Galeri

31 Mac 2017

Boleh jadi kayakah dengan hanya seringgit? (RM1.00)

Ramai tidak pernah memikirkan bersedekah (menderma) seringgit mampu menjadi kaya. Bunyinya pelik namun  jika itu rezeki kita pastinya akan menjadi kenyataan.

Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” H.R. ad-Daruquthni dari Anas r.a. (petikan https://rahsiasedekah.wordpress.com/bersedekah-menyebabkan-kita-kaya/).

Sebab itulah ada orang tidak pernah berkira  untuk menggunakan harta bagi tujuan bersedekah. Fadhilat bagi orang yang bersedekah amat besar seperti mana terdapat keterangan di dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amat amati ayat al-Quran berikut, kita akan dapat mengira bahawa sekurang-kurangnya setiap harta yang dikeluarkan ke jalan Allah akan dibalas dengan kiraan melebihi 700 kali ganda. Selain itu, mereka dijandikan dengan kehidupan yang mudah: (petikan https://rahsiasedekah.wordpress.com/bersedekah-menyebabkan-kita-kaya/).

Saya mengenali Nordin pada tahun lepas (2016) ketika Universiti Kebangsaan Malaysia membawa beliau ke kampus induk di Bangi ketika sambutan 46 tahun UKM. Orangnya biasa-biasa sahaja. Bukan orang besar. Tetapi UKM mengangkat Nordin sama taraf dengan Profesor di universiti tersohor ini.

Kak Zaharah (kiri sekali) isteri yang menjadi teman setia En. Nordin.
Kanan sekali Haji. Abd . Razak Hussin, Pendaftar UKM.

Siapa Nordin? Sebenarnya ramai warga UKM tidak mengenali Nordin. Beliau bukanlah pesara UKM tetapi seorang lelaki biasa yang tinggal di Seberang Takir, Terengganu. Tetapi nama Nordin menjadi sebutan di UKM. Nordin ditemui ketika misi mencari Nordin diadakan

Nordin@Ahmad Tahir Pada 1968, Nordin berusia 13 tahun, pelajar tingkatan 1 Sekolah Menengah Seberang Takir, Terengganu. Penghujung 1960-an adalah tahun pecutan bagi penubuhan UKM. Jawatankuasa Penubuhan UKM dibentuk dan ramai yang terlibat untuk kempen dan advokasi. Mereka bergerak ke seluruh negara mengutip dana sebagai bukti sokongan dan dukungan rakyat terhadap gagasan penubuhan sebuah universiti beraspirasi kebangsaan.

Dalam keadaan masyarakat yang umumnya miskin, termasuk keluarga Nordin, mereka berjiwa besar dengan mengorbankan apa yang dimiliki semata-mata untuk turut serta membina sesuatu yang baik buat masa depan generasi mereka. Lalu, Nordin mengumpul wang saku hariannya ke sekolah, mencukupkan jumlahnya menjadi RM1 dan mendermakannya kepada Tabung Penubuhan UKM.

Kisah remaja bernama Nordin itu cukup menarik. Sehingga awal Mei 2016, Nordin tidak pernah tahu bahawa kisahnya dipaparkan dalam akhbar pada 4 Di­sember 1968. Hanya apabila UKM mencari beliau, barulah dia menge-tahuinya. Sebagai menyatakan penghargaan, UKM meng­undang Nordin dan isteri hadir ke majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun UKM ke-46 pada 20 Mei 2016.

© Utusan Melayu (M) Bhd )


Begitulah kisah Nordin yang telah diangkat menjadi orang penting di UKM. Warga Malaysia dan UKM harus mengambil kisah ini untuk menjadi pengajaran berharga. Nordin sendiri sebenarnya tidak pernah terfikir untuk mendapat penghargaan sebegini rupa. Dalam perjalanan kehidupannya pasti nordin akan bersyukur kerana Allah telah memberi rahmat begitu hebat kepada beliau.

"UKM sentiasa mengenang sumbangan seringgit abang Nordin untuk tabung
penubuhan UKM", kata YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali, Naib Canselor UKM


Usah pertikai kenapa nama Nordin menjadi sebutan di UKM. Tetapi ambillah pengajaran bahawa ketika UKM hendak dibangunkan banyak keringat dan air mata terbit dari rakyat Malaysia. UKM satu universiti yang lahir hasil cetusan desakan semangat kebangsaan. Kalau tidak, mana mungkin Nordin menyahut cabaran menyumbang seringit untuk tabung penubuhan UKM. Saya terharu.

Insyaallah jika tiada aral melintang Nordin akan menunaikan fardu haji atas sumbangan UKM. Nordin muncul ketika era UKM memerlukan sumbangan warganya. Pengurangan bajet kepada banyak agensi kerajaan termasuk UKM memberi rahmat kepada kita untuk berbakti dengan melakukan sumbangan yang sepatutnya. Misalnya UKM sedang mengumpul dana menaik taraf masjidnya. Inilah masanya kita berbakti biarpun hanya RM10!

Usah pertikaikan apa yang kita akan perolehi, tetapi doakan agar sumbangan kita dibalas oleh Allah pada waktu-waktu tentu di masa hadapan. UKM akan menyambut ulangtahun ke-47 tahun ini oleh itu dalam memartabatkan universiti ke persada antarabangsa maka pengorbanan kita dituntut dalam apa jua bentuk.

***Rencana ini saya terbit sempena menjelangnya sambutan UKM ke-47 pada 18 Mei 2017.

Oleh: Abd Raai Osman.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Wujudkan Tabung Keluarga

Anda sering menghadapi masalah kewangan? Banyak hutang? Penyelesaiannya kita boleh lakukan dengan berbagai cara. Pinjam dengan koperasi, pin...