang, Bandar Baru Bangi, Selangor
9 Mei 2017


CATATAN INI BUKAN MELAMBANGKAN PENDAPAT UKM. IA ADALAH PANDANGAN PERIBADI SAYA YANG BERPENGALAMAN BERSAMA UKM SEJAK TAHUN 1979.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah