12 Julai 2014

Al Quran | Pengakuan Ikhlas Seorang Sahabat

Pagi tadi saya menulis begini di halaman FaceBook (FB) " Masih teringat kandungan khutbah semalam. Kalau ada org hina Quran, pijak dan membuang di tempat yg tidak sepatutnya semua umat Islam mengamuk. BAGUS kita bertindak mengamuk. Tetapi sedarkah kita bahawa telah lama mengabai Al Quran dengan tidak membaca, tidak menurut hukum yg terkandung di dalamnya. SAYA TERSENTAK! "

Memang kandungan khutbah yang disampaikan oleh Khatib Masjid UKM menyentuh hati saya. Pada hemat saya setiap kali menjelang sambutan Nuzul Quran di mana-mana masjid akan menyentuh kepentingan membaca, memahami tafsiran, mengamal apa yang terkandung di Al Quran. Kehebatan Al Quran tidak dapat dipertikaikan lagi kerana Ia adalah Mukjizat terbesar yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulallah SAW. Kerana kehebatannya kalau ada orang yang menghina Al Quran pasti akan dikecam oleh seluruh umat Islam, Alhamdulillah.

 Saya masih ingat arwah emak walaupun beliau mampu mengajar saya mengaji Quran, namun dia tetap menghantar kepada guru yang mampu mendidik saya mengaji kitab hebat itu. Pengorbanan arwah emak menghantar dan mengambil saya di malam gelap dengan lampu suluh kerana kampung kami tiada bekalan letrik amat mengkagumkan saya. Tanpa mengira hujan atau ribut emak akan menyusuri gelap malam ke rumah Pak Long Mad yang mengajar Quran di kampung saya. Mungkin keagungan Al Quran, sepanjang saya mengaji dengan di ambil oleh emak (saya pergi sendirian kerana sebelum Magrib) kami dua beranak tidak pernah terjadi sebarang kejadian yang tidak diingini. Maklumlah kampung saya memang terkenal dengan banyaknya ular Kapak di waktu malam.

Saya dan rakan-rakan sekampung mengaji Quran dengan Pak Long Mad tanpa sebarang yuran bulanan. Kalau ada pun, kami hanya tolong mengambil air untuk memenuhkan tempayan rumahnya disamping memotong kayu pada masa-masa tertentu. Saya hanya khatam Quran dengan hanya memberi sedekah semampu sahaja termasuk kain pelikat dan baju melayu tanpa seluar dan samping. Itulah budaya melayu lama.

Selang lima minit saya menulis di status FB saya, seorang sahabat, yang juga rakan FB saya, telah menulis begini......."Salam, saya nak share satu cerita, tapi tak boleh kat wall, nanti takut jadi 'riak'. Tahun 1998 [umur saya 41 tahun] saya dapat sorang anak angkat [perempuan] yang kematian ayah, satu hari dia minta saya tolong sahkan semua sijil-sijilnya dan kami jumpa di Restoren Jejantas Sungai Buloh, sambil saya sain sijil tu dia tanya saya satu soalan yang sangat power, 'Bapak, berapa kali bapak khatam Qur'an?', saya tersentak tapi saya kena jawab dengan jujur ...'1.7'' kali... [sebab kalau Ramadan pun masa tu pun saya tak pernah boleh khatam ..Syawal dah sampai]... dia balas balik 'Tak sesuai Pak'... Balik rumah saya termenung dan amat bersyukur, kerana apa?? 

1] Ilmu yang besar bukan mesti dari orang besar, seorang anak boleh ingatkan bapaknya 

 2] Saya bersyukur kerana Allah SWT mengirim seorang budak untuk tegur saya yang makin jauh dengan qur'an. Mulai hari tu saya mula baca balik, enam bulan pertama saya bagi lidah saya biasa semula dengan sebutan [makhraj], tebal nipis dan dengung [saya baca juzuk 28 dan cuba hafal Surah Al-Mulk] ... Lepas tu baru tenguk juzuk 1, saya ambil masa 1 setengah jam untuk baca... [sedangkan masa kecil dulu lancar, bacaannya], Masa tu saya berniat untuk khatam 50x sebelum usia 50 tahun. Saya baca antara waktu Maghrib dan Isya, Alhamdulillah saya khatam kali ke 50 pada 30 Januari 2008, lewat 2 bulan dari usia itu. Kini, saya berniat untuk khatam kali ke 100 sebelum usia 60 tahun, sekarang cobaan kali ke 87, [lagi 3 hari nak Nuzul Qur'an, baru juzuk 21...mungkin sempat khatam hari ke 23 puasa].

Sambung sahabat saya lagi......" Begitulah syahadan alkisah, jadi saya bangga usaha abang tegur rakan-rakan untuk baca al-quran, saya kerap tanya pelajar saya soalan yang sama, "Bila kali terakhir kamu memegang Al Qur'an dan memabacanya [kalau takat pegang dan masukkan dalam beg]...tak aci...

" Lupa pula nak cakap, budak tu cuma umur 18 tahun, sekarang anak dah 3 orang, saya hanya jumpa bila hari raya...Maksud saya pada tahun 1998 budak tu umur 18 tahun... " sahabat saya mengakhiri catatan peribadinya kepada saya. 

Sekali lagi saya tersentak membaca catatan itu sambil merenung jauh keluar rumah sambil telinga mendengar anak sulong saya membantu membetulkan bacaan emaknya. Anak itulah yang dua puluh tahun dulu cukup payah nak menyebut huruf "RA".

Syukur, disamping kita sedang menuanaikan puasa di bulan Ramadan, kita juga akan menyambut Nuzul Quran sempena turunnya ayat yang pertama Iqra'

***Nota: Catatan sahabat saya telah dikemaskini ayatnya | Diedit oleh: Nur Aqilah Abd Raai.

   

Tiada ulasan:

Cara-Cara Nak Keluar Masuk Wang Tabung Haji Dengan CIMB Click

  Sejak PKP 1.0 hingga 3.0 urusan nak keluar dan masuk wang ke Tabung Haji menjadi susah. Mana taknya berbaris satu hal, ada masanya TH tutu...