Semuanya kehendak Allah

Membuat keputusan untuk balik ke Kedah pada pukul tiga pagi dari Bangi bukan satu perkara yang mudah bagi saya. Saya perlu mengejutkan keluarga pada pukul 1.30 pagi ketika mereka sedang diulit mimpi. Namun itulah hakikatnya apabila saya mengambil keputusan balik ke kedah pada 30 April hingga 2 mei lalu.

Namun usaha itu berbaloi apabila saya dapat memenuhi jemputan Haji Mohamad Samah yang  mengadakan majlis walimatul urus puteri kembar bongsu yang terakhir di Yan Kecil.


Puteri kembar (yang bongsu) Haji Mohamad Samah































Kebiasaannya apabila  balik ke Kedah, saya suka mencari rakan-rakan lama yang sudah lama tidak bertemu. Justeru selepas selesai menghadiri kenduri di rumah Haji Mohamad, saya menyusuri ke Gurun. Di sini saya bertemu dengan Rashid yang telah berpisah lebih sepuluh tahun, Rashid telah bersara dari angkatan tentera, kini bertugas di Gurun.

Oleh kerana Rashid sedang bekerja, maka saya tidak lama bersamanya. Namun pertemuan singkat ini amat memberi erti dikepulangan saya kali ini.

















Saya berjanji dengan Rosli Deraksa untuk bertemu dengannya di Sik Dalam. Saya meletakkan temujanji ini sebagai paling utama kerana sudah lebih tiga puluh tahun berpisah dengannya.

Saya tiba di rumah Rosli selepas Asar di halaman rumahnya. Saya lihat landskap rumahnnya kemas. Rosli yang membahasakan dirinya Pak Tam kepada puteri-puteri saya. Dia begitu senang melayan kami dengan membuka kisah-kisah silam semasa sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Sik pada 1971-1975.

Kami berpisah lebih tiga puluh tahun. Saya dan Rosli agak terkilan kerana tidak pernah bertemu ketika beliau masih berkhidmat dalam angkatan tentera di MINDEF Kuala Lumpur. Kini Rosli yang bersara sebagai Pegawai Waran tinggal di kampung halamannya. Saya diberitahu oleh beliau bahawa emaknya masih ada cuma sedang menderita lumpuh. Rosli dan adik berdik dia yang menjaga emaknya bergilir-gilir.

Rosli banyak bercerita kisah-kisah silam semasa remaja kami dan Insyaalah saya akan catatkan kisah silam kami berdua dalam catatan di laman ini pada tajuk Sik ke Bangi .

Bertemu dalam masa yang singkat memang tidak terasa puas, namun kehendak Allah kami harus berpisah kerana saya dan keluarga harus menziarahi beberapa rumah sebelum balik ke Bangi.













Seperti biasa apabila balik Sik rumah Haji Wahid di Beris Jaya wajib saya singgah. Kami sekeluarga bermalam di rumah Haji Wahid sebelum balik di mana kami telah singgah di Sungai Petani bertemu Majid Derasid. Sahabat lama yang yang bekerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat Sungai Petani tinggal di Taman Sejati Indah. Hampir sepuluh tahun tidak bertemu dengan Majid, namun dengan adanya lama sosial facebook kami sentiasa berhubungan. Namun pertemuan di alam nyata lebih kenikmatannya.










1 Mei 2011, kami bermalam di rumah kak Timah di Taman Bandar Baru Sungai Lalang. Kak Timah bukan orang lain, dia kakak kepada abang Mad, suami kakak saya. Rumah kak Timah wajib saya dan keluarga singgah kerana dia juga sudah seperti kakak kandung saya.

Saya mencatatkan semua ini adalah untuk melahirkan kepada rakan-rakan pembaca bagaimana saya menikmati kenikmatan menghubungkan silatulrahim. Walaupun kebanyakkan bukan saudara kandung namun berkat pertemuan itu isteri dan puteri-puteri saya akan tahun sejarah lama saya. Mereka tidak kenal saya sejak kecil, namun dengan pertemuan begini dapat memberikan bagaimana kehidupan saya yang pernah melalui liku-liku pahit manis sebelum berada pada tahap ini

Misalnya saya sempat membawa keluarga singgah di pasar malam di Pekan Sik. Mereka sempat melihat bagaimana peniaga-peniaga di sana menjalankan perniagaan. Walaupun sama dengan peniaga pasar malam di sekitar Bangi dan Kuala Lumpur, namun auranya tetap ada kelainannya.


Membeli beg di Pasar Malam Pekan Sik























Sebelum ke rumah Rosli, saya sempat membawa keluarga melihat perkembangan Pekan Sik sehingga ke Kampung Hujung Bandar. Di sini saya membawa kenangan bersama sahabat lama Marzuki Zainol. Saya pernah tinggal di rumahnya sepanjang musim peperiksaan SPM pada tahun 1975. Saya menumpang di rumah Marzuki kerana ingin mengelak lewat sampai ke sekolah ketika peperiksaan berlangsung. Marzuki kini seorang usahawan yang berjaya dengan membuka setesen minyak di Sik dan Kuala Lumpur.













Balik Kedah dalam masa dua malam tiga hari memang tidak cukup. Saya tidak sempat menziarahi sepupu di Permatang pauh, Seberang Perai, Pulau Pinang. Hasrat untuk ke rumah Cikgu Lah di Pulau Pinang juga tidak kesampaian. Kami selamat pulang ke Bangi dengan menempuh perjalanan pergi balik sejauh 1200 km. Insyaalh kalau di izinkan Allah, negeri kelahiran saya tidak luput dari ingatan.

Saya sering berkata; kalau pertemuan ini tidak berulang lagi maka anggaplah ia satu pertemuan yang akhir yang diizinkan oleh Allah Subhanahuwataala.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah