21 Januari 2010

Tun Fatimah Hashim satu nama besar dalam perjuangan memartabatkan kaum wanita di Malaysia. Ketika berita kematiannya diterima menerusi SMS yang dikirim oleh pusat berita membuatkan saya tergamam sebentar. Allahyarhamah adalah wanita besar dalam sejarah pembangunan Malaysia.

Saya tidak mengenalinya. Namun sejarahnya kita boleh baca dari bahan-bahan sejarah negara. Malahan hasil perjuangannya membolehkan saya mengenali seorang anaknya yang menjadi tokoh terkenal dalam bidang perubatan di UKM.

Tepat kata peribahasa, "harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama". Jauh dari itu Tun Fatimah mati meninggalkan jasa!

Minggu lepas apabila Ketua Jabatan saya, Prof Dr. Kamarudin M. Said memberitahu "saya dapat panggilan telefon dari pejabat Naib Canselor minta Unit Foto buat liputan di Majlis Memperingati Tun Fatimah", saya sendiri yang mengambil peluang ke majlis itu.

Sesuai dengan kedudukannya semasa hayat, majlis tersebut telah diadakan di sebuah hotel terkenal di Petaling Jaya yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Wanita Malaysia (NCWO). Naib Canselor UKM YgBhg.Prof Tan Sri Dato' Dr Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabudin merupakan Presiden NCWO.

Tun Fatimah kembali ke Rahmatullah pada 9 Januari 2010 dan telah disemadikan di perkarangan Makam Pahlawan.

Tun Fatimah dilahirkan di Parit Kurma, Muar, Johor, Allahyarhamah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Keroma, Muar, kerana ketika itu belum ada sekolah untuk murid perempuan di kampung tersebut. Beliau kemudian menyambung pelajarannya di Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan membelajari bahasa Inggeris di sekolah malam dengan seorang guru Sekolah Convent Johor Bahru.

Tun Fatimah mula menunjukkan minat terhadap kerja-kerja kebajikan sejak di bangku sekolah lagi. Semasa bersekolah, beliau seorang murid yang aktif dan pernah menjadi Ketua Darjah dan Ketua Kumpulan Sekolah Melayu Perempuan Mersing , Ketua Kumpulan (murid perempuan) kegiatan berkebun sayur, dan ketua rombongan pasukan senaman ke pertandingan senaman sekolah-sekolah negeri Johor di Sekolah Air Molek.

Tun Fatimah memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai UMNO pada tahun 1947, ketika berusia 21 tahun. Beliau menganggotai Pergerakan Kaum Ibu (UMNO) Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru, dan memegang jawatan Bendahari, serta kemudiannya Setiausaha Kaum Ibu Cawangan Johor Bahru. Pergerakan Kaum Ibu UMNO kini dikenali dengan nama Wanita UMNO

Pada tahun 1956, setelah mengikut suaminya Abdul Kadir Yusoff yang bertugas dalam perkhidmatan kerajaan ke Perak, Tun Fatimah telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Negeri Perak dan dalam masa yang sama, memegang jawatan Ketua Bahagian Ipoh. Dalam tahun itu juga (11 September 1956 - 1972), beliau telah dilantik Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya, menggantikan tempat Khadijah Sidek. Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau secara automatik menjadi Naib Yang Dipertua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahli Jawatankuasa Kewangan UMNO dan Ahli Jawatankuasa Politik. Semasa memimpin Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau berjaya membawa wanita-wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik dan sekaligus menyertai UMNO.

Pada tahun 1959, Tun Fatimah sekali lagi berpindah mengikut suaminya ke Kedah. Di sana, pada tahun yang sama, beliau telah dipilih menjadi calon pilihan raya bagi kawasan Jitra-Padang Terap. Kemenangannya pada tahun itu diulangi sebanyak dua kali lagi menjadikan beliau ahli Parlimen bagi kawasan tersebut tiga kali berturut-turut.

Pada 20 Mei 1969, Tun Fatimah dilantik menjadi Menteri Kebajikan Am, wanita pertama menjawat jawatan menteri. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga bersara pada bulan Februari 1973. Sebagai Menteri Kebajikan Am, beliau membuat banyak lawatan ke negara-negara berjiran.

Selaku pemimpin wanita Melayu pertama menjadi Menteri, Tun Fatimah sering kali diundang memberi ucapan dan ceramah dalam seminar-seminar, forum dan persidangan-persidangan yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan, baik di dalam negara mahupun di luar. Antara mesyuarat dan persidangan yang pernah dihadirinya ialah Perjumpaan Wanita Antarabangsa di Tehran pada tahun 1965. (Petikan Wikepedia)

Dapat saya perhatikan sepanjang majlis tersebut ramai tokoh-tokoh wanita yang tidak dapat menahan sayu ketika ucapan mengenang jasa Tun Fatimah dibacakan. Mereka mewakili pertubuhan-pertubuhan wanita di Malaysia. Malahan ada diantaranya merupakan rakan lama Allahyarhamah.

Di waktu-waktu tertentu, terdapat wakil-wakil tersebut tidak dapat menahan kepiluan mereka. jelas di sini Tun Fatimah dikenang oleh semua kaum dan penganut agama. Bagi keluarga Tun Fatimah sudah semestinya tidak dapat menahan pilu kerana mereka kehilangan insan tercinta lebih kurang seminggu sahaja.

Nama seagong serikandi Melaka "Tun Fatimah", dan tidak hairanlah maka terdapat nama sekolah telah menggunakan nama beliau.

Tidak dapat dinafikan di zaman Tun Fatimah berjuang membangunkan negara bersama-sama pemimpin lain, kaum wanita waktu itu masih dibelenggu masalah buta huruf. Maka perjungan beliau menerusi politik mahupun pertubuhan bukan kerajaan harus menjadi kebanggaan wanita masa kita. Al-Fatihah....amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Galeri

Awas! Keretapi nak melintas.

Pernah naik keretapi? Keretapi cara lama yang memenatkan! Mungkin itu ungkapan yang pernah kita dengar. Sebelum tahun 1995 tidak semua ora...