Warkah Dari Hospital 1

Catatan 1: Ibadat dan doa

Sekadar perkongsian betapa hampirnya Allah dengan hamba yang beribadat dan berdoa.

Ketika saya dijangkiti kuman dan demam selama seminggu antibiotik telah diberikan oleh Doktor. Antibiotik paling kuat hinggakan cirit birit.

Kesempatan diberikan oleh Allah ketika di wad saya mampu bangun solat 5 waktu dan solat sunat Tahajut, Taubat, Hajat, Witir. Disamping itu saya sering amalkan zikir Laila Hailahailla Anta Subhanakainniminalzolimin. Dikatakan jika diizinkan-Nya kita sembuh, sembuhlah. Sekiranya kita mati Allah akan ampunkan dosa.....Insyaallah..

Ada pesakit bukan Islam terkejut kerana genap seminggu, doktor benarkan saya pulang. "Cepat awak boleh balik". Saya hanya tersenyum tetapi dalam hati bersyukur kerana Allah sembuhkan saya.

Inilah keutamaan solat, doa, zikir.


Catatan 2: Hikmah maaf dan membayar hutang.

12 tengahmalam ketika saya bangun untuk ke bilik air wad (?) HCTM kelihatan satu keluarga sedang berkumpul di katil (?). Lelaki itu sedang nazak dan bila saya hampiri ke katil itu pesakit itu sedang bertarung dengan Sakaratulmaut.

Saya minta izin untuk sedekahkan bacaan Yasin. Keluarganya izinkan. Tahukah anda saya waktu masih lemah kerana baru lepas bedah dan sedang bertarung dengan kuman dalam tubuh......Sesekali perasaan sebak melihat isteri pesakit sedang membantu perjalanan terakhir suaminya. Ia mengingatkan saya kisah arwah ibu membantu arwah ayah menghembus nafas terakhirnya 48 tahun dulu.......

Selesai membaca Yasin tubuh saya yang masih lemah perlu rehat. Sebelum itu saya tinggalkan pesan, "maafkan dia. Maafkan orang yang pernah bermusuh dengan dia. Beri jaminan jika ada hutang waris akan tanggung". Isteri, ibu mertuanya setuju.

 Kelihatan mata arwah merenung lemah kearah saya. Saya amat pasti dia sedang bertarung dengan maut. Keadaannya itu bermula sejak jam 10 malam.

Jam 5 pagi ketika nurse datang ke katil saya memberitahu...."pesakit katil (?) dah tiada Pakcik......". Sayu mata saya merenung katil (?) yang terbaring arwah Sanusi.....

Ingatlah maaf dan memaafkan serta membayar hutang adalah perkara berat yang sering dipesan oleh Rasullullah.


Catatan 3: Sudah lima tahun

Pesakit di katil (?) terbaring tanpa suara. Isterinya dengan tabah menyuap susu untuk memberi makanan kepadanya. Matanya memandang seolah-olah melihat apa yang ada di hadapannya.

"Macam nilah dik keadaan sejak lima tahun ni", kata isteri yang sentiasa tabah dengan dugaan tersebut. Sambung isterinya, kepada anak-anak teruskan kehidupan seperti biasa. Jika mereka diperlukan ibunya akan meminta tolong. Jika berhajat hendak pergi kursus, umrah atau sebagainya mereka pergilah sebab keadaan ayah tidak boleh diramalkan.

Sudah lima tahun terbaring kerana diserang Angin Ahmar (Strok). Segala keperluan isteri yang uruskan. Sesekali jika memerlukan pemantauan pihak hospital barulah dibawa ke situ.

Inilah kehidupan yang saya lihat. Kesetiaan, ketabahan seorang isteri teruji di depan mata saya. Syukur saya masih ada selera dan mampu untuk berjalan walaupun hadir di wad itu sebagai pesakit. Kehidupan kita tidak siapa yang tahun semuanya telah ada dalam perancangan Allah. Bersedialah!


Catatan 4: Jiwa gelisah

Ketika saya berehat di katil no 17 kedengaran doktor sedang menerangkan prosiding pembedahan kepada seorang pesakit lelaki melayu. Doktor berbangsa cina itu merupakan pakar bius.

" Semua ada risiko Encik...Encik pakai kereta pun ada risiko kemalangan, tapi tak kan lah tak mau pakai kereta".

Rupa-rupanya pesakit itu akan dibedah esok hari. Oleh kerana dia adalah perokok tegar, maka doktor menerangkan kesan bius kepada penerima ubat bius. Mendengar risiko, pesakit itu tidak mahu melakukan pembedahan.

" Buat jelah bang...kalau balik pun esok-esok nak kena masuk balik ke hospital", pujuk isterinya dalam nada sayu.

Ketika saya menghampiri katilnya ketlihatan pesakit itu masih berkeras nak balik dan nak buat rawatan secara tradisional. Semasa saya menerangkan bahawa saya telah melalui proses bedah tahun lepas tahu apa dia kata?

"Awak muda lagi....saya dah lebih 60 tahun....Saya merokok...awak ada merokok",

Wau, marah dia kat saya....Apa lagi saya berkata dalam hati "baik aku belah. Karang lain pula yang jadi. itu hak dia sebagai pesakit. Biarlah....."

Rupa-rupanya dia perokok tegar. Kata doktor kena berhenti dulu merokok....Jika tidak kesannya agak berat.....

Ok. AYUH BERHENTI MEROKOK.


Catatan 5: Misi tolong saya.....

"Uncle...dah mukan ubat ke belum?"
"Uncle...duduk diam-diam nanti pening jatuh pula".
"Pakcik ni kurang minum air ni....air kencing kurang la..."
"Kak Wan (bukan nama betul)...tolong angkat pesakit ni..."
"Pakcik, saya nak masukkan antibiotik ye", jam waktu itu dah pukul 2 pagi.
"Uncle, mana anak tak mari ni sudah lima hari kat sini".
"Uncle, duduk diam-diam ye saya mau tukar pumpers".

Itulah antara dialog yang sering saya dengar ketika berada di wad hospital sejak tahun 2015 hingga yang terkini Januari 2017.

Belum lagi apabila kisah Nurse memberitahu ..."Pakcik pesakit katil no 26 dah meninggal jam 1 pagi tadi"
"Pakcik, katil hujung tu dah nazak...."
"Pakcik, pesakit katil no 18 dah meninggal jam 5 pagi tadi.

Belum lagi kisah pesakit menjerit kesakitan. Bila ditanya nurse kata "Daia ada pendarahan di saluran kencing"

Kita yang sakit bukan sahaja menanggung sakit yang dialami. Tapi kita juga mengalami kesakitan jiwa dengan pesakit lain.



Nota: Pada tulisan saya yang terdapat simbol (?) bermaksud perkara yang harus saya rahsiakan untuk mengelakkan identiti pesakit dapat dikenali. Misalnya nama pesakit, nama wad dan nombor katil.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah