25 Jun 2010

Akmal terkorban demi adik dan Faris

22 Jun 2010: 



















Lihatlah saat-saat pilu seorang nenek kehilangan cucu.


 Saya menerima pesanan ringkas dari Wan memberitahu anak Azman dan seorang budak lain terjatuh ke Sungai Langat pada pukul 7 malam 21 Jun Isnin. Dua budak lelaki ini belum ditemui kata Wan. Lemah longlai tubuh saya apabila menerima berita itu. 

Selasa 22 Jun saya berada di tebing Sungai Langat yang terletak berhampiran Taman Desa Sentosa. Pasukan Bomba dan Penyelamat telah berada di tempat kejadian sejak malam kejadian lagi.Wakil rakyat DUN Dengkil tiba tidak lama kemudian. Seperti biasa sebagai Jurufoto saya tidak melepaskan kejadian ini berlalu tanpa dirakam oleh kamera. Saya menghubungi Saudara Hayat  Suet dari Utusan Melayu untuk memberikan skop kepada beliau. Tidak lama selepas itu beberapa orang wakil media seperti Berita Harian, Sinar Harian, Nanyang Siang Pau dan TV3 telah tiba.















Hanya yang tinggal tubuh yang sudah bernyawa 

 Saudara Hayat  Jurufoto Utusan tiba ketika mangsa pertama temui sejauh 2 km dari tempat kejadian. Iaitu berhampiran Sekolah Menengah Teknik Sepang dekat Kampung Jenderam Hilir.

Ayah mangsa jiran saya, Azman berlari-lari memberitahu kepada pegawai Bomba dan Penyelamat ditempat kejadian. Waktu itu jam di tangan saya tepat pukul 10.20 pagi. Ini bermakna selepas 15 jam baru mangsa ditemui. 

Azman ditenangkan oleh keluarganya. Dengan bantuan kenderaan pacuan empat roda Azman ke tempat mangsa ditemui. Sebelum itu ibu mangsa sempat bertanyakan khabar anaknya "macam mana anak kita bang?".















Ayah mana yang tidak pilu apabila anak kesayangan terkorban.

 Selang 15 minit mangsa Mohd. Faris Ridzuan Azman, 11 tahun, sampai dengan diusung oleh pasukan penyelamat dan ayahnya Azman. Suasana pilu menyelubungi tempat kejadian. Mangsa telah dibawa oleh orang ramai ke dewan Taman Desa Sentosa dan diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Serdang. Suasana pilu menyelubungi dewan tersebut apabila nenek, datuk mangsa datang untuk melihat keadaan mangsa.

Lebih memilukan apabila ibu mangsa yang belum dijumpai iaitu Muhammad Akmal jatuh pengsan setelah mengetahui mangsa yang ditemui bukan anaknya.

25 Jun 2010: 

Sehingga catatan ini ditulis mangsa yang seorang lagi iaitu Muhammad Akmal bin Muhammad Arshad belum lagi ditemui. Pihak penyelamat mengharapkan mangsa dapat ditemui semalam atau hari ini. Manakala langit di sekitar Bangi mendung. Rumah keluarga mangsa masih ramai sanak saudaranya berkampung menunggu perkhabaran dari sungai.















(Kiri) Adun Dengkil YB Dato' Haji Marsum Bin Paing bersama Azman (berbaju biru)



Ketika saya pulang ke rumah untuk ke masjid bersolat Jumaat, tiga orang rakan sekolah mangsa berada di rumah saya kerana mereka hendak menziarahi keluarga mangsa.

Kejadian kali ini bukanlah yang pertama. Ia adalah kejadian kedua selepas berlaku pada tahun 2005 yang telah meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun. Lebih mengerunkan ia berlaku di tempat sama. Mangsa ditemui setelah 16 hari hilang. Menurut ayah mangsa berbagai usaha telah dilakukan dalam usaha mencari anaknya. Sepatah kata beliau biarlah mangsa ditemui segera kerana jikalau memakan masa yang lama akan menyebabkan berbagai perkara tidak baik seperti perkara syirik dan kurafat dilakukan.

Penduduk Taman Desa Sentosa melahirkan rasa kesal mereka dengan kerja-kerja mengorek pasir yang dilakukan di sungai tersebut. Tahun 2005 mangsa lemas dan terkorban ketika kerja-kerja mengorek pasir dilakukan. Sepatutnya pihak berkenaan meletakan tanda amaran, pengawal untuk memastikan tidak ada orang masuk ke kawasan tersebut.

Kerja-kerja mengorek pasir telah mengakibatkan sungai menjadi dalam. Menurut pegawai penyelamat, anggotanya telah mengukur kedalaman sungai di tempat kejadian ialah hampir 3 meter.

Kanak-kanak mungkin sukar dihalang menghampiri sungai, namun dengan adanya pengawal keselamatan sudah tentu kanak-kanak boleh halang menghampiri tempat merbahaya itu.

Namun menurut Ustaz Fauzi Pengerusi Penduduk Taman Desa Sentosa, walau apa pun alasan, kerja-kerja mengorek pasir tidak harus dilakukan berhampiran kawasan perumahan. Kesannya pada taman amat merbahaya.

Saya dan penduduk tidak mahu lagi kejadian seperti ini berlaku lagi. Saya juga menyeru penduduk-penduduk yang membaca catatan ini agar mengawasi anak-anak dan cucu-cucu anda dari mendekati sungai puaka ini agar tidak berlaku insiden ketiga kerana kita kuatir inseden ketiga akan lebih parah. 

Kalau menurut kisah yang diceritakan oleh saksi, Akmal sempat menyelamatkan adiknya. Selepas menyelamatkan adiknya Akmal terjun menyelamatkan rakannya Mohd Faris. Namun takdir menentukan adiknya selamat dan Akmal hilang ke dalam sungai sehingga hari ini.

Akmal remaja yang pendiam, baik. Berusia 16 tahun bersekolah satu kelas dengan anak saya di Sekolah Menengah Presint 14 (1). Saya tidak pernah mendengar kisah nakal/jahat Akmal ketika di sekolah. Malahan di taman ketika dia bermain bersama-sama kawan Akmal merupakan remaja lebih lebih senior jika dibandingkan dengan remaja atau kanak-kanak lagi.

Saya pernah memarahi kumpulan remaja inim ketika mendapati mereka agak over bermain mercun atau bunga api ketika menjelang hari raya. Namun Akmal dan rakan-rakannya tidak pernah berdendam dengan saya. Malahan di hari raya mereka menziarahi rumah saya. Itulah remaja bernama Akmal yang saya kenal.

Namun Akmal masih belum dapat ditemui setelah menyelamatkan adiknya dari lemas. Selepas menyelamatkan adiknya dia cuba menyelamatkan rakan adiknya Mohd Faris, akhirnya dia juga turut lemas.

Saya tidak mahu Sungai Langat berhampiran Teman Desa Sentosa menjadi sungai dalam kisah filem melayu berjudul Patung Cendana yang akan meragut nyawa tanpa belas kasihan.

Tempat kejadian




Antara wang dan nyawa orang awam!

4 ulasan:

Abd Raai Osman P.J.K berkata...

14 Julai 2010: Akmal yg lemas di Sungai Langat dekat Teras Jernang, Bangi sejak 22 Jun 2010 lalu telah dijumpai dengan keadaan hanya separuh badan.

Sebahagian badannya ia itu kepala belum ditemui.

Muhd Hafiz berkata...

Akmal dikebumikan dimana?saya kawan lama dia

Muhd Hafiz berkata...

Akmal dikebumikan dimana?
saya ni kawan lama dia sejak sekolah rendah

Abd Raai Osman P.J.K berkata...

Hafiz dan rakan-rakan arwah Akhmal, Akhmal telah dikebumikan di pusara Sungai Merab. Kalau masuk ikut Instutut Orang Kurang Upaya terus selepas jumpa bukit pusaranya disebelah kiri.

Travellog Haji: Antara Doa & Air Mata-Dua Tanah Suci Yang Dirindui-Dijual Dengan Harga Promosi

Perjalanan mengerjakan haji bukan mudah. Setiap Jemaah haji pasti ada cerita tersendiri sepanjang perjalanan mereka sama ada sebelum mahupun...