Ramadhan yang akan meninggalkan kita

Setiap tahun bulan Ramadhan akan tiba selagi dunia belum kiamat dan kita belum menemui ajal. Pengisian dalam bulan ini tidak perlu diceritakan dengan panjang lebar kerana semua orang tahu ia perlu berpuasa dan melakukan amal kebajikan lain samada wajib atau sunat.

Namun setiap orang pasti mempunyai kenangan sendiri yang disimpan sebagai kenangan peribadi, keluarga mahupun masyarakat. Jikalau zaman dahulu ibu bapa kita menyimpan kenangan itu dalam bentuk lisan sahaja. Ia akan diulang-ulang bercerita kepada anak atau cucu. Justeru, kenangan seseorang amat berharga untuk dikisahkan.

Kini dengan wujudnya media berbagai kaedah boleh disampaikan samada dalam bentuk buku, akhbar. Lebih istimewa lagi apabila wujud media terkini seperti Web, Blog,Facebook, Twitter dan lain-lain lagi maka penyampaian akan lebih sempurna disimpan. Kalau tiga puluh tahun dulu ramai antara kita menyimpan kisah-kisah kenangan di dalam diari atau buku catatan lain, kini ianya lebih luas.

Saya bertemu kembali guru disiplin ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sik pada tahun 1971 hingga 1975 hanya menerusi laman blog Dari Sik ke Bangi . Ketika beliau menelefon saya, Cikgu Abdullah begitu ceria. Saya langsung tidak menyangka beliau masih mampu dan lebih mudah dikatakan beliau tidak buta komputer dan ICT walaupun sudah bersara. Tepat kata bijak pandai kalau guru, mereka akan terus belajar sampai bila-bila. Lebih menarik Cikgu Lah mempunyai Facebook.

Bulan Ramadhan tahun ini telah mengusik perasaan saya kerana ramai orang yang rapat dan kenali meninggal dunia. Dr Rohani Ahmad yang banyak memberikan maklumat tentang parasit ketika saya mengalami masalah mata. Dr Ayub, Paling menyayukan ketika catatan ini ditulis saya dan warga UKM kehilangan seorang lagi pegawai ia itu En Mohamad Mustafa Mokhtar yang meninggal dunia akibat sakit jantung.

Ketentuan Allah tiada siapa yang boleh duga dan elak. Namun kita di beritakan dengan berbagai-bagai kejadian menyayat hati seperti pembunuhan dan terbunuh di jalan raya.

Saya juga ingin berkongsi saat-saat kegembiraan di hujung Ramadhan ini kerana sahabat lama ketika di Sekolah Menengah Sik dulu dapat bertemu kembali. Walaupun kami pernah bertemu lebih sepuluh tahun dulu, namun kini dengan izin Allah Razak Hashim dapat saya jumpa semula melalui laman sosial Facebook.

Inilah bulan Ramadhan yang meninggalkan kenangan kepada kita. Sebab itu apabila disebut bulan puasa semua orang akan mencerita berbagai kisah suka duka.

Sebelum habis waktu bekerja semalam, seorang rakan yang akan pulang ke Kedah untuk menyambut hari raya bersama keluarga datang bersalaman dengan saya. Sebelum beredar, saya sempai memesan kepada beliau "tabahkan hati menyambut Aidil Fitri ini tanpa kehadiran seorang ibu". Saya sempat melihat matanya berkilau menahan hiba.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Setelah Anda Bersara

Boria dan Dikir Barat

Istana Di Jabal Habsyi, Madinah