05 Januari 2011

Menoleh kembali ke arah belakang

Ketika saya memandu di daerah pendalaman Kedah pada 27 Disember 2010 lalu anak sulung saya berkata, " ayah bercerita kisah-kisah lama macam kelakar". Saya bertanya balik, "apa Along dan adik-adik tak percaya ke? Kalau tak percaya, malam ni cuba tanya Pak Ngah Wahid betul ke tidak cerita ayah ni". Adik-adiknya menyahut, " percaya...."

Apa tidaknya, saya bercerita kisah-kisah yang berlaku 30 dan 40 tahun lalu. Kisah ketika saya berada di daerah ini (Sik). Kisah pergi sekolah pukul 5 pagi dari Kampung Sungai Batang (kini Tasik Beris).

Namun mereka teruja apabila saya berhenti untuk seketika di pintu masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Sik. Satu-satunya sekolah yang ada di Sik sekitar tahun 1970an. Walaupun saya tidak masuk ke perkarangan sekolah, namun dari luar saya masih dapat mengamit memori tahun 1970-1975. Kisah saya menjaga jalanraya bersama rakan-rakan. Kisah Kebawah Duli Sultan Kedah berangkat ke sekolah itu. Waktu itu majlis itu cukup hebat. Maklumlah Sultan yang kita sayangi hadir mencemar duli ke sekolah yang jauh dari Bandar Alor Setar.

Kisah saya dan rakan-rakan pengakap berkhemah bersama pandu puteri. Masih saya ingat gelagat Zaki Din, Osman Nawang, Marzuki Zainol, Rosli Deraksa, Norlia Daud, Razak Hashim, Razak Salleh. Oh ramai lagi.Pernah rakan-rakan ini datang lewat, tak pakai lencana sekolah, pakai kasut tetapi tanpa sarung kaki. Saya pernah menjadi pengawas sekolah. Guru pengawasnya Cikgu Abdullah Ahmad. Bila membuat duty mingguan saya pernah jadi ketua. Kalau rakan-rakan sekolah tak pakai sarung kaki, mereka kena denda menulis karangan dalam seribu ayat "Esuk saya akan memakai sarung kaki" atau "esuk saya akan memakai lencana sekolah"

Tapi kalau saya memberi denda ini rakan-rakan sekolah tidak pernah membalas dendam. Belum pernah saya lihat kereta atau vespa Cikgu Lah dipancitkan. Kalau mendengar nama Cikgu Lah semua orang akan kecut perut. Saya bukan tidak pernah kena denda dengan Cikgu Lah tetapi tidak pernah berdendam dengan beliau.

Masih ingat rakan saya Norlia, bila dia masuk di kelas memasak pastinya kami akan makan masakannya. Cikgu Harun pernah bagi rakan saya guna vespanya. Yalah masa tu kalau cikgu pakai vespa dah kira gah. Ingat lagi Cikgu Lee (orang Pulau Pinang) menjual t shirt habis anak muridnya membeli. Akal peniaga ada padanya. Itulah sekolah yang tidak dapat saya lupai. Itulah rakan-rakan yang pernah saya gauli. Razak Hashim pernah kena rotan dengan Cikgu Lah akibat salah faham dengan saya, namun hingga kini menjadi rakan karib dan Facebook saya dan Cikgu Lah.

Kalau cerita pasal rokok, budak-budak sekolah zaman tu ada juga yang merokok, tetapi masih "menghormati guru" dengan tidak merokok di kawasan sekolah. Kalau merokok juga sudah pasti akan menjadi mangsa Guru Besar, Cikgu Rahman yang terkenal dengan rotannya. Kalau sebut rotan Cikgu Rahman semua budak-budak kecut perut. Baik lelaki mahu perempuan. Mana tidaknya rotan beliau dipegang dibelakangnya dengan berjalan mengilas tangan.

Jikalau kami kena rotan tidak pernah budak-budak samseng datang menyerang sekolah. Seingat saya, belum pernah ada anggota polis masuk sekolah, kerana kuasa guru ketika itu macam polis.

Rugikah saya menceritakan kisah silam? Anak saya berkata tidak. Malah, saya menjadi seperti tukang cerita dalam kisah dongeng lama. Kita sedia maklum kisah lisan lebih berkesan dari cara penceritaan lain. Ketika saya tiba di Telaga Batu, Sik saya menceritakan bahawa 40 tahun dahulu kawasan itu amat merbahaya. Kalau sudah pukul 4 petang tidak ramai pemandu teksi yang mahu ke kawasan pedalaman. Apa tidaknya ketika itu komunis boleh muncul di atas jalanraya. Namun sepanjang perjalanan saya dari Sik menerusi Tasik Beris, Gulau, Nami, Pokok Sena, Langgar tidak terfikir oleh anak-anak saya bahawa suatu ketika dulu pernah wira-wira negara (anggota keselamatan kita) yang telah diserang hendap. Ramai yang terkorban. Itulah jalan yang pernah menjadi kawasan perintah berkurung suatu ketika dulu sekitar tahun 1960-1980an.

Membawa anak remaja yang sudah faham erti kehidupan maka saya akan memperolehi maklumat sebenar perasaan mereka apabila anak sulung berkata " pening kepala kakak kalau hidup di sini, tak ada restoran makanan segera, tiada shoping kompleks". Namun saya lebih suspend apabila sepanjang pemanduan dari Pekan Sik hingga ke Pekan Pokok Sena tiada petrol pump. Bayangkan kalau minyak kering?

Walau bagaimanapun daerah pedalaman Kedah kini tidak seperti dulu kerana semua kampung telah dibekalkan dengan letrik dan air yang bersih. Cuma kalau kemudahan yang nikmati oleh remaja bandar tiada di sini maka itulah kelebihannya sebagai identiti sebuah desa!

Kenapa saya mencatatkan kisah ini? Pada saya daerah ini masih mengekalkan keindahan semulajadinya. Namun tidak lagi mundur seperti 30 tahun dulu. Justeru keasliannya harus dikekalkan kerana masih ramai masyarakat yang impikan suasana begini. Biarkan daerah sebegini dilawati sesekali agar masyarakat tidak lupa tempat asal usulnya.    Lihat album percutian saya

Tiada ulasan:

Travellog Haji: Antara Doa & Air Mata-Dua Tanah Suci Yang Dirindui-Dijual Dengan Harga Promosi

Perjalanan mengerjakan haji bukan mudah. Setiap Jemaah haji pasti ada cerita tersendiri sepanjang perjalanan mereka sama ada sebelum mahupun...