08 Disember 2015

Dia pergi jua

5 November 2015.Ketika saya sedang membuat persiapan majlis perkahwinan puteri saya di Dewan Tun Abdullah Salleh UKM satu panggilan telefon diterima. Nikmat dalam nada sebak memaklumkan "....pakcik, ayah Mail dah tak ada dalam 5 minit tadi...." Jam ditangan menunjukkan pukul 10.57 malam. Selepas meletakkan telefon yang dibuat oleh menantu Ismail (adik ipar isteri saya) saya memejam mata dan membaca Fatihah kepada arwah yang sepatutnya menyambut ulangtahun kelahirannya ke-63 pada 1 Januari 2016 nanti.

5 Disember adalah tarikh kematiannya. Tarikh ini juga saya menerima menantu pertama di sebelah paginya. 6 Disember adalah hari kenduri walimatulurus puteri saya dan tarikh itu juga merupakan hari Ismail disemadikan. Menjadi sejarah juga ia adalah hari berkabung rakyat Johor setelah kemangkatan putera Duli Sultan Johor, YAM Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim Tunku Laksamana Johor. Paling terkesan kematian Ismail kerana mengidap barah paru-paru.

Kematian tidak ada siapa boleh mengelak. Kematian adalah janji Allah. Tidak akan cepat dan tidak lambat walau sesaat juga. Isteri saya dan kak longnya sedih dengan kematian adik ipar mereka. Lebih terasa isteri saya berkongsi tarikh kelahiran dengan Ismail. Kami tak dapat menziarahi arwah kerana majlis kenduri perkahwinan puteri kedua perlu diteruskan di hari pengkebumian Ismail.

Saya pernah mencatatkan beberapa kisah berkaitan Ismail. Antaranya.....

FB 9 Disember 2015: Ketika saya menggenggam tangan menantu hati saya seperti mana-mana ayah yang kosong selepas saksi mengatakan sah nikah itu. Kami sekeluarga dalam pilu setelah adik ipar kepada isteri yang kembali ke rahmatollah pada jam 10.45 malam 5 Disember 2015. Manakala esoknya ketika majlis walimatulurus, jenazah adik ipar isteri sedang dikebumikan. Paling tragis dua bulan sebelum majlis ini kami sering ke Segamat kerana menziarahi arwah yang tenat menghidap barah tahap empat. Arwah walaupun bertaraf adik kerana dia suami kepada adik ipar, namun faktor umur membuatkan saya menghormati sebagai abang dan banyak membantu saya diawal perkahwinan saya dan isteri (kakak iparnya). AL-FATIHAH

Oleh itu majlis ini agak sederhana dan kepada yang tidak mendapat undangan kami, kami memohon maaf. Insyaallah jika ada jodoh buat dua puteri kami, kami mungkin tidak melupai tuan puan. Terima kasih kepada yang sudi hadir dan membantu kami.

FB 7 Disember: Saya meninggalkan bandar Segamat dengan perasaan syahdu setelah menziarahi keluarga adik ipar yang kehilangan suami semalam. Banyak yang akan kongsi kisah arwah dalam raaiosman.blogspot.com
 
Kenangan di kedai rambut jalan Aji Segamat amat menyentuh hati. Sering kali ke Segamat arwah akan mengunting rambut. Arwah walaupun pangkat adik dalam keluarga isteri, namun kerana dia lebih tua daripada saya hormat dia sebagai abang.


FB 6 Disember 2015: Sesungguhnya saya sedang bergembira dan diuji dengan perkhabaran yang menyedihkan. Semua ini satu ujian yang perlu ditempuhi dengan semangat yang amat kuat. Kuasa Allah tiada siapa yang akan mampu mengelak.

Kepada anak-anak saudara pakcik, sesungguhnya ujian Allah itu ada rahmatnya
FB 3 Disember: Hari ini sempat ziarah biras yang masih terlantar. Dia sudah boleh bersalam dengan tangan kanan sambil meletakkan telapak tangan kiri ke mukanya. Mungkin dia hiba dengan kehadiran saya.

FB 2 Disember 2015: Hari Ahad lepas sempat saya menziarahi biras yang sedang tenat di hospital. Ketika di sana saya mengambil peluang membaca Yasin buatnya. Hari ini menerima berita matanya sudah terbuka, boleh menjamah makanan dan menceritakan apa yang dia dengar ketika mata terpejam. Malah tahu saya hadir di sisinya. Sering kita mendengar kisah kehebatan Al Quran. Inilah antara kisah kehebatan yang saya alami dan lihat. 

FB 29 November 2015: Ketika membacakan Yasin di sisimu aku tahu kau mendengar. Tapi aku tahu kau tidak mampu membuka mata. Inilah sahaja yang mampu lakukan di saat ini ketika kau berperang dengan barah yang sudah kritikal wahai birasku. Aku tahu kita berkata antara kita saling memerlukan ketika sakit. Namun tidak mampu merasai deritamu ketika ini. Syukur sempat juga berbisik kepadamu bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah. Nabi Itu Pesuruh Allah. 

Ismail, aku tinggalkan kau bersama Allah semoga Dia memberi Rahmat kepadamu

Saya tidak bersedih terlampau dengan kematian Ismail. Namun dengan catatan ini mengambarkan bahawa saya amat rapat dengan arwah.Semoga rohnya dicucuri rahmat....Al Fatihah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Galeri

Awas! Keretapi nak melintas.

Pernah naik keretapi? Keretapi cara lama yang memenatkan! Mungkin itu ungkapan yang pernah kita dengar. Sebelum tahun 1995 tidak semua ora...