Daripada Allah Dia Datang Kepada Allah Dia Kembali

Allahyarham ketika menziarahi saya
pada tahun 2015 di hospital
Idham Zakaria akan menyambut ulangtahun kelahirannya 2 Mei 2017 kali ke-40. Semalam 29 April 2017 Allah telah menjemput Idham kembali ke pangkuan-Nya ketika berada di Janda Baik, Pahang.

Balu Allahyarham memberitahu Idham di serang masalah jantung dan terus meninggal. Meninggalkan dua anak yang masih kecil.

Idham adalah mantan Pegawai Penerbitan di Pusat Komunikasi Korporat UKM dan menamatkan perkhidmatan dengan kehendaknya sendiri tahun lepas. Di UKM arwah diberi tanggungjawab membangunkan Web TV bagi tujuan mempromosikan UKM.

Dalam usia yang masih muda, Idham mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penyiaran. Pernah berkhidmat di TV3, Astro. Antara rancangan yang terkenal yang pernah diterbitkan Allahyarham ialah Akademi Fantasia pada siri-siri awal. Maka dengan pengalaman itu membuatkan dia dibawa ke UKM.

Usaha UKM melibatkan industri luar dengan kepakaran penyiaran telah berjaya. Allahyarham mengabdikan dirinya di Wisma Media yang terletak di kawasan Danau Golf UKM. Jika dilihat tempat tinggalnya di Selayang saya fikir komitmennya amat tinggi yang mampu hadir ke pejabat seawal jam 7.30 pagi. Malah, jika ada majlis besar di UKM Idham sanggup bermalam di Wisma Media yang sunyi untuk beberapa malam. Mungkin pengalaman beliau dalam industri penyiaran memungkinkan hal ini dilakukan.

Saya walaupun tidak terlibat dalam penerbitan video, banyak juga ilmu dipelajari daripada Allahyarham.

Idham antara pegawai yang tidak banyak bercakap, serius tapi mempunyai sikap menghormati orang yang lebih tua biarpun orang bawahan. Mampu duduk semeja di kedai makan. Saya sering kali menjadi teman minum

Antara yang masih saya ingat katanya ketika menuntut di seberang laut beliau mampu mengawal kesihatannya dengan makan buah apel yang murah. Allahyarham sering keluar masuk hospital kerana masalah Buah Pinggang. Idham pernah menziarah saya ketika berada di katil hospital.

Pagi tadi saya menerima berita kembali ke Rahmatollah Idham. Kami PKK terharu kerana Allahyarham belum setahun meninggalkan kerusinya di UKM. Saya tidak pasti sempat atau tidak Allahyarham menamatkan pengajian tahap Master. Setelah meninggalkan UKM Idham menyertai syarikat penerbitan iklan. Saya tidak pernah bertemu lagi selepas meninggalkan UKM.  Namun permintaan beliau ketika saya hendak berangkat menunaikan Umrah tidak mampu dilupakan.

"Encik Raai tolong doakan saya di sana untuk rezeki dan kesihatan saya".

Ketika itu saya mendengar permintaan itu dengan pilu kerana saya tahu secara mendalam tahap kesihatannya.

Jam 12 tengahari tadi jasadnya disemadikan di Pusara Selayang Jalan ke Ulu Yam. Saya, En Saipul dan En Md Nor sempat hadir di majlis pengkebumian Allahyarham. Kepiluan balu beliau dan bondanya terpancar jelas kepada kami.

Innalillahhiwainnailaihirojiun. Al Fatihah. Selamat berehat sahabatku. Semoga rohmu dicucuri rahmat Allah....


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah