18 Mei 2016

Hari ini UKM berusia 46 tahun

“Kamu ditempatkan di Fakulti Sains kat Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur” kata kerani yang mendaftarkan nama saya di Pejabat Pendaftar UKM Bangi.Seingat saya nama kerani tu abang Misro.

5 November 1979 saya masuk bilik makmal yang tertera namanya Bilik Gelap. Khalil Alwi (Haji) menyambut saya. Beliau seorang Pembantu Makmal di situ tetapi tugasnya mengambil gambar.
Maka jadilah saya seorang kakitangan UKM seperti orang lain yang masuk kerja keluar kerja di kampus sementara di Jalan Universiti Petaling Jaya. Pejabat pentadbiran kami di Jalan Pantai Baru Kuala Lumpur. Ketika itu kampus tetap UKM telah ada di Bangi. April 1982 kakitangan makmal UKM mula berpindah ke Bangi.

Ketika itu Bandar Baru Bangi belum membangun seperti sekarang. Pengangkutan utama ialah bas Sum untuk ke UKM manakala bas Foh Hup jika hendak ke Kuala Lumpur. Kalau cerita pasal sesak dalam bas usah cakaplah. Naik bas ikut tingkat adalah perkara lumrah.


Saya bertuah kerana waktu itu dapat berkawan dengan staff senior UKM yang memilik nombor pekerja angka dua dan tiga. Abang Dali, Abang Alias, Wak Repin, Md Zain, Mimi Nora, Md Noor Hassan, Seberi, Baba, Minhat adalah diantara nama-nama orang lama UKM. Sebagai budak baru, saya banyak bercampur dengan mereka.

Saya diantara staff yang melihat susah payah membangunnya UKM. Kalau nak cerita soal peralatan fotografi ketika itu tidaklah secanggih sekarang. Tapi dari situlah kami menghasilkan gambar-gambar hasil penyelidikan pensyarah dan pelajar. Ramai diantaranya kini menjadi saintis, Profesor, tokoh-tokoh terkenal di negara kita.

Pernah sekali tu Dato' Sri Liow Tiong Lai menyapa saya dalam satu majlis di UKM “ehhh U masih kerja ?.....Ini kawan lama masa saya buat tesis dulu” sambil memandang wajah Naib Canselor ketika itu. Beliau adalah alumni UKM yang pernah menggunakan idea saya untuk merakam gambar spesimennya.

“Nak tahu apa kerja saya masa kat UKM dulu tanya Raai ni....” kata Ketua Pengarah FRIM dalam satu majlis di UKM.

Itu adalah antara imbasan kenangan dengan alumni UKM yang telah menjadi orang hebat. Saya melihat pembangunan UKM didepan mata. Banyak kisah pahit manis. Banyak kisah suka duka yang saya lihat menerusi mata dan kamera. Ada kisah yang boleh diceritakan ada kisah yang harus dirahsiakan.

Ada individu meluahkan rasa hati apabila gagal dalam temuduga. Ada kisah susah payah membuat kajian dimakmal. Ada kisah diusik makhluk halus dan sebagainya.
Kisah menarik bila hari gaji. Sistem menggunakan cek. Pergi mengambil cek di Jalan Pantai Baru kena tukar di Bank Bumiputra Universiti Malaya. Gaji ketika tu kecil lagi tapi nak dapat wang separuh hari kena beratur.

Pada tahun 1982 pembangunan UKM belum lengkap. Jalan masuk dari pintu utama hanya tamat di Fakulti Sains. Bangunan Dewan Anwar Mahmud dan Fakulti Ekonomi masih dalam pembinaan.

Saya berkhidmat di Fakulti Sains hingga 2007. Julai 2007 saya berhijrah ke Penerbit UKM. 2013 saya ditempatkan di Pusat Komunikasi Korporat.

Kisah jodoh. Oleh kerana UKM masih baru dan belum wujud banyak pejabat  kerajaan dan swasta ketika itu maka skop jodoh banyak berlengkar dalam UKM. Mejoriti UKM mendapat jodoh dari kalangan staffnya.

Catatan ini saya buat sempena 46 tahun UKM. Saya cuma ada setahun lebih lagi untuk bersara. Saya tidak akan tamat cacatan ini setakat ini. Insyaallah ia akan diteruskan selepas bersara kelak.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Galeri

Awas! Keretapi nak melintas.

Pernah naik keretapi? Keretapi cara lama yang memenatkan! Mungkin itu ungkapan yang pernah kita dengar. Sebelum tahun 1995 tidak semua ora...