Sedutan ucapan saya selaku Pengerusi Sambutan Hari Raya Alumni IKBN Peretak

Saya hanya merancang Allah jua yang memberikan rahmatNya.
Apakah ini buah tangan saya terakhir?


Di hujung tahun 1977 saya meninggalkan bumi IKBN Peretak dan balik ke kampung. Dua minggu saya menjadi seorang anak muda yang murung. Sehinggalah suatu hari Ibu saya bertanya kenapa jadi begitu. Sakit ke atau sebagainya?




Tuan-tuan dan puan puan, saya menjadi seorang perindu pada sebuah kebisingan dunia IKBN waktu tu Pusat Latihan Belia Negara. Saya memaklumkan kepada Ibu bahawa saya rindukan hilai tawa rakan-rakan yang berada di peretak.


Ketika itu dunia komunikasi  hanyalah surat. Namun untuk mengirim surat sebenarnya tidak semudah kita jangkakan kerana tidak semua rakan-rakan dapat membalas surat kita.


Acap kali saya ke Bukit Freaser saya melalui PLBN Peretak. Wajah Cikgu Majid, Cikgu Haidar, Miss Gomes (yang kami angggap aunte ketika itu), beliau terkenal dengan bebelannya. Masakkan asam manis tukang masak IKBN yang saya rindui.

Itu adalah senario 30 tahun dulu. Kedewasaan saya mengajar untuk mengenali apa itu hubungan silatulrahim dalam contact agama dan sosial. Akhirnya  tahun 2011 saya menyertai mesyuarat agong penubuhan Persatuan Alumni IKBN Peretak dimana Sdra Samsudin Oli Mohamad terpilih sebagai Presiden. Saya dapat bermalam di IKBN Peretak satu malam. Walaupun hanya satu malam dalam sebuah bilik yang besar yakni dua kali ganda lebih besar dari bilik di PLBN semasa saya berkursus di tahun 1977. Nostalgia saya kepada 15 orang rakan lama yang sama-sama mengikuti kursus senifoto tetap datang.


Saya tidak mengenali Sdra Samsudin, Noor Azmi, Husaini, Mizwan, Baharudin,Hafiz,Sdri Janefer,Azizah, Noni dan lain-lain lagi. Namun selepas itu kami kami sering berkomunikasi di dalam Facebook. Cadang demi cadangan diutarakan untuk memantapkan Alumni.


Akhirnya disuatu malam dalam bulan Ramadan yang mulia saya mengambil satu keputusan untuk mengadakan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri dan Sambutan Hari Kemerdekaan serta Hari Malaysia pada 17 September 2011 bersamaan 19 Syawal 1432. Tarikh keramat ini akan menjadi satu catatan sejarah kepada kita kerana semalam 16 September kita baru merayakan hari Malaysia.

Saya dan barisan AJK sering mengadakan mesyuarat di dalam Facebook. Walaupun ada waktunya tidak cukup korum, namun ianya berlangsung dalam suasana yang seolah-olah kami berada dalam satu bilik mesyuarat.


Tuan-tuan dan puan-puan:

Majlis yang berlangsung pada hari ini tidak menjanjikan satu acara gemilang. Namun saya mengharapkan agar ia menjadi satu batu tanda persahabatan yang murni. Jika dulu kita berkumpul tanpa isteri dan anak-anak. Kini kita bersama dalam satu kumpulan yang membawa erti tersendiri. Nah di sini kita kita dapat memberitahu kepada isteri dan anak-anak mahu pun cucu bahawa kita telah memulakan langkah pertama kemercu jaya bermula di sebuah pusat latihan dan kini institut. Dan dari sinilah ada di antara alumni yang berjaya menjadi usahawan malahan ada yang lebih jauh menjadi tenaga professional yang  berjaya.

Tuan-tuan dan puan-puan
 Hari ini hari kita. Tuan-puan boleh berada di mana saja. Di kerusi empok mahupun kerusi pelastik atau di bawah pokok yang redup untuk berjumpa rakan –rakan lama dan  rakan-rakan baru. Tiada siapa yang boleh ganggu. Hubungan ini mungkin tidak berlaku lagi dalam satu masa yang singkat. Namun jikalau ada kerjasama yang baik, majlis seperti  ini akan diteruskan diwaktu lain. Namun dalam mengeratkan silatulrahim saya yakin kerjasama dalam bentuk menjana ekonomi, menjana ilmu baru akan diteruskan.


Persatuan Alumni hanyalah badan yang melaksanakan. Kejayaan bergantung kepada usaha ahli-ahlinya. Kejayaan hari ini bukan usaha saya seorang, tanpa Tuan Pengetua, Presiden, Timbalan dan ahli-ahli jawatankuasa saya pasti usaha ini hanya tinggal angan-angan sahaja. Sekalung penghargaan kepada tuan-tuan semua. Tidak ketinggalan kepada kakitangan IKBN Peretak. Teristimewa kepada keluarga kami. Tanpa mereka yang memberikan sokongan kepada kita mungkin terhalang untuk datang ke sini. Untuk tetamu, walaupun anda berfikir bahawa tidak membantu, namun dengan kehadiran taun-tuan dan puan-puan sebenarnya telah memberikan sumbangan besar dalam usaha murni ini.

Saya bagi pihak barisan jawatankuasa Persatuan Alumni memohon ampun maaf andai ada kekurangan dari sudut jamuan dan layanan ampun maaf jua dipohon.
Akhir kalam, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Salam Kemerdekaan, dan Salam kesyukuran untuk Allah kerana kita berada di bumi Malaysia yang tercinta ini.


Saya bagi pihak barisan jawatankuasa Persatuan Alumni memohon ampun maaf andai ada kekurangan dari sudut jamuan dan layanan ampun maaf jua dipohon. Kepada yang akan kembali ke kediaman masing-masing  doa dipohon agar semuanya dilindungi oleh Allah Subhanahuwattala.



Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
boleh kita berjumpa lagi.



Tuai padi antara masak,
esok jangan layu-layu layuan;
Intai kami antara nampak,
esok jangan rindu-rinduan.

Ambil kain untuk mengelap,
kerana kopi tumpah dilantai;
Harap maaf salah dan silap,
ayuh menjamu selera beramai-ramai.

Abd Raai Osman, Pengerusi Sambutan Hari Raya Aidilfitri Alumni IKBN Peretak 2011/1432H.
Tanggal 17 September 2011/19 Syawal 1432H
IKBN Peretak, Ampang Pecah, Kuala Kubu Bahru, Selangor.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah